Followers

Friday, March 13, 2015

Pengalaman Membeli Rumah Pertama

Pengalaman pertama kali saya dan suami membeli rumah adalah pada tahun 2006, setelah lebih kurang tiga tahun bekerja dan dua tahun mendirikan rumah tangga. Pada masa itu, harga rumah memang jauh lebih murah daripada apa yang ada sekarang. Harga sebuah rumah teres dua tingkat standard (20 x 70) intermediate di Bandar Baru Bangi adalah di antara RM180,000 - RM190,000. Masa itu terasa agak mahal kerana pendapatan dan simpanan pun tidak banyak, kelayakan pinjaman kerajaan hanya maksimum RM160,000 untuk saya dan ilmu hartanah juga kurang. Jika saya tahu harga rumah mencanak-canak naik selepas itu atau ada ilmu berkenaan hartanah pada ketika itu, sudah tentu saya terus membeli tanpa berfikir terlalu lama.

Sumber: http://www.faridadam.com
Setelah melahirkan dua orang anak pada tahun 2006, saya dan suami berhasrat untuk memiliki rumah sendiri. Kami membuat survey ke kawasan sekitar Bandar Baru Bangi, Bangi Lama dan Kajang untuk mencari rumah pilihan. Masa itu, hasrat hati ingin mencari rumah yang tidak jauh dengan Putrajaya supaya dekat jarak rumah dan tempat kerja. Akhirnya, kami memilih untuk membeli rumah setingkat, bukaan 22 x 70 di Desa Saujana, Sungai Merab, tidak sampai 1km pun dari Putrajaya. Harganya ketika itu RM165,000 bagi rumah yang tidak mengadap rumah orang lain.

Memandangkan kelayakan pinjaman dengan pinjaman kerajaan maksimum untuk saya hanyalah RM160,000, kami mengambil keputusan untuk membeli rumah tersebut dengan alasan sukar untuk mendapatkan rumah teres setingkat yang dalam pembinaan. Baki RM5000 kami tambah simpanan sendiri. Jika anda mempunyai akaun KWSP, anda layak untuk memohon pengeluaran wang daripada akaun dua bagi menapung kos pembelian rumah pertama dan ke dua. Bagi pembayaran urusan rumah yang ke dua, anda hanya layak sekiranya rumah pertama telah dijual.

Pinjaman perumahan kerajaan membolehkan saya mendapat pinjaman 100%. Jika pinjaman melalui bank, bagi rumah pertama dan ke dua, 10% daripada harga rumah perlulah disediakan secara tunai memandangkan bank hanya memberi pinjaman sebanyak 90% sahaja. Selain daripada itu, kami perlu menyediakan wang bagi bayaran urusan guaman berdasarkan harga rumah yang dibeli. Jika mengambil pinjaman bank, wang guaman perlu disediakan untuk bayaran guaman urusan menjual rumah dan juga kepada pihak bank. Membeli rumah memang perlu ada wang tunai yang agak banyak bagi pelbagai urusan. Lebih tinggi harga rumah, maka lebih tinggilah keperluan tunai tersebut. Urusannya juga agak menyerabutkan lebih-lebih lagi jika beli rumah second hand atau subsale kerana lebih banyak semakan dan serahan perlu dibuat. Tetapi insyaAllah semuanya berbaloi...

Alhamdulillah setelah mengharungi pelbagai cabaran dalam urusan pembelian rumah pertama, akhirnya rumah siap pada pertengahan tahun 2009, lewat setahun daripada tarikh yang sepatutnya. Mujurlah boleh buat tuntutan denda LED daripada tribunal. Disebabkan kami telah menduduki kuaters ketika itu, kami membuat keputusan untuk menyewakan rumah itu kepada salah seorang adik atau sahabat sepejabat saya. Alhamdulillah, dia seorang penyewa yang baik dan tidak berkira. Sehingga sekarang, dialah penyewa setia rumah itu daripada awal berkahwin sehingga anak dua. Dia juga sudah membeli rumah fasa baru di dalam taman yang sama tetapi masih lagi dalam proses akhir siap.

Thursday, February 26, 2015

Memilih Sekolah Terbaik Untuk Anak-anak (Sekolah Agama Integrasi)

Setiap ibu bapa sentiasa mengimpikan untuk memberikan yang terbaik untuk anak-anak daripada segala segi daripada pakaian, makanan, asuhan, pendidikan dan sebagainya. Definisi sekolah yang terbaik adalah subjektif pada setiap ibu bapa mengikut kehendak dan impian hidup masing-masing. Setiap ibu bapa seharusnya sudah mula merancang masa hadapan anak-anak walaupun anak-anak masih bayi. Pemilihan sekolah yang paling sesuai untuk anak kebiasaannya adalah berdasarkan rancangan ibu bapa yang melihat kehidupan anak-anaknya pada jangka masa panjang. Ada juga ibu bapa yang memilih untuk mendidik anak-anak secara homeschool dan mungkin itulah yang lebih baik daripada silibus akademik biasa di sekolah namun persediaan dan kecekalan ibu bapa yang memilih cara itu bukanlah sesuatu yang harus diambil ringan kerana pendidikan anak-anak bukan semata-mata menjurus kepada akademik sahaja tetapi juga melatih sosial, emosi dan kemahiran-kemahiran soft skill anak-anak. Setiap pilihan ada kelebihan dan kekurangannya yang boleh diatasi.
Sumber: https://www.flickr.com/photos/mzaidi_dot_com

Kali ini saya ingin berkongsi berkenaan sekolah rendah berasaskan Islam yang menjadi rebutan di kalangan ibu bapa di sekitar Kajang/ Bangi. Berbanding dengan pada zaman kanak-kanak saya dahulu, kini terdapat lebih banyak pilihan sekolah integrasi (akademik biasa dan agama) swasta mahu pun kerajaan. Setelah melihat kepada betapa pentingnya mengutamakan pendidikan akhirat kepada anak-anak dan masalah sosial yang melanda generasi muda masa kini, ibu bapa sudah tidak berkira untuk menyediakan pelaburan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak demi masa depan yang lebih baik di dunia dan akhirat. Ibu bapa bijak lebih sanggup menyediakan pendapatannya untuk pendidikan terbaik dunia dan akhirat buat anak-anak berbanding memilih untuk membeli kereta mahal, pakaian dan kasut berjenama atau pun makan mewah di luar menjadi kebiasaan. InsyaAllah pelaburan ini lebih berbaloi daripada meleburkan duit untuk material dan keduniaan semata-mata. Namun jika sekolah kebangsaan atau sekolah-sekolah lain menjadi pilihan, insyaAllah itu jualah yang terbaik untuk anak-anak.

Antara sekolah integrasi terbaik dan popular di kawasan Bangi/ Kajang adalah seperti berikut:

1. Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Bandar Baru Bangi

Sekolah ini merupakan sekolah rendah di bawah pengawasan dan kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Terdapat beberapa SRAI yang lain di beberapa daerah lain di negeri Selangor. Kedudukannya terletak bersebelahan dengan Balai Polis Bandar Baru Bangi, kira-kira 10 minit daripada Putrajaya melalui gate Sg Merab.

Yurannya adalah yang paling minimum di antara lain-lain sekolah seumpamanya disebabkan ia mendapat peruntukan daripada JAIS. Kebiasaannya, borang permohonan akan dibuka pada bulan Februari atau Mac setiap tahun bagi kemasukan tahun satu tahun berikutnya. Ibu bapa perlu sentiasa alert dengan menyemak laman web kerana waktu permohonan sangat terhad dan sebarang permohonan selepas daripada tarikh tutup tidak akan dilayan. Ujian kemasukan kebiasaannya dijalankan antara bulan Jun atau Julai setiap tahun. 

Laman web sekolah boleh dicapai di SINI.

2. Sekolah Rendah Islam Al-Amin

Sekolah Rendah dan Menengah Sri Al-Amin Bangi merupakan salah sebuah sekolah di bawah Rangkaian IKRAM Musleh iaitu sebuah organisasi yang menggabungkan semua sekolah-sekolah IKRAM satu Malaysia.  Sekolah ini terletak tidak jauh dari Stesen Komuter UKM di Sg Tangkas. Jalan di situ agak sesak dan ibu bapa perlu menghantar anak-anak lebih awal untuk mengelakkan kelewatan. Tempoh masa ke sekolah ini daripada Putrajaya adalah antara 20 - 30 minit.

Yuran pengajian adalah berpatutan bagi sekolah intergrasi swasta yang menyediakan pendidikan terbaik di samping makan minum buat pelajar. Permohonan boleh dikemukakan ketika anak berusia enam tahun dan kebiasaannya, borang akan diedarkan sekitar Februari atau Mac dan peperiksaan kemasukan adalah antara Jun atau Julai setiap tahun.  Selain daripada ujian kemasukan, syarat untuk mendapat tempat di sekolah ini adalah temuduga pihak sekolah dengan ibu bapa dan kursus khas yang akan diadakan pada waktu tertentu. Anak-anak yang melepasi kesemua kriteria yang disebutkan sahaja yang akan diterima untuk untuk belajar di sini.

Laman web sekolah boleh dicapai di SINI.

3. Sekolah Rendah Islam ABIM, Sg. Ramal

Sekolah ini adalah di bawah inisiatif Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Sewaktu saya masih kecil, inilah satu-satunya sekolah agama integrasi yang ada di sekitar Kajang dan Bangi. Waktu itu, anak-anak yang dihantar ke sekolah ini adalah daripada keluarga yang berkemampuan. Saya mengenali beberapa orang kawan-kawan yang bersekolah di situ dan  sahsiah dan kematangan mereka agak jauh berbeza dengan anak-anak di sekolah kebangsaan seperti kami. Sejak daripada itu, saya berazam akan menghantar anak-anak ke sekolah ini satu hari nanti. Sekiranya keadaan trafik lancar, tempoh ke sekolah ini daripada Putrajaya adalah selama 10 - 15 minit.

