Followers

Tuesday, November 15, 2016

Kejutan Berhijrah Ke Negara Orang

Sukar sekali mendapat mood dan masa untuk rajin-rajin menulis di blog. Kadang-kadang masa ada, tapi idea dan semangat tiada. Bukan senang mahu menulis jika tiada disiplin dan semangat yang tinggi rupanya. 


Malam tadi merupakan malam bersejarah di seluruh dunia dengan kejadian Super Moon yang jarang sekali berlaku. Keadaan ini di mana bulan berada pada jarak paling dekat dengan bumi dan kelihatan lebih besar daripada biasa. Jika terlepas melihatnya pada malam atau pagi tadi, kejadian yang sama dikatakan hanya akan berulang 18 tahun lagi, pada 2034. Hajat nak melihat bulan pada malam tadi tapi tidak muncul-muncul hingga anak-anak pun sudah mengantuk dan tertidur. Hanya pada pagi ini dapat melihat bulan penuh selepas tuan suami memberitahu bila dia pulang dari masjid lebih kurang jam 5.50 pagi. Sempat juga tangkap sekeping dua gambar sebagai kenangan. Sekarang waktu Subuh masuk pada jam 4.30 pagi. Maka jam 6.00 pagi, matahari sudah naik dan suasana di luar pun sudah cerah.

Sebagai panduan bersama untuk sahabat-sahabat yang bakal memulakan hidup baru di negara orang atas pelbagai urusan sama ada bekerja, belajar atau berhijrah terus, suka saya kongsikan beberapa perkara yang mungkin akan memberi kesan perasaan dan pemikiran kita yang sudah terbiasa dengan budaya dan suasana di Malaysia. InsyaAllah jika kita bersikap positif, terbuka dan berlapang dada, maka lebih mudahlah kita menyesuaikan diri dengan susana baru di tempat orang. Semoga bermanfaat.

1. Makan Minum.
Soal makan minum adalah perkara utama yang mungkin menjadi kejutan pada kebanyakan orang lebih-lebih lagi kaum dan budaya di negara baru jauh berbeza dengan di tempat asal. Masa mula-mula datang ke Australia pada 2010, saya sekeluarga juga berasa agak perit kerana sudah terbiasa begitu mudah membeli juadah makanan Malaysia seperti roti canai, ayam percik, nasi lemak, goreng pisang dan sebagainya. Di sini bukan tidak ada tetapi tempatnya agak terhad dah harga juga sudah tentu jauh lebih tinggi berbanding di Malaysia, maklumlah, makanan luar negara. Lebih-lebih lagi masa itu kami dalam kategori pelajar, sumber kewangan juga sangat terhad. 

Namun alhamdulillah, bahan-bahan mentah untuk menghasilkan makanan mengikut selera kita amat berpatutan harganya. Jadi, untuk melepaskan rindu, memasak sendiri adalah alternatif yang paling baik. Di samping dapat makan makanan yang kena dengan selera, dapat juga mengasah kemahiran memasak yang terpendam sekian lama.

2. Rumah Sewa
Menyewa rumah di negara asing kebanyakannya berbeza-beza mengikut undang-undang tempatan berbanding dengan di Malaysia. Di kebanyakan negara maju, rumah sewa adalah dipohon melalui agen yang yang sah. Wang deposit dan rekod kredit yang baik juga adalah antara kriteria yang membantu kita untuk berjaya mendapat rumah sewa yang diidamkan.

3. Rekabentuk Rumah
Rekabentuk rumah di negara luar juga kebanyakannya berbeza daripada di Malaysia. Secara peribadi, saya lebih suka dengan rekabentuk rumah moden di Australia. Rumah tidaklah terlalu besar, tetapi sangat mesra keluarga, cantik dan mudah diurus. Rumah di sini garajnya bersambung dengan bangunan rumah utama. Daripada dalam garaj, boleh terus akses ke dalam rumah tanpa perlu melalui kawasan luar rumah. Garaj juga dibuka secara automatik dengan remote control, sangat menarik.

