Followers

Monday, August 03, 2015

Mengemas Kotak-kotak Lama

Setiap hujung minggu sejak sebulan dua ini, bermulalah operasi mengemas segala macam barang yang penuh di rumah. Di rumah memang banyak kotak-kotak berisi pelbagai barang yang dibawa sejak berpindah dari Australia tiga tahun yang lalu. Rumah comel kami bertambah comel dengan adanya kotak-kotak ini memenuhi rumah. Macam-macam barang yang disimpan di dalam kotak yang mungkin sebahagian besar daripadanya patut dibuang sahaja daripada disimpan.

Maka pagi-pagi selepas bersarapan, operasi tuan suami dibantu oleh puan isteri ialah menyiasat apa yang ada di dalam kotak-kotak yang banyak ini dan membuat sorting apa yang perlu. Nampaknya macam-macam barang ada di dalam kotak yang memang sepatutnya dibuang tetapi sayang. Saya pernah terbaca, satu petua untuk menyimpan kenangan dan memori bersama barang yang sepatutnya dibuang adalah dengan menangkap gambar barang tersebut. Maka bila tuan suami sibuk mengemas, saya pula sibuk mengambil gambar.

Dalam masa beberapa jam, hanya tiga kotak sahaja yang berjaya diselongkar daripada berpuluh kotak yang ada. Masuk waktu tengah hari, perlu bersiap ke rumah terbuka pula. Tunggulah Syawal berakhir nanti, insyAllah boleh lebih fokus dan lebih banyak misteri kotak dapat dirungkai...

Tuan suami masuk surat khabar Brunei masa bertugas luar stesyen di sana beberapa tahun lepas.

Kad nama tuan suami dan puan isteri tujuh tahun lepas yang tidak valid lagi.

Propektus pada zaman sibuk mencari tempat yang sesuai.
Surat panggilan temuduga sambung belajar pada tahun 2008.

Thursday, July 30, 2015

Nasi Arab Mandy

Sedar tak sedar hari ini sudah memasuki Syawal ke-14. Hujung minggu dalam bulan Syawal ini dipenuhi dengan jemputan rumah terbuka dari sahabat, jiran-jiran lama, bos dan cikgu anak-anak. Rasa tak terkejar nak memenuhi semua jemputan. Bila sebut tentang rumah terbuka, selain makanan yang dapat dinikmati, yang lebih istimewa adalah merapatkan jalinan ukhuwah dengan tuan rumah dan rakan-rakan lain yang hadir. Saya lebih seronok jika sambil hadir dapat bersembang dengan tuan rumah sambil menikmati juadah. Musim-musim rumah terbuka ini juga rasa rindu pada kawan-kawan lama pada zaman muda remaja. Harap-harap dapat berjumpa sahabat-sahabat yang dirindui pada Syawal kali ini.

Tahun ini, saya dan suami tidak merancang untuk membuat rumah terbuka tetapi sentiasa mengalu-alukan kedatangan kawan-kawan dan jiran tertangga yang sudi berkunjung ke rumah. Pada hujung minggu lepas, bekas pengasuh anak-anak semasa di Taman Kota Cheras, Kak Gee dan bekas jiran datang beraya di rumah dua keluarga. Masakan yang paling senang dan menjadi kegemaran keluarga yang biasa saya buat adalah Nasi Arab Mandy. Maka, itu jugalah yang saya fikir paling sesuai dan senang disediakan dengan keadaan berebut-rebut dengan Azzah Nurjannah di dapur. Kuih muih dan buah-buahan langsung tak ada kerana terlupa. Asyik fokus pasal nak mencari rempah nasi Arab, hidangan sampingan diabaikan... Air pun bancuh sirap ros, teh tarik (baru pertama kali buat) dan teh O. Kuih raya di rumah yang masih ada cuma maruku halus dan kacang goreng bersalut tepung. Sempoi sungguh rasanya. Namun mujur tetamu hari tu beraya ke banyak rumah, hidangan yang ada pun sudah membuat mereka senak perut.

Cerita pasal nasi Arab, saya mula memasak nasi Arab kalau tidak silap setahun yang lepas. Masa itu, ada jualan di pejabat pada setiap hari Jumaat. Terjumpa pulak orang menjual nasi Arab yang dipek dalam kotak beserta dengan rempahnya sekali. Tak perlu nak cari bahan kering lain melainkan ayam dan bahan-bahan untuk membuat acar dan sos. Suami dan anak-anak memang sangat suka makan nasi Arab tetapi saya tidak pernah cuba buat sendiri. Restoran nasi Arab kegemaran kami terletak tidak jauh dari rumah di Kabab dan Baryani Presint Diplomatik. Jadi kali ini saya ambil keputusan untuk membuat sendiri. Harga untuk sekotak nasi Arab kandungan 1/2kg adalah RM15. Saya cuba nasi Arab Mandy sebab lebih ringkas dan ayamnya dipanggang. Alhamdulillah hasilnya memang sangat mengujakan. Anak-anak, suami dan saya sendiri makan bertambah berkali-kali. Pek 1/2kg itu kalau ikut cadangan hidangan cukup untuk antara 4-5 orang dewasa makan dengan seekor ayam. Alhamdulillah cukup untuk saya sekeluarga dengan sekali makan.
Sumber: Google
Selepas daripada itu saya pernah juga mencuba beberapa jenis rempah nasi Arab lain tetapi pada tekak saya, inilah yang terbaik dan mudah disediakan. Di rumah memang sentiasa perlu ada stok rempah ini. Bila ada tetamu datang mengejut, boleh segera hidangkan nasi Arab istimewa ini. Pada sahabat-sahabat yang nak mecuba, boleh dapatkan pek nasi Arab kegemaran anda di agen berdekatan. Oh ya, lupa pula nak bercerita rahsia saya memasak dengan begitu cepat. Saya gunakan pressure cooker untuk memasak nasi Arab tetapi bukan Noxxa. Pressure cooker Tefal ini saya beli sebelum pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian di Australia pada tahun 2012. Memang sangat banyak manfaatnya dan menjadi pembantu dapur saya yang paling setia dan berjasa..

Friday, July 24, 2015

Eid Mubarak 1436!

Alhamdulillah, seminggu sudah Allah memberi peluang meraikan Syawal pada tahun ini. Kegembiraan menyambut Syawal tidak dapat mengatasi kerinduan kepada Ramadhan yang telah berakhir. Kemeriahan berbuka dan kesibukan bersedia untuk bersolat terawih yang tiada lagi membuatkan hari-hari terasa sayu. Kasihanilah kami Allah dan berilah peluang kami untuk menikmati Ramadhan yang akan datang dengan lebih bermakna.