Yuran pengajiannya tidak jauh berbeza dengan sekolah agama integrasi lain seperti Al-Amin dan Sri Ayesha. Permohonan dan ujian kemasukan juga tidak lari dengan masa dan tempoh sekolah agama integrasi lain.

Laman web sekolah boleh dilihat di SINI.

4. Sekolah Rendah Sri Ayesha

Sekolah ini agak berbeza daripada sekolah agama integrasi yang di atas kerana menggunakan konsep montessori dan bahasa pengantar yang digunakan adalah Bahasa Inggeris. Ia terletak salah sebuah rumah kedai di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Berdasarkan pembacaan saya, sekolah akan dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai apabila bangunan sekolah siap kelak.

Laman web sekolah boleh dilihat di SINI.

5. Adni Bangi

Sekolah ini baru sahaja dilancarkan pada tahun 2015 dan menerima kemasukan tahun satu dan dua sahaja pada tahun ini. Sekolah ini juga menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Ianya terletak di Kg Dato' Abu Bakar Baginda, kira-kira tak sampai lima minit ke Putrajaya melalui gate Sg Merab.

Laman facebook sekolah boleh dicapai di SINI.


Bagi ibu bapa yang berhasrat menghantar anak-anak ke sekolah agama intergrasi di sekitar Kajang atau Bangi, boleh menyemak laman web sekolah bagi mengenalpasti silibus dan keseuaian pendidikan yang disediakan. Jangan lupa melawat sekolah secara live bagi melihat sendiri persekitaran sekolah dan jarak antara sekolah dan rumah. Suka saya ingatkan bahawa kebanyakan sekolah agama integrasi ini berdiri sendiri tanpa bantuan wang kerajaan pusat. Keadaaannya mungkin tidak seindah sekolah kebangsaan biasa tetapi jiwa dan roh di sini sangat berbeza auranya dengan sekolah-sekolah biasa. Jika tidak percaya, cubalah lawati mana-mana sekolah di atas pada waktu persekolahan dan pergi juga ke sekolah kebangsaan biasa untuk melihat apakah aura yang saya maksudkan. InsyaAllah, tuan puan akan merasainya, di mata dan di hati...

Monday, February 16, 2015

Perginya Tiada Pengganti...

Tanggal 12 Februari 2015 Masihi bersamaan 23 Rabiulakhir 1436 Hijrah pergilah sudah menemui Pencipta buat selama-lamanya Murabbi yang dihormati dan dikasihi oleh ramai rakyat Malaysia. Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat merupakan nama yang tidak asing buat saya sejak dari kecil. Saya tidak ingat sejak bila saya mula mengenali arwah Tok Guru tetapi yang pasti saya mengenali dia sebagai seorang pendakwah yang tidak jemu menyampaikan kebenaran dan selepas itu barulah saya tahu bahawa dia merupakan Menteri Besar Kelantan.

Apa yang membuatkan saya agak terkilan, saya tidak berkesempatan menghadiri kuliahnya secara langsung walaupun idaman saya sejak dulu adalah untuk hadir ke masjid di kediamannya di Pulau Melaka untuk mendengar kuliahnya di samping bertemu dengan idola kasayangan ramai ini. Secara jujurnya, saya hanya pernah bertemu beliau secara langsung semasa beliau hadir ke perhimpunan kempen Pakatan Rakyat di Putrajaya pada Mei 2013. Itu pun saya sekadar dapat melihatnya dari jauh kerana terlalu ramai umat yang hadir dan ingin mendekati beliau. Kehadirannya benar-benar menjadikan susana perhimpunan itu damai dan tenang walau terdiri daripada lautan manusia.

Perginya Tok Guru tidak akan kembali. Patah tumbuh, tidak mungkin ada pengganti yang dapat menyamai sahsiah dan akhlak Tok Guru. Kesedihan sebilangan besar rakyat Malaysia atas pemergiannya amat dirasai dan mungkin memakan masa untuk melupakan kehibaan pemergiannya. TV1 ada menyiarkan siaran langsung majlis pengebumiannya tetapi apa yang lebih meruntun hati adalah di sepanjang hayatnya, beliau tidak pernah diberi kesempatan untuk berucap di televisyen bagi menyampaikan kebenaran dan dakwahnya sedangkan itulah cita-citanya sekian lama... Beliau hanya dapat bersiaran langsung setelah tidak bernyawa lagi..

Bangkitlah wahai pejuang-pejuang kebenaran. Berduka atas pemergiannya memang lumrah tetapi kuatkanlah hati dan teruskanlah perjuangan amanah peninggalan Tok Guru untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia khasnya. Senyumlah kembali kerana insyaAllah Tok Guru sudah diberi rehat atas kepenatannya selama ini dengan balasan kenikmatan di alam kubur yang tiada tandingannya. Ya Allah, jagalah dan rahmatilah Murabbi kami dan kurniakan syurga yang tertinggi buatnya...

Tuesday, February 10, 2015

Berhijrah Daripada Zon Selesa

Penghijrahan daripada satu keadaan atau sikap kepada perubahan yang lebih baik amatlah dituntut oleh agama. Perbincangan mengenai pengertian hijrah dan hikmahnya dari sudut agama banyak dibincangkan di dalam artikel, majalah mahu pun laman web. Hijrah secara fizikal dari satu tempat ke satu tempat lain, jika disusuli dengan niat yang betul kerana Allah, insyaAllah kebaikan akan menyusul. Namun jika penghijrahan dilakukan semata-mata kerana keuntungan dunia, dikhuatiri berkat dan kesenangan yang hakiki tidak dapat dikecapi.

Bangsa Arab merupakan satu bangsa yang menjadikan penghijrahan fizikal itu sebagai kebiasaan dalam masyarakat, berbeza dengan budaya Melayu kini yang jarang sekali ingin berhijrah keluar daripada zon selesa di negara sendiri. Begitu juga dengan masyarakat Indonesia, berhijrah ke negara luar bukanlah perkara asing bagi mereka. Masyarakat Arab dan Indonesia boleh ditemui di kebanyakan negara di dunia. Disebabkan penghijrahan merekalah makanan halal mudah diperolehi di negara-negara bukan Islam. Penghijrahan ini juga telah membenarkan penyebaran agam Islam sebagai agama yang benar telah berlaku dengan begitu mendadak sehingga di dalam satu kajian baru-baru ini menyatakan bahawa United Kingdom dikatakan bakal memiliki majoriti ummat Islam berbanding dengan penganut agama lain disebabkan kadar kelahiran Muslim yang tinggi di sana.


Andai diberi pilihan untuk berhijrah, ke luar negara, negara manakan pilihan tuan/ puan? Jika soalan yang sama ditanyakan kepada saya, jawapannya sudah tentulah ke satu-satu negara luar yang pernah saya duduki tidak lama dahulu, Australia... Kenapa tidak Mekah atau Madinah? Oh, sudah tentu saya tersangat-sangat ingin menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah namun masih belum kesampaian. Setiap hari, saya rindu untuk ke Tanah Haram walaupun masih belum dapat bertemu... Namun untuk mendiami, saya memilih Australia atas sebab yang lebih besar. Saya bercita-cita untuk melahirkan anak-anak menjadi pendakwah seperti Nouman Ali Khan atau Ustaz William Suhaib Webb atau Yasmin Mogahed. Amboi, tingginya impian.. Impian inilah yang saya ingin kembalikan kepada ummah supaya ada antara anak-anak yang mampu menjadi pendakwah bertaraf antarabangsa atau mungkin seorang boleh tersangkut menjadi penyanyi dakwah antarabangsa seperti Maher Zain pun jadilah...


Menjalankan kehidupan dan amalan sebagai seorang Muslim di Australia adalah terbuka dan tiada halangan. Banyak masjid dan musolla bertebaran di serata negeri di Australia terutama di bandar-bandar utama seperti Sydney, Melbourne, Perth, Brisbane dan Adelaide. Kebanyakana masjid juga sering mengadakan kuliah agama, pengajian untuk anak-anak, kelas Bahasa Arab dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat pelbagai budaya di Australia. Begitu juga dengan sekolah Islam, ibu bapa Muslim bebas untuk menghantar anak-anak ke sekolah Islam swasta yang terdapat di setiap negeri. Ada juga di antara sekolah tersebut yang menyediakan modul tahfiz dan pengajian Islam tulen. Bahasa utama yang digunakan adalah Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.



Sumber: http://www.onislam.net/english
Secara asas , kebanyakan rakyat Malaysia yang berniat untuk berhijrah ke luar negara terutama bangsa Melayu adalah bagi mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang lebih tinggi tetapi pada hakikatnya, di Malaysia sendiri peluang untuk mecari rezeki dan bergaji lumayan mungkin lebih cerah berbanding negara luar. Mungkin di sesetengah negara terutama negara Arab seperti Abu Dhabi, Oman atau Dubai boleh memberi pendapatan lumayan tetapi ianya setimpal dengan pekerjaan yang perlu dilaksanakan. Suasana kerjanya lebih kurang juga seperti Malaysia dan perlu bekerja keras dan masa bersama keluarga adalah sangat terhad dan mungkin lebih teruk lagi dengan susana kerja di Malaysia. Berbeza dengan di negara maju di sebelah barat seperti Sweeden, UK, Canada dan Australia di mana kerja hanya perlu dilakukan pada waktu bekerja sahaja dan waktu selebihnya adalah untuk kesihatan diri dan keluarga. Pendapatan juga boleh tahan tetapi agak sukar untuk menjadikan anda orang kaya kecuali bagi seseengah pekerjaan yang benar-benar memberi pulangan yang tinggi. Namun, perkara yang lebih berharga yang akan diperolehi ialah keseimbangan hidup, masa bersama keluarga, masa untuk menjalankan kerja-kerja amal, beribadah dan beriadah adalah lebih bernilai daripada wang ringgit.

