Followers

Friday, December 21, 2012

Adreana Najla, Aleesya Nour dan Eczema

Pada cuti persekolahan yang panjang kali ini, kami belum berpeluang membawa anak-anak untuk bercuti ke mana-mana tempat peranginan secara rasmi kerana kesibukan Cik Abang Sayang dengan urusan kerja dan pengajian Sarjana secara separuh masanya. Setiap hari Sabtu dipenuhi dengan kelas dari pukul 8.00 pagi hingga 6.00 petang. Sebelum masuk waktu maghrib barulah Cik Abang Sayang tiba di rumah. Tinggallah saya dan Aleesya membuat aktiviti bersama-sama kerana abang-abang dan kakak masih di kampung.

Hanya pada hujung minggu lepas kami berpeluang mengikut suami yang menghadiri mesyuarat di Bukit Gambang Resort City, Kuantan pada hujung minggu. Kebetulan keluarga turut ditanggung semasa penginapan di sana, kami pun mengambil peluang untuk 'menemani' suami bermesyuarat. Hanya perlu tambah bayaran RM200 untuk menukar bilik dari studio kepada apartment dua bilik.

Sebaik tiba di sana, keadaan bilik tidaklah seperti yang saya bayangkan. Dalam banyak-banyak tempat penginapan yang pernah saya hadiri kerana mengikut suami bermesyuarat, Bukit Gambang Resort City tidak dapat menandingi markah keselesaan dan kualiti servis berbanding dengan tempat-tempat penginapan lain yang pernah kami duduki sebelum ini. Saya pun tidak dapat mengingati nama-nama tempat penginapan yang pernah disinggahi di Port Dickson, Cherating, Kuantan, Melaka, Sabah dan Damai Laut. Sebelum ini pun percutian bukanlah aktiviti rutin kami tetapi insyaAllah selepas ini kami akan cuba mengadakan percutian bersama keluarga sebagai aktiviti tahunan memandangkan anak-anak pun sudah besar dan ada keinginan untuk berjalan-jalan.

Cuma satu perkara yang perlu diberi perhatian lebih apabila bercuti adalah masalah kulit kakak Najla dan Aleesya yang mengalami eczema. Mereka mula dikesan menghidapi eczema setelah berusia setahun lebih. Alhamdulillah masalah eczema Najla semakin pulih bila dia makin besar tetapi diganti pula dengan masalah selsema yang berterusan. Semasa dia masih kecil, ada beberapa klinik pakar dan kulit yang telah kami lawati dan menurut doktor masalah eczema adalah penyakit yang lazim dihadapi oleh kanak-kanak atau orang dewasa dan biasanya ia akan hilang dengan sendiri bila anak-anak bertambah usia. Usia sebenar akan berakhir itu tidak dapat dipastikan, bergantung kepada bila anak-anak mula dijangkiti eczema. Lebih cepat kena, lebih cepatlah baiknya. Menurut doktor, itu juga adalah penyakit keturunan sama ada ibu bapa ada yang asma, resdung atau sakit kulit. Bila diimbas semula memori barulah saya teringat yang masa zaman saya bersekolah dulu saya dijangkiti selsema yang tidak berkesudahan terutama pada waktu pagi. Bersin dan tisu itu sudah menjadi perkara rutin buat saya pada waktu itu. Entah bila tiba-tiba selsema itu hilang dengan sendiri, saya pun tidak sedar tapi kalau tidak silap semasa awal sekolah menengah.

Sambung cerita tentang percutian di Gambang. Selepas sakan mandi kolam renang di Gambang, kulit Aleesya dijangkiti eczema yang sangat teruk sehingga lukanya berair terutama di keliling tangan. Sedih sungguh saya melihatnya tetapi sifatnya yang tetap aktif dan ceria mengurangkan kerisauan di hati. Sebaik sahaja tiba di Kampar selepas bercuti, kami terus ke Klinik Nagoke di Tanjung Tualang yang terkenal dengan kemujaraban ubatnya (dengan izin Allah) bagi penyakit kulit. Waktu Najla dulu pun, kami pernah mendapatkan rawatan di klinik yang sama. Sampai pukul 12 tengah hari dan orang sudah beratur panjang. Pesakit di klinik ini memang sangat ramai dan saya pulak hampir terlupa tentang itu. Sebaiknya kena tiba awal pagi supaya dapat nombor awal dan dapat lebih awal berjumpa doktor. Disebabkan nombor pagi sudah habis, saya diberi nombor awal tapi untuk sesi jam dua petang. Mujurlah rumah kampung mak abah tak jauh dari klinik, lebih kurang 15 minit perjalanan. Kami pun pulang ke rumah semula dan akan terus ke klinik sebelum bertolak balik ke Putrajaya petang itu juga.

Bila tiba giliran berjumpa doktor, beliau maklumkan Aleesya sudah terkena kudis api akibat dari bakteria, mungkin semasa mandi manda di kolam renang Gambang Resort dan akibat kandungan klorin air kolam yang tinggi. Kata doktor lagi, disebabkan muka Aleesya sama seperti saya, sayalah yang menurunkan penyakit eczema itu kepada anak-anak, :-D. Doktor di Klinik Nagoke ini namanya Dr Sivadas, merupakan seorang doktor berbangsa India tetapi menguasai bahasa Kantonis, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dengan baik. Saya mendengar dia bercakap dalam kesemua bahasa itu dengan lancar dengan pesakit dan stafnya.  Menurut mak, seorang stafnya yang berbangsa Melayu pandai berbahasa Kantonis juga. Mungkin dia boleh berbahasa Arab juga, saya tidak pasti. Bila diajukan bagaimana beliau boleh bercakap Kantonis dengan baik, katanya dia belajar sendiri. Kliniknya di Tanjung Tualang ini terletak di perkampungan Cina dan sebahagian penduduk Cina yang tinggal di kampung tidak boleh berbahasa Malaysia dengan baik. Jadi dia perlu menguasai bahasa mereka supaya dapat membantu dan mengubati mereka dengan baik. Patut lah terdapat banyak plag dan tulisan di kliniknya dalam bahasa Cina. Mungkin ia dihadiahkan oleh penduduk kampung itu atau pesakitnya yang berbangsa Cina.

Menurut Dr Siva, anak-anak yang mengalami eczema tidak ada kaitan dengan pemakanan yang diambil. Jadi tak perlu pantang apa-apa makanan kecuali memang jelas anak-anak allergic kepada sesuatu makanan setelah mencubanya dan beliau juga tidak galakkan saya untuk ambil ujian mengesan allergic anak. Katanya ujian itu dikhususkan untuk 'orang putih' dan tidak begitu sesuai dengan orang Malaysia. Jika ujian diambil, keputusannya tidak begitu tepat dan akan ada banyak benda yang anak-anak tidak boleh makan. Saya hanya mendengar, tidak kata setuju atau tidak bersetuju. Tapi kalau doktor pakar kulit sendiri sudah kata begitu, saya membatalkan niat untuk ambil ujian tersebut untuk Aleesya. Begitu juga dengan pemilihan susu anak. Jika anak-anak yang eczema sudah diperkenalkan dengan susu lembu, penukaran kepada susu soya tidak memberikan banyak perbezaaan pada kulit anak melainkan jika anak terus dikenalkan dengan susu soya. Anak-anak eczema juga lebih selesa jika dapat tidur dalam air-cond beserta kipas angin yang terpasang kerana kepanasan dan peluh merupakan musuh utama kepada eczema. Kami dibekalkan dengan dua botol kecil sabun mandian khas, sebotol losyen dan krim kulit beserta antibiotik. Bayaran yang dikenakan hanya RM106 sahaja, sangat berbaloi dengan ubat-ubatannya yang insyaAllah berkesan, tips dan nasihat yang diberikan. Ibu bapa yang ada anak-anak eczema tentu lebih arif tentang harga 'bahan penjagaan' kulit anak-anak yang eczema. Sebab itulah bagi saya harganya berbaloi jika dibandingkan dengan harga sabun dan ubat di farmasi. Alhamdulillah selepas sehari mengenakan losyen, krim dan sabun mandian dari Klinik Nagoke, kulit Aleesya menunjukkan reaksi positif. Hari ini, kulitnya semakin sembuh dan kulit yang dijangkiti itu menggelupas sedikit demi sedikit dan digantikan dengan kulit yang baru. Selepas ini, ayah tak perlu panggil Aleesya Si Tompok dan ummi juga tak boleh menyebut Aleesya Si Bintik-bintik lagi... :-)

4 comments:

syalinda johari said...

akak, ada satu klinik pakar kulit di Jalan TAR, namanya KLinik Dr Md. Noh, depan Coloseum jalan Tar tu..anak saya eczema gak..

Unknown said...

untuk psoriasis ada tak ubat dia yer...atau yg ada pengalaman anak2 yang kena psoriasis berubat di klinik nago....

Unknown said...

Sy pn mgidap psoriasis..bru nk mcba dgn rawatan d klnk nagoke next month

Unknown said...

Mmg mujarab ke?sy mmg dh buntu dh dh pi 2 doc dua2 ubat xberkesan xsmpai hati tgk keadaan kulit anak yg be sebulan lebey..xsure sme ade kne eksema atau pn tidak..dia akn tumbuh pd bhgian tubuh yg lain..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...