Followers

Saturday, August 13, 2016

Catatan Enam Bulan Penghijrahan

Anak-anak bermain di taman permainan selepas waktu persekolahan.

Tarikh 13 Ogos 2016 menandakan sudah enam bulan kami menjadi salah seorang warga di daerah luar bandar di Wollert, Melbourne atas penghijrahan kami sekeluarga ke Australia. Tidak pernah kami sangka angan-angan untuk kembali kepada kehidupan yang stress free dan lebih bahagia yang pernah kami nikmati seketika pada 2010 dan 2011 ini menjadi kenyataan, alhamdulillah. Kehidupan dahulu juga baik, tapi kami memilih untuk mencuba yang lebih baik untuk dunia dan akhirat kami insyaAllah walaupun terpaksa meninggalkan kerjaya yang stabil, pendapatan yang agak lumayan, keluarga yang disayangi dan banyak perkara yang akan kami rindui.



Kata orang, mereka yang mampu berhijrah ini adalah orang yang ada banyak harta dan tiada komitmen yang besar di tanah air sendiri. Pada hakikatnya tidak begitu, kami orang biasa-biasa saja. Kami juga asal orang kampung, Bahasa Inggeris tidak berapa berhabuk malahan novel dalam Bahasa Inggeris pun bukanlah bahan bacaan kegemaran kami sejak kecil tapi itu tidak menghalang kami untuk menjadi sebahagian daripada komuniti di negara Mat Saleh malahan mendapat pekerjaan profesional dengan syarikat tempatan. Walaubagaimanapun, ada kemahiran minimum Bahasa Inggeris yang diperlukan jika anda mahu berhijrah ke negara yang bahasa utamanya adalah Bahasa Inggeris. Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris tidak dinafikan untuk ke mari tetapi semuanya dengan izin Allah dan berusahalah sebaiknya. Kenyataan ini bukanlah bermaksud kami orang hebat apatah lagi dijamin syurga, tetapi di sebaliknya, mencapai impian yang dilihat mustahil untuk sesetengah orang sebenarnya tidak ada penghalangnya jika kita berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Allah. Itulah senjata seorang mukmin yang dengarnya biasa-biasa saja tetapi kesannya sangat luar biasa.

Alhamdulillah setelah hampir separuh tahun kami di sini, semuanya berjalan dengan baik, mengikut perancangan dan 
Piknik hujung minggu selepas melawat zoo.
ketentuan yang Allah tetapkan. Syukur tempoh yang diperlukan untuk establish tidak mengambil masa yang lama. Kurang daripada dua bulan, kelengkapan asas untuk meneruskan kehidupan sudah sempurna dan kami juga sudah dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dan suasana yang baru yang sudah pasti jauh berbeza daripada kehidupan di tanah air sendiri.

Paling menggembirakan, kami bertemu dengan ramai insan yang murni hatinya walaupun ketika mula-mula mengambil keputusan untuk tinggal di sini, kami langsung tidak mengenal sesiapa dan membuat pilihan atas keutamaan sekolah anak-anak. Insan-insan mulia ini bukan sahaja yang tinggal di kawasan perumahan kami, malahan menetap di kawasan yang berbeza yang kami kenal daripada pelbagai majlis dan acara.

Setinggi-tinggi kesyukuran juga kerana kami sekeluarga diberi kelapangan untuk menuntut ilmu akhirat melalui pelbagai program mingguan, bulanan dan tahunan yang sering diadakan di sini. Penghayatan Islam yang sebenar lebih dirasakan di sini jika kita sendiri memilih untuk turut serta. Sebelum ini kami sering dimomokkan bahawa Australia memang negara yang maju dan bagus dari segala segi tapi roh Islamnya tidak ada membuatnya ia bukanlah negara yang sesuai untuk Muslim yang baik. Hasil penghijrahan bagi setiap orang itu adalah berpandukan kepada niatnya. Maka jika kita benar-benar mahu berhijrah kerana Allah, carilah jalan untuk mendekatkan diri ke jalan Allah. 

Di sini semuanya terbuka dan kita bebas memilih apa yang kita mahu. Malas solat, tak mahu tutup aurat, nak buat maksiat, mahu minum minuman dan makanan tidak halal atau mahu menonton siaran filem bukan-bukan di tengah malam, semuanya boleh dan tiada siapa yang menghalang. Malahan pula saudara mara dan orang yang kita kenal jauh di mata, tidak ada sesiapa yang tahu apa yang kita buat di sini.

Maka di sinilah sebenarnya tempat di mana iman kita benar-benar diuji. Itulah antara sebab yang pernah kami baca, jika kita menjadi minoriti di negara bukan Islam, carilah tempat tinggal di dalam komuniti Muslim dan tidak jauh dari masjid supaya kita tidak mudah lalai dan leka dengan kesibukan dunia. Doa yang tidak putus-putus sentiasa dipanjatkan supaya Allah menetapkan hati-hati kami dan zuriat keturunan kami supaya teguh di jalan Islam walau di mana bumi dipijak.

Pengalaman kami bersama-sama dengan komuniti Muslim di sini, tidak ada kesukaran untuk meneruskan
Menunaikan solat maghrib berjemaah di rumah sahabat di sini.
kehidupan sebagai Muslim yang baik malahan mungkin lebih baik daripada sebahagian negara Islam. Semua urusan bagi menjalani cara hidup sebagai seorang Muslim daripada saat kelahiran hingga kepada kematian dapat dilaksanakan mengikut syariat Islam.

Menetap jauh dari tanah kelahiran sendiri tidak menandakan kami lupa diri mahu pun tidak patriotik. Malaysia tetap kekal di hati kami sebagai tanah tumpah darah lebih-lebih lagi sempena hari kemerdekaan yang bakal menjelma tidak lama lagi. Kerinduan dan kecintaan kepada negara sendiri lebih dirasakan bila kita berada jauh darinya. Ditinggal bukan kerana tidak sayang tetapi keutamaan kami adalah nikmat kehidupan berkeluarga dan penghayatan akhlak dan rohani yang lebih baik. Setiap orang berhak memilih jalan kehidupan yang mereka inginkan dan tiada pilihan yang salah asalkan niat utamanya adalah kerana Allah. Kami sedar, dunia ini adalah tempat persinggahan yang sementara. Mengejar dunia semata-mata tidak akan membawa kita ke mana-mana tetapi bila kita mengejar akhirat, insyaAllah mudah-mudahan nikmat dunia dan akhirat Allah lorongkan kepada kita.

Buat masa ini, mungkin ini yang terbaik tetapi pada masa depan, Allah jua lebih mengetahui.
Semoga Allah terus memberkati setiap ketentuan yang diberi dalam hidup ini dan melindungi kami, zuriat keturunan, keluarga dan semua yang mengenali kami dalam iman dan taqwa. InsyaAllah, mudah-mudahan kita dijauhkan dari seksaan kubur dan berjiran di syurga yang abadi.

Mohon maaf andai terkasar bahasa atau terguris hati sesiapa. Tulisan yang lahir dari hati dan tiada kaitan dengan orang lain melainkan cerita sendiri.

Wallahua'lam...

Afrohah Abd Hamid
Kampung Wollert, Melbourne, Australia
13 Ogos 2016, 00:07

1 comment:

haziland said...

Alhamdulillah. .penghijrahan memberi suatu kepuasan kepada seseorang. InsyaAllah..moga Allah memberi apa yg diidamkan. Ameen

Saya sekeluarga juga berhijrah ke England sejak 2015.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...