Followers

Wednesday, May 30, 2012

Mengapa Saya Memilih Untuk Mengambil Pembantu Rumah

Nurseri vs Pengasuh vs Pembantu Rumah: adalah dilema ibu bapa bekerja yang mempunyai anak-anak kecil yang tiada berkesudahan. Sebagai ibu bapa, kita sentiasa ingin memberi yang terbaik untuk anak-anak dan dalam masa yang sama kita dapat meneruskan tanggungjawab sebagai pekerja dengan baik. Perlu diingatkan bahawa persoalan memilih mana yang terbaik adalah subjektif kepada setiap keluarga. Tidak ada jawapan yang betul dan salah dalam menyelesaikan isu ini dan sekiranya sepasang suami isteri memilih untuk menghantar anaknya kepada pengasuh dan telah membuktikan pilihannya terbaik untuk keluarganya, itu tidak beerti orang lain perlu mengikut langkah yang sama. Langkah pertama yang harus dilakukan adalah dengan mengerjakan solat istikharah, memohon petunjuk dari Allah agar mendapat jalan yang terbaik.

Setiap keluarga mempunyai keperluan yang berbeza. Untuk mengetahui yang manakah terbaik untuk keluarga kita, pelbagai faktor harus diambil kira seperti nature bekerja suami dan isteri, bilangan dan usia anak-anak, sesi persekolahan anak-anak dan sebagainya. Yang penting juga, kita harus meletakkan apakan priority kita dalam memastikan keselesaan dan keselamatan anak-anak yang di bawah jagaan pihak ke-tiga semasa kita bekerja untuk mencari rezeki membesarkan anak-anak. Priority ini contohnya kita lebih selesa jika anak-anak dijaga oleh nurseri kerana mempunyai tenaga penjaga yang terlatih berbanding dengan meletakkan anak-anak di bawah jagaan pengasuh di rumah. Kita juga tidak sanggup menagambil risiko mengambil pembantu rumah untuk menjaga anak-anak kerana banyak mendengar berita-berita yang kurang enak mengenai pembantu rumah. Jadi, berdasarkan pandangan itu kita meletakkan nurseri sebagai pilihan utama.Selepas membuat pilihan yang terbaik, barulah kita memilih nurseri yang paling sesuai dengan anak-anak. Suka juga diingatkan, dalam memilih nurseri yang terbaik ada banyak perkara yang kita perlu perhalusi. Selain dari mempunyai sijil kelulusan JKM, lihat juga suasana nurseri itu dari segi kebersihan, penjagaan anak-anak, makanan dan sebagainya selain dari aktivit sampingan yang ditawarkan untuk anak-anak. Berbincang dengan pemilik, pengasuh di nurseri dan ibu bapa yang menghantar anak-anak ke nurseri yang sama juga banyak membantu memberi gambaran mengenai nurseri tersebut. Jika sudah berpuas hati, barulah kita memilih opsyen tersebut setelah melakukan solat hajat memohon agar Allah memberkati pilihan kita.

Begitulah juga langkah-langkah yang telah saya dan suami laksanakan sebelum membuat keputusan mengambil pembantu rumah untuk menjaga anak-anak. Sebenarnya ini adalah pilihan terakhir dari tiga pilihan yang ada selepas mendapat tahu pembantu rumah yang sebelum ini tidak dapat kembali berkhidmat kerana perlu menjaga anak perempuan bongsunya yang belum berumahtangga. Pada asalnya, kami berhasrat untuk menghantar anak kami yang paling bongsu (setakat ini) ke nurseri yang terletak bersebelahan dengan blok apartment kami. Berdasarkan testimoni yang diperolehi dari rakan yang pernah menghantar anak, nurseri itu diberi pada tahap OK saja oleh beliau. Bila tiba hari saya mahu menghantar borang dan bayaran booking, nurseri itu telah penuh dan tidak dapat menerima permohonan baru walaupun dua minggu sebelum itu saya difahamkan ada lapan kekosongan untuk bayi bawah satu tahun. Allah lebih mengetahui segalanya dan saya terima dengan hati yang tenang dan gembira atas keyakinan pada ketentuan Allah.

Usaha mencari rumah pengasuh yang sesuai juga tidak menampakkan keputusan yang memuaskan kerana rata-rata pengasuh yang ditemui telah menjaga antara 7 - 9 orang anak. Secara umumnya, saya dan suami kurang bersetuju anak diletakkan di bawah jagaan rumah pengasuh yang tidak begitu dikenali apatah lagi yang menjaga ramai anak-anak kecil lain. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk mengambil pembantu rumah dari Indonesia berdasarkan pengalaman pertama kami sebelum ini yang tidak mengecewakan. Sebenarnya jika dilihat dari segi risiko, setiap pilihan itu mempunyai risikonya yang tersendiri tetapi mahu atau tidak, kita tetap perlu membuat pilihan yang terbaik mengikut kemampuan dan keadaan keluarga jika kita ingin menjadi ibu yang berkerjaya. Selebihnya, bertawakal kepada Allah dan banyakkan berdoa semoga Allah menentukan keputusan yang terbaik dan melindungi anak-anak dan keluarga kita.

Alhamdulillah setelah tiga bulan berkhidmat, pembantu rumah ke-dua kami ini dapat melaksanakan tugasnya dengan baik. Yang penting sebagai majikan, kita perlu lihat pembantu rumah itu bukan semata-mata sebagai seorang pekerja, tetapi sebagai seorang Muslim yang kita berikan kepercayaan untuk menjaga anak-anak sewaktu kita keluar bekerja. Maka seharusnya dia dilayan dan diberi didikan selayaknya supaya dia bukan sahaja akan menjalankan tanggungjawabnya kerana inginkan upah, tetapi atas kesedaran bahawa tugasnya mampu menjadi ketentuan sama ada dia akan ke syurga atau neraka. Jika kita mempunyai seorang pembantu rumah, kita harus sedar bahawa kita sebenarnya berperanan menjadi pendakwah kepada mereka. Seharusnya kita perlu mengingatkan mereka cara beribadat dan menutup aurat dengan betul selain dari mengajar mereka mengenai nilai-nilai murni dalam Islam. InsyaAllah, jika setiap perkara yang Allah tentukan itu kita sedar tentang hikmahnya, semuanya akan mendatangkan kebaikan dan keredhaan dari Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...