Aidil Fitri pada tahun ini seperti biasa, kami meraikannya di kedua-dua buah kampung halaman. Kali ini, hari raya pertama di Kampar, Perak diikuti beraya di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada hari raya ke dua. Hari raya pertama, emak memasak nasi impit kuah kacang dan rendang tok yang telah dibuat lebih awal. Pak Uda pula menghantar beberapa batang lemang yang dibakarnya sendiri di rumah opah, begitulah kebiasaannya setiap tahun. Pada hari puasa terakhir, adik saya si Dak Ecah dan Pai membuat BBQ sotong segar, ayam dan ikan dengan dapur BBQ yang kami bawa pulang dari Australia dulu. Setelah hampir empat tahun tersimpan, akhirnya dapat juga merasmikan dapur BBQ bergas yang canggih ini (bak kata mak).

Kami berziarah ke rumah Opah di Taman Melayu Jaya, Kampar dua kali pada hari raya pertama. Pada waktu pagi, selepas makan mi goreng yang dimasak oleh Mak Yang, rendang opah dan lemang yang dibuat Pak Uda, opah berpesan supaya datang lagi malam ini untuk jamuan kali kedua. Memang meriah di rumah opah kerana anak cucunya yang tinggal di Kuala Lumpur semuanya balik beraya dan berhimpit-himpit di rumahnya. Malam itu, datang sekali lagi dijamu pula nasi beriyani, ayam masak merah dan acar timun pedas. Pak Ndak dan anak-anak pula membuat BBQ kambing panggang setengah ekor. Memang meriah berebut-rebut makan beramai-ramai. Opah yang kini menjangkau usia 82 tahun memang sejak dulu pandai memasak. Dia pernah berjual di kedai makan sejak arwah atuk pencen sebagai guru besar. Bila arwah atuk sudah tiada pun opah masih kuat berjualan sehingga kira-kira lima, enam tahun lalu sahaja barulah opah berehat dari berniaga. Namun dia masih kuat menerima jemputan menjadi ketua tukang masak apabila ada kenduri kendara dan menyediakan moreh di Masjid Jamek Kampar pada kebanyakan bulan Ramadhan. Alhamdulillah, semoga Allah terus memanjangkan usia opah dengan kesihatan yang baik supaya dia dapat terus berbakti kepada ummah.

Pada hari raya kedua seperti mana kelaziman setiap tahun, kami berziarah ke rumah Opah Ngah di Kampung Manjoi, Ipoh dan rumah Pak Syed di Chemor. Suami Opah Ngah, Tok Wak merupakan adik kepada arwah atuk yang rapat dengannya. Memang setiap tahun kami akan datang menziarahinya sejak daripada arwah Tok Wak masih ada. Pak Syed pula bukanlah saudara terdekat, menjadi saudara secara kebetulan saja kerana hubungan yang sangat baik. Dia yang asalnya dulu bertugas dengan KTM tetapi kerana bakat memasak yang sangat cemerlang, beliau membuka syarikat catering bagi jamuan kecil mahu pun besar. Masakannya memang sangat enak dan sepanjang hidup saya, nasi beriyani Pak Syedlah yang paling sedap pernah dimakan. Sebab itulah kami tidak pernah terlepas menghadiri rumah terbukanya pada setiap tahun. Bulan Oktober ini pula dia menjemput kenduri anak perempuannya. Kalau rasa teringin nak makan masakan Pak Syed lagi, kenalah datang lagi kenduri nanti..  :-)

Selepas beraya di rumah Pak Syed, kami terus bertolak pulang ke Permatang Pauh pula. Alhamdulillah perjalanan lancar dan tiba di kampung selepas hampir dua jam perjalanan. Kebetulan adik ipar yang masih anak dara memasak lontong, maka berjamulah lontong, ketupat palas dan rendang pada petang itu. Kebetulan, bekas pelajar sekolah tuan suami di SMKA Al-Irshad, Kepala Batas membuat jamuan reunion pada hari raya ke-empat. Dapatlah sama-sama kami hadir memeriahkan jamuan dan bersua-muka dengan sahabat-sahabat lama tuan suami. Seronok rasanya dapat berkumpul dengan orang utara dan masing-masing bersembang dalam loghat utara. Walaupun sudah lebih sebelas tahun menjadi isteri orang Pulau Pinang, saya masih tersipu-sipu mahu bercakap dalam bahasa utara, takut tersalah sebut... Sempat juga berziarah ke beberapa rumah saudara mara di Kulim, Permatang Pauh dan jiran-jiran di sekitar rumah. InsyaAllah raya haji nanti kami akan kembali lagi...

Sempena ulangtahun perkahwinan kami yang ke sebelas pada tahun ini, telah beberapa kali merancang untuk mengadakan sesi fotografi keluarga sama ada di luar atau di dalam studio. Alhamdulillah akhirnya tercapai juga cita-cita bergambar selepas kebetulan melihat iklan promosi fotografi studio hari raya oleh salah seorang sahabat di facebook yang juga jurufoto professional. Kami bergambar di studionya di Tropicana, Kajang kira-kira dua minggu selepas Ramadhan. Walaupun agak penat kerana melayan Azzah Nurjannah yang tak nak duduk diam sehingga susah betul nak dapatkan gambar sekeluarga tapi hasilnya memang sangat hebat dan awesome bak kata orang Jawa. Bagi sesiapa yang berminat untuk sesi studio fotografi, boleh hubungi Puan Rumaizah Abd Wahab atau LittleBigShots Studio di facebook. InsyaAllah hasilnya sangat berbaloi-baloi.








Tuesday, July 07, 2015

Berlalunya 20 Hari Ramadhan

Sedar tak sedar, bulan Ramadhan cuma berbaki sepuluh hari saja lagi. Baru berkira-kira berapa hari lagi akan tiba Ramadhan, rupa-rupanya ia sudah hampir sampai ke penghujungnya. Jika pada zaman kanak-kanak, waktu hampir tiba hari raya adalah saat yang ditunggu-tunggu. Tetapi bila usia dah menginjak jauh, terdetik syahdu dan rindu di dalam hati bila mengenangkan Ramadhan akan berlalu pergi...

Saya suka bulan Ramadhan, kerana keberkatannya dan gandaan pahala bagi setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan mulia ini. Selain itu, tak perlu memikir hari ini perlu sarapan apa, nak beli di mana. Anak-anak juga dilatih berpuasa sejak bersekolah tadika, mengikut kemahuan dan kemampuan mereka sendiri. Saya dan suami tidak pernah memaksa, tunggu sehingga mereka benar-benar bersedia. Sebelum diajar berpuasa, solat dan Al-Quran perlu dilatih terlebih dahulu kerana itu lebih utama. Alhamdulillah tahun ini, anak-anak yang bersekolah rendah (Ariff Najmuddin, Akeef Nu'man dan Adreana Najla) telah mampu berpuasa dengan baik walaupun kadang terdengar juga keluhan letih pada awal minggu pertama.

