Ketika melawat Melbourne untuk mengaktifkan visa penduduk tetap yang kami perolehi pada bulan Jun 2015 yang lalu, saya sekeluarga hanya berkesempatan melawat dua buah sekolah Islam sahaja. Satu di College Garden, Adelaide dan satu lagi di Mt Hira, Melbourne. Ketika itu, kami masih belum menentukan sama ada mahu tinggal di Melbourne atau Adelaide.
Setelah beberapa bulan usaha dibuat untuk mendapatkan pekerjaan oleh tuan suami, nampaknya rezeki kami ada di Melbourne, alhamdulillah. Keindahan dan kedamaian Melbourne amat sukar diucapkan dengan kata-kata. Hanya dengan melawat sendiri ke sana kita dapat merasai kecantikannya dari hati. Walaupun ketika itu saya sedang menetap di Brisbane, tetapi hati tidak tertinggal di Brisbane. Bila sudah kembali semula ke Brisbane, kenangannya masih diingat-ingat. Memang patutlah Melbourne menduduki tangga teratas senarai sebagai 'The Most Livable City In the World'.
Saya masih tidak lupa ketika mula-mula melawat Melbourne pada Disember 2011, di dalam hati saya sudah terdetik 'MasyaAllah, semoga Allah izinkan saya dan keluarga menetap di sini suatu hari nanti...'. Alhamdulillah sujud berjuta syukur kerana akhirnya Allah makbulkan impian itu...
Saya masih tidak lupa ketika mula-mula melawat Melbourne pada Disember 2011, di dalam hati saya sudah terdetik 'MasyaAllah, semoga Allah izinkan saya dan keluarga menetap di sini suatu hari nanti...'. Alhamdulillah sujud berjuta syukur kerana akhirnya Allah makbulkan impian itu...
Perkara utama yang menjadi keutamaan untuk menetap di Australia adalah mencari sekolah Islam yang terbaik untuk anak-anak. Jika tiada kewujudan sekolah Islam, saya tidak mungkin akan bersetuju untuk menetap di sini sebagai penduduk tetap. Satu masa dahulu, kami berhasrat untuk menetap sama ada di Australia atau New Zealand. Setelah kajian dibuat selama berbulan-bulan, kami menetapkan untuk ke Australia kerana pilihan institusi pendidikan Islam yang lebih banyak dan kukuh selain daripada peluang pekerjaan yang lebih baik. Laman web untuk melihat senarai sekolah Islam atau Masjid di Australia boleh dilihat di Salatomatic.
Terdapat lebih daripada sepuluh buah sekolah Islam di sekitar Melbourne. Setiap sekolah diasaskan oleh pertubuhan yang berbeza tetapi tertakluk kepada silibus akademik yang ditentukan oleh pendidikan negeri dan ditambah dengan pengajian Islam. Konsep pengajian Islam yang ditawarkan juga bergantung kepada institusi pendidikan tersebut. Ada antara sekolah yang menawarkan pengajian tahfiz di samping ilmu-ilmu ukhrawi yang lain seperti Akhlak, Tajwid, Thirah, Aqidah dan Feqah. Ada juga sekolah yang mewajibkan pelajar dan kakitangannya menutup aurat dan ada juga yang tidak. Bergantung kepada pihak pengurusan sekolah dan pilihan sekolah juga terbuka kepada ibu bapa. Kesemua sekolah Islam adalah di bawah kategori sekolah swasta namun masih mendapat peruntukan yang tinggi daripada kerajaan untuk pembangunan sekolah.
| Antara kandungan laman web Al-Siraat College. |
Memilih sekolah yang paling sesuai rupanya tidak semudah yang disangka. Kajian yang mendalam untuk melihat silibus dan suasana sekolah di samping mengambil perhatian tentang lokasi sekolah ke tempat kerja mengambil masa yang agak lama sehingga betul-betul menemui sekolah yang sesuai. Setelah berbulan-bulan mengkaji, akhirnya kami bersetuju untuk menghantar anak-anak menyambung pengajian di Al-Siraat College. Sekolah ini terletak di suburb Epping dan menawarkan pengajian daripada Foundation (prasekolah) sehingga persediaan ke pengajian tinggi. Apa yang lebih menarik, sekolah ini turut menawarkan program Hafazan intensif untuk pelajar yang terpilih selain daripada silibus pelbagai subjek pengajian Islam. Pelajar-pelajar dan kakitangan adalah perlu menutup aurat dengan sempurna.
Setelah mengajukan permohonan melalui emel, alhamdulillah, masih terdapat kekosongan untuk ke-
| Anak-anak kelas Foundation di Al-Siraat College. Sumber: alsiraat.edu.au |
empat-empat anak kami yang akan menduduki Tahun 6, Tahun 5, Tahun 4 dan Foundation pada 2016. Pihak sekolah juga turut menawarkan program Hafazan intensif kepada anak-anak kami setelah mengambil kira mereka mempunyai asas bersekolah di sekolah Islam di Malaysia, alhamdulillah. Namun mereka perlu melalui sesi temuduga dan ujian hafazan sebelum diterima menduduki kelas tersebut kerana ia sememangnya eksklusif. Untuk kelas hafazan, setiap kelas mengandungi sepuluh orang pelajar yang diasingkan mengikut jantina. Pada sebelah pagi, mereka akan menjalankan program hafazan sehingga ke tengah hari. Program akademik hanya akan dipelajari pada sebelah petang. Waktu persekolahan adalah sama seperti sekolah yang lain, daripada jam 8.00 pagi hingga jam 3.30 petang
InsyaAllah perkembangan anak-anak di sekolah ini akan saya catatkan kemudian kerana mereka hanya akan mula bersekolah pada Februari 2016. Sesi persekolahan di Australia bermula pada Februari sehingga seminggu sebelum Krismas pada bulan Disember.