Sekiranya perlu memilih di antara menjadi kaya raya dan masa berkualiti bersama keluarga, saya utamakan hak keluarga. Wang boleh dicari tetapi masa berharga melihat anak-anak membesar bersama dan mendidik mereka tidak akan ada peluang kedua. Tidak semua orang yang ingin berhijrah itu semata-mata kerana wang dan dunia. 


Kata orang-orang berangan-angan itu percuma. Jika benar-benar ingin berhijrah, bertindaklah ke arah itu. Usahlah jadikan ia sekadar angan-angan yang tak kesampaian. Memang benar, bukan mudah untuk berhijrah meninggalkan tanah air dan keluarga. Terlalu banyak yang perlu diatur dan difikirkan. Berbincanglah dengan mendalam dan yang paling penting, kenal pastilah dahulu niat utama untuk berhijrah. Niat yang betul amat penting, jika tersilap arah, takut-takut merosakkan masa depan keluarga dan keturunan. Ada pandangan yang saya baca, jika berhijrah ke negara bukan Islam, tinggallah di rumah yang berdekatan dengan masjid dan seringlah ke masjid untuk beribadat dan bermasyarakat. InsyaAllah, iman kita dan keluarga lebih mudah dipelihara. Berhijrahlah andai itu yang lebih baik untuk keluarga dan agamamu... 


Friday, January 30, 2015

Belajar Di Luar Negara

Sumber: http://hantamsaja.com/belajar-di-nagri-survive/
Semasa kecil dulu waktu sekolah menengah, salah seorang ibu saudara saya memberitahu bahawa saya akan belajar jauh ke luar negeri kerana ada tahi lalat di tapak kaki. Rasa teruja sungguh waktu itu dan semangat nak belajar rajin-rajin begitu tinggi. Selepas keputusan SPM diumumkan, ianya tidaklah seperti apa yang saya impikan kerana lebih daripada 10 aggregat. Kecewa memang kecewa tapi saya tetap memujuk hati dan redha dengan apa yang Allah tentukan.

Alhamdulillah, masih menerima beberapa tawaran di IPTA di peringkat ijazah dan diploma. Masa itu, penentuan tawaran IPTA masih tidak selaras seperti sekarang. Seorang calon mungkin boleh mendapat lebih daripada satu tawaran untuk melanjutkan pengajian. Saya sendiri ketika itu menerima tawaran ke matrikulasi Kulliyyah Ekonomi dan Sains UIAM, Asasi Sains UPM, Asasi Seni Bina UM dan Diploma Pengurusan Perniagaan UiTM Dungun. Atas nasihat mak dan abah, saya memilih untuk ke UIAM. Pada ketika itu, angan-angan ingin belajar ke luar negara berkubur menjadi impian tak kesampaian. Kata saya masa itu, tidak tepatlah apa yang mak saudara beritahu pada saya yang saya akan belajar ke luar negeri... Sedangkan memang benarlah, belajar ke luar negeri tidaklah ditentukan sama ada ada tahu lalat di tapak kaki atau tidak...

Sehinggalah sepuluh tahun kemudian apabila saya telah berumahtangga dan berkeluarga, rupa-rupanya impian itu menjadi kenyataan apabila saya menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di Australia. Peluang ini rupanya sangat besar hikmahnya dan telah membuka lebih banyak peluang-peluang yang lain untuk masa depan keluarga dan ummah.

Di sinilah tempat saya menuntu ilmu: The University of Queensland, Brisbane
(Sumber: www.scmb.uq.edu)
Pada peringkat awal mendiami negara orang memang bukan perkara yang mudah. Enam bulan pertama adalah masa untuk menyesuaikan diri dengan budaya, cuaca dan peralihan kehidupan daripada berkerjaya kepada pelajar. Alhamdulillah selepas melepasi enam bulan, semuanya berjalan lancar dan kami dapat menikmati kehidupan dengan lebih baik. Pernah juga saya berjumpa dengan keluarga yang baru pulang daripada Australia kerana tamat pengajian merungut yang kehidupan di sana tidaklah seindah yang disangka. Benarlah, citarasa setiap orang tidak akan sama. Ada yang dapat menyesuaikan diri dan ada juga yang lebih selesa berada di negara sendiri. Secara peribadi, saya sangat menggalakkan sesiapa yang sahaja yang berhasrat untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara untuk meneruskan niat dan cita-cita itu lebih-lebih lagi jika sudah berkeluarga. Lupakanlah seketika hal naik pangkat, seniority dalam perkhidmatan atau segala yang berkaitan dengan pangkat dan harta kerana apa yang akan diperolehi nanti lebih bernilai daripada apa yang kita risaukan kerana itulah alasan biasa diberi oleh pasangan yang akan menemani suami atau isteri yang ingin ke luar negara. Hendak diceritakan manfaat yang nampak dengan mata memang mudah tetapi yang terseimpan di dalam hati memang tidak dapat diucapkan. Biasanya yang orang tahu, seronok dapat ke negara empat musim kerana boleh bermain salji, menikmati cuaca sejuk dan melihat keindahan negara orang sedangkan itu hanyalah perkara minor sahaja yang mungkin peratusnya hanya kurang 20% bagi manfaat menuntut di negara asing. Lebih banyak lagi kebaikannya yang hanya boleh dirasai apabila mengalaminya sendiri...

Thursday, December 04, 2014

Persiapan Persekolahan Anak-anak 2015


Bercerita tentang persediaan sekolah tahun hadapan, kali ini saya dan suami merancang untuk menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak lebih awal. Kalau boleh, segala buku-buku dan alat tulis untuk tahun hadapan juga nak siap awal-awal lagi tapi apa kan daya, senarai buku untuk tahun hadapan masih belum diterima daripada pihak sekolah. 

Untuk pakaian dan beg, tidak semua ditukar baru. Mana yang masih elok, akan di'carry foward' untuk penggunaan tahun hadapan. Beg sekolah yang dibeli awal tahun memang semuanya sudah hancus... Maklumlah, beg beli di Kenanga Wholesale dengan harga RM30 satu. Beg yang masih elok adalah beg Ironside State School yang dibeli untuk Ariff dan Akeef berharga AUD60 setiap satu beserta lima tahun warranty semasa menuntut di sana tiga tahun dulu. Warnanya agak sedikit luntur tetapi begnya masih utuh. Kalau ikutkan hati saya, memang semua nak dibelikan baru tapi bila memikirkan pendidikan sahsiah anak-anak, biarlah mereka belajar menghargai dan mengenal erti susah payah. Tidak semua benda boleh dimiliki dengan mudah tanpa usaha. InsyaAllah saya akan fikirkan kemudian jalan yang harus dilalui oleh anak-anak jika mereka benar-benar memerlukan beg yang baru. 


Kali ini kami berpeluang membeli kelengkapan sekolah di bandar Klang, Selangor. Cari kelainan sedikit, kalau tidak biasa hanya cari di kedai Uniform Gallery di Bandar Baru Bangi atau di KOOP sekolah saja. Disebabkan warna pakaian anak-anak aga lain dari yang lain, agak sukar mencari baju mereka di kedai-kedai biasa dan stok pun selalu habis lagi-lagi kalau lewat membeli. Setelah puas meng'google', saya terbaca blog salah seorang sahabat saya tentang kedai kelengkapan sekolah ini yang terletak di Jalan Stesen 1, Klang. Apa yang saya suka tentang kedai ini selain daripada harga yang sangat berpatutan, semuanya di bawah satu bumbung. Uniform, kasut, stoking dan beg sekolah semuanya ada, tak perlu nak menyinggah kedai lain lagi.

Satu lagi yang istimewa, kata tuan suami, membeli belah di kedai ini seperti mengimbas memori zaman persekolahn kami tahun 80-an dahulu. Suasana kedainya benar-benar seperti tahun 80-an. Pakaian dan barang-barang lain yang disusun, cara layanan dan rupa dalaman kedai-kedai benar-benar mengimbas zaman kanak-kanak kami dahulu. Harga yang ditawarkan sudah berpatutan tetapi masih boleh mintak diskaun lagi...

Selepas selesai mebeli-belah, kami singgah makan cendol, ABC dan rojak di gerai depan, tidak jauh dari kedai uniform, kira-kira 10 meter berjalan kaki. MasyaAllah sedapnya semua cendol, ABC dan rojak, habis licin segala pinggan mangkuk. InsyaAllah jika ada kesempatan lain kali, mesti nak datang sini lagi untuk menikmat cendol, ABC dan rojak semula... :-)

Thursday, October 02, 2014

Alhamdulillah, Tidak Penat dan Mengantuk Lagi...