Aleesya Nour pada usia empat tahun masih belum faham erti puasa apatah lagi Azzah Nurjannah yang berusia setahun tiga bulan. Makanya, pada hujung minggu, dua orang anak ini perlu disediakan sarapan dan makan tengaharinya. Makan malam mereka, saya akan suap lebih awal sebelum waktu berbuka supaya bila sudah kenyang, mereka selesa bermain berdua.

Menu berbuka pada hari bekerja biasanya saya tempah daripada kawan-kawan yang berniaga lauk-pauk di pejabat atau beli di kafe pejabat sahaja. Pada hujung minggu, baru ada kesempatan memasak. Walaupun hobi memasak dan rasa lebih puas dapat memasak sendiri, terpaksa berkorban sedikit pada hari bekerja demi melayan anak-anak yang masih kecil. Biasanya, pada waktu balik daripada taska, si Azzah Nurjannah yang masih menyusu badan sepenuhnya mahu mengisi minyak dulu. Selepas isi minyak dengan menyusu, perlu pula terus makan nasi. Kalau tidak, sepanjang saya berada di dapur dia akan menarik kaki sambil menyebut Mi, Mi.. (Ummi, Ummi...). Tuan suami yang bertugas di Kuala Lumpur pula memang hanya akan tiba di rumah sewaktu azan berkumandang. Untuk mengelakkan stress pada mak dan anaknya, tuan suami berpesan, baiklah membeli sahaja daripada tempat yang terjamin kebersihan dan kesucian makanannya. Dia beri duit, dan saya tolong beli. Tetapi pada sebahagian masa, saya mahu juga guna duit sendiri kerana membeli atau menyediakan juadah untuk orang yang berpuasa ini besar ganjarannya jika dibuat dengan ikhlas. Maka, marilah kita saling berebut suami isteri, siapa yang belanja menu berbuka pada setiap hari...

Pada sebelah malam, anak-anak dan suami akan berterawih di surau berdekatan rumah. Mengaji Al-Quran pula di rumah sahaja selepas solat Subuh dan Maghrib. Saya bersolat di rumah sahaja selepas selesai menidurkan Azzah Nurjannah. Ada juga keinginan untuk ke surau, tapi mengenangkan siapa pula yang akan tengok-tengokkan si Azzah yang sudah dapat kaki ketika saya bersolat.  Si Azzah ini jenisnya suka meneroka dan berjalan ke sini sana. Risau juga jika dia keluar ke mana-mana atau mengganggu jemaah yang lain. Saya fikir lebih baik saya solat di rumah sahaja. Lebih tenang rasa hati dan lebih fleksible. Tunggulah bila yang kecil sudah besar sedikit dan bolehlah dibawa bersama ke surau atau masjid. Alhamdulillah walaupun tidak berkesempatan berjemaah di surau, Allah sediakan peluang yang lain untuk ibu-ibu menambah amalan pada bulan mulia ini. Menyediakan juadah sahur dan berbuka juga besar ganjarannya. Apatah lagi jika kita mendidik dan mengasuh anak-anak untuk berpuasa dan melakukan amalan-amalan baik supaya berpanjangan sehingga selepas Ramadhan.

Ramadhan yang berbaki ini, sama-samalah kita berdoa moga Allah beri kekuatan untuk menghidupkan malam dan berlumba-lumba membuat amalan kebajikan. Semoga dipanjangkan umur dengan keberkatan untuk bertemu lagi Ramadhan yang akan datang...

Friday, June 19, 2015

Percutian Di Melbourne dan Adelaide Pada Musim Dingin 2015 Siri 3

Lawatan Ke Garden College (Sekolah Islam) di Adelaide

Pengembaraan kami kali ini agak berbeza dari kembara rakyat Malaysia yang biasa. Konsep relaks dan santai dipilih memandangkan bilangan anak yang ramai dan tempat2 yang ingin dikunjungi juga tidak terlalu jauh daripada rumah penginapan. Memandangkan kami datang pada musim sejuk, waktu siangnya agak pendek dan menghadkan tempat yang boleh diziarahi pada satu hari di antara dua hingga tiga tempat sahaja. Pada musim sejuk di sini, waktu magrib masuk lebih kurang pada jam 5.15 petang dan waktu isya' adalah sejam kemudian. Waktu subuh pula tidak begitu berbeza dengan Malaysia pada lebih kurang jam 5.45 pagi.
Pelajar sedang mengikuti kelas.
Kali ini kami berpeluang membawa anak-anak melawat ke dua buah sekolah Islam. Sekolah pertama adalah Garden College yang terletak di suburb Parafield Garden, Adelaide dan baru sahaja dirasmikan pada awal tahun ini. Sekolah ini diasaskan oleh Australian Islamic Social Association (AISA) dan diterajui oleh guru-guru dan kakitangan yang majoriti berasal dari Turki.
Papan kenyataan sekolah.
Sebahagian gambar aktiviti pelajar.
Sekolah ke dua adalah di Mt Hira College, Keysborough di Melbourne yang kami lawati pada hari terakhir percutian. Kisah sekolah ini akan dinukilkan khas dalam satu tajuk yang lain.

Garden College adalah di bawah kategori sekolah swasta tetapi wajib mengikut silibus dan kurikulum yang ditetapkan oleh kerajaan negeri South Australia. Di Australia, sekolah swasta yang berdaftar layak menerima peruntukan khas dalam nilai yang besar daripada kerajaan tidak kira sama ada ia adalah sekolah Islam, Kristian mahu pun Buddha. Oleh yang demikian, yuran yang dikenakan amat minimum bagi rakyat dan penduduk tetap di Australia.

Guru2 dan pelajar di sini sangat mesra. Kami diberi layanan yang baik dan sebahagian pelajar dan guru melambaikan tangan ketika kami melalui kelas mereka.

Garden College menggunakan Bahasa Inggeris sebagai medium utama di samping pelajar perlu memilih Language Other Than English (LOTE) sebagai pengajian bahasa tambahan sama ada Bahasa Arab atau Bahasa Turki. Sebagai tambahan daripada silibus biasa, pelajar juga akan didedahkan dengan ilmu Pengajian Islam (Akhlak, Tauhid, Al-Quran, Tajwid, Thirah dan lain2). Pelajar juga diwajibkan mengikuti kelas bacaan Al-Quran dan Tajwid yang diadakan pada waktu pagi. Pelajar juga bukan hanya perlu tahu membaca Al-Quran dengan betul, malahan akan didedahkan dengan tafsir setiap ayat dah hafazan mengikut tahap pengajian.

