Followers

Showing posts with label sekolah Islam di Australia. Show all posts
Showing posts with label sekolah Islam di Australia. Show all posts

Saturday, January 02, 2016

Memilih Sekolah Islam Di Australia (Melbourne)

Ketika melawat Melbourne untuk mengaktifkan visa penduduk tetap yang kami perolehi pada bulan Jun 2015 yang lalu, saya sekeluarga hanya berkesempatan melawat dua buah sekolah Islam sahaja. Satu di College Garden, Adelaide dan satu lagi di Mt Hira, Melbourne. Ketika itu, kami masih belum menentukan sama ada mahu tinggal di Melbourne atau Adelaide. 

Setelah beberapa bulan usaha dibuat untuk mendapatkan pekerjaan oleh tuan suami, nampaknya rezeki kami ada di Melbourne, alhamdulillah. Keindahan dan kedamaian Melbourne amat sukar diucapkan dengan kata-kata. Hanya dengan melawat sendiri ke sana kita dapat merasai kecantikannya dari hati. Walaupun ketika itu saya sedang menetap di Brisbane, tetapi hati tidak tertinggal di Brisbane. Bila sudah kembali semula ke Brisbane, kenangannya masih diingat-ingat. Memang patutlah Melbourne menduduki tangga teratas senarai sebagai 'The Most Livable City In the World'. 

Saya masih tidak lupa ketika mula-mula melawat Melbourne pada Disember 2011, di dalam hati saya sudah terdetik 'MasyaAllah, semoga Allah izinkan saya dan keluarga menetap di sini suatu hari nanti...'. Alhamdulillah sujud berjuta syukur kerana akhirnya Allah makbulkan impian itu...  


Perkara utama yang menjadi keutamaan untuk menetap di Australia adalah mencari sekolah Islam yang terbaik untuk anak-anak. Jika tiada kewujudan sekolah Islam, saya tidak mungkin akan bersetuju untuk menetap di sini sebagai penduduk tetap. Satu masa dahulu, kami berhasrat untuk menetap sama ada di Australia atau New Zealand. Setelah kajian dibuat selama berbulan-bulan, kami menetapkan untuk ke Australia kerana pilihan institusi pendidikan Islam yang lebih banyak dan kukuh selain daripada peluang pekerjaan yang lebih baik. Laman web untuk melihat senarai sekolah Islam atau Masjid di Australia boleh dilihat di Salatomatic.


Terdapat lebih daripada sepuluh buah sekolah Islam di sekitar Melbourne. Setiap sekolah diasaskan oleh pertubuhan yang berbeza tetapi tertakluk kepada silibus akademik yang ditentukan oleh pendidikan negeri dan ditambah dengan pengajian Islam. Konsep pengajian Islam yang ditawarkan juga bergantung kepada institusi pendidikan tersebut. Ada antara sekolah yang menawarkan pengajian tahfiz di samping ilmu-ilmu ukhrawi yang lain seperti Akhlak, Tajwid, Thirah, Aqidah dan Feqah. Ada juga sekolah yang mewajibkan pelajar dan kakitangannya menutup aurat dan ada juga yang tidak. Bergantung kepada pihak pengurusan sekolah dan pilihan sekolah juga terbuka kepada ibu bapa. Kesemua sekolah Islam adalah di bawah kategori sekolah swasta namun masih mendapat peruntukan yang tinggi daripada kerajaan untuk pembangunan sekolah.

Antara kandungan laman web Al-Siraat College.
Memilih sekolah yang paling sesuai rupanya tidak semudah yang disangka. Kajian yang mendalam untuk melihat silibus dan suasana sekolah di samping mengambil perhatian tentang lokasi sekolah ke tempat kerja mengambil masa yang agak lama sehingga betul-betul menemui sekolah yang sesuai. Setelah berbulan-bulan mengkaji, akhirnya kami bersetuju untuk menghantar anak-anak menyambung pengajian di Al-Siraat College. Sekolah ini terletak di suburb Epping dan menawarkan pengajian daripada Foundation (prasekolah) sehingga persediaan ke pengajian tinggi. Apa yang lebih menarik, sekolah ini turut menawarkan program Hafazan intensif untuk pelajar yang terpilih selain daripada silibus pelbagai subjek pengajian Islam. Pelajar-pelajar dan kakitangan adalah perlu menutup aurat dengan sempurna.