Alhamdulillah setelah menjadi pengguna yang konsisten kepada Qaseh Gold (Adinda), saya telah mendapat manfaat daripada Qaseh Adinda yang saya kasihi ini dengan izin Allah. Selama ini, saya pernah juga mencuba produk-produk yang lain, alhamdulillah ada yang sesuai tetapi di dalam hati masih berasa kekurangan dan pencarian masih diteruskan. Kekurangan bukanlah bermaksud produk yang lain tidak jujur atau tidak berkesan tetapi dari segi roh, keberkesanan itu tidak sampai ke dalam hati. Sebelum ini, selain mengambil makanan tambahan dalam bentuk pil, saya turut mengamalkan pemakanan sunnah secara berasingan dan daripada produk yang berbeza seperti Habatussauda dan Minyak Zaiton keluaran Minsyam serta Madu Zha'faran. Begitu juga tuan suami mengamalkan habatussauda dan cuka kurma dalam bentuk serbuk yang saya lupa keluarannya. Anak-anak juga demikian, saya latih mereka makan madu dan apabila mereka kurang sihat, saya biasa berikan madu atau minyak kelapa dara. Dengan izin Allah, demam mereka pun tak lama. Walaupun ada lima orang anak, saya amat bersyukur kerana Allah mengurniakan kesihatan yang sangat baik untuk anak-anak sejak hari pertama mereka dilahirkan. Paling teruk penyakitnya adalah chicken pox dan eczema sahaja. Demam biasa mungkin seorang akan terkena setahun sekali atau dua dan biasanya tidak lama kecuali demam disebabkan virus.



Setelah membuat kajian dan terlihat status sahabat saya di fb berkenaan Qaseh Gold, saya rasa tertarik kerana ianya menggabungkan makanan sunnah dalam satu botol, ianya jenama tempatan dan yang penting dihasilkan melalui proses pengilangan Islamic Manufacturing Practice (IMP) yang dijamin Halalan Thoyyiban. IMP ini secara umumnya adalah satu proses pengilangan yang mementingkan kebersihan yang tinggi supaya produk yang di hasilkan tidak ada kontiminasi bakteria seperti E-coli, Salmonella atau sebagainya. Ianya satu proses pengilangan yang bukan sahaja suci dari sudut fisikalnya, iaitu tiada bahan-bahan haram ataupun kontiminasi dengan bahan-bahan haram malahan juga suci dari sudut rohaniahnya. Maknanya tangan-tangan yang memproses produk-produk juga suci dan halal.

Maksud Hadis : “ Halal itu jelas dan haram itu pun jelas. Di antara keduanya itu ada perkara yang samar (syubhat) yang kebanyakan manusia tidak mengetahuinya……” 


Oh nampaknya inilah yang saya cari selama ini... Maklumlah, sebagai ibu yang berkerjaya, aktiviti harian saya agak padat dan pengambilan makanan tambahan yang boleh membantu memperbaiki kesihatan dan mengekalkan kecergasan setiap hari adalah kritikal. Saya juga sudah tidak menggunakan khidmat pembantu rumah disebabkan anak-anak pun sudah ramai yang ke sekolah dan boleh membantu membuat kerja-kerja rumah yang ringan. Pernah satu ketika dulu sewaktu saya hanya bergantung kepada pemakanan harian biasa tanpa apa-apa makanan tambahan, sebaik saja balik ke rumah, badan sudah lemah dan lesu sedangkan sepatutnya saya perlu menyediakan makan malam untuk keluarga, membuat kerja-kerja rumah yang lain di samping memastikan anak-anak terjaga memandangkan tuan suami agak sibuk dengan kerja dan pengajiannya. Pada kebanyakan waktu bab mengemas rumah dengan sempurna tidak dapat dibuat kerana tiada masa dan badan pula sudah tidak mampu menampung kerja yang lebih dari sepatutnya. Mujur juga anak-anak dan suami boleh membantu apa yang boleh. Begitu juga waktu di tempat kerja. Kadang kala terutama pada petang hari saya berasa amat mengantuk sampai kadang-kadang di dalam mesyuarat atau ketika berkursus pun saya rasa nak memejamkan mata. Syukur kini semua sudah berlalu...
  
Alhamdulillah kini badan saya lebih cergas dan tidak mudah mengantuk seperti dahulu. Bangun pagi juga lebih mudah dan saya sempat menyediakan sarapan ringkas buat anak-anak seperti roti telur atau nasi goreng pada hari bekerja. Satu lagi manfaat saya perolehi sebagai ibu menyusu, penambahan susu juga berlaku. Biasanya saya dapat mengumpulkan 12oz susu setelah mengepam untuk dua kali sehari. Selepas mengamalkan Qaseh, alhamdulillah susu menjadi sekurang-kurangnya 15oz sehari dah kadangkala lebih daripada itu dengan izin Allah jua...

Jika ada sahabat-sahabat yang masih mencari-cari makanan yang sesuai, saya sangat menyarankan untuk mecuba Qaseh Gold. Rasanya sedap dan bonusnya insyaAllah kita akan mendapat ganjaran pahal kerana mengamalkan pemakanan sunnah yang turut digemari Rasullullah S.A.W. Boleh cuba dapatkan daripada pengedar yang berdekatan dengan kawasan tempat tinggal atau saya juga boleh bantu jika memerlukan. InsyaAllah, jika serasi dalam masa seminggu dua selepas menikmati Qaseh Gold, kesannya akan muncul tanpa perlu berbelanja besar. Saya boleh dihubungi melalui e-mel afrohah@gmail.com atau telefon 019-2117998. Penghantaran percuma di kawasan Putrajaya dan sewaktu dengannya... :-)

Tuesday, September 30, 2014

Melihat Diri dan Keluarga 10 Tahun Akan Datang

Memiliki lima orang anak pada zaman ini boleh dikategorikan sebagai anak ramai peringkat permulaan. Disebabkan keperluan kewangan, kerjaya dan taraf hidup, lebih ramai pasangan suami dan isteri memilih untuk menghadkan bilangan anak dalam keluarga dengan alasan mengutamakan kualiti daripada kuantiti. Mungkin ada benarnya, apalah guna memiliki anak sepasukan pemain bola sepak andai tidak mampu mendidik anak-anak menjadi insan yang mampu membawa kebaikan kepada dunia dan akhiratnya. Ada juga yang menganggap anak-anak yang ramai terutama yang rapat umurnya menyebabkan anak-anak akan kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.

Perkara yang sama juga pernah bermain di minda saya sebagai salah seorang yang Allah kurniakan nikmat melahirkan ramai anak pada peringkat awal dulu-dulu setelah melihat persepsi pihak lain. Namun, bila saya bermuhasabah dan merenung diri, kenapakah kita pelu risau kepada pandangan dan kata-kata orang sedangkan memiliki anak ramai itu adalah satu keistimewaan dan diberi ganjaran yang berlipat ganda jika kita mampu melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak menjadi insan yang bermanfaat kepada agama dan negara. Alhamdulillah, selepas daripada itu, setiap apa jua kejadian yang berlaku saya sentiasa ambil secara positif dan yakin dengan ketentuan Allah.

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)


Untuk merasai yang manis, sudah pasti pahit dan maung perlu dikecapi dahulu supaya kemanisan itu lebih dihargai dan penuh makna. Begitulah halnya dalam membesarkan anak-anak yang ramai, berasa sedikit penat atau kekurangan rehat dan waktu tidur adalah ujian yang perlu dibayar sebelum menikmati kepuasan apabila melihat anak-anak menjadi insan yang berguna dan berbakti.

Alhamdulillah saya dikurniakan seorang suami yang penyabar dan berpandangan jauh ke hadapan. Sebaik sahaja saya hamil anak pertama, kami sudah sama-sama merancang masa depan anak-anak. Kami memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang bukan saja mampu memberi pendidikan akademik yang baik malahan mementingkan adab dan pengajian pendidikan Islam. Memang banyak pilihan sekolah sedemikian di kawasan sekitar Kajang dan Bandar Baru Bangi walaupun Putrajaya tidak menyediakan kemudahan itu. Alhamdulillah Allah makbulkan impian kami.


Ketika anak pertama menduduki tahun satu, tuan suami sudah membicarakan mengenai masa depan anak 15 tahun akan datang. Dia sudah membayangkan bagaimana ciri-ciri calon menantu yang menepati kriterianya di samping perjalanan pendidikan yang akan dilalui oleh anak-anak sehingga ke peringkat universiti. Pemilihan karier dan bidang pendidikan kami akan serahkan pada anak-anak untuk membuat pilihan namun kami akan cuba menyalurkan mereka dengan bidang yang sesuai berpandukan kepada potensi dan prestasi yang mereka tonjolakan sejak kecil. Yang penting, pengukuhan terhadap pendidikan agama Islam, akhlak dan sahsiah adalah lebih-lebih lagi perlu ditekankan. Kami tidak pernah mengharapkan anak-anak misalnya mesti lancar membaca pada usia lima tahun, atau mesti mendapat nombor top 3 dalam peperiksaan tetapi terpulanglah kepada potensi masing-masing kerana setiap anak-anak itu berbeza. Sekurang-kurangnya jika anak-anak masih mampu bersaing dan tidak terlalu ketinggalan dalam pendidikan, tidak perlu berasa risau. Ada perkara lain yang lebih penting dan perlu ditekankan pada anak-anak adalah hal ibadah, akhlak, kemahiran komunikasi dan sosialnya selain dari life skill. Apalah gunanya mendapat tempat pertama atau pandai membaca pada usia 4 tahun sekiranya masih tidak mampu bersolat 5 waktu pada usia tujuh tahun. Panduan yang kami gunakan dalam mendidik anak-anak adalah berdasarkan sunnah Rasullullah S.A.W. seperti di dalam gambar ini. InsyaAllah semoga sama-sama dapat dijadikan panduan.