Garden College turut menawarkan kelas tahfiz intensif untuk pelajar2 yang terpilih sahaja. Pelajar akan ditapis oleh ustaz yang berpengalaman luas dalam ilmu hafazan yang didatangkan khas dari Turki.
Bangunan asal di sebelah bangunan sekolah yang baru ini dahulu adalah sebuah gereja. Tanah dan bangunan ini telah dibeli oleh pihak AISA dan ditukar menjadi sekolah dan masjid.
Pandangan dalam ruang ibadah di masjid.
Di sinilah pelajar2 terpilih untuk mengikuti kelas hafazan intensif akan menghafaz Al-Quran
Pelajar yang terpilih layak menerima biasiswa bermula pada Tahun 7 (sama seperti tahun 6 di Malaysia). Sebagai mengakhiri tahun persekolahan di Tahun 12, sekolah merancang untuk membawa pelajar terbabit untuk menunaikan ibadah umrah dan program pertukaran pelajar di Turki.

Kemudahan di sekolah juga sangat moden dan selesa. Setiap kelas mempunyai bilangan pelajar maksimum 20 orang sahaja. Pelajar-pelajar di sini juga terdiri daripada pelbagai bangsa dan negara asal seperti Turki, Afghanistan, Indonesia dan Malaysia.  

Thursday, June 18, 2015

Ramadhan Kareem

Selamat datang bulan Ramadhan yang penuh berkat dan kemuliaan. Semoga kita sama-sama diberi kekuatan untuk mengimarahkan Ramadhan... Selamat berpuasa dan selamat beribadah buat semua..


Friday, June 12, 2015

Percutian Di Melbourne dan Adelaide Pada Musim Dingin 2015 Siri 2

Makanan Halal Di Australia

Hal mencari makanan halal di Australia bukanlah satu perkara yang rumit. Banyak makanan halal yang dijual di pasaraya biasa mahu pun di kedai-kedai yang dimiliki oleh Muslim dan orang Asia.

Konsep penyediaan makanan jika melancong ke sana yang terbaik adalah kombinasi antara dimasak sendiri dan sekali sekala boleh makan di luar untuk merasai masakan tempatan yang sangat multi cultural.

1. Memasak Sendiri

a. Beras boleh dibeli di pasaraya biasa seperti Coles dan Woolworth dengan harga yang berpatutan.

b. Ayam dan daging halal boleh didapati di halal butcher. Sebaik2nya, kaji dan senaraikan halal butcher yang berdekatan dengan tempat penginapan sebelum tiba di Australia.

Makanan yang disediakan untuk perjalanan dari Melbourne ke  Adelaide dan disimpan dalam mangkuk tingkat. Rendang ayam, sambal telur dan sayur campur.

Sosej ayam dibeli di halal butcher dan dimasak sendiri, AUD9 untuk 1kg.
c. Perencah dan rempah ratus boleh dibawa dari Malaysia dengan syarat ia dipek secara komersial. Untuk menjimatkan masa, bawa perencah sedia dimasak yang boleh dibeli di pasaraya Malaysia seperti keluaran Brahim's atau Adabi. Pelbagai jenis perencah segera boleh didapati seperti kari, rendang, sambal tumis, nasi goreng dan banyak lagi. Rasanya mungkin tidak seenak dimasak sendiri tetapi bolehlah untuk mengalas perut orang bermusafir di negara luar.

d. Sayur-sayuran boleh dibeli di pasaraya mahu pun kedai2 runcit yang turut menjual daging halal.

"Sarapan pada hari pertama kami tiba. Kombinasi makanan barat dan orang Malaysia, nasi bersama ayam masak merah dan telur dadar."
Kombinasi makanan barat dan timur untuk sarapan



2. Makan Di Luar
Banyak juga restoran makanan halal yang boleh anda nikmati ketika di Australia. Antara yang paling popular adalah kebab.

Kebab di sini adalah lebih asli dan sangat sedap kerana disediakan oleh orang Timur Tengah sendiri dan mengandungi pelbagai variasi mengikut tempat asal peniaga. Yang menjadikannya lebih enak, campuran sayur-sayuran seperti salad, bawang dan tomato yang segar dan kuantiti yang banyak

Restoran komersial seperti Nando's menyediakan hidangan halal 100% di seluruh cawangannya di Australia. Hidangan Nando's di sini memang lazat. Untuk lain-lain restoran halal, boleh buat kajian terlebih dahulu sebelum tiba di Australia.

Harga menu pek keluarga di Nando's untuk seekor ayam panggang dan dua hidangan sampingan bersaiz besar. Tanpa GST (diserap dalam harga makanan) dan tanpa service charge.
Restoran Afghanistan yang menyediakan makanan yang enak yang dimilik oleh Muslim berasal daripada Afghanistan dan telah menjadi rakyat Australia. Ia terletak di Port Adelaide dan sebahagian besar penduduk di sini adalah Muslim yang merupakan pelarian perang dari negara asal mereka.
Kebab ayam Turki yang dibeli di kedai kebab di suburb Dallas ketika kami baru tiba di Melbourne. Harganya AUD10 dan boleh dikongsi oleh dua orang dewasa untuk satu kebab. Rasanya, masyaAllah...

Salah sebuah restoran halal Turki yang sempat disinggahi ketika di Adelaide.

Thursday, June 11, 2015

Rumah Inap (Homestay) Di Melbourne

Bagi yang ingin bercuti di Melbourne, bermalam di rumah inap (homestay) merupakan satu pilihan yang popular lebih-lebih lagi bagi keluarga besar.

Terdapat dua buah rumah inap yang pernah saya sewa dan kedua-duanya diuruskan oleh orang Malaysia. Kedua-duanya memiliki keistimewaannya sendiri.

1. An Naim Homestay, Springvale
- Rumah 3 bilik yang simple tetapi lengkap.
- Terletak kira2 35 minit perjalanan dari pusat bandar Melbourne.
- Lebih sesuai jika anda menyewa kenderaan dan tidak bergantung kepada kenderaan awam.
- Family friendly dan turut menyediakan permainan untuk anak2.
-Laman web: http://annaimmelb.wix.com/
- Alamat e-mel: annaimmelb@gmail.com

2. Teratak Tanamekar, Coburg
- Terletak tidak jauh dari pusat bandar Melbourne.
- Kemudahan tram berdekatan dengan rumah.- Hanya perlu berjalan kaki untuk ke pasar raya dan kedai daging halal yang berdekatan.- Terdapat banyak kedai makanan halal dengan jarak berjalan kaki dari rumah.
- Laman web: http://terataktanamekar.com/
- Alamat e-mel: tanamekartravel@gmail.com















Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kedua2 rumah inap, sila layari laman web rumah inap untuk mendapatkan alamat emel untuk dihubungi.

Tempahan boleh dibuat melalui emel dan akan dibalas segera oleh tuan rumah.

Tuesday, June 09, 2015

Percutian Ke Melbourne Dan Adelaide Pada Musim Dingin 2015 Siri I

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah kerana dengan izin-Nya kami diberi peluang menjejakkan kaki sekali lagi ke Melbourne dan kali pertama ke Adelaide pada cuti sekolah bermula 29 Mei 2015 baru-baru ini. Percutian ini dirancang kira-kira enam bulan yang lalu kerana kebetulan ada beberapa urusan kritikal yang perlu dibereskan di tanah kangaroo ini.

