Followers

Monday, June 28, 2010

Picnic@Gold Coast (270610)

Akhirnya setelah lima bulan kami berada di Brisbane, hari ini barulah berkesempatan untuk mengambil angin di Gold Coast, tempat percutian yang terkenal di dunia. Kedatangan kami kali pertama ini hanyalah sebagai intro untuk melihat bagaimanakah suasana dan rupanya Gold Coast yang sering diwar-warkan itu. Malam sebelum bertolak, saya melawati beberapa laman web untuk mengenal pasti tempat-tempat yang menarik di Gold Coast. Kerana terlalu banyak snagat tempat yang disenaraikan, saya tidak pasti tempat yang mana harus dituju dahulu. Kami tidak merancang untuk pergi ke 3 world yang terkenal di sini, Movie World, Water World atau Sea World memandangkan tiket promosinya sebelum ini hanya akan tamat pada penghujung Jun ini. Mungkin selepas itu akan keluar promosi yang baru pula.

Perjalanan ke Gold Coast mengambil masa lebih kurang 30 minit. Oleh kerana kami tiba pun sudah waktu tengah hari, adalah lebih afdhal untuk kami ke tempat yang sesuai untuk berpiknik untuk membuka bekalan makanan yang telah saya sediakan dengan bersemangatnya sejak pagi-pagi lagi. Akhirnya kami singgah di Main Beach yang menyediakan banyak pondok-pondok perkelahan dan kemudahan awam yang lain. Selepas makan, Ariff, Akeef dan Najla sibuk nak bermain di playground yang letak berhadapan dengan pondok perkelahan. Begitu meriah susana di taman itu kerana dikunjungi oleh ramai orang yang membawa keluarga berkelah dan berjalan-jalan. Sudah adat hidup di negara 'orang putih', kami berkesempatan menunaikan solat Zohor dan Asar di atas padang rumput beralaskan winter coat dan sejadah kecil. Syukur walaupun kemudahan beribadah tidak sesempurna di Malaysia, kami masih lagi berpeluang menunaikan tanggungjawab sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah.

Subhanallah, rupa-rupanya di belakang taman perkelahan itu terletaknya pantai Gold Coast yang sungguh indah dan mengasyikkan. Mungkin kerana musim winter, tidak begitu ramai orang yang mandi manda di situ. Terdapat beberapa orang yang sedang surfing dan kebanyakannya hanya berjalan-jalan mengambil angin pantai. Bagus juga begitu kerana sudah pasti pemandangannya lebih menarik dengan tidak ada makhluk-makhluk berjemuran di pantai. Oleh kerana sudah sampai di pantai, tidak sampai hati pulak nak  menolak permintaan Ariff, Akeef dan Najla untuk bermain air. Maka mereka pun bertukar uniform sebelum begitu excited bermain air dan mengejar ombak. Akeef yang terlebih excited nak main air sehingga terlupa nak membuka t-shirt dan seluar yang dipakai sebelum menyarung baju renang. Lawak sungguh melihat dia berkejar ke pantai dengan dua lapis pakaian. Tapi sayangya Akeef hanya bertahan selama kurang dari sepuluh minit kerana takut melihat ombak yang semakin lama semakin kuat. Selepas dari itu, dia hanya bermain pasir dan sekali sekala datang menjenguk Yeop Ariff dan Najla bermain ombak dan kembali lari ke darat apabila datang ombak besar. Setelah puas bermain ombak dan air laut, kami bersiap untuk pulang. Sempat juga Ariff mengutip beberapa cengkerang dan batu laut untuk dibawa pulang sebagai cenderahati dan kenang-kenangan.

Alhamdulillah rasa sungguh bersyukur dan berpuas hati dapat menggembirakan anak-anak. Cuti masih berbaki sebulan lagi ini harus digunakan sebaik-baiknya sebelum tiba semula masa untuk berjung dengan tugasan, ujian dan peperiksaan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...