Syukur juga Allah memberi peluang pendedahan pendidikan di luar negara pada anak-anak. Pengalaman itu telah banyak membuka minda anak-anak dan menjadikan anak-anak lebih menghargai dan menghayati kehidupan yang sebenar sebagai seorang Muslim. Penerapan kepada nilai-nilai murni seperti hormat menghormati dan pergaulan yang baik tanpa mengira agama dan bangsa juga telah dihayati oleh kami sekeluarga semasa menetap di sana. Di sekolah, kawan-kawan mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dari negara yang berbeza. Kawan Ariff kebanyakannya dari Australia sendiri antara yang saya ingat Brandon Evan, David B dan David C dan ada seorang daripada Sarawak tetapi telah lama menetap di Australia yang saya lupa namanya. Begitu juga dengan Akeef dan Najla mempunyai kawan-kawan dari negara Jepun, China dan German. Di negara sendiri, walaupun berbilang bangsa, agak sukar untuk bergaul dengan bangsa yang lain lebih-lebih lagi kerana kami menetap di Putrajaya yang majoritinya adalah Bumiputra. InsyaAllah, peluang yang diperolehi ini akan dimanfaatkan untuk mendidik diri sendiri dan anak-anak menjadi pendakwah yang lebih baik. :-)



Monday, September 29, 2014

Aleesya Nour: Tiada Lagi Eczema

Zaman selepas masuk millinium ini, semakin menjadi-jadi pula anak-anak yang dijangkiti eczema. Kata emak dan mak mertua, zaman dulu-dulu jarang mendengar penyakit eczema tetapi sekarang, bayi tak sampai usia sebulan pun sudah ada yang dijangkiti eczema. Ada yang kata disebabkan genetik ibu bapa, pemakanan yang diambil oleh ibu semasa mengandung dan macam-macam lagi. Maklumlah, zaman sekarang makanan mungkin sudah banyak perubahan daripada zaman dahulu. Dahulu, orang jarang makan di kedai, penggunaan ajinomoto di kedai mungkin lebih berbanding memasak sendiri yang tak pakai langsung ajinomoto. Begitu juga dengan makanan segera yang kalau diikutkan tiada khasiat melainkan risiko penyakit yang menanti bila sampai masanya. Walaupun ramai yang tahu hakikat itu, memang agak mustahil untuk mengelakkan untuk tidak makan di luar, bab mengelakkan makanan segera tu insyaAllah boleh berjaya jika ibu dan ayah kuat semangat.. ^-^


Setelah hampir setahun setengah bergelumang dengan eczema, alhamdulillah Aleesya Nour semakin pulih dan hampir recover setelah menjangkau usia tiga tahun. Sepanjang tempoh setahun setengah itu, macam-macam ikhtiar dan suka duka dilalui untuk melihat Aleesya Nour kembali cantik kulitnya dan tidak tergaru-garu lagi. Daripada cara tradisional sampailah kepada doktor pakar kulit yang bayaran hampir mencecah ribuan ringgit sudah cuba diikhtiarkan. Bila ada kelapangan, saya membaca dan mengkaji (ala-ala researcher) mengenai eczema melalui internet. Melalui kajian itulah saya bertemu dengan kumpulan Natural Healing For Asthma, Allergies & Eczema (NAAE) melalui blognya di SINI dan facebooknya di SINI.

Melalui pembacaan dan panduan rakan-rakan di NAAE saya mencuba produk keluaran negara kelahiran Aleesya Nour, Australia iaitu Moogoo. Moogoo ini produknya berasaskan bahan-bahan semulajadi. Harganya boleh tahan juga tetapi masih reasonable. Produk Moogoo tidak dijual di kedai-kedai biasa melainkan di farmasi tertentu atau nak senang boleh beli online di SINI atau di laman web farmasi di Home Care Pharmacy dengan harga yang lebih menjimatkan tanpa perlu berpeluh atau mencari parking. Maklumat lanjut mengenai produk juga boleh dilihat di laman webnya. Jika di area Putrajaya ini, Moogoo boleh didapati di Watson Anjung dan Watson Alamanda. Semua farmasi Cosway juga ada menjual produk Moogoo tetapi disebabkan produknya agak hot, memang cepat habis terutama Udder Cream. Oh ya, masa mula-mula saya nak mencuba, saya beli trial set yang harga pasarannya RM189.90 tetapi masa tu Watson ada diskaun 5% dan ditambah 5% lagi sebab saya ada kad Watson. 

Ada empat item dalam trial pek ini seperti berikut:
1) Moogoo Milk Wash - sabun mandian yang mengandungi minyak kelapa. Baunya lembut dan melembapkan kulit.
2) Udder Cream- krim pelembap yang saya sapu sebaik sahaja selepas Aleesya Nour mandi (masa kulit masih lembap). Alhamdulillah sangat berkesan, kurang gatal dan tak menggaru-garu lagi.
3) Irritable Skin Balm- balm ini saya sapu di bahagian yang ketara kering atau gatal biasanya di bahagian pelipat, pergelangan kaki dan tangan. Biasa sapu pada waktu malam sebelum tidur atau bila dia berjaga malam kerana nak menggaru.
4) MSM Soothing Cream - yang ini pula saya sapu di bahagian yang luka atau bercalar disebabkan digaru dengan penuh semangat. Saya pernah try MSM ni masa bibir saya kering dan luka disebabkan alergik lipstick, alhamdulillah sangat berkesan.

Source: http://i-am-wanie.blogspot.com/2013_06_01_archive.html
Selain menggunakan Moogoo, saya juga sapukan Virgin Coconut Oil (VCO) pada Aleesya Nour pada waktu-waktu yang lain selain selepas mandi pagi demi untuk penjimatan. ^-^. VCO ni saya beli direct daripada pengusahanya di kampung, jadi dapat dengan harga yang sangat murah berbanding di kedai-kedai lain. Untuk berkongsi manfaat yang sama dengan orang lain, saya turut menjual VCO pada rakan-rakan sepejabat dan secara online, memang cepat habis dan ramai yang menanti-nanti saya balik ke kampung untuk restock bila dah habis tu. Salah seorang rakan di pejabat saya yang menjadi pembeli setia VCO sejak dua tahun dulu berbangsa India dan dia belikan untuk ibunya yang kurang sihat. Katanya, maknya tak boleh hidup tanpa VCO ni, kalau tak mesti kulitnya jadi kering dan kadangkala luka kerana digaru. Setiap bulan dia akan ambil dua botol. "Saya sudah survey banyak tempat, tak jumpa harga murah macam akak jual," katanya... Alhamdulillah, dapat sama-sama berkongsi manfaat dengan orang lain.

Selain sapuan di luar, pemulihan dalaman juga amat penting untuk anak-anak eczema. Berdasarkan pengalaman saya merawat Aleesya Nour, pemakanan sunnah adalah yang paling sesuai dan berkesan dengannya. Awalnya, saya beri dia madu, kurma, kismis dan VCO tetapi bila sudah jumpa produk yang mengumpulkan semua makanan sunnah dalam satu botol dengan rasa yang sedap, satu terus konsistem dengan Qaseh Junior sampai daftar jadi ahli. Alhamdulillah makanan sunnah memang banyak membantu menguatkan sistem imunnya dari dalam. Saya juga berkongsi kebaikan produk Qaseh Gold keluaran Ana Edar ini dengan rakan-rakan. 


Selain Qaseh Junior untuk anak-anak, saya sendiri ambil Qaseh Adinda dan tuan suami pula Qaseh Kekanda sebagai makanan sunnah yang lengkap, mudah dan sedap. Alhamdulillah setelah mengamalkannnya sendiri saya berpuas hati dan jatuh cinta dengan Ana Edar kerana produk keluarannya yang berkualiti dan berguna untuk sekeluarga. Selain Qaseh Gold, ada juga tonik rambut yang diperbuat daripada minyak zaiton (tonik rambut terbaik yang saya pernah guna), lipstick penjagaan bibir yang mengikut warna darah bila disapu, penjagaan kecantikan wajah dan makanan peningkatan IQ untuk anak-anak yang belajar. Syukur sangat Allah bagi peluang saya bertemu dengan produk Ana Edar yang dirasakan lebih dekat dengan jiwa kerana ianya keluaran Muslim dan menjalankan perniagaan bagi menunaikan tuntutan fardhu kifayah bagi memasarkan produk Muslim yang dijamin halal dan insyaAllah bermutu. Jika ada yang ingin mencuba, jangan segan-segan hubungi saya untuk dapatkan harga istimewa. Cash on Delivery boleh, penghanataran ke seluruh Malaysia pun boleh, insyaAllah...  :-)



Friday, August 15, 2014

Mengemaskini Matlamat Jangka Panjang

Rasanya sudah agak lama saya tidak mengemaskini dan menyemak matlamat jangka panjang yang pernah dicatatkan dalam blog satu ketika dulu. Kali terakhir ia dibuat ialah pada 2011 iaitu tiga tahun dahulu. Setelah memasuki tahun ke-10 perkahwinan dengan lima orang anak, pengemaskinian adalah sangat-sangat perlu. Sudah banyak perubahan dan perancangan baru yang berlaku dalam tempoh tersebut.

Senarai matlamat terdahulu (2011):
1. Tamat Masters: 2011  SELESAI 2011
2. 5th baby: 2013 SELESAI 2014
3. Naik 48: 2014 2018 (Tidak pasti boleh dicapai atau tidak kerana polisi sudah berubah)
4. Sambung Phd: 2014 Digugurkan kerana berhasrat untuk memberi tumpuan kepada anak-anak dan peluang kepada tuan suami untuk menyambung pengajian.
5. Buy 2nd house: 2015 SELESAI --> 2012 (tanah lot) 2013 (rumah) Alhamdulillah...
6. 6th baby: 2016 Perbincangan lanjut akan diadakan dengan ketua keluarga :-D
7. Start business: 2016 2013 (bisnes kecil-kecilan Minyak Kelapa Dara)
8. Perform Hajj: 2020 --> InsyaAllah...

