![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhDxuBvmJjPJAdp4eBZnXEPVfKmvPVdkTQoi9emNxtPWvCfYB9j7_V_TppaqPj15ZKDILMkPtAobFTTY0hJV0GR8kbxA079VHQRPMwH314Dk3kq_ovLTMDf0r1F8EYnUNmrB_U8/s320/board.jpg)
Kereta kami yang sudah berusia lebih 10 tahun itu adalah sangat berisiko untuk dibawa berjalan jauh. Kami menempah sewaan kereta Toyota Corolla secara online untuk lapan hari memandangkan kereta itu antara yang paling sesuai dengan muatan kami dan bajet yang ada. Tiba masa ambil kereta, dapat pulak kereta Mitsubishi Lancer yang tak pernah saya dengar dan naiki semasa di Malaysia. Kereta ni kalau diikutkan memang mempunyai fungsi yang lebih baik utnuk perjalanan jauh berbanding dengan Toyota Corolla tetapi kekurangannya adalah ruang muatan barang yang agak terhad berbanding dengan kapasiti barang yang perlu kami bawa. Maklumlah, saya memang jenis yang kalau boleh semua benda nak bawak kerana memikirkan pelbagai kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Tapi bila sudah bonet kereta tidak mengizinkan, terpaksalah mengurangkan sedikit apa yang boleh dibawa.
Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 4.30 pagi. Kira-kira sejam setengah kemudian, kami berhenti di Ballina, New South Wales untuk menunaikan solat Subuh. Jenuh juga mencari tempat berhenti yang sesuai. Maklumlah, tak biasa berjalan jauh di tempat orang. Jika di Malaysia, nak berhenti solat boleh singgah di mana-mana R&R atau masjid yang banyak di sepanjang jalan. Keadaan yang tidak sama di negara orang membuatkan kami lebih menghargai kepentingan solat di samping perlu mempraktikkan keadaan bersolat yang berbeza semasa di negara sendiri. Memandangkan hujan renyai-renyai di luar, kami hanya bersolat secara duduk di dalam kereta dengan meng'adjust' kereta mengadap kiblat. Setelah selesai, perjalanan diteruskan selama 10 jam lagi dan kami berhenti tiga kali selepas itu untuk makan bekalan nasi lemak yang dah dibawa di samping meregangkan otot-otot. Tempat perhentian biasanya di mana-mana rest area atau picnic area yang bayak terdapat di sepanjang jalan di Australia. Bekalan makanan yang telah saya sediakan sejak malam sebelum bertolak di samping makanan-makanan kering lain seperti biskut, keropok dan coklat adalah sangat penting jika ada anak-anak kecil yang tengah kuat makan seperti anak-anak kami. Setiap setengah jam, ada saja benda yang diminta untuk dikunyah melainkan masa mereka tidur. Alhamdulillah akhirnya kami selamat tiba di rumah Encik Imran, Pegawai Penasihat Latihan Australia di Kensington, Sydney yang sudi menumpangkan kami bermalam pada jam lapan malam.
Jalan-jalan hari pertama bermula dengan berjalan kaki ke bus stop di Todman Avenue. Hari Ahad merupakan Family Funday Sunday di Sydney. Beli tiket berharga AUD2.50 untuk seorang orang dewasa dan kanak-kanak lima tahun dan ke atas, boleh naik semua jenis kenderaan awam seperti bas, feri dan train untuk berjalan-jalan di sekitar Sydney. Sungguh menjimatkan! Itulah kali pertama saya dan anak-anak menaiki bas setelah tidak pernah lagi menjejak tangga bas apabila bergelar isteri enam tahun lalu. Destinasi pertama kami adalah Paddy's Market yang terletak di tenagh-tengah bandar Sydney. Di sini terdapat banyak cenderamata Sydney dan Australia yang dijual dengan harga yang sangat berpatutan. Kebanyakannya adalah buatan China, sebab itulah ianya boleh dijual dengan harga yang rendah. Kalau buatan Australia, harganya agak tinggi sedikit. Saya hanya membeli beberapa cenderamata yang ada tulisan Sydney. Sebelum berjalan, adik-adik undergrad sudah berpesan supaya jangan banyak bershopping barang cenderamata semasa di Sydney. Harga cenderamata yang dijual di Melbourne jauh lebih murah dan banyak pilihan berbanding di Sydney. Jadi, saya mengikut pesanan adik-adik tersayang ini memandangkan kami merancang untuk ke Melbourne juga satu hari nanti jika ada rezeki.