Setelah mengajukan permohonan melalui emel, alhamdulillah, masih terdapat kekosongan untuk ke-
Anak-anak kelas Foundation di Al-Siraat College.
Sumber: alsiraat.edu.au
empat-empat anak kami yang akan menduduki Tahun 6, Tahun 5, Tahun 4 dan Foundation pada 2016. Pihak sekolah juga turut menawarkan program Hafazan intensif kepada anak-anak kami setelah mengambil kira mereka mempunyai asas bersekolah di sekolah Islam di Malaysia, alhamdulillah. Namun mereka perlu melalui sesi temuduga dan ujian hafazan  sebelum diterima menduduki kelas tersebut kerana ia sememangnya eksklusif. Untuk kelas hafazan, setiap kelas mengandungi sepuluh orang pelajar yang diasingkan mengikut jantina. Pada sebelah pagi, mereka akan menjalankan program hafazan sehingga ke tengah hari. Program akademik hanya akan dipelajari pada sebelah petang. Waktu persekolahan adalah sama seperti sekolah yang lain, daripada jam 8.00 pagi hingga jam 3.30 petang

InsyaAllah perkembangan anak-anak di sekolah ini akan saya catatkan kemudian kerana mereka hanya akan mula bersekolah pada Februari  2016. Sesi persekolahan di Australia bermula pada Februari sehingga seminggu sebelum Krismas pada bulan Disember.

Wednesday, December 23, 2015

Bolehkan Menjadi Muslim Yang Baik Di Negara Barat?




Nouman Ali Khan

Ustadh Nouman Ali Khan was recently listed among the 500 most influential Muslims in the world. Millions of online users across the globe enjoy and benefit from his simple, clear, and entertaining approach to unraveling complex subjects in the Quran. The father of six relates well to the youth and tackles important but under-addressed issues. Ustadh Nouman Ali Khan decided to take on Bayyinah full-time in 2005 after serving as a professor of Arabic Studies at Nassau College.

He has taught over 200,000 students in live settings and has touched the lives of millions online. He currently resides in Texas, USA and is focusing on teaching his students and developing media content for Bayyinah TV.





Yasmin Mogahed

Yasmin Mogahed received her B.S. Degree in Psychology and her Masters in Journalism and Mass Communications from the University of Wisconsin-Madison. After completing her graduate work, she taught Islamic Studies and served as a youth coordinator. She also worked as a writing instructor at Cardinal Stritch University and a staff columnist for the Islam section of InFocus News. Currently she’s an instructor for  AlMaghrib Institute, a writer for the Huffington Post, an international speaker, and author, where she focuses most of her work on spiritual and personal development.

Dua individu di atas merupakan inspirasi kepada saya untuk mengambil keputusan bersetuju untuk berhijrah ke Australia. Mereka merupakan pendakwah terkenal dan ilmu yang dikongsikan sangat memberi kesan kepada masyarakat dunia sama ada Muslim atau bukan Muslim. Mereka dilahirkan dan mendapat pendidikan di negara Barat tetapi mampu menjadi pendakwah Islam yang sangat hebat. Maka, mereka ini menjadi bukti bahawa Muslim walaupun dibesarkan di barat, masih mampu menjadi Muslim yang sebenar-benar Muslim dan berjuang untuk agama jika masih berpegang kepada jati diri sebagai seorang Muslim.

Tidak kira di mana pun kita berada, yang penting adalah kefahaman akidah dan akhlak yang perlu ditekankan supaya menjadi seorang yang patuh kepada agama walau di mana atau dalam keadaan apa jua yang bakal ditempuh. Tinggal di negara Islam, tidak menjamin sesorang akan menjadi Muslim yang sejati walaupun pilihan dan peluang mempelajari dan beramal dengan Islam terbuka luas. Di negara maju yang bukan Islam, amalan yang mereka lakukan jauh lebih Islam berbanding negara yang menyatakan agama Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan. Ini boleh dilihat daripada segi kebersihan, sikap dan budaya masyarakat di sana. Antaranya mereka sangat menitikberatkan kebersihan, jujur dan telus  dalam perniagaan dan urusan seharian, menghormati antara satu sama lain dan menepati waktu. Sikap ini sukar sekali ditemui dalam masyarakat di kebanyakan negara Islam.