Matlamat Tambahan
9.  Menyelesaikan hutang rumah pertama: 2015
10.Berhijrah untuk anak-anak: 2016 (Berhasrat untuk membentuk anak-anak menjadi seperti Nouman Ali Khan)
11.Mengerjakan umrah: 2018
12.Membeli rumah ke-3 (rumah lelong) : 2018
13.Membeli rumah ke-4: 2022


Alhamdulillah, 1/3 daripada matlamat terdahulu telah dapat dicapai. Matlamat terbaru yang disenaraikan adalah persediaan untuk mendapatkan pendapatan pasif, manalah tau jika hendak menjadi suri rumah lebih awal dan membuka perniagaan sepenuh masa pada masa depan... :-)

Apa pun yang akan berlaku, semoga Allah memudahkan perjalanan hidup ini dalam mencari redha Allah dan dijauhkan dari bala bencana dan kesusahan. Allah lah tempat untuk bergantung dan ketetapanNya jua adalah terbaik untuk kita, nikmat mahu pun ujian...

Wednesday, August 13, 2014

Kelahiran Azzah Nurjannah di Hospital Putrajaya

Alhamdulillah pada 31 Mac 2014 yang lalu, saya telah selamat melahirkan permata hati ke-5/ puteri ke-3 kami yang diberi nama yang begitu indah, Azzah Nurjannah Mohd Nasir. Setelah selamat cuti bersalin tiga bulan + satu bulan Cuti Tanpa Gaji barulah saya berpeluang mencoretkan kisah melahirkan kali ke-5 ini.

Azzah Nurjannah lahir awal dua hari daripada tarikh jangkaan asal (2 April 2014). Saya memang berharap dia akan lahir pada bulan Mac memandangkan dalam keluarga kami yang kesemuanya lahir pada awal tahun, setiap bulan akan ada dua orang menyambut hari lahir:

  • Januari: Ariff (12/1) dan Ummi (31/1)
  • Februari: Ayah (20/2)
  • Mac: Akeef (1/3) dan Azzah (31/3)
  • April: Adreana (20/4) dan Aleesya (15/4)
Dengan kelahiran Azzah pada bulan Mac, Akeef tidak keseorangan lagi dalam gang bulan Mac... :-)

Walaupun sudah enam kali mengandung dan lima kali bersalin, setiap pengalaman itu berbeza antara satu dan yang lain. Saya menjalankan pemeriksaan rutin di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya dan Kajang Plaza Medical Centre (Dr Anita --> di sini boleh lihat keadaan bayi dengan pengimbas dan berjumpa doktor pakar). Alhamdulillah semuanya berjalan lancar sepanjang kehamilan cuma saya sering berasa mengantuk sampai tidak tertahan-tahan. Pantang ada waktu lapang, biasanya akan tidur atau tertidur (tanpa niat). Tak semena-mena, pada pemeriksaan minggu ke-37, kedudukan bayi jadi songsang (kepala ke atas dan kaki ke bawah). Saya tidak pernah mengalami pengalaman seperti ini sebelum ini. Melalui pembacaan dan nasihat Dr Anita, kedudukan bayi boleh diusahakan ke tempat asal dengan prosedur External Cephalic Version (ECV) memandangkan saya tidak pernah melahirkan secara pembedahan sebelum ini. Menurutnya lagi, keadaan ini adalah normal bagi ibu-ibu yang telah hamil beberapa kali kerana saiz rahim sudah agak 'luas' dan bayi ada banyak ruang untuk ke sana ke mari... :-)

Pemeriksaan di klinik kerajaan pula memohon saya untuk terus membuat pemeriksaan lanjutan di Hospital Putrajaya memandangkan keadaan tersebut agak berisiko untuk bersalin normal. Saya kembali membuat pemeriksaan pada minggu ke-38. Daripada kedudukan songsang, minggu ini kedudukan anak bertuah ini sudah jadi melintang (kepala di sebelah kanan perut dan kaki di sebelah kiri). Menurut doktor, jika kedudukan masih sama, kelahirannya hanya dapat dijalankan melalui pembedahan. Walaubagaimanapun, doktor tetap meyakinkan saya yang bayi ini akan kembali ke kedudukan yang betul nanti kerana ini adalah kehamilan saya yang ke-5. Katanya, keadaan anak yang bersedia atau kata orang sudah turun hanyalah bagi kelahiran pertama atau ke-dua saja. Bagi kelahiran yang seterusnya, bayi hanya akan bersedia apabila memang sudah sampai masanya dan sakit contraction pun datang.

Berdasarkan pembacaan, macam-macam petua yang saya jumpa untuk bayi kembali pada kedudukan yang betul. Antara yang saya cuba lakukan ialah sujud lebih lama semasa solat dan bercakap-cakap dengan bayi dalam perut supaya berada pada kedudukan yang terbaik untuknya dan saya. Jika memang Allah tentukan saya akan melahirkan secara pembedahan mahu pun secara normal, itu semua adalah ketentuan Allah yang sudah tentu ada hikmahnya. Akhirnya pada pemeriksaan yang ke-39, anak bertuah ini sudah kembali kepada kedudukan asalnya, kedudukan yang normal, alhamdulillah...

Empat hari selepas menjalani pemeriksaan rutin pada minggu ke-39, saya sudah mula contraction. Kali ini saya sudah mula berasa mild contraction dua hari sebelum hari kelahiran. Sakitnya datang dan pergi, pagi datang, petang hilang dan malam datang kembali. Mengikut pengalaman terdahulu, saya menjangkakan saya akan melahirkan dalam tempoh sehari dua lagi dan tidak berhasrat untuk ke hospital. Sepanjang tempoh sakit itu, saya tidak duduk diam, saya membuat kerja-kerja rumah yang ringan dan berjalan ke sana ke mari. Alhamdulillah mak pun sudah seminggu sampai dari kampung, tidaklah risau sangat dengan penjagaan anak-anak yang lain bila kami ke hospital.Pada malam 30 Mac 2014, contraction terasa kembali dan saya hanya tidur-tidur ayam. Saya merancang hanya akan ke hospital setelah air ketuban pecah sendiri supaya tidak perlu lama di labor room dan saya lebih suka jika kebanyakan prosedur dapat dijalankan secara semulajadi, seperti pengalaman melahirkan di Brisbane dulu. Akhirnya pada jam 2 pagi, terdengar letupan kecil dari dalam perut diikuti dengan air ketuban yang keluar menderu-deru, sama seperti pengalaman melahirkan Ariff pada 2005 dahulu.

Tuan suami membawa saya ke hospital pada jam 2.30 pagi. Walaupun sudah menjadi ayah kepada empat orang anak, masih terlihat riak cemas dan 'excited' pada wajah tuan suami. Semasa tiba di kecemasan, hanya saya seorang yang berada di kaunter tetapi setelah saya masuk ke bilik pemeriksaan, menderu-deru pula ibu lain yang bakal bersalin datang. Selepas menjalankan pemeriksaan kira-kira jam 3 pagi, saya dimaklumkan saya akan terus ke labor room kerana bukaan sudah mencapai 5cm. Satu perkembangan baru dan sangat baik di Hospital Putrajaya ialah alunan bacaan Al-Quran dipasangkan di kawasan labor room. 

Waktu ini, tahap sakit masih lagi mild dan kadang-kadang hilang. Semasa di labor room, seperti biasa, peralatan untuk menyambut bayi telah disediakan. Rasa sangat-sangat teruja melihat katil dan selimut bayi yang bakal keluar diletakkan di sebelah saya. Beberapa orang jururawat yang baik hati datang bertanya keadaan saya sebelum saya mula 'berjuang'. Jururawat sudah berpesan supaya terus beritahu supaya rasa nak 'push' datang. Oleh kerana rasa itu tidak datang-datang, selepas satu jam dalam labor room doktor mengambil keputusan untuk mempercepatkan kelahiran bagi mengurangkan risiko disebabkan air ketuban saya sudah lama pecah. Sakit yang tidak terucap dengan perkataan apabila doktor menjalankan prosedur sampai menitik air mata. Tapi alhamdulillah, dalam masa lima belas minit selepas itu, Azzah Nurjannah selamat melihat dunia pada jam 4.53 pagi. Apgar score awal kelahirannya hanya 5/10 disebabkan Azzah sudah 'penat' menunggu untuk keluar sehingga tidak menangis. Jururawat juga maklumkan yang Azzah sudah terbuang air besar semasa dilahirkan. Azzah dimasukkan ke dalam inkubator seketika untuk diberikan oksigen. Alhamdulillah doktor mengambil tindakan segera dan apgar scorenya mencapai 10/10 dalam masa 5 minit kemudian.

Alhamdulillah kini Azzah Nurjannah sudah mencapai usia empat bulan dengan berat 6.5kg, bayi montel yang peramah dan suka tersenyum dan ketawa. Dalam usia empat bulan, Azzah pandai meniarap dan merangkul gelaran anak paling mudah dijaga dan paling suka tersenyum daripada kelima-lima adik beradik. :-)

Thursday, January 23, 2014

2014: Tahun Baru, Menanti Anak Baru...

