Followers

Thursday, December 27, 2012

Persiapan Sekolah Anak-anak

Alhamdulillah tahun Masihi 2013 yang bakal menjelma  empat hari lagi. Kebetulan pula tahun baru 1433 Hijrah juga baru saja berlangsung. Lazimnya pada setiap tahun baru kita akan memasang azam baru untuk memperbaiki diri lebih baik dari tahun sebelumnya. Bagi tahun Hijrah yang baru ini, saya berazam untuk memperbaiki kemahiran dan sifat seorang ibu dan isteri yang lebih baik dari sebelum ini. Oleh itu, marilah kita sama-sama menambah ilmu keibubapaan dan rumahtangga menurut Islam dan menambah amalan-amalan yang boleh melembutkan hati seperti zikir, solat malam dan membaca Al-Quran agar Allah mudahkan diri kita untuk menerima hidayah dan mengamalkan perkara-perkara yang dituntut oleh syariat. Hidayah Allah tidak semestinya datang kepada orang yang bukan Muslim sahaja tetapi, kita yang sudah Muslim ini juga mesti sentiasa mengharapkan hidayah Allah supaya diberi kekuatan memilih perkara yang Allah suka dari perkara yang Allah murka dan berdoa agar dimatikan dalam iman.

Kurang seminggu lagi persekolahan sesi baru akan bermula. Persiapan sekolah anak-anak sudah hampir lengkap. Untuk persekolahan tahun hadapan, mana-mana peralatan sekolah yang masih baik, akan terus  digunakan seperti beg sekolah, baju sekolah, kasut dan stokin. Alat tulis juga tidak banyak yang perlu dibeli kerana anak-anak banyak mendapat alat tulis baru dari goodie pack malis hari jadi kawan-kawan. Awal-awal lagi saya sudah mendapat persetujuan anak-anak tentang mana-mana alat yang masih elok, ummi dan ayah tidak akan belikan yang baru dan akan masih digunakan untuk sesi sekolah yang datang. Alhamdulillah anak-anak pun bersetuju. Tujuan utama adalah untuk mengajar anak-anak supaya bersyukur dan menghargai setiap perkara yang mereka perolehi selain dari mengelakkan pembaziran. Saya bimbang jika anak-anak biasa diberi yang baru walaupun yang lama masih elok, mereka akan terbawa-bawa sifat itu sehingga dewasa dan akan memberi kesan kepada amalan dan hati anak-anak.

Tahun 2013 ini Ariff akan menginjak ke tahun dua, Akeef di tahun satu dan Najla tadika enam tahun. Ariff dan Akeef akan sama-sama bersekolah di SRI Abim manakala Najla akan meneruskan pengajian tadikanya di BBIM. Jika ada rezeki, Najla juga diharapkan dapat ke SRI Abim bersama abang-abang pada tahun 2014, insyaAllah. Aleesya yang bongsu setakat ini akan terus ber'sekolah' di Taska De'Sayang, Kementerian Kesihatan sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi. Bila dia sudah masuk usia empat tahun nanti barulah kami bercadang untuk menempatkan Aleesya di sekolah yang lebih formal. Untungnya ada anak-anak bersekolah berturut-turut ini kerana buku teks boleh diturunkan dari seