Followers

Showing posts with label melbourne. Show all posts
Showing posts with label melbourne. Show all posts

Saturday, January 02, 2016

Memilih Sekolah Islam Di Australia (Melbourne)

Ketika melawat Melbourne untuk mengaktifkan visa penduduk tetap yang kami perolehi pada bulan Jun 2015 yang lalu, saya sekeluarga hanya berkesempatan melawat dua buah sekolah Islam sahaja. Satu di College Garden, Adelaide dan satu lagi di Mt Hira, Melbourne. Ketika itu, kami masih belum menentukan sama ada mahu tinggal di Melbourne atau Adelaide. 

Setelah beberapa bulan usaha dibuat untuk mendapatkan pekerjaan oleh tuan suami, nampaknya rezeki kami ada di Melbourne, alhamdulillah. Keindahan dan kedamaian Melbourne amat sukar diucapkan dengan kata-kata. Hanya dengan melawat sendiri ke sana kita dapat merasai kecantikannya dari hati. Walaupun ketika itu saya sedang menetap di Brisbane, tetapi hati tidak tertinggal di Brisbane. Bila sudah kembali semula ke Brisbane, kenangannya masih diingat-ingat. Memang patutlah Melbourne menduduki tangga teratas senarai sebagai 'The Most Livable City In the World'. 

Saya masih tidak lupa ketika mula-mula melawat Melbourne pada Disember 2011, di dalam hati saya sudah terdetik 'MasyaAllah, semoga Allah izinkan saya dan keluarga menetap di sini suatu hari nanti...'. Alhamdulillah sujud berjuta syukur kerana akhirnya Allah makbulkan impian itu...  


Perkara utama yang menjadi keutamaan untuk menetap di Australia adalah mencari sekolah Islam yang terbaik untuk anak-anak. Jika tiada kewujudan sekolah Islam, saya tidak mungkin akan bersetuju untuk menetap di sini sebagai penduduk tetap. Satu masa dahulu, kami berhasrat untuk menetap sama ada di Australia atau New Zealand. Setelah kajian dibuat selama berbulan-bulan, kami menetapkan untuk ke Australia kerana pilihan institusi pendidikan Islam yang lebih banyak dan kukuh selain daripada peluang pekerjaan yang lebih baik. Laman web untuk melihat senarai sekolah Islam atau Masjid di Australia boleh dilihat di Salatomatic.


Terdapat lebih daripada sepuluh buah sekolah Islam di sekitar Melbourne. Setiap sekolah diasaskan oleh pertubuhan yang berbeza tetapi tertakluk kepada silibus akademik yang ditentukan oleh pendidikan negeri dan ditambah dengan pengajian Islam. Konsep pengajian Islam yang ditawarkan juga bergantung kepada institusi pendidikan tersebut. Ada antara sekolah yang menawarkan pengajian tahfiz di samping ilmu-ilmu ukhrawi yang lain seperti Akhlak, Tajwid, Thirah, Aqidah dan Feqah. Ada juga sekolah yang mewajibkan pelajar dan kakitangannya menutup aurat dan ada juga yang tidak. Bergantung kepada pihak pengurusan sekolah dan pilihan sekolah juga terbuka kepada ibu bapa. Kesemua sekolah Islam adalah di bawah kategori sekolah swasta namun masih mendapat peruntukan yang tinggi daripada kerajaan untuk pembangunan sekolah.

Antara kandungan laman web Al-Siraat College.
Memilih sekolah yang paling sesuai rupanya tidak semudah yang disangka. Kajian yang mendalam untuk melihat silibus dan suasana sekolah di samping mengambil perhatian tentang lokasi sekolah ke tempat kerja mengambil masa yang agak lama sehingga betul-betul menemui sekolah yang sesuai. Setelah berbulan-bulan mengkaji, akhirnya kami bersetuju untuk menghantar anak-anak menyambung pengajian di Al-Siraat College. Sekolah ini terletak di suburb Epping dan menawarkan pengajian daripada Foundation (prasekolah) sehingga persediaan ke pengajian tinggi. Apa yang lebih menarik, sekolah ini turut menawarkan program Hafazan intensif untuk pelajar yang terpilih selain daripada silibus pelbagai subjek pengajian Islam. Pelajar-pelajar dan kakitangan adalah perlu menutup aurat dengan sempurna.

Setelah mengajukan permohonan melalui emel, alhamdulillah, masih terdapat kekosongan untuk ke-
Anak-anak kelas Foundation di Al-Siraat College.
Sumber: alsiraat.edu.au
empat-empat anak kami yang akan menduduki Tahun 6, Tahun 5, Tahun 4 dan Foundation pada 2016. Pihak sekolah juga turut menawarkan program Hafazan intensif kepada anak-anak kami setelah mengambil kira mereka mempunyai asas bersekolah di sekolah Islam di Malaysia, alhamdulillah. Namun mereka perlu melalui sesi temuduga dan ujian hafazan  sebelum diterima menduduki kelas tersebut kerana ia sememangnya eksklusif. Untuk kelas hafazan, setiap kelas mengandungi sepuluh orang pelajar yang diasingkan mengikut jantina. Pada sebelah pagi, mereka akan menjalankan program hafazan sehingga ke tengah hari. Program akademik hanya akan dipelajari pada sebelah petang. Waktu persekolahan adalah sama seperti sekolah yang lain, daripada jam 8.00 pagi hingga jam 3.30 petang

InsyaAllah perkembangan anak-anak di sekolah ini akan saya catatkan kemudian kerana mereka hanya akan mula bersekolah pada Februari  2016. Sesi persekolahan di Australia bermula pada Februari sehingga seminggu sebelum Krismas pada bulan Disember.

