Followers

Wednesday, September 05, 2012

Suka Duka Ramadhan dan Syawal 1433 (Siri I)

Sukarnya mencuri masa untuk menulis blog walaupun sekali sekala ada masa terluang, namun idea dan feel untuk menulis itu tidak datang-datang. Alhamdulillah diberi kesempatan untuk berada pada bulan Ramadhan tahun ini dan Syawal telah masuk minggu ke-dua. Dalam kegembiraan menyambut tibanya Ramadhan, saya menerima pengkhabaran gembira yang tidak disangka pada awal Ramadhan. Hari pertama berpuasa pada tahun ini dialami dengan penuh rasa lesu dan tidak berdaya yang amat sangat. Saya cuba mencari di mana silapnya kerana jarang sekali saya berasa penat begini berpuasa pada awal Ramadhan. Saya membuat kesimpulan kerana sudah lama tidak berpuasa menyebabkan badan memerlukan masa untuk menyesuaikan diri. Alhamdulillah puasa pada hari ke-dua berjalan dengan lebih baik walaupun masih berasa kelesuan yang luar biasa. Hari ke-tiga berpuasa, saya masih berasa ragu dengan keadaan tidak berdaya saya. Disebabkan hari itu merupakan hari pertama bekerja dalam bulan Ramadhan, saya berkesempatan singgah di farmasi di Anjung untuk membeli sesuatu yang mungkin boleh membantu untuk merungkai jawapan kepada kepenatan melampau berpuasa kali ini. Setelah menjalankan pemeriksaan di rumah menggunakan Urine Pregnancy Test yang dibeli di farmasi, saya tidak dapat berhenti tersenyum melihat dua garisan muncul pada alat tersebut. Walaupun tidak menyangka akan menerima berita gembira seawal ini, saya meletakkan keyakinan yang sangat tinggi pada ketentuan Allah dan apa jua yang Allah jadikan tidak ada satu pun yang sia-sia. Suami yang kehairanan melihat saya keluar dari bilik air dengan tidak berhenti tersenyum berasa hairan dan bertanya. Saya tidak pasti apa yang ada di dalam hati tetapi dia ketawa dan membuat lawak spontan bila saya maklumkan dia bakal menerima cahaya mata ke-lima pada tahun hadapan. Keesokan harinya, kami terus ke klinik berdekatan untuk menjalankan ultrasound bagi mendapatkan kepastian keadaan kandungan. Alhamdulillah, kandungan pada ketika itu berusia lapan minggu dan berada pada saiz yang sepatutnya. Saya dan suami berkongsi kegembiraan di status facebook pada hari itu kerana saya mahu bakal anak ke-lima ini tahu bahawa kami sangat gembira dengan kehadirannya dan tidak sabar-sabar untuk menatap wajahnya dan mendengar tangisan pertamanya. Saya pernah dikurniakan kelahiran tiga tahun berturut-turut dan pada ketika itu saya dan suami pernah berasa seperti diuji dengan ujian yang berat sedangkan kami tidak sedar bahawa itu sebenarnya hanya ujian sementara dan hikmahnya telah Allah perlihatkan tidak lama kemudian dan hingga kini. Alhamdulillah berkat melahirkan anak tiga tahun berturut-turut, anak-anak kami membesar bersama-sama dan dikurniakan Allah dengan sebaik-baik rupa, akal dan perangai.

Mengharungi trimester pertama dalam bulan Ramadhan kali ini merupakan pengalaman pertama saya berpuasa seperti anak-anak yang baru belajar bepuasa. Beberapa kali mengalami keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan disebabkan perut meragam menyebabkan saya terpaksa EL sehari dan MC dua hari sepanjang Ramadhan ini. Pada waktu pagi saya sering berasa tidak berdaya kerana menahan loya dan rasa pening-pening lalat. Saya gagahkan juga untuk hadir ke pejabat walaupun pada kebanyakan masa saya hanya mampu termenung dan kadang kala tertidur kerana menahan pening. Rasa berdosa dan bersalah kerana tidak dapat menjalankan tugas seperti biasa tapi saya benar-benar tidak berdaya. Selama tiga hari saya tidak dapat berpuasa kerana tidak sihat dan pada kebanyakan hari yang lain saya menggigil-gigil kerana menggagahkan diri untuk berpuasa. Sebaik menunaikan solat maghrib, saya akan terus tumbang dan akan menunaikan solat isya' dalam keadaan pening bila sudah tertidur. Hanya beberapa kali saya berpeluang bersolat terawikh dan pada kebanyakan masa saya tunaikan dengan cara duduk. Sepuluh malam terakhir tidak dapat saya raikan sepenuhnya dan pada ketika ini barulah saya menghargai betapa mahalnya harga sebuah kesihatan terutama dalam bulan Ramadhan. Rasa sedih dan cemburu kerana tidak dapat mengejar pahala ibadah khusus Ramadhan kali ini tetapi saya memanjatkan doa agar Allah menggantikan keredhaan saya terhadap kesihatan yang tidak menentu ini dengan ganjaran yang hampir dengan ibadah malam yang tidak mampu saya laksanakan pada kebanyakan masa.

Dengan penuh semangat saya telah membuka buku merah di Klinik Kesihatan Presint 9 ketika suami bercuti Nuzul Quran bagi negeri Selangor. Pada masa itu usia kandungan adalah pada minggu ke-9. Bermula hari itu, saya mengambil sebiji obimin pluz yang dibekalkan oleh misi bagi memastikan kesihatan kandungan. Set Salindah yang telah saya tempah juga telah diterima dan saya perlu mula makan pada usia kandungan pada minggu ke-12. Pada waktu sedikit sihat, saya sudah mula mencari-cari nama bayi yang sesuai. Saya tidak kisah jantina bayi yang bakal dilahirkan dan hanya mendoakan agar dia sihat dan menjadi anak yang soleh. Abang-abang dan kakak-kakaknya juga sudak dimaklumkan mengenai bakal ketibaan adik baru mereka dan sudah tentu mereka sangat exited dan berebut-rebut memilih jantina kerana ingin menambah ahli pasukan untuk bermain. Aleesya juga sudah saya ajar supaya mengenal apa itu baby dan pandai menyebut baby setelah beberapa kali saya mengajarnya. Nampaknya semuanya berjalan lancar dan abang-abang dan kakak-kakak sudah bersedia untuk menerima teman sepermainan baru.

Syukur keadaan kesihatan semakin baik bila tibanya Syawal. Mungkin kerana saya boleh manjamah makanan pada waktu saya memerlukan membuatkan saya rasa lebih bertenaga. Kerana tidak pernah mengalami apa-apa masalah pemakanan terlarang pada kandungan-kandungan terdahulu, saya menjangkakan saya tidak perlu memilih sebarang makanan atau minuman untuk dinikmati pada kandungan kali ini juga walaupun saya menghadapi morning sickness yang lebih dari biasa pada kali ini.

1 comment:

Nn said...

mcm karangan BM dh entry awk. nice to know ur blog!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...