Bagasi kami semasa dalam perjalanan menaiki ERL dari
Putrajaya ke KLIA.
Perjalanan bermula pada tanggal 29 Mei 2015 dengan ahli rombongan seramai tujuh orang yang terdiri daripada dua dewasa, empat kanak-kanak dan seorang bayi. Kami bertolak dari stesen ERL Putrajaya kira-kira menghampiri jam 5.00 petang dan tiba 30 minit kemudian di KLIA memandangkan kami tinggal di Putrajaya yang terdapat kemudahan stesen ERL yang menyediakan tempat letak kereta percuma atau dengan bayaran yang berpatutan. Hajat di hati, ingin berdikari dan tidak mahu menyusahkan pihak lain kerana sekadar ingin bercuti. Dengan ahli rombongan yang ramai, saiz dan bilangan beg boleh tahan juga, lebih-lebih lagi kerana bercuti pada musim sejuk. Maka baju panas minimum seorang dua helai memakan ruang beg yang agak banyak.

Azzah Nurjannah membuat aksi di dalam bassinet.
Setibanya di KLIA, kami terus menghantar beg untuk check-in memandangkan web check-in telah dilaksanakan dua hari lepas bagi menjimatkan masa. Selepas selesai, terus menuju ke surau untuk menunaikan solat Asar. Kami hanya dibenarkan masuk ke dewan berlepas kira-kira jam 7.15 petang. Memandangkan waktu maghrib telah tiba semasa di dalam dewan berlepas, saya mengambil keputusan untuk terus solat jama' taqdim maghrib dan isya di situ sahaja kerana khuatir agak sukar untuk solat di dalam kapal terbang. Alhamdulillah pada jam 8.15 malam, pesawat MH 180 berlepas dengan begitu lancar dari landasannya di KLIA. Syukur juga anak-anak tidak banyak ragam. Cuma anak kecil, si Azzah Nurjannah sahaja yang tidak begitu selesa sejak di lapangan terbang membawa sehingga awal penerbangan. Tuan suami telah menempah tempat duduk dengan bassinet bagi meletakkan bayi untuk saya yang terletak di hadapan sekali manakala suami dan anak-anak lain duduk sebaris di belakang saya. Alhamdulillah tempat duduk selesa, namun mungkin lebih seronok jika dapat duduk sebaris dengan ahli keluarga sendiri. Duduk di sebelah saya ialah pasangan dari Tasmania, Australia bersama anak kecil mereka yang sangat peramah. Azzah Nurjannah dan anaknya masing-masing sama kehairanan melihat antara satu sama lain. Mungkin sama-sama baru bertemu orang Melayu dan orang putih. Mereka dalam perjalanan dari London menziarahi kakaknya di sana untuk pulang ke Australia.

Bilik solat di Lapangan Terbang Antarabangsa
Tulamarine. 
Alhamdulillah, selamat tiba pada lebih kurang jam 5.50 pagi waktu Melbourne di Lapangan Terbang Antarabangsa Tullamarine, Melbourne selepas lebih kurang tujuh jam dan empat puluh lima minit perjalanan. Suhu ketika kami tiba adalah pada tahap 9° celcius. Kami menunaikan solat subuh di bilik ibadat yang lengkap dengan tempat berwudhu di lapangan terbang. Bilik ibadat ini hanya satu dan berkongsi di anatara lelaki dan perempuan dengan saiz bilik yang tidak begitu besar.

Syukur kali ini beg makanan kami langsung tidak diperiksa walaupun kami telah mengisytiharkan membawa ubatan dan makanan. Australia dikatakan negara yang mempunyai pemeriksaan kastam paling ketat di dunia termasuk perihal makanan dan ubat-ubatan. Sementara menunggu pejabat kereta sewa yang telah kami tempah dari Malaysia dibuka pada jam 8.00 pagi, kami berehat di ruang menunggu domestik sambil menghirup coklat panas dan jus buah sekadar untuk meredakan keletihan anak-anak. Mujur di dalam lapangan terbang dipasang pemanas, rasa sejuk tidaklah begitu terasa. Sebaik sahaja keluar daripada lapangan terbang untuk menunggu kereta sewa, udara dingin sudah mula terasa dan bercakap pun sudah keluar asap di mulut.
Kami menyewa sebuah MPV melalui syarikat Apex Car Rental (http://www.apexrentacar.com.au/). Kadar sewanya merupakan kadar termurah berbanding dengan syarikat kereta sewa yang lain. Kami menerima sebuah MPV Kia Carnival yang luas dan selesa, sesuai dengan keluarga dengan anak-anak yang meriah seperti kami. Kemudahan baby seat dan GPS juga turut disediakan. Satu kekurangan kereta ini ialah ia tidak mempunyai reverse sensor. Jadi apabila membuat reverse, perlu lebih berhati-hati supaya tidak terlanggar apa-apa di belakang.

Contoh MPV yang disewa dengan Apex Car Rental.


Memandangkan kami hanya boleh check-in ke homestay yang telah ditempah dari Malaysia pada petang hari, kami mengambil keputusan untuk melawat beberapa suburb yang terdapat komuniti Muslim supaya mudah untuk mencari makanan halal. Kehidupan di sini santai dan tenang. Sepanjang perjalanan kami melewati beberapa suburb seperti Broadmeadows, Dallas, Preston, Coburg dan Springvale, masyarakat Muslim dan kedai makanan halal terlihat di mana-mana.


Kami sempat melawat dari luar sebuah sekolah Islam di daerah Dallas, Ilim College. Sekolah yang luas, cantik dan kemudahan yang sangat baik. Selepas penat meronda, kami singgah di deretan kedai di daerah yang sama untuk mebeli kebab halal dan minuman ringan. Tuan suami juga membeli sedikit keperluan makanan di salah satu pasaraya kegemarannya sejak dulu, Coles dan bersungguh-sungguh menyatakan betapa besar kuasa beli pengguna di sini kerana harga yang rendah. Selain Coles, terdapat beberapa pasaraya lain yang turut dikunjungi ramai seperti Woolworth, Aldi dan IGA.

Kami menginap di An Naim Homestay yang sangat selesa, kepunyaan sahabat yang saya kenal di alam maya, Puan Mazni Eddie Kadir. Walaupun tidak pernah bersua, kemurniaan hatinya tetap saya kenang sampai bila-bila. InsyaAllah kisah mengenai penginapan di sini akan saya kongsikan dalam satu tajuk khas.

