Followers

Wednesday, April 07, 2010

Bercuti Ke Stanthorpe

Cuti pertengahan semester yang bersekali dengan cuti sekolah selama lebih kurang 12 hari membenarkan saya merancang percutian bersama dengan keluarga tersayang. Mula-mula kami plan untuk ke Lone Pine Koala Sactuary yang terletak kira-kira 15 minit dari rumah tapi setelah diajak untuk join percutian ke Stanthorpe, Queensland oleh Akma dan Zaaba, lebih baik kami ke sana dulu sementara ada orang nak pergi. Kalau setakat tempat dekat-dekat ni, bila-bila pun insyaAllah boleh pergi sendiri. Tempat ni cuacanya ala-ala Cameron Highlands dan Genting dan terletak di tanah tinggi tapi jalan nak ke sana tak perlu berpusing-pusing macam nak naik ke Genting atau Cameron Highlands. Jalannya straight saja dan pemadangan di kira kanan jalan juga sangat cantik sebab melalui country side dan ladang-ladang. Sepanjang jalan mesti terjumpa binatang-bianatang ternakan yang tengah meragut rumput. Antaranya lembu, ox, kambing biri-biri dan kuda.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam atau 250km dari rumah kami di St Lucia, Brisbane. Ini adalah pertama kali kami berjalan-jalan untuk makan angin sepanjang lebih dua bulan berada di sini. Sebelum ini berjalan sekadar untuk cari tempat-tempat menjual makanan dan barang-barang rumah. Lagi pun kami tak berani juga nak berjalan sakan sebab belum boleh mengagak bajet yang sesuai meneruskan hidup di sini. Takut-takaut kalau dah berjalan sana, sini tak cukup duit nak makan pulak. :-D Tapi nampaknya alhamdulillah, masih ada duit yang boleh disalurkan untuk mengenal tempat orang dan meluaskan pemandangan. Bak kata wakil pegawai BMI, JPA semasa taklimat penyerahan HLP 2009 yang lepas, kalau dah sampai ke tempat orang tu, bawak-bawak la berjalan. Duit biasiswa guna untuk sara hidup di sana, duit gaji gunakan untuk bawak keluarga bercuti.

Alhamdulillah juga perjalanan kami berjalan dengan lancar walaupun kereta kami berusia lebih dari 15 tahun. Mula-mula risau juga kalau kereta buat hal tapi syukur lah semuanya ok. Anak-anak pun tidak meragam, mungkin sebab sudah besar dan dah boleh inform kalau dah lapar dan dahaga. Kami melalui highway yang suasanya lebih kurang seperti jalan lama di Malaysia. Pandangan saya, orang di sini perlu lebih banyak belajar mengenai pembinaan highway dengan orang di Malaysia. Tiba-tiba saya rasa begitu kagum dengan Lebuhraya PLUS dan LPT kerana keadaan highway di sini sangat jauh berbeza dengan di Malaysia. Kalau di Malaysia, bila penat atau lapar, boleh singgah di R&R untuk berehat atau membeli makanan. Di sini ada juga konsep R&R tetapi terlalu ringkas. Sekadar sebuah toilet dan beberapa tempat duduk untuk berkelah dan makan-makan. Tapi apa yang mengagumkan saya, keadaan toiletnya jauh lebih bersih walaupun tidak ada pekerja am yang ditugaskan untuk mencuci tandas seperti di Malaysia. Walaubagaimanapun, untuk membayangkan perbezaan highway di sini dan Malaysia, saya meletakkan 90% untuk lebuhraya PLUS dan 45% untuk lebuhraya yang saya lalui untuk ke Stanhorpe.

Kami menyewa motel di Murray Garden dengan harga AUD120 semalam. Biliknya agak luas dan cukup untuk kami sekeluarga. Konsep motel dan cottagenya juga sangat menarik, dikelilingi dengan suasana semulajadi yang indah dan cuaca yang nyaman dan sejuk. Suhunya memang sejuk malahan lebih sejuk daripada aircond lagi. Tapi yang pelik di sini tidak ada kebun sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang commercial seperti di Cameron Highlands. Saya pun tidak pasti kenapa tetapi bila melihat keadaan ini, saya begitu kagum dengan tanah air sendiri kerana bagi saya Cameron Highlands jauh lebih hebat dan menarik berbanding di sini. Saya tidak pasti mungkin juga kerana di sini sudah banyak tempat-tempat yang sejuk dan sesuai untuk tujuan pertanian tetapi bukan di Stanhorpe.

Antara tempat-tempat menarik yang kami kunjungi ialah ladang strawberi yang membolehkan kami merasai pengalaman mengutip buah strawberi sendiri. Yang paling excited tentunya budak-budak. Pantang nampak strawberi merah, habis smeua dikutipnya. Kemudian kami juga ke ladang lavendar, bunga yang digunakan sebagai pewangi yang sangat popular. Pemandangan di sini Subhanallah memang sangat mengasyikkan. Saya membeli lilin wangi yang diletakkan di dalam mangkuk kaca sebagai kenang-kenangan. Di ladang epal kami berpeluang mengutip sendiri buah-buah epal. Memandangkan buah epal tidak begitu menjadi dan dipenuhi ulat, kami dapat mengambil epal secara percuma sahaja. Saya juga membeli dua botol minuman jus epal sekadar untuk merasa. Kami juga ke Granite Belt Maze yang terkenal dengan Maze dari pokok pagar yang mampu membuatkan orang sesat jika tidak jumpa jalan keluar. Kami membeli tiket keluarga untuk 2 dewasa dan 2 kanak-kanak berharga AUD50. Kanak-kanak di bawah umur empat tahun dapat masuk percuma, jadi Najla sorang sajalah yang tak perlu tiket. Selain dari melalui pokok pagar yang menyesatkan itu, kami juga berpeluang bermain golf. Kami bermain sekadar untuk menghiburkan anak-anak walaupun itulah kali pertama saya memegang kayu golf.

Malam semasa kami menginap di motel, kami membuat BBQ di tempat yang disediakan di sana. Seronok juga buat BBQ ni rupanya. Dah lama juga saya tak berBBQ sejak ada keluarga sendiri ni. Lepas ni nampaknya kami kena beli satu set dapur BBQ gas untuk bawak balik ke Malaysia. Orang kata set BBQ di sini jauh lebih murah dbandingkan dengan Malaysia. Kenyangnya makan ayam, daging, sotong, udang dan jagung bakar. Next time kena lah buat lagi kalau pergi bercuti ke mana-mana.

Satu pengalaman yang tak dapat saya lupakan juga ialah menunaikan solat di atas rumput. Inilah kali pertama saya berpeluang menjalankan ibadah berkenaan secara di tempat yang terbuka dan membuatkan saya merasa begitu kerdilnya diri ini dan begitu luasnya dunia Allah. Sudah semestinya saya merasakan kehebatan Allah kerana menjadikan dunia yang begitu indah dan memberikan peluang untuk saya terus beribadah walau dalam keadaan dan di mana saja saya berada. Subhanallah!

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...