Fuh..fuh... (meniup habuk dengan kuat), lama sudah blog terbiar dan tidak dikemaskini. Selain daripada tiada kesempatan, kekeringan idea untuk menulis juga membekukan semangat untuk menaip di blog. Alhamdulillah, sudah 20 hari menjengah di tahun 2014 dan Allah memberi peluang untuk saya mengandung anak ke-5 (kandungan ke-6) yang telah memasuki minggu ke-30 pada minggu ini. Syukur setakat ini ibu dan bayi sihat dan tiada sebarang masalah kecuali morning sickness yang agak lebih daripada biasa pada awal kandungan. Saya menjalankan pemeriksaan rutin di Klinik Kesihatan Presint 9 Putrajaya dan sekali sekala ke Kajang Plaza Medical Centre bertemu Dr Anita, pakar O&G di sana.Mudah-mudahan Allah memberi kelancaran pada kandungan ini seperti anak-anak sebelum ini...

Tahun ini, sudah tiga orang anak bersekolah rendah di Sekolah Rendah Islam ABIM. Ariff di tahun 3 Hamzah, Akeef 2 Omar dan Najla di tahun 1 Abu Bakar. Alhamdulillah semua anak-anak kelihatan gembira pada sesi persekolahan yang baru. Walaupun ini merupakan pengalaman pertama Najla di sekolah rendah, dia sangat mudah menyesuaikan diri dan kelihatan sangat bersemangat ke sekolah walaupun pertama kali perlu memakai tudung dari jam 7 pagi hingga waktu saya menjemputnya kira-kira 6 petang. Bila ditanya sama ada bersekolah tadika atau sekolah Abim yang lebih seronok, jawabnya tentulah sekolah Abim kerana boleh dapat duit belanja dan beli di KOOP.. :-D.

Alhamdulillah banyak perubahan positif pada Najla sejak mula bersekolah, dia memakai pakaian menutup aurat dengan tudung dan stoking secara konsisten setiap kali keluar, lebih mudah bangun pagi dan bersiap ke sekolah  dan menjaga solat lima waktu. Saya dan suami sangat gembira dengan perubahan positif ini. Baru dua minggu bersekolah, Ariff dan Akeef terpaksa bercuti sakit selama seminggu kerana dijangkiti chicken pox. Bagi mengelakkan adik-adik turut terjangkit dan saya pula mengandung, mereka dihantar bercuti ke kampung halaman di Kampar, Perak. Berdasarkan pembacaan, adalah agak berisiko sekiranya ibu mengandung dijangkiti demam chicken pox. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik kepada kami sekeluarga...

Aleesya Nour pula masih di Taska D'Sayang Kementerian Kesihatan tetapi sudah bertukar ke kelas yang lebih 'dewasa' kerana sudah ada uniform dan mula belajar. Eczemanya masih ada walaupun terkawal. Cuma tiap-tiap malam masih mahu menggaru. Buat masa ini kami menagadakan perjumpaan rutin dengan doktor pakar di Hospital Putrajaya setiap 4-6 bulan berdasarkan temujanji. Hospital turut membekalkan ubat-ubatan seperti Aquoes dan Hydrocote cream tetapi saya menggunakan produk steroid-free, Moogoo yang dibeli sendiri di farmasi. Sudah besar dan sungguh petah bercakap dan menyanyi. InsyaAllah genap 3 tahun nanti Aleesya Nour akan mendapat adik baru pula dan harap-harap dia pandai menjaga adik nanti...

Friday, January 04, 2013

Ilmu Fardhu Ain: Tanggungjawab Siapa?

Setiap kali berada dalam kereta, radio kegemaran yang akan saya dengari tidak lain dan tidak bukan ialah Ikim.fm. Saya suka mendengar Ikim.fm kerana sangat banyak perkara yang saya belajar di samping mengingatkan semula diri yang sudah sedia lemah dan lalai. Dari Ikim.fm lah saya banyak belajar memperbaiki skil keibubapaan dan isteri selain dari ilmu-ilmu lain yang berguna untuk kehidupan di dunia dan akhirat. Antara personaliti jemputan yang saya minati ialah Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Prof Dr Muhaya, Ustaz Zaharuddin dan tetamu-tetamu jemputan dalam siaran Islam Agamku setiap petang Khamis. Dr Sidek Baba berselang seli dengan Dr Mohd Farid Mohd Shahran juga ada bersiaran pada setiap petang Isnin dalam siaran Guru dan Pendidikan.

Satu ilmu baru yang nampak kecil tetapi memberi impak yang besar yang saya perolehi semasa mendengar Ikim.fm ialah berkaitan pendidikan asas ilmu Fardhu Ain kepada anak-anak. Menurut Dr Mohd Farid Mohd Shahran, memberi ilmu Fardhu Ain sebenarnya adalah tanggungjawab ibu bapa. Kesilapan ibu bapa pada hari ini ialah ramai yang outsource tanggungjawab tersebut kepada pihak luar contohnya mengajar membaca Iqra' dan Al-Quran kepada anak-anak dihantar kepada ustaz dan ustazah di luar, belajar solat dan hukum-hakam pula diharapkan kepada ustaz dan ustazah di sekolah. Jadi bila anak lambat naik Al-Quran atau tidak betul rukun solatnya, ustaz dan ustazah di luarlah yang seringkali dipersalahkan sedangkan tanggungjawab itu sebenarnya terletak pada ibu bapa. Pihak di luar hanya membantu dan memperkuatkan lagi kemahiran anak-anak sahaja.

Seboleh-bolehnya tanggungjawab mengajar anak membaca Al-Quran perlu dilakukan oleh ibu bapa. Jika ibu bapa tidak pandai, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk belajar sehingga pandai dan mampu mengajar anak-anak membaca Al-Quran dengan betul. Anak-anak yang diasuh oleh ibu bapanya sendiri membaca Al-Quran akan menjadi anak-anak yang lebih yakin pada diri sendiri dan lebih menghormati ibu bapanya. Bagi anak-anak, ibu dan bapa merekalah hero pertama mereka sebelum mereka mengenali hero-hero yang lain. Alangkah beruntungnya dan bertuahnya anak-anak jika hero pujaan mereka sendiri dapat mengajar mereka mengaji di rumah.

Begitulah juga dengan ilmu asas fardhu ain seperti solat, berpuasa, mengenali Allah dan sebagainya. Sebagai ibu bapa Muslim, kita mesti memastikan anak-anak mampu berwudhu dan bersolat dengan betul. Sesi memperkenalkan Pencipta yakni Allah kepada anak-anak juga boleh dilakukan secara tidak langsung semasa sesi bermain-main dengan anak-anak atau berada dalam kenderaan. Segala perkara yang ada di sekeliling kita boleh dikaitkan dengan kewujudan Allah seperti awan, pokok-pokok, binatang, makanan dan sebagainya. Penerapan akidah yang kukuh sejak kecil amat penting untuk membina keyakinan terhadap Islam dan membina kekuatan diri ketika anak-anak menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Pergantungan yang tinggi kepada Allah akan menjadikan anak-anak seorang yang redha dan sentiasa berbahagia dalam hidupnya kerana yakin setiap apa yang berlaku adalah kehendak Allah.

Thursday, December 27, 2012

Persiapan Sekolah Anak-anak

Alhamdulillah tahun Masihi 2013 yang bakal menjelma  empat hari lagi. Kebetulan pula tahun baru 1433 Hijrah juga baru saja berlangsung. Lazimnya pada setiap tahun baru kita akan memasang azam baru untuk memperbaiki diri lebih baik dari tahun sebelumnya. Bagi tahun Hijrah yang baru ini, saya berazam untuk memperbaiki kemahiran dan sifat seorang ibu dan isteri yang lebih baik dari sebelum ini. Oleh itu, marilah kita sama-sama menambah ilmu keibubapaan dan rumahtangga menurut Islam dan menambah amalan-amalan yang boleh melembutkan hati seperti zikir, solat malam dan membaca Al-Quran agar Allah mudahkan diri kita untuk menerima hidayah dan mengamalkan perkara-perkara yang dituntut oleh syariat. Hidayah Allah tidak semestinya datang kepada orang yang bukan Muslim sahaja tetapi, kita yang sudah Muslim ini juga mesti sentiasa mengharapkan hidayah Allah supaya diberi kekuatan memilih perkara yang Allah suka dari perkara yang Allah murka dan berdoa agar dimatikan dalam iman.

Kurang seminggu lagi persekolahan sesi baru akan bermula. Persiapan sekolah anak-anak sudah hampir lengkap. Untuk persekolahan tahun hadapan, mana-mana peralatan sekolah yang masih baik, akan terus  digunakan seperti beg sekolah, baju sekolah, kasut dan stokin. Alat tulis juga tidak banyak yang perlu dibeli kerana anak-anak banyak mendapat alat tulis baru dari goodie pack malis hari jadi kawan-kawan. Awal-awal lagi saya sudah mendapat persetujuan anak-anak tentang mana-mana alat yang masih elok, ummi dan ayah tidak akan belikan yang baru dan akan masih digunakan untuk sesi sekolah yang datang. Alhamdulillah anak-anak pun bersetuju. Tujuan utama adalah untuk mengajar anak-anak supaya bersyukur dan menghargai setiap perkara yang mereka perolehi selain dari mengelakkan pembaziran. Saya bimbang jika anak-anak biasa diberi yang baru walaupun yang lama masih elok, mereka akan terbawa-bawa sifat itu sehingga dewasa dan akan memberi kesan kepada amalan dan hati anak-anak.