Thursday, May 21, 2015

Langkah-langkah Sebelum Berhijrah

Membuat keputusan untuk berhijrah ke negara orang bukanlah satu perkara yang mudah untuk dilaksanakan. Ianya akan melalui satu perjalanan yang beralun-alun diikuti dengan semangat yang juga turun dan naik. Kalau ditanya secara rambang, memang ramai yang berangan-angan untuk berhijrah ke negara orang yang dilihat pada pandangan mata mungkin lebih baik daripada negara sendiri. Namun, pandangan hati itu lebih utama dan hanya dapat dirasakan apabila kita berbalik kepada agama dalam menentukan halatuju hijrah itu.

Sumber: http://miriadna.com/preview/countryside-splendor-(france)
Adakah berhijrah ke luar negara itu menandakan kita tidak patriotik? Pada pandangan peribadi saya, patriotik bukanlah diukur semata-mata kerana kita mencurahkan khidmat bakti di dalam negara sahaja. Meluaskan pandangan ke negara orang dengan hasrat untuk kembali berbakti kepada negara sendiri adalah juga patriotik kerana tidak semua orang sanggup berhijrah demi menjadikan negara asalnya lebih baik pada masa depan.

Memang tidak dapat dinafikan, keadaan haru biru dan politik yang tidak stabil di dalam negara juga menjadi satu penyumbang terbesar dalam penghijrahan ramai professional dan individu-individu berbakat ke luar negara. Inilah akibatnya jika barisan pemimpin sesuatu negara mengutamakan kepentingan pangkat dan kuasa melebihi rasa kasih dan ingin berbakti kepada rakyat. Justeru dalam keadaan demikian, definisi patriotik itu tidaklah tertakluk semata-mata kepada rakyat harus tetap di negaranya sendiri sebagai lambang cinta sejatinya kepada tanah air. Bertebaranlah di muka bumi ini kerana dunia ini Allah jadikan untuk dinikmati dan kita berbakti sebagai khalifah di dalamnya.

Antara perjalanan yang perlu dilalui bagi memastikan penghijrahan itu membawa kebaikan kepada keluarga dan agama adalah:

1. Tetapkan niat penghijrahan itu yang utama adalah kerana Allah, bukan kerana ingin pendapatan yang banyak, menikmati empat musim yang indah atau kerana ingin merasai kemudahan infrastruktur yang terbaik semata-mata. Bila Allah diletakkan di tempat paling atas, maka pecahan-pecahan lain di bawahnya akan merujuk kepada panduan yang teratas.

2. Pilih negara yang paling sesuai dengan jiwa anda dan keluarga. Setiap orang mempunyai pilihan dan pandangan yang berbeza tentang negara yang ingin didiami. Ada yang berhasrat untuk berhijrah ke negara Timur Tengah dengan hasrat lebih mudah untuk melaksanakan ibadah umrah dan haji. Ada juga yang ingin ke Australia atau New Zealand kerana lebih dekat dengan Malaysia. Namun, yang lebih berani, berhijrah ke negara yang bukan berbahasa Inggeris seperti Jerman, Perancis dan Turki. Setiap orang ada alasan sendiri atas pilihannya.

Antara perkara utama yang perlu diteliti ialah berkaitan pendidikan anak-anak dah tempat kediaman. Sebaik-baiknya, hantar anak ke sekolah Islam jika anda seorang Muslim bagi memastikan pegangan dan amalan sebagai seorang Muslim sentiasa diterapkan dalam diri anak-anak. Carilah kediaman yang berdekatan dengan masjid supaya anda senang beribadah dan lebih mudah meluangkan masa dengan aktiviti kemasyarakatan dan pengajian ilmu agama. Makanan halal juga mudah didapati jika tinggal di kawasan yang berdekatan dengan masjid.

3. Semak prosedur dan pilihan visa untuk menetap di negara pilihan anda melalui laman web imigresen negara tersebut. Ada sesetengah negara yang mengeluarkan visa Penduduk Tetap melalui Skill Migration (kemahiran professional) seperti New Zealand, Canada dan Australia. Melalui visa ini, anda boleh memohon visa terlebih dahulu sebelum mendapat pekerjaan. Visa ini adalah bersifat tetap dan tiada tarikh akhir. Anda hanya perlu memperbaharui visa setiap lima tahun tetapi tidak perlu memohon semula.

Ada juga negara yang hanya membenarkan Working Visa yang ditaja oleh majikan sahaja seperti di kebanyakan negara di Timur Tengah dan Eropah. Untuk visa ini, anda harus mencari sendiri penaja yang sudi memberi pekerjaan dan menaja visa anda untuk menetap di negara tersebut. Visa ini bersifat sementara dan dalam tempoh tertentu sahaja. Apabila tarikh visa tamat, anda harus memohon semula visa yang baru.

4. Membuat pelan bajet kewangan yang diperlukan. Antara perbelanjaan yang diperlukan sekiranya anda memohon visa Penduduk Tetap melalui Skill Migration adalah keperluan-keperluan bagi memenuhi syarat mendapatkan visa seperti peperiksaan Bahasa Inggeris, pengesahan kemahiran melalui badan-badan tertentu, pemeriksaan kesihatan, yuran visa, kos perpindahan dan modal awal untuk memulakan kehidupan baru di sana.

Manakala bagi Working Visa, kosnya mungkin lebih jimat kerana anda ditaja. Namun begitu, peluang adalah agak tipis dan kebanyakan syarikat juga hanya menaja visa untuk pekerja sahaja tanpa boleh membawa bersama keluarga tersayang.

5. Buat solat istikharah dan mohon petunjuk dari Allah supaya memberi ilham apa yang terbaik untuk anda sekeluarga. Apabila telah mendapat ilham, bulatkan tekad dan teruskan perjuangan anda melalui setiap keperluan yang ditetapkan sebelum anda berjaya mencapai salah satu impian terbesar dalam hidup anda sekeluarga..

Tuesday, May 12, 2015

Ucapan Hari Ibu Oleh Anak-anak

Semasa zaman kanak-kanak, saya tidak pernah menyambut sambutan hari ibu. Di rumah, emak tidak pernah menyebut dan di sekolah, cikgu juga tidak pernah beritahu. Berbeza sekali dengan anak-anak zaman ini. Atas faktor kepantasan dan kemudahan teknologi, pelbagai maklumat diterima oleh anak-anak dengan mudah. Bukan sahaja anak-anak tahu mengenai sambutan hari ibu di telivisyen, malahan di sekolah juga mereka turut diingatkan guru dan kadang-kadang siap menulis kad dan hadiah untuk ibu atas bimbingan guru-guru sekolah.

Begitulah juga dengan anak-anak saya di rumah. Setiap kali sambutan hari ibu dan hari bapa, masing-masing sibuk mencari kertas warna, water color, crayon, gunting dan gam untuk membuat kad. Kadang-kadang minta duit dari ummi dan ayah untuk beli hadiah hari ibu dan bapa.


