Alhamdulillah cita-cita saya untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana telah dimakbulkan Allah. Saya memohon untuk ke UK sebagai pilihan pertama dan Malaysia adalah pilihan ke-dua tetapi saya menerima tawaran untuk ke Australia yang tidak tersenarai di dalam list. Setelah mendapat negara, saya perlu membuat pilihan universiti yang terbaik buat saya dan keluarga. Demi kepentingan keluarga, saya memilih UQ di Brisbane walaupun saya sangat tertarik dengan tawaran dari University of Melbourne.
Kini, dalam tahun pengajian Sarjana yang pertama, saya memiliki tiga orang anak yang telah boleh berdikari. Itulah rupanya hikmahnya Allah menentukan saya melahirkan zuriat pada 2005, 2006 dan 2007. Pada tahun 2010, saya diberi peluang berada di sini ketika anak-anak saya mencecah tiga, empat dan lima tahun dan kesemuanya berpeluang bersekolah di sini, insyaAllah.
Queensland memiliki persatuan pelajar Melayu Muslim yang paling aktif antara negeri-negeri lain di Australia. Setiap minggu akan diadakan kelas pengajian agama di UQ St Lucia. Oh! Itukah sebabnya mengapa Allah menggerakkan saya ke mari. Walaupun saya belum pernah lagi menghadiri kelas pengajian tersebut, kehadiran saya ke program pada malam ini telah memberi peluang kepada saya mendapat gambaran program-program yang dapat mendidik jiwa. Kini dengan anak-anak yang berusia tiga, empat dan lima tahun lebih memudahkan saya hadir ke acara-acara sebegini berbanding dengan dua hingga lima tahun yang lalu semasa anak-anak masih kecil. Kesempatan dan peluang yang diberikan Allah ini tidak seharusnya saya sia-siakan. Bila kembali ke Malaysia, saya tidak pasti sama ada masih terbuka jalan untuk saya menyertai program sebegini. Saya perlu mencari dan mudah-mudahan saya akan ketemu dan dipermudahkan untuk turut serta. Saya juga sangat bersyukur kerana secara kebetulan dipertemukan dengan adik-adik yang turut sama mencintai ilmu bekalan untuk hari akhirat. Melihat mereka, mengingatkan saya semasa saya di UIA sepuluh tahun yang lepas. Sesungguhnya walaupun mereka di perantauan, peluang untuk mereka mendidik rohani masih terbuka luas, malah lebih luas dari belajar di dalam negara kerana mereka nampak dan merasa apa yang tidak dapat dilihat dan dirasai oleh pelajar di dalam negara jika mereka berfikir dengan mata hati.
No comments:
Post a Comment