Followers

Tuesday, February 10, 2015

Berhijrah Daripada Zon Selesa

Penghijrahan daripada satu keadaan atau sikap kepada perubahan yang lebih baik amatlah dituntut oleh agama. Perbincangan mengenai pengertian hijrah dan hikmahnya dari sudut agama banyak dibincangkan di dalam artikel, majalah mahu pun laman web. Hijrah secara fizikal dari satu tempat ke satu tempat lain, jika disusuli dengan niat yang betul kerana Allah, insyaAllah kebaikan akan menyusul. Namun jika penghijrahan dilakukan semata-mata kerana keuntungan dunia, dikhuatiri berkat dan kesenangan yang hakiki tidak dapat dikecapi.

Bangsa Arab merupakan satu bangsa yang menjadikan penghijrahan fizikal itu sebagai kebiasaan dalam masyarakat, berbeza dengan budaya Melayu kini yang jarang sekali ingin berhijrah keluar daripada zon selesa di negara sendiri. Begitu juga dengan masyarakat Indonesia, berhijrah ke negara luar bukanlah perkara asing bagi mereka. Masyarakat Arab dan Indonesia boleh ditemui di kebanyakan negara di dunia. Disebabkan penghijrahan merekalah makanan halal mudah diperolehi di negara-negara bukan Islam. Penghijrahan ini juga telah membenarkan penyebaran agam Islam sebagai agama yang benar telah berlaku dengan begitu mendadak sehingga di dalam satu kajian baru-baru ini menyatakan bahawa United Kingdom dikatakan bakal memiliki majoriti ummat Islam berbanding dengan penganut agama lain disebabkan kadar kelahiran Muslim yang tinggi di sana.


Andai diberi pilihan untuk berhijrah, ke luar negara, negara manakan pilihan tuan/ puan? Jika soalan yang sama ditanyakan kepada saya, jawapannya sudah tentulah ke satu-satu negara luar yang pernah saya duduki tidak lama dahulu, Australia... Kenapa tidak Mekah atau Madinah? Oh, sudah tentu saya tersangat-sangat ingin menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah namun masih belum kesampaian. Setiap hari, saya rindu untuk ke Tanah Haram walaupun masih belum dapat bertemu... Namun untuk mendiami, saya memilih Australia atas sebab yang lebih besar. Saya bercita-cita untuk melahirkan anak-anak menjadi pendakwah seperti Nouman Ali Khan atau Ustaz William Suhaib Webb atau Yasmin Mogahed. Amboi, tingginya impian.. Impian inilah yang saya ingin kembalikan kepada ummah supaya ada antara anak-anak yang mampu menjadi pendakwah bertaraf antarabangsa atau mungkin seorang boleh tersangkut menjadi penyanyi dakwah antarabangsa seperti Maher Zain pun jadilah...


Menjalankan kehidupan dan amalan sebagai seorang Muslim di Australia adalah terbuka dan tiada halangan. Banyak masjid dan musolla bertebaran di serata negeri di Australia terutama di bandar-bandar utama seperti Sydney, Melbourne, Perth, Brisbane dan Adelaide. Kebanyakana masjid juga sering mengadakan kuliah agama, pengajian untuk anak-anak, kelas Bahasa Arab dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat pelbagai budaya di Australia. Begitu juga dengan sekolah Islam, ibu bapa Muslim bebas untuk menghantar anak-anak ke sekolah Islam swasta yang terdapat di setiap negeri. Ada juga di antara sekolah tersebut yang menyediakan modul tahfiz dan pengajian Islam tulen. Bahasa utama yang digunakan adalah Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.



Sumber: http://www.onislam.net/english
Secara asas , kebanyakan rakyat Malaysia yang berniat untuk berhijrah ke luar negara terutama bangsa Melayu adalah bagi mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang lebih tinggi tetapi pada hakikatnya, di Malaysia sendiri peluang untuk mecari rezeki dan bergaji lumayan mungkin lebih cerah berbanding negara luar. Mungkin di sesetengah negara terutama negara Arab seperti Abu Dhabi, Oman atau Dubai boleh memberi pendapatan lumayan tetapi ianya setimpal dengan pekerjaan yang perlu dilaksanakan. Suasana kerjanya lebih kurang juga seperti Malaysia dan perlu bekerja keras dan masa bersama keluarga adalah sangat terhad dan mungkin lebih teruk lagi dengan susana kerja di Malaysia. Berbeza dengan di negara maju di sebelah barat seperti Sweeden, UK, Canada dan Australia di mana kerja hanya perlu dilakukan pada waktu bekerja sahaja dan waktu selebihnya adalah untuk kesihatan diri dan keluarga. Pendapatan juga boleh tahan tetapi agak sukar untuk menjadikan anda orang kaya kecuali bagi seseengah pekerjaan yang benar-benar memberi pulangan yang tinggi. Namun, perkara yang lebih berharga yang akan diperolehi ialah keseimbangan hidup, masa bersama keluarga, masa untuk menjalankan kerja-kerja amal, beribadah dan beriadah adalah lebih bernilai daripada wang ringgit.

Sekiranya perlu memilih di antara menjadi kaya raya dan masa berkualiti bersama keluarga, saya utamakan hak keluarga. Wang boleh dicari tetapi masa berharga melihat anak-anak membesar bersama dan mendidik mereka tidak akan ada peluang kedua. Tidak semua orang yang ingin berhijrah itu semata-mata kerana wang dan dunia. 


Kata orang-orang berangan-angan itu percuma. Jika benar-benar ingin berhijrah, bertindaklah ke arah itu. Usahlah jadikan ia sekadar angan-angan yang tak kesampaian. Memang benar, bukan mudah untuk berhijrah meninggalkan tanah air dan keluarga. Terlalu banyak yang perlu diatur dan difikirkan. Berbincanglah dengan mendalam dan yang paling penting, kenal pastilah dahulu niat utama untuk berhijrah. Niat yang betul amat penting, jika tersilap arah, takut-takut merosakkan masa depan keluarga dan keturunan. Ada pandangan yang saya baca, jika berhijrah ke negara bukan Islam, tinggallah di rumah yang berdekatan dengan masjid dan seringlah ke masjid untuk beribadat dan bermasyarakat. InsyaAllah, iman kita dan keluarga lebih mudah dipelihara. Berhijrahlah andai itu yang lebih baik untuk keluarga dan agamamu... 


3 comments:

Fatin Ezzehra Harun said...

Saya sangat terinspirasi blog Acik!

Susu Aulad Serdang said...

Betul tu...keseimbangan dalam hidup yg dicari...

hidayati arshad said...

Alhamdulillah..terima kasih atas info berguna utk perkongsian bersama

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...