Tahun ini merupakan tahun pertama Aleesya Nour bersekolah secara rasmi di tadika. Nampaknya dia juga sudah ada idea mengenai hari ibu. Dia sudah menulis kad hari ibu di sekolah dan sebaik sahaja saya sampai di muka pintu sekolah untuk menjemputnya, dia sudah cakap kuat-kuat, "Ummi, tadi Aleesya Nour ada buat kad untuk ummi. Ummi nak tengok tak?". Bila kad diserahkan, dia berkata-kata lagi, "Aleesya Nour sayang ummi, cikgu kata kena peluk ummi...", :-)

Manakala Ariff Najmuddin, anak sulung yang agak matang bukan saja pada susuk tubuhnya, malah pada sikapnya sebagai abang sulung pula menyambut dengan cara yang berbeza. Dia memang rajin membantu saya membuat kerja-kerja rumah tetapi pada hari ibu, hampir setiap masa dia akan bertanya apa lagi yang boleh dia bantu sempena hari ibu... Bila ada kerjanya, dia mengajak adik-adik yang besar sedikit, Akeef Nu'man dan Adreana Najla untuk sama-sama membantu. Ayahnya pula senyum sahaja sambil memuji-muji anak-anak yang terlebih rajin hari itu.

Maka, pada setiap kali hari ibu dan bapa, penuhlah di luar peti ais dengan lekatan kad-kad ucapan selamat hari ibu daripada anak-anak. Alhamdulillah, ummi dan ayah pun sayang semua anak-anak ummi dan ayah. Kami doakan semuanya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah...


Friday, March 13, 2015

Pengalaman Membeli Rumah Pertama

Pengalaman pertama kali saya dan suami membeli rumah adalah pada tahun 2006, setelah lebih kurang tiga tahun bekerja dan dua tahun mendirikan rumah tangga. Pada masa itu, harga rumah memang jauh lebih murah daripada apa yang ada sekarang. Harga sebuah rumah teres dua tingkat standard (20 x 70) intermediate di Bandar Baru Bangi adalah di antara RM180,000 - RM190,000. Masa itu terasa agak mahal kerana pendapatan dan simpanan pun tidak banyak, kelayakan pinjaman kerajaan hanya maksimum RM160,000 untuk saya dan ilmu hartanah juga kurang. Jika saya tahu harga rumah mencanak-canak naik selepas itu atau ada ilmu berkenaan hartanah pada ketika itu, sudah tentu saya terus membeli tanpa berfikir terlalu lama.

Sumber: http://www.faridadam.com
Setelah melahirkan dua orang anak pada tahun 2006, saya dan suami berhasrat untuk memiliki rumah sendiri. Kami membuat survey ke kawasan sekitar Bandar Baru Bangi, Bangi Lama dan Kajang untuk mencari rumah pilihan. Masa itu, hasrat hati ingin mencari rumah yang tidak jauh dengan Putrajaya supaya dekat jarak rumah dan tempat kerja. Akhirnya, kami memilih untuk membeli rumah setingkat, bukaan 22 x 70 di Desa Saujana, Sungai Merab, tidak sampai 1km pun dari Putrajaya. Harganya ketika itu RM165,000 bagi rumah yang tidak mengadap rumah orang lain.

Memandangkan kelayakan pinjaman dengan pinjaman kerajaan maksimum untuk saya hanyalah RM160,000, kami mengambil keputusan untuk membeli rumah tersebut dengan alasan sukar untuk mendapatkan rumah teres setingkat yang dalam pembinaan. Baki RM5000 kami tambah simpanan sendiri. Jika anda mempunyai akaun KWSP, anda layak untuk memohon pengeluaran wang daripada akaun dua bagi menapung kos pembelian rumah pertama dan ke dua. Bagi pembayaran urusan rumah yang ke dua, anda hanya layak sekiranya rumah pertama telah dijual.

Pinjaman perumahan kerajaan membolehkan saya mendapat pinjaman 100%. Jika pinjaman melalui bank, bagi rumah pertama dan ke dua, 10% daripada harga rumah perlulah disediakan secara tunai memandangkan bank hanya memberi pinjaman sebanyak 90% sahaja. Selain daripada itu, kami perlu menyediakan wang bagi bayaran urusan guaman berdasarkan harga rumah yang dibeli. Jika mengambil pinjaman bank, wang guaman perlu disediakan untuk bayaran guaman urusan menjual rumah dan juga kepada pihak bank. Membeli rumah memang perlu ada wang tunai yang agak banyak bagi pelbagai urusan. Lebih tinggi harga rumah, maka lebih tinggilah keperluan tunai tersebut. Urusannya juga agak menyerabutkan lebih-lebih lagi jika beli rumah second hand atau subsale kerana lebih banyak semakan dan serahan perlu dibuat. Tetapi insyaAllah semuanya berbaloi...

Alhamdulillah setelah mengharungi pelbagai cabaran dalam urusan pembelian rumah pertama, akhirnya rumah siap pada pertengahan tahun 2009, lewat setahun daripada tarikh yang sepatutnya. Mujurlah boleh buat tuntutan denda LED daripada tribunal. Disebabkan kami telah menduduki kuaters ketika itu, kami membuat keputusan untuk menyewakan rumah itu kepada salah seorang adik atau sahabat sepejabat saya. Alhamdulillah, dia seorang penyewa yang baik dan tidak berkira. Sehingga sekarang, dialah penyewa setia rumah itu daripada awal berkahwin sehingga anak dua. Dia juga sudah membeli rumah fasa baru di dalam taman yang sama tetapi masih lagi dalam proses akhir siap.

Thursday, February 26, 2015

Memilih Sekolah Terbaik Untuk Anak-anak (Sekolah Agama Integrasi)

Setiap ibu bapa sentiasa mengimpikan untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak daripada segala segi daripada pakaian, makanan, asuhan, pendidikan dan sebagainya. Definisi sekolah yang terbaik adalah subjektif pada setiap ibu bapa mengikut kehendak dan impian hidup masing-masing. Setiap ibu bapa seharusnya sudah mula merancang masa hadapan anak-anak walaupun anak-anak masih bayi. Pemilihan sekolah yang paling sesuai untuk anak kebiasaannya adalah berdasarkan rancangan ibu bapa yang melihat kehidupan anak-anaknya pada jangka masa panjang. Ada juga ibu bapa yang memilih untuk mendidik anak-anak secara homeschool dan mungkin itulah yang lebih baik daripada silibus akademik biasa di sekolah namun persediaan dan kecekalan ibu bapa yang memilih cara itu bukanlah sesuatu yang harus diambil ringan kerana pendidikan anak-anak bukan semata-mata menjurus kepada akademik sahaja tetapi juga melatih sosial, emosi dan kemahiran-kemahiran soft skill anak-anak. Setiap pilihan ada kelebihan dan kekurangannya yang boleh diatasi.
Sumber: https://www.flickr.com/photos/mzaidi_dot_com