Berjalan bersama-sama anak-anak kecil ni memanglah sangat mencabar sebab perlu melayan karenah yang bermacam-macam terutama dari Najla yang paling bongsu setakat ini dan paling manja dan kuat merajuk. Kami tiba ke destinasi ke dua di Circular Quay Ferry Terminal yang terletak berhampiran dengan pelbagai tempat-tempat menarik di Sydney seperti Sydney Opera House, Royal Botanical Garden dan Sydney Harbour Bridge. Kami menaiki feri dari Circular Quay ke Balmain/ Woolwich untuk menikmati keindahan bandar Sydney yang tidak seharusnya di lepaskan apabila melawat Sydney. Feri yang kami naiki melalui bawah Sydney Harbour Bridge, menjadikannya satu perjalanan yang sungguh simbolik. Perjalanan feri yang mengambil masa hampir 40 minit pergi dan kembali itu melaui beberapa perhentian yang sangat menarik dan pemandangan yang mengasyikkan seperti Milsons Point / Luna Park, McMahons Point, Balmain East, Balmain, Birchgrove, Balmain West, Birkenhead, Greenwich Point, Cockatoo Island, Drummoyne, dan Woolwich. Subhanallah! Terasa begitu agungnya kebesaran Allah melihat keindahan dan kehebatan ciptaannya yang tidak terluah dengan kata-kata.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjpd95RSsmHsSAiYr7l0y-c16llnDErByGJ4uJ1PubbJM6WGsIg9-rc8TMPm4FE98JV7jpLT8bZRvKy9qw-YLOTGire22CPZ9bUGkFnjkmqDrEmivCj46Hi8FZ5RpXNNmvwq58T/s320/opera.jpg)
Tempat lawatan pada hari ke dua adalah ke Blue Mountain yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dengan menaiki train dari Central Station, Sydney ke Katoomba Station. Keunikan keretapi di Sydney adalah keretapi dua tingkatnya. Kami tidak melepaskan peluang untuk duduk di tingkat atas. Tiba di Katoomba, kami menaiki Blue Mountain Explorer Bus untuk meronda ke tempat-tempat menarik di Blue Mountain. Sebenarnya memang banyak tempat-tempat yang boleh dilawati di Blue Mountain tetapi kami hanya berkesempatan pergi ke empat tempat sahaja memandangkan banyak masa dihabiskan dengan melayan anak-anak emas kami di samping perkhidmatan bas hanya sehingga jam 4.30 petang sahaja. Kami berpeluang ke Echo Point, the Three Sisters, Scenic World dan pekan Leura. Menaiki SkyWay untuk melihat pemandangan yang sangat menakjubkan di Echo Point juga tidak kami lepaskan. Rup-rupanya memang seronok pergi bercuti bila ada peluang begini. Semasa di Malaysia, kami hanya sibuk bekerja dan cuti hanya dihabiskan untuk pulang ke kampung halaman menziarahi keluarga kerana itu adalah yang lebih utama. Mungkin bila kembali ke Malaysia, kami perlu pergi bercuti bersama-sama dengan keluarga terdekat dengan lebih kerap.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgmLKRWGeBvxeQAhs8IDRGCiqkm9fWJFHMXeZWG5bdp5ITJcvqoRppHxMzDOp6FVsTLUnqFTivgi0W0dZ3pS2WWrTANSg6XzLnVoW4Umgg1VvwuYPIcGl84KalGaa9acAoZLzBN/s320/37589_406060549753_631929753_4180729_5280545_n.jpg)
No comments:
Post a Comment