Amalan dan upacara agama bebas dilakukan mengikut kepercayaan masing-masing selagi mana ianya tidak mengganggu ketenteraman awam. Mengadakan kuliah atau majlis ilmu di sana tidak perlu memohon permit. Muslim yang bertugas di syarikat swasta mahu pun awam tiada halangan untuk menunaikan solat lima waktu, solat Jumaat atau berpuasa. Masjid dan Pusat Islam di sana mudah ditemui dan sering mengadakan pelbagai aktiviti agama dan sosial bersama-sama dengan masyarakat bukan Muslim setempat bagi menjamin keharmonian masyarakat Muslim dengan masyarakat bukan Muslim di sana. 

Begitu juga dengan sekolah Islam. Terdapat banyak pilihan sekolah Islam termasuk yang menawarkan kursus hafazan kepada anak-anak Muslim supaya mereka dapat diberi didikan yang betul selaras dengan kehendak syarak dan sentiasa berpegang teguh kepada Al-Quran dan As-Sunnah.Sekolah Islam walaupun dalam kategori swasta, masih mendapat peruntukan yang besar daripada pihak kerajaan Australia bagi membangunkan sekolah. Australia dikenali sebagai negara yang mempunyai taraf pendidikan yang terbaik di dunia. Maka tidak hairanlah, peruntukan kepada pendidikan dan modal insan menjadi keutamaan dalam perbelanjaan nasional.

Memuji negara Barat bukanlah bermakna mereka yang terbaik dan negara kita semuanya tidak baik. Mereka juga ada kekurangan dan negara kita juga ada keindahannya sendiri. Namun dalam hidup ini kita perlu membuat pilihan berpandukan apa yang Allah tentukan. Sentiasalah merujuk kepada apa yang Allah kata berbanding dengan apa yang orang kata. Selagi mana kita tetap berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah, selagi itu kita tidak akan sesat di dunia dan tidak akan merana di akhirat, insyaAllah...

Friday, December 18, 2015

Daripada PTM Kepada WAHM, InsyaAllah...

Kurang dua bulan lagi InsyaAllah saya akan secara tidak rasminya menjadi Working At Home Mum (WAHM), kerjaya yang saya impikan setelah sekian lama. Kenapa saya katakan tidak rasmi adalah kerana saya masih tertakluk sebagai penjawat awam atas sebab bercuti tanpa gaji selama tiga tahun. Tiga tahun ini akan dijadikan sebagai tempoh percubaan dan jika semuanya berjalan lancar, kerjaya ini akan diteruskan secara rasminya sehingga satu masa yang akan ditentukan kelak.

Sebagai penjawat awam dalam kelompok Pengurusan & Profesional, satu ketika dulu saya pernah menyimpan cita-cita untuk mencapai kejayaan setinggi yang boleh dalam bidang kerjaya sekurang-kurangnya hingga tahap Jusa C dengan kelulusan Phd. Namun setelah Allah mengurniakan saya rezeki anak-anak yang meriah, saya cuba memikirkan kembali apakah keutamaan saya dalam hidup ini demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Setelah membuat perhitungan, saya yakin bahawa keluarga dan masyarakat adalah keutamaan saya. Mendidik anak-anak dengan menumpukan lebih perhatian kepada mereka supaya mereka dapat kembali berjasa kepada masyarakat umum, berbakti kepada suami dan ummah adalah menjadi perkara yang saya impikan dengan ilham daripada Allah SWT.

Kenangan manis ketika bertugas di BPM, KPM pada tahun 2009.
Walaupun begitu, saya sangat bersyukur kerana berpeluang berkhidmat sebagai Pegawai Teknologi Maklumat selama lebih kurang dua belas (12) tahun semenjak Januari 2004. Dengan pekerjaan inilah yang membolehkan saya membeli beberapa aset pelaburan dan membantu suami dalam pelbagai perbelanjaan dan simpanan. Saya juga berpeluang menyambung pengajian sarjana di Australia atas tiket jawatan ini. Oleh itu, mana mungkin saya tidak akan rindu menjadi seorang PTM khasnya dan penjawat awam amnya. Ramai sahabat-sahabat seperjuangan yang baik hati dan kenang-kenangan pahit dan manis yang bersilih ganti di sepanjang dua belas tahun saya berkhidmat. Keputusan ini bukanlah suatu yang mudah. Namun saya harus memilih apa keutamaan dalam hidup ini. Kita tidak akan dapat semua perkara yang kita suka, tetapi kita perlu memilih apa yang kita paling suka dengan niat semata-mata kerana Allah.

