Bila tiba di rumah dijemput suami tersayang, semua siaran di televisyen memaparkan peristiwa banjir dan kenaikan paras air sungai yang luar biasa. Sehari sebelum itu, tsunami bah telah berlaku di Toowomba di mana seluruh bandar Toowomba, kira-kira 110km dari Brisbane telah dihanyutkan arus deras ketika penduduk di sana sedang meneruskan aktiviti kehidupan seperti biasa kerana tiada sebarang amaran atau tanda-tanda bencana diperolehi sebelum kejadian. Sungguh menyayat hati melihat kenderaan yang diisi penumpang dihanyutkan arus air yang sangat kuat dan ramai yang terperangkap dan hanya sempat menyelamatkan diri sehingga ke atap rumah kerana paras air yang naik secara tiba-tiba. Dalam keadaan itu diwartakan seramai 10 orang telah meninggal dan 80 orang lagi masih hilang. Kini banjir mula merebak ke Brisbane, bandar di mana kami tinggal. Kebanyakan masyarakat Brisbane dilihat agak panik dengan apa yang berlaku. Pasaraya-pasaraya utama seperti Coles dan Woolworth menjadi tumpuan luar biasa kerana stok makanan dijangka akan keputusan sekiranya banjir berterusan. Ketika suami ke sana pada pukul 4 petang, hanya fresh milk, gula dan cornflakes cereal yang dapat dibeli berbanding dengan 6 barang yang saya senaraikan untuk dibeli. Alhamdulillah kami baru sahaja mengisi stok makanan pada hujung minggu. Walaupun tidak banyak, tetapi cukup untuk kami sekeluarga dalam keadaan yang sebegini. Pada malam itu, kami hanya tidur pada pukul 2 pagi kerana tidak berhenti mendapatkan maklumat terkini mengenai status banjir di Queensland.
Keesokannya selepas subuh kami telah dihubungi oleh Akmar yang telah diingatkan oleh tuan rumahnya supaya berpindah segera pada pagi itu kerana air telah mula naik di bahagian belakang rumah dan dijangka akan terus naik hingga ke pintu rumah. Banjir pada 1974 menyaksikan kemusnahan yang serius pada bumi Queensland tetapi banjir kali ini dijangka lebih teruk dari musibah yang berlaku 35 tahun yang lepas. Sejak semalam saya telah mengingatkan Akmar dan beberapa sahabat-sahabat yang tinggal berdekatan yang rumah yang berisiko dinaiki air supaya datang menginap di rumah kami kerana berdasarkan peta kawasan banjir yang diakses melalui internet, kawasan rumah kami tidak akan dinaiki air. Memang benarlah seperti yang dijangka, beberapa kawasan di St Lucia terjejas teruk dan dinaiki pada ketinggian yang tidak disangka-sangka. Saya sangat tersentuh hati apabila mengetahui beberapa rakan lain yang tinggal berdekatan dengan rumah kami yang mengalami kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan harta benda yang menyeluruh. Rasa bersalah kerana saya tidak dapat membantu sebelum kejadian itu menimpa mereka. Namun saya tetap percaya, apa jua yang berlaku telah ditentukan oleh Allah dan kecekalan dan keredhaan yang tinggi dalam diri rakan-rakan yang ditimpa musibah ini telah mengajar saya supaya menjadi manusia yang tabah dan yakin pada ketentuan Allah.
Berada jauh di rantau orang mengingatkan saya bahawa berkenal-kenalan dan meluaskan jaringan persahabatan sesama sahabat-sahabat senagara adalah amat penting kerana kita tidak tahu bila masanya kita memerlukan pertolongan atau berpeluang untuk membantu rakan-rakan lain. Sebaik sahaja berita perpindahan dan bencana banjir dimaklumkan, golongan lelaki di kalangan rakyat Malaysia bertungkus lumus membantu rakan-rakan untuk berpindah tanpa mengira masa dan keadaan. Bila banjir mulai surut, mereka jugalah yang sibuk membantu membersihkan rumah rakan-rakan yang terjejas dengan penuh ikhlas walau tidak menerima apa-apa imbuhan hatta sebungkus nasi lemak atau sebotol air mineral pada awalnya. Sayangnya saya tidak berkemampuan bersama-sama membanting tenaga disebabkan keadaan fizikal yang berjalan seperti kenderaan berat dan tiada kerja-kerja yang sesuai untuk wanita. Tetapi saya tetap ingin mengambil peluang untuk mencari dan mendapatkan sesuatu yang boleh membina jati diri saya dari peristiwa ini. Bila ada masa terluang, saya mengambil kesempatan untuk membantu apa yang termampu kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk belajar sesuatu dari peristiwa yang mungkin tidak akan berulang lagi dalam hidup saya ini. Dalam masa kurang setahun lagi saya akan kembali semula ke tanah air dan saya tidak mahu hanya pulang dengan kelulusan sarjana dari universiti terkemuka sahaja.Saya percaya lebih banyak perkara lain yang saya perlu cari dan pelajari kerana perkara-perkara inilah yang akan menentukan pandangan dan kematangan saya pada masa hadapan. Walaupun dilihat sebagai musibah, saya sangat jelas tentang ketentuan Allah dan saya bersyukur kerana diberi peluang untuk melalui saat-saat yang telah membuka mata dan minda saya tentang betapa hebatnya kuasa dan ketentuan Allah dan betapa kerdil dan tidak berdayanya manusia hatta memiliki kekuasaan dan kekayaan setinggi langit. Dari peristiwa ini juga saya belajar mengenai pelbagai ragam dan watak manusia yang mengagumkan saya dan ada kalanya membuatkan saya berfikir. Sudah tentunya kehebatan Allah jualah yang menjadikan manusia ini dengan pelbagai sifat dan perangai supaya kita dapat saling mengenal dan mengambil contoh dan pengajaran daripadanya kerana tiada manusia yang sempurna sifatnya di dunia ini. Tetapi saya yakin Allah menjadikan setiap sesuatu itu tidak sia-sia dan hanya akan dapat dihayati oleh mereka yang berfikir.

2 comments:
Assalamualikum,
baru ziarah blog...teruskan menulis
mengumpul pengalaman
Waalaikumussalam En Fandi. Terima kasih ziarah blog saya yang sekali sekala update ni. insyaAllah jika ada peluang akan berkongsi pengalaman lagi. Kirim salam Kak Nurul yang sedang sibuk mengemas tu.
Post a Comment