Rekaan dalaman rumah juga sangat mudah dijaga dan berdekatan antara satu dengan lain. Rumah siap yang dijual di sini biasa partly furnished di mana sebahagian perabot utama seperti kabinet daput, almari bilik, dapur memasak, almari laundry dan perabot di tandas dan bilik air semuanya sudah lengkap. Begitu juga segala lampu dan heater sudah disiapkan. Pengalaman saya membeli rumah di Malaysia, sebaik sahaja dapat kunci rumah, masih banyak yang perlu diubahsuai dan ditambah baik contohnya memasang gril, kabinet dapur, lampu, kipas dan sebagainya.

4. Kepelbagaian Kepercayaan, Budaya dan Agama
Hal ini memerlukan kita untuk lebih terbuka terhadap kepercayaan dan pegangan orang lain yang berbilang bangsa dan latar belakang di Australia. Perbezaan di sini bukan sahaja daripada segi agama dan bangsa, malahan juga meliputi cara hidup seperti free thinker, LGBT, Syiah dan sebagainya. Walaupun mungkin beberapa perkara yang bertentangan dengan norma dan kepercayaan kita, menjaga keharmonian dan keamanan dalam hidup bermasyarakat lebih diutamakan di sini. Jika tiada kaitan dan tidak mengganggu kehidupan kita, tidak perlu masuk campur dalam urusan mereka yang mempunyai pegangan hidup yang berbeza dengan kita dan bergaullah dengan baik dengan mereka tanpa menyentuh isu peribadi. Namun jika ada peluang untuk berdakwah tentang keindahan Islam kepada mereka, itu adalah sebaik-baiknya.

5. Pelaksanaan Ibadah Dalam Islam Yang Berbeza
Di Australia, penganut Islam terdiri daripada pengikut pebagai mazhab. Cara mereka beribadah, bacaan dan upacara juga agak berbeza seperti kebiasaaan di Malaysia. Tiada istighfar, tasbih dan doa selepas solat, tiada majlis maulid Nabi malahan bacaan sebelum dan dalam solat juga sebahagiannya berbeza termasuk  iqamat dan doa qunut. Bukan itu sahaja, penentuan tarikh-tarikh penting seperti 1 Ramadhan, 1 Syawal, 10 Muharram dan sebaginya juga ada pelbagai versi. Saya dan keluarga biasanya mengikut pengunguman rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Australia.

6. Berbudi Bahasa dan Kesedaran Sivik Yang Tinggi
Adalah menjadi perkara biasa apabila kita disapa ucapan selamat dan bertanya khabar di sini apabila ingin membayar di kaunter atau apabila berurusan di mana-mana sahaja. Pengguna jalan raya di sini juga sangat berhemah dan undang-undang jalan raya dipatuhi dengan baik oleh semua pengguna jalan raya. Begitu juga tahap kebersihan, disiplin dan budaya kelas pertama mereka patut menjadi contoh oleh masyarakat kita di Malaysia.

7. Tidak Boleh Membuat Bising atau Memberi Gangguan Kepada Jiran
Suasana damai dan tenteram dapat dilihat di kebanyakan kawasan perumahan di sini. Adalah menjadi kesalahan sekiranya kita membuat bunyi bising walaupun di dalam rumah sendiri sehingga mengganggu jiran tetangga apatah lagi selepas jam 10 malam. Di Malaysia, saya banyak mendengar keluhan rakan-rakan tentang ketidakselesaan yang mereka hadapi dengan bunyi bising ketika jiran mengubahsuai rumah, bermain mercun sesuka hati, membunyikan hon dan enjin motosikal dengan kuat dan sebagainya. Jika kejadian seperti itu berlaku di sini, sudah lama Pak Polisi datang mengetuk pintu rumah dan silap-silap boleh dikenakan saman dan denda membuat kerja-kerja sosial.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...