Followers

Friday, December 18, 2015

Daripada PTM Kepada WAHM, InsyaAllah...

Kurang dua bulan lagi InsyaAllah saya akan secara tidak rasminya menjadi Working At Home Mum (WAHM), kerjaya yang saya impikan setelah sekian lama. Kenapa saya katakan tidak rasmi adalah kerana saya masih tertakluk sebagai penjawat awam atas sebab bercuti tanpa gaji selama tiga tahun. Tiga tahun ini akan dijadikan sebagai tempoh percubaan dan jika semuanya berjalan lancar, kerjaya ini akan diteruskan secara rasminya sehingga satu masa yang akan ditentukan kelak.

Sebagai penjawat awam dalam kelompok Pengurusan & Profesional, satu ketika dulu saya pernah menyimpan cita-cita untuk mencapai kejayaan setinggi yang boleh dalam bidang kerjaya sekurang-kurangnya hingga tahap Jusa C dengan kelulusan Phd. Namun setelah Allah mengurniakan saya rezeki anak-anak yang meriah, saya cuba memikirkan kembali apakah keutamaan saya dalam hidup ini demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Setelah membuat perhitungan, saya yakin bahawa keluarga dan masyarakat adalah keutamaan saya. Mendidik anak-anak dengan menumpukan lebih perhatian kepada mereka supaya mereka dapat kembali berjasa kepada masyarakat umum, berbakti kepada suami dan ummah adalah menjadi perkara yang saya impikan dengan ilham daripada Allah SWT.

Kenangan manis ketika bertugas di BPM, KPM pada tahun 2009.
Walaupun begitu, saya sangat bersyukur kerana berpeluang berkhidmat sebagai Pegawai Teknologi Maklumat selama lebih kurang dua belas (12) tahun semenjak Januari 2004. Dengan pekerjaan inilah yang membolehkan saya membeli beberapa aset pelaburan dan membantu suami dalam pelbagai perbelanjaan dan simpanan. Saya juga berpeluang menyambung pengajian sarjana di Australia atas tiket jawatan ini. Oleh itu, mana mungkin saya tidak akan rindu menjadi seorang PTM khasnya dan penjawat awam amnya. Ramai sahabat-sahabat seperjuangan yang baik hati dan kenang-kenangan pahit dan manis yang bersilih ganti di sepanjang dua belas tahun saya berkhidmat. Keputusan ini bukanlah suatu yang mudah. Namun saya harus memilih apa keutamaan dalam hidup ini. Kita tidak akan dapat semua perkara yang kita suka, tetapi kita perlu memilih apa yang kita paling suka dengan niat semata-mata kerana Allah.

Saya menyuarakan impian itu kepada tuan suami. Rupa-rupanya itulah juga harapan yang turut disimpan olehnya untuk saya dan keluarga. Alhamdulillah sejak daripada itu, Allah membuka jalan yang membenarkan saya untuk mencapai impian itu. Namun, jalan yang harus diharungi bukan semuanya lurus tanpa liku. Sejak awal lagi, saya sering mengingatkan diri supaya kuatkan semangat dan bulatkan tekad sehingga kami berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.

Setelah beberapa sesi perbincangan diadakan, saya dan suami mengambil keputusan untuk berhijrah ke Australia di mana keseimbangan hidup lebih dapat dinikmati di sana. Kami mula mengkaji prosedur untuk menetap di sana dan menimbang baik buruknya. Memang tidak semuanya indah dan memang ada kekurangannya tapi kami terus mengkaji dan memohon pentunjuk daripada Allah. Kami akhirnya membuat keputusan untuk memohon visa penduduk tetap secara sendiri (tanpa agen) di Australia kerana itulah jalan paling mudah untuk memulakan hidup di sana. Proses ini juga mengandungi beberapa langkah yang tidak mudah tetapi tidak juga mustahil. Ia mengambil masa setahun lebih juga sehingga akhirnya usaha dan penat lelah kami berbaloi dengan penerimaan e-mel daripada pihak imigresen Australia tentang penganugerahan penduduk tetap kami telah berjaya, alhamdulillah... Adakah saya tidak patriotik kerana ingin keluar negara? Patriotik itu sangat subjektif dan lebih dijiwai jika kita berada di luar negara. Saya tetap sayang dan cintakan Malaysia namun ada misi yang lebih penting yang perlu saya capai dalam hidup untuk melahirkan lebih ramai individu yang signifikan dan berbakti kepada Islam khasnya. Jika sudah ada peluang di depan mata untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik kerana Allah, itulah lebih utama pada kami daripada terlalu obses kepada patriotik. 

"Bertebaranlah ke muka bumi Allah. Islam tidak pernah menghalang penghijrahan asalkan kamu bertaqwa kepada Allah,"

~Ustaz Dasuki Abd Rani, Mauizati, Ikim.fm~

InsyaAllah perancangannya di sana nanti anak-anak akan dihantar bersekolah di sekolah Islam dengan hafazan Al-Quran dan kami merancang untuk bergerak aktif dalam aktiviti kemasyarakatan khususnya dalam aktiviti dakwah dan sukarelawan di sana. Oleh kerana saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang masakan dan perniagaan, saya bercadang untuk berniaga makanan Malaysia dan pelbagai jenis roti dan pastri yang dijamin halal ketika di sana nanti, insyaAllah. Oleh itu, sejak dari awal lagi saya mengikuti beberapa kelas masakan yang diadakan di sekitar Putrajaya. Saya masih merancang untuk mengikuti beberapa kelas masakan lagi sebelum kami berangkat sekeluarga ke Australia insyaAllah pada pertengahan Februari nanti. Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah.

Dari sehari ke sehari anak-anak tidak putus bertanya bila masanya mereka dapat bersama-sama semula dan bertemu dengan ayah. Adik-adik rindu pada kakak dan abang di kampung, kakak dan abang di kampung juga rindu pada adik-adik. Walaupun setiap hari diberi jawapan yang sama, esoknya tetap soalan yang sama juga akan muncul. Kejayaan dan kebaikan dalam hidup tidak datang dengan mudah dan perlukan pengorbanan. Itulah kata-kata yang saya dan suami sematkan dalam hati. InsyaAllah perpisahan sementara tiga bulan ini akan memberi kebahagiaan yang berpanjangan. Semoga Allah redha...

4 comments:

sweet tooth said...

acik, nanti kita schedule lunch date ya :-) tertangguh dari raya haji hari tu... hehehehe

acik311 said...

InsyaAllah Nina, nanti kita set date. Ajak yang lain sekali pun boleh. Aku tinggal enam Jumaat je lagi kat Malaysia. Eh, lain macam pulak bila sebut Jumaat ni...

Lady Mira said...

Salam... berminat untuk contact puan untuk bertanyakan few things... tp link email tiada... if tidak keberatan, boleh puan email saya? rebellingmind@gmail.com berkaitan HLP dan juga migration.

Terima kasih

An Najah said...

Tahniah puan dengan penghijrahan tersebut...saya juga ada cita-cita tersebut...namun belum ade rezeki...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...