Saya menyuarakan impian itu kepada tuan suami. Rupa-rupanya itulah juga harapan yang turut disimpan olehnya untuk saya dan keluarga. Alhamdulillah sejak daripada itu, Allah membuka jalan yang membenarkan saya untuk mencapai impian itu. Namun, jalan yang harus diharungi bukan semuanya lurus tanpa liku. Sejak awal lagi, saya sering mengingatkan diri supaya kuatkan semangat dan bulatkan tekad sehingga kami berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.

Setelah beberapa sesi perbincangan diadakan, saya dan suami mengambil keputusan untuk berhijrah ke Australia di mana keseimbangan hidup lebih dapat dinikmati di sana. Kami mula mengkaji prosedur untuk menetap di sana dan menimbang baik buruknya. Memang tidak semuanya indah dan memang ada kekurangannya tapi kami terus mengkaji dan memohon pentunjuk daripada Allah. Kami akhirnya membuat keputusan untuk memohon visa penduduk tetap secara sendiri (tanpa agen) di Australia kerana itulah jalan paling mudah untuk memulakan hidup di sana. Proses ini juga mengandungi beberapa langkah yang tidak mudah tetapi tidak juga mustahil. Ia mengambil masa setahun lebih juga sehingga akhirnya usaha dan penat lelah kami berbaloi dengan penerimaan e-mel daripada pihak imigresen Australia tentang penganugerahan penduduk tetap kami telah berjaya, alhamdulillah... Adakah saya tidak patriotik kerana ingin keluar negara? Patriotik itu sangat subjektif dan lebih dijiwai jika kita berada di luar negara. Saya tetap sayang dan cintakan Malaysia namun ada misi yang lebih penting yang perlu saya capai dalam hidup untuk melahirkan lebih ramai individu yang signifikan dan berbakti kepada Islam khasnya. Jika sudah ada peluang di depan mata untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik kerana Allah, itulah lebih utama pada kami daripada terlalu obses kepada patriotik. 

"Bertebaranlah ke muka bumi Allah. Islam tidak pernah menghalang penghijrahan asalkan kamu bertaqwa kepada Allah,"

~Ustaz Dasuki Abd Rani, Mauizati, Ikim.fm~

InsyaAllah perancangannya di sana nanti anak-anak akan dihantar bersekolah di sekolah Islam dengan hafazan Al-Quran dan kami merancang untuk bergerak aktif dalam aktiviti kemasyarakatan khususnya dalam aktiviti dakwah dan sukarelawan di sana. Oleh kerana saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang masakan dan perniagaan, saya bercadang untuk berniaga makanan Malaysia dan pelbagai jenis roti dan pastri yang dijamin halal ketika di sana nanti, insyaAllah. Oleh itu, sejak dari awal lagi saya mengikuti beberapa kelas masakan yang diadakan di sekitar Putrajaya. Saya masih merancang untuk mengikuti beberapa kelas masakan lagi sebelum kami berangkat sekeluarga ke Australia insyaAllah pada pertengahan Februari nanti. Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah.

Dari sehari ke sehari anak-anak tidak putus bertanya bila masanya mereka dapat bersama-sama semula dan bertemu dengan ayah. Adik-adik rindu pada kakak dan abang di kampung, kakak dan abang di kampung juga rindu pada adik-adik. Walaupun setiap hari diberi jawapan yang sama, esoknya tetap soalan yang sama juga akan muncul. Kejayaan dan kebaikan dalam hidup tidak datang dengan mudah dan perlukan pengorbanan. Itulah kata-kata yang saya dan suami sematkan dalam hati. InsyaAllah perpisahan sementara tiga bulan ini akan memberi kebahagiaan yang berpanjangan. Semoga Allah redha...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...