Friday, December 11, 2015

Selamat Menempuh Hidup Baru Suamiku...

Alhamdulillah tuan suami telah selamat tiba di Melbourne, Australia pada Isnin, 16 November
Flinders Street Station yang menjadi simbol keindahan
senibina di Melbourne. Sumber: ABC News
2015 jam 9.30 pagi waktu tempatan. Kini, telah hampir sebulan tuan suami mula bermastautin di sana dan semakin selesa dan sesuai dengan kehidupan baru di sana. Memang benar ini bukan pengalaman pertama beliau menetap ke luar negara, tetapi tetap ada debaran dan perasaan bercampur baur di dalam diri kerana misi kali ini yang berbeza daripada sebelum ini.



Untuk seminggu pertama, beliau bermalam di Malaysian Hall Melbourne dengan kadar sewa AUD30 untuk sebuah bilik double semalam. Memandangkan masih mengambil masa untuk mendapat penginapan tetap, beliau melanjutkan penginapannya di sana untuk seminggu lagi. Akhirnya setelah beberapa hari mencari dan menjalankan inspection bilik sewa, beliau bakal menyewa di sebuah bilik di Reservoir bersama-sama dengan tiga orang Muslim berasal dari Pakistan bernama Muhammad, Bilal dan seorang lagi yang saya lupa namanya. Muhammad sedang mengikuti pengajian dalam bidang Akauntan sambil bekerja sambilan di supermarket Coles pada petang hari dan security guard pada malamnya. Bilal pula menyambung pengajian Sarjana dalam bidang Engineering di Deakin University sambil bekerja sebagai seorang Pengurus di kilang berdekatan. Kesemua mereka memegang visa pelajar dan berhasrat untuk memohon permenant resident apabila sudah cukup point yang dikumpul. Hanya Muhammad yang sudah berumahtangga dengan dua orang cahaya mata tetapi keluarganya masih ada di Pakistan. Mereka akan kembali bersatu tidak lama lagi setelah beliau berjaya mendapatkan visa PR.

Menurut tuan suami, dia sangat berkenan dengan rumah itu setelah menjalankan inspection. Rumah terletak berdekatan dengan masjid dan dalam komuniti Muslim. Kemudahan pengangkutan awam juga sangat dekat dengan rumah. Keadaan dalam rumah sangat bersih dan dijaga rapi oleh penghuninya.

Masjid Preston yang terletak berdekatan dengan
kediaman tuan suami.
Asalnya, penyewa bilik tuan suami adalah seorang lelaki bersama isteri dan seorang anaknya yang juga dari Pakistan. Mereka telah hampir dua bulan berada di sana setelah mendapat PR Australia. Mereka hanya menyewa sementara sahaja sehingga dia berjaya mendapat pekerjaan untuk menyewa rumah sendiri. Alhamdulillah, akhirnya beliau telah memperoleh jawatan yang sesuai dalam bidang yang kebetulan sama dengan tuan suami, IT Security. Maka, jadilah rezeki tuan suami pula untuk menggantikan tempatnya di situ.

Saya sangat bersyukur dan gembira menerima khabar daripada tuan suami yang mendapat penginapan yang sesuai dan dipertemukan dengan orang yang sesuai dan baik-baik belaka. Kata tuan suami, teman-teman serumahnya sangat mengambil berat dan berbudi bahasa. Hubungan antara mereka terasa seperti adik beradik walaupun baru mengenali. Makanan ruji mereka setiap hari adalah capati yang dicicah bersama kuah dhal manakala suami pulak makan nasi bersama lauk yang sempat dimasak atau kadang-kadang goreng telur mata dengan kicap Kipas Udang sudah memadai.  Katanya, orang Pakistan memang menjaga kesihatan melalui pemakanan dan minuman. Mereka mengambil makanan yang kurang gula, minyak dan garam serta menjaga kandungan kolestrol dalam makanan.

Cerita kami di Malaysia, masih menjalani kehidupan seperti biasa setelah berpindah dan menumpang di rumah Aidora di Taman Sekamat. Cuti sekolah dah bermula, maka anak-anak yang besar mengikut Wan balik ke kampung. Kurang-kurang tidaklah sunyi wan dan atuk di kampung dan boleh menolong membuat kerja rumah apa yang mampu. Maka, tinggallah saya bersama Azzah Nurjannah dan Aleesya Nour saja di rumah bersama keluarga Aidora. Walaupun jarak dari rumah ke pejabat tidak sedekat seperti masa menetap di presint 15, Putrajaya dulu, saya gembira tinggal di sini. Ada banyak pilihan makanan dan boleh singgah pasar malam setiap hari Khamis. Jalan walaupun agak sesak tetapi masih boleh diterima. Cuma mungkin kerana sudah lama tidak memandu lama dan menghadap jem, minggu pertama badan berasa letih dan tidak selesa. Alhamdulillah lama-lama, alah bisa tegal biasa...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...