Followers

Friday, August 27, 2010

Ramadhan Nan Indah

Sudah sebulan tidak berkesempatan mengemaskini blog. Nak kata sibuk sangat, tidaklah jugak tapi mungkin kerana feel untuk menulis tu tidak muncul. Alhamdulillah hari ini sudah masuk hari ke 16 kami berpuasa di negara Kanggaroo. Syukur masih diberi kekuatan oleh Allah menjalankan ibadah dan menambah amalan dalam bulan hanya datang sekali sepanjang tahun. Semestinya keistimewaan bulan ini tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja. Mungkin caranya sahaja yang berbeza kerana di sini tidak ada rumah anak-anak yatim dan tidak banyak pilihan masjid dan surau untuk beribadah seperti di Malaysia. Sudah tinggal di negara orang, makanya beramal juga mengikut kesesuaian di negara orang mengikut kemampuan diri. Nampaknya setakat ini hanya berpeluang menunaikan tarawikh di MSA UQ pada minggu pertama Ramadhan sahaja. Masuk minggu ke-2, keadaan kesihatan diri sendiri dan anak-anak pula tidak mengizinkan. Bersolat tarawikh di rumah semestinya tidak se'feel' bersolat berjamaah dengan bacaan Imam yang hafiz di musolla. Tapi syukurlah Allah masih beri peluang untuk menunaikan ibadah walaupun dalam keadaan serba sederhana. Teringat kenangan manis bulan Ramadhan semasa di Putrajaya. Setiap malam, kami akan bergilir-gilir untuk bersolat di Masjid Putra dan Masjid Besi. Sekali sekala, akan ke surau Presint 18 untuk bertemu jiran tetangga. Indahnya kenangan berpuasa di negara sendiri tetapi pengalaman berpuasa jauh di perantauan kali ini sudah pasti akan memberi seribu makna dan menjadi kenangan sepanjang hayat kami.

Walaupun berpuasa di luar negara, juadah yang saya sediakan setiap hari tidak jauh berbeza dengan makanan rakan-rakan di Malaysia. Syukurlah saya dibukakan hati untuk suka memasak, jadi ada-ada saja idea untuk membuat itu dan ini. Setakat ini, kami menikmati nasi lemak, mi rebus, bihoon sup utara, chicken chop, bihun goreng, asam pedas ikan pari, kari ikan, sambal tumis udang, pau goreng, serikaya kukus, kuih cara berlauk dan macam-macam lagi yang tidak jauh beza dengan hidangan orang berbuka di Malaysia. Cuma air minuman mungkin tidak semeriah di Malaysia kerana saya dan suami menikmati air teh o panas untuk berbuka. Setiap Sabtu dan Ahad diadakan Bazar Ramadhan di Guyatt Park, taman rekreasi yang berdekatan dengan rumah kami. Bazar Ramadhan ini dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia di sini dan memang sangatlah meriah walaupun bilangan penjualnya sama sekali tidak sehebat bazar di Malaysia. Pengalaman melatih Ariff untuk berpuasa kali pertama juga agak mencabar di sini. Maklumlah, di sekolah kebanyakan rakan-rakan tak berpuasa. Setakat hari ini, Ariff hanya berjaya berpuasa separuh hari selama beberapa hari sahaja dan sudah seminggu tidak berpuasa kerana demam dan batuk. insyaAllah mungkin esok sudah boleh mula berpuasa semula.

Pengajian di semester baru sudah pun lima minggu bermula. Syukur kerana nampaknya semester ini tidak sesibuk semester yang lepas. Tidak ada weekly assignment walaupun masih ada satu programming course yang saya kurang minati. Subjek yang paling menarik bagi saya pada semester ini ialah Accounting walaupun pada hakikatnya saya mengambil jurusan Information Technology. Subjek Relational Database dan IT Advanced Project juga tidak kurang menariknya. Mudah-mudahan Allah beri kekuatan untuk saya meneruskan sisa-sisa pengajian selama tiga semester lagi dan mendapat keputusan yang terbaik.

Dalam sibuk menghadapi keindahan Ramadhan, saya dan keluarga dikurniakan berita gembira bahawa kami akan menerima seorang lagi ahli keluarga baru pada tahun hadapan. Tiada kata yang selayaknya perlu saya ucapkan selain dari Alhamdulillah, Allahu Akbar! Sesungguhnya ini adalah khabar yang tidak disangka-sangka dan saya sangat yakin bahawa pemberian dan ketentuan Allah ini adalah yang terbaik untuk kami. Sememangnya saya dan suami tersayang merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga yang mungkin akan lahir semasa cuti semester pada bulan Julai 2011 atau semasa kami sudah berada di Malaysia tapi nampaknya Allah menetukannya lebih awal. InsyaAllah, cahaya mata ke-empat kami ini dijangka lahir pada 24 April 2011, semasa cuti pertengahan Semester 1, 2011. Setakat ini saya masih belum membuat pemeriksaan doktor dan hanya mengambil folic acid dan multivitamin yang biasa saya ambil setiap hari. Mungkin kerana sudah anak ke-empat, pengalaman mengajar saya dan suami untuk menjangkakan perubahan-perubahan yang akan saya alami setiap minggu dalam masa sembilan bulan ini. Sesungguhnya inilah fasa-fasa terindah yang pernah dialami sebelum ini dan alhamdulillah saya diberi peluang untuk mengulanginya sekali lagi. Mudah-mudahan pengalaman mengandung kali ini juga seperti yang sebelum-sebelum ini, tiada sickness dan diberi kesihatan yang baik. Untuk anak ummi yang sedang berehat di dalam rahim, ummi, ayah, abang long, abang ngah dan kak teh Najla sudah tidak sabar-sabar untuk bersama-sama dengan adik yang selalu mereka sebut-sebutkan. Sudah tentu anak ummi ini sangat memahami tugas yang ummi galas sebagai isteri, ibu dan pelajar sekarang ini dan akan menjadi anak yang sangat baik di dalam kandungan dan apabila sudah lahir ke dunia kelak. Tidak sabar untuk merasa tendangan dan sikuanmu dalam perut ummi nanti.... :-)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...