Kali ini saya ingin berkongsi berkenaan sekolah rendah berasaskan Islam yang menjadi rebutan di kalangan ibu bapa di sekitar Kajang/ Bangi. Berbanding dengan pada zaman kanak-kanak saya dahulu, kini terdapat lebih banyak pilihan sekolah integrasi (akademik biasa dan agama) swasta mahu pun kerajaan. Setelah melihat kepada betapa pentingnya mengutamakan pendidikan akhirat kepada anak-anak dan masalah sosial yang melanda generasi muda masa kini, ibu bapa sudah tidak berkira untuk menyediakan pelaburan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak demi masa depan yang lebih baik di dunia dan akhirat. Ibu bapa bijak lebih sanggup menyediakan pendapatannya untuk pendidikan terbaik dunia dan akhirat buat anak-anak berbanding memilih untuk membeli kereta mahal, pakaian dan kasut berjenama atau pun makan mewah di luar menjadi kebiasaan. InsyaAllah pelaburan ini lebih berbaloi daripada meleburkan duit untuk material dan keduniaan semata-mata. Namun jika sekolah kebangsaan atau sekolah-sekolah lain menjadi pilihan, insyaAllah itu jualah yang terbaik untuk anak-anak.

Antara sekolah integrasi terbaik dan popular di kawasan Bangi/ Kajang adalah seperti berikut:

1. Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Bandar Baru Bangi

Sekolah ini merupakan sekolah rendah di bawah pengawasan dan kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Terdapat beberapa SRAI yang lain di beberapa daerah lain di negeri Selangor. Kedudukannya terletak bersebelahan dengan Balai Polis Bandar Baru Bangi, kira-kira 10 minit daripada Putrajaya melalui gate Sg Merab.

Yurannya adalah yang paling minimum di antara lain-lain sekolah seumpamanya disebabkan ia mendapat peruntukan daripada JAIS. Kebiasaannya, borang permohonan akan dibuka pada bulan Februari atau Mac setiap tahun bagi kemasukan tahun satu tahun berikutnya. Ibu bapa perlu sentiasa alert dengan menyemak laman web kerana waktu permohonan sangat terhad dan sebarang permohonan selepas daripada tarikh tutup tidak akan dilayan. Ujian kemasukan kebiasaannya dijalankan antara bulan Jun atau Julai setiap tahun. 

Laman web sekolah boleh dicapai di SINI.

2. Sekolah Rendah Islam Al-Amin

Sekolah Rendah dan Menengah Sri Al-Amin Bangi merupakan salah sebuah sekolah di bawah Rangkaian IKRAM Musleh iaitu sebuah organisasi yang menggabungkan semua sekolah-sekolah IKRAM satu Malaysia.  Sekolah ini terletak tidak jauh dari Stesen Komuter UKM di Sg Tangkas. Jalan di situ agak sesak dan ibu bapa perlu menghantar anak-anak lebih awal untuk mengelakkan kelewatan. Tempoh masa ke sekolah ini daripada Putrajaya adalah antara 20 - 30 minit.

Yuran pengajian adalah berpatutan bagi sekolah intergrasi swasta yang menyediakan pendidikan terbaik di samping makan minum buat pelajar. Permohonan boleh dikemukakan ketika anak berusia enam tahun dan kebiasaannya, borang akan diedarkan sekitar Februari atau Mac dan peperiksaan kemasukan adalah antara Jun atau Julai setiap tahun.  Selain daripada ujian kemasukan, syarat untuk mendapat tempat di sekolah ini adalah temuduga pihak sekolah dengan ibu bapa dan kursus khas yang akan diadakan pada waktu tertentu. Anak-anak yang melepasi kesemua kriteria yang disebutkan sahaja yang akan diterima untuk untuk belajar di sini.

Laman web sekolah boleh dicapai di SINI.

3. Sekolah Rendah Islam ABIM, Sg. Ramal

Sekolah ini adalah di bawah inisiatif Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Sewaktu saya masih kecil, inilah satu-satunya sekolah agama integrasi yang ada di sekitar Kajang dan Bangi. Waktu itu, anak-anak yang dihantar ke sekolah ini adalah daripada keluarga yang berkemampuan. Saya mengenali beberapa orang kawan-kawan yang bersekolah di situ dan  sahsiah dan kematangan mereka agak jauh berbeza dengan anak-anak di sekolah kebangsaan seperti kami. Sejak daripada itu, saya berazam akan menghantar anak-anak ke sekolah ini satu hari nanti. Sekiranya keadaan trafik lancar, tempoh ke sekolah ini daripada Putrajaya adalah selama 10 - 15 minit.

Yuran pengajiannya tidak jauh berbeza dengan sekolah agama integrasi lain seperti Al-Amin dan Sri Ayesha. Permohonan dan ujian kemasukan juga tidak lari dengan masa dan tempoh sekolah agama integrasi lain.

Laman web sekolah boleh dilihat di SINI.

4. Sekolah Rendah Sri Ayesha

Sekolah ini agak berbeza daripada sekolah agama integrasi yang di atas kerana menggunakan konsep montessori dan bahasa pengantar yang digunakan adalah Bahasa Inggeris. Ia terletak salah sebuah rumah kedai di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Berdasarkan pembacaan saya, sekolah akan dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai apabila bangunan sekolah siap kelak.

Laman web sekolah boleh dilihat di SINI.

5. Adni Bangi

Sekolah ini baru sahaja dilancarkan pada tahun 2015 dan menerima kemasukan tahun satu dan dua sahaja pada tahun ini. Sekolah ini juga menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Ianya terletak di Kg Dato' Abu Bakar Baginda, kira-kira tak sampai lima minit ke Putrajaya melalui gate Sg Merab.

Laman facebook sekolah boleh dicapai di SINI.


Bagi ibu bapa yang berhasrat menghantar anak-anak ke sekolah agama intergrasi di sekitar Kajang atau Bangi, boleh menyemak laman web sekolah bagi mengenalpasti silibus dan keseuaian pendidikan yang disediakan. Jangan lupa melawat sekolah secara live bagi melihat sendiri persekitaran sekolah dan jarak antara sekolah dan rumah. Suka saya ingatkan bahawa kebanyakan sekolah agama integrasi ini berdiri sendiri tanpa bantuan wang kerajaan pusat. Keadaaannya mungkin tidak seindah sekolah kebangsaan biasa tetapi jiwa dan roh di sini sangat berbeza auranya dengan sekolah-sekolah biasa. Jika tidak percaya, cubalah lawati mana-mana sekolah di atas pada waktu persekolahan dan pergi juga ke sekolah kebangsaan biasa untuk melihat apakah aura yang saya maksudkan. InsyaAllah, tuan puan akan merasainya, di mata dan di hati...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...