Followers

Saturday, February 26, 2011

Semester ke-3, bulan ke-8

Tinggal dua hari lagi sebelum memulakan semester ke tiga dari empat semester yang harus saya penuhi. Semester kali ini saya akan mengambil empat subjek lagi, Advanced IT Project (sambungan dari semester terdahulu), System Analysis&Design, Business Information System dan Information Systems Control &Audit. Disebabkan cuti yang panjang dan pelbagai peristiwa yang berlaku dalam cuti panjang ini, mood untuk kembali belajar agak mengambil masa untuk dipanaskan. 

Walaupun telah stabil dan gembira dengan kehidupan di sini, saya tetap jugak mengira tempoh yang berbaki sebelum pulang ke tanah air. Kehidupan saya dan keluarga lebih ceria baru-baru ini kerana kami telah berpindah ke rumah yang lebih selesa dan sesuai untuk keluarga besar kami berbanding dengan unit yang kami duduki sebelum ini. Kelebihan unit di Sysley St itu hanyalah kerana dekat dengan universiti dan dalam catchment area untuk anak-anak layak ke Ironside State School. Kekurangannya adalah rumah yang sempit, sewa yang tinggi, jiran yang tidak ada toleransi dan sefahaman terhadap golongan berkeluarga dan beranak kecil, ruang dan peluang yang terhad untuk anak-anak bermain, jalan masuk ke kawasan rumah yang sempit dan sering dipenuhi kereta-kereta perkhidmatan, selain dari suasana yang tidak memberangsangkan bagi saya dan keluarga. Berbeza dengan rumah yang baru tiga minggu kami duduki ini. Alhamdulillah kami berpeluang tinggal di rumah batu sebuah, dengan kemudahan garaj automatik, laman yang luas untuk tempat berkebun dan anak-anak bermain, ruang rumah dan dapur yang luas dan selesa dan segala-gala yang indah dan baik bagi saya dan keluarga. Kali ini rasa lebih seronok dan gembira bila pulang ke rumah. Sebelum ini bukanlah tidak gembira tetapi penghayatan gembira itu lebih dirasai dan dinikmati di rumah baru kerana anak-anak boleh bermain dengan selesa dan lebih banyak aktiviti outdoor yang boleh dilakukan bersama. Syukur juga kami telah mendaftar persekolahan anak-anak lebih awal semasa masih di St Lucia, jadi mereka masih berpeluang bersekolah di Ironside State School, tak perlu pening kepala memikirkan keperluan uniform baru yang perlu dibeli atau perubahan susana baru di sekolah oleh anak-anak.


Alhamdulillah perjalanan kehamilan kali ke-empat di bumi kangaroo berjalan lancar setakat ini. Tinggal tempoh kurang dua bulan lagi sebelum tiba masa saya melahirkan. Perasaan teruja, gembira dan tidak sabar-sabar untuk melihat pemilik kaki dan siku kecil yang sering menendang dan menggaru-garu perut saya dari dalam. Sekali sekala ada juga memikirkan kehidupan yang akan berubah dan pasti lebih sibuk dengan kelahiran insan baru dalam keluarga ditambah pula dengan keadaan saya dalam pantang nanti tetapi entah kenapa saya tidak berasa risau untuk menghadapinya. Mudah-mudahan Allah melancarkan segala urusan dan perjalanan yang akan ditempuh pada hari-hari yang mendatang.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...