Tahun 2013 ini Ariff akan menginjak ke tahun dua, Akeef di tahun satu dan Najla tadika enam tahun. Ariff dan Akeef akan sama-sama bersekolah di SRI Abim manakala Najla akan meneruskan pengajian tadikanya di BBIM. Jika ada rezeki, Najla juga diharapkan dapat ke SRI Abim bersama abang-abang pada tahun 2014, insyaAllah. Aleesya yang bongsu setakat ini akan terus ber'sekolah' di Taska De'Sayang, Kementerian Kesihatan sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi. Bila dia sudah masuk usia empat tahun nanti barulah kami bercadang untuk menempatkan Aleesya di sekolah yang lebih formal. Untungnya ada anak-anak bersekolah berturut-turut ini kerana buku teks boleh diturunkan dari seorang ke seorang. Harap-harap untuk beberapa tahun ini tiada perubahan besar dalam silibus pelajaran di sekolah supaya buku-buku teks anak-anak dapat diturunkan untuk sekurang-kurangnya untuk Ariff, Akeef dan Najla. Syukur juga buku-buku Ariff dulu masih elok dan baik keadaannya.

Untuk ibu-ibu yang ada anak-anak yang bersekolah pada tahun hadapan, selamat membuat persiapan terakhir dan selamat kembali ke hari-hari rutin dan sibuk semula. InsyaAllah walaupun sedikit lelah dan terkejar-kejar menguruskan hal ehwal anak di musim persekolahan, ganjaran pahala tersedia buat ibu-ibu. Mudah-mudahan Allah memudahkan urusan kita dan memberi laluan kepada kita menjadikan anak-anak yang cemerlang di dunia dan akhirat...

Friday, December 21, 2012

Adreana Najla, Aleesya Nour dan Eczema

Pada cuti persekolahan yang panjang kali ini, kami belum berpeluang membawa anak-anak untuk bercuti ke mana-mana tempat peranginan secara rasmi kerana kesibukan Cik Abang Sayang dengan urusan kerja dan pengajian Sarjana secara separuh masanya. Setiap hari Sabtu dipenuhi dengan kelas dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Sebelum masuk waktu maghrib barulah Cik Abang Sayang tiba di rumah. Tinggallah saya dan Aleesya membuat aktiviti bersama-sama kerana abang-abang dan kakak masih di kampung.

Hanya pada hujung minggu lepas kami berpeluang mengikut suami yang menghadiri mesyuarat di Bukit Gambang Resort City, Kuantan pada hujung minggu. Kebetulan keluarga turut ditanggung semasa penginapan di sana, kami pun mengambil peluang untuk 'menemani' suami bermesyuarat. Hanya perlu tambah bayaran RM200 untuk menukar bilik dari studio kepada apartment dua bilik.

Sebaik tiba di sana, keadaan bilik tidaklah seperti yang saya bayangkan. Dalam banyak-banyak tempat penginapan yang pernah saya hadiri kerana mengikut suami bermesyuarat, Bukit Gambang Resort City tidak dapat menandingi markah keselesaan dan kualiti servis berbanding dengan tempat-tempat penginapan lain yang pernah kami duduki sebelum ini. Saya pun tidak dapat mengingati nama-nama tempat penginapan yang pernah disinggahi di Port Dickson, Cherating, Kuantan, Melaka, Sabah dan Damai Laut. Sebelum ini pun percutian bukanlah aktiviti rutin kami tetapi insyaAllah selepas ini kami akan cuba mengadakan percutian bersama keluarga sebagai aktiviti tahunan memandangkan anak-anak pun sudah besar dan ada keinginan untuk berjalan-jalan.

Cuma satu perkara yang perlu diberi perhatian lebih apabila bercuti adalah masalah kulit kakak Najla dan Aleesya yang mengalami eczema. Mereka mula dikesan menghidapi eczema setelah berusia setahun lebih. Alhamdulillah masalah eczema Najla semakin pulih bila dia makin besar tetapi diganti pula dengan masalah selsema yang berterusan. Semasa dia masih kecil, ada beberapa klinik pakar dan kulit yang telah kami lawati dan menurut doktor masalah eczema adalah penyakit yang lazim dihadapi oleh kanak-kanak atau orang dewasa dan biasanya ia akan hilang dengan sendiri bila anak-anak bertambah usia. Usia sebenar akan berakhir itu tidak dapat dipastikan, bergantung kepada bila anak-anak mula dijangkiti eczema. Lebih cepat kena, lebih cepatlah baiknya. Menurut doktor, itu juga adalah penyakit keturunan sama ada ibu bapa ada yang asma, resdung atau sakit kulit. Bila diimbas semula memori barulah saya teringat yang masa zaman saya bersekolah dulu saya dijangkiti selsema yang tidak berkesudahan terutama pada waktu pagi. Bersin dan tisu itu sudah menjadi perkara rutin buat saya pada waktu itu. Entah bila tiba-tiba selsema itu hilang dengan sendiri, saya pun tidak sedar tapi kalau tidak silap semasa awal sekolah menengah.

Sambung cerita tentang percutian di Gambang. Selepas sakan mandi kolam renang di Gambang, kulit Aleesya dijangkiti eczema yang sangat teruk sehingga lukanya berair terutama di keliling tangan. Sedih sungguh saya melihatnya tetapi sifatnya yang tetap aktif dan ceria mengurangkan kerisauan di hati. Sebaik sahaja tiba di Kampar selepas bercuti, kami terus ke Klinik Nagoke di Tanjung Tualang yang terkenal dengan kemujaraban ubatnya (dengan izin Allah) bagi penyakit kulit. Waktu Najla dulu pun, kami pernah mendapatkan rawatan di klinik yang sama. Sampai pukul 12 tengah hari dan orang sudah beratur panjang. Pesakit di klinik ini memang sangat ramai dan saya pulak hampir terlupa tentang itu. Sebaiknya kena tiba awal pagi supaya dapat nombor awal dan dapat lebih awal berjumpa doktor. Disebabkan nombor pagi sudah habis, saya diberi nombor awal tapi untuk sesi jam dua petang. Mujurlah rumah kampung mak abah tak jauh dari klinik, lebih kurang 15 minit perjalanan. Kami pun pulang ke rumah semula dan akan terus ke klinik sebelum bertolak balik ke Putrajaya petang itu juga.

Bila tiba giliran berjumpa doktor, beliau maklumkan Aleesya sudah terkena kudis api akibat dari bakteria, mungkin semasa mandi manda di kolam renang Gambang Resort dan akibat kandungan klorin air kolam yang tinggi. Kata doktor lagi, disebabkan muka Aleesya sama seperti saya, sayalah yang menurunkan penyakit eczema itu kepada anak-anak, :-D. Doktor di Klinik Nagoke ini namanya Dr Sivadas, merupakan seorang doktor berbangsa India tetapi menguasai bahasa Kantonis, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik. Saya mendengar dia bercakap dalam kesemua bahasa itu dengan lancar dengan pesakit dan stafnya.  Menurut mak, seorang stafnya yang berbangsa Melayu pandai berbahasa Kantonis juga. Mungkin dia boleh berbahasa Arab juga, saya tidak pasti. Bila diajukan bagaimana beliau boleh bercakap Kantonis dengan baik, katanya dia belajar sendiri. Kliniknya di Tanjung Tualang ini terletak di perkampungan Cina dan sebahagian penduduk Cina yang tinggal di kampung tidak boleh berbahasa Malaysia dengan baik. Jadi dia perlu menguasai bahasa mereka supaya dapat membantu dan mengubati mereka dengan baik. Patut lah terdapat banyak plag dan tulisan di kliniknya dalam bahasa Cina. Mungkin ia dihadiahkan oleh penduduk kampung itu atau pesakitnya yang berbangsa Cina.

Menurut Dr Siva, anak-anak yang mengalami eczema tidak ada kaitan dengan pemakanan yang diambil. Jadi tak perlu pantang apa-apa makanan kecuali memang jelas anak-anak allergic kepada sesuatu makanan setelah mencubanya dan beliau juga tidak galakkan saya untuk ambil ujian mengesan allergic anak. Katanya ujian itu dikhususkan untuk 'orang putih' dan tidak begitu sesuai dengan orang Malaysia. Jika ujian diambil, keputusannya tidak begitu tepat dan akan ada banyak benda yang anak-anak tidak boleh makan. Saya hanya mendengar, tidak kata setuju atau tidak bersetuju. Tapi kalau doktor pakar kulit sendiri sudah kata begitu, saya membatalkan niat untuk ambil ujian tersebut untuk Aleesya. Begitu juga dengan pemilihan susu anak. Jika anak-anak yang eczema sudah diperkenalkan dengan susu lembu, penukaran kepada susu soya tidak memberikan banyak perbezaaan pada kulit anak melainkan jika anak terus dikenalkan dengan susu soya. Anak-anak eczema juga lebih selesa jika dapat tidur dalam air-cond beserta kipas angin yang terpasang kerana kepanasan dan peluh merupakan musuh utama kepada eczema. Kami dibekalkan dengan dua botol kecil sabun mandian khas, sebotol losyen dan krim kulit beserta antibiotik. Bayaran yang dikenakan hanya RM106 sahaja, sangat berbaloi dengan ubat-ubatannya yang insyaAllah berkesan, tips dan nasihat yang diberikan. Ibu bapa yang ada anak-anak eczema tentu lebih arif tentang harga 'bahan penjagaan' kulit anak-anak yang eczema. Sebab itulah bagi saya harganya berbaloi jika dibandingkan dengan harga sabun dan ubat di farmasi. Alhamdulillah selepas sehari mengenakan losyen, krim dan sabun mandian dari Klinik Nagoke, kulit Aleesya menunjukkan reaksi positif. Hari ini, kulitnya semakin sembuh dan kulit yang dijangkiti itu menggelupas sedikit demi sedikit dan digantikan dengan kulit yang baru. Selepas ini, ayah tak perlu panggil Aleesya Si Tompok dan ummi juga tak boleh menyebut Aleesya Si Bintik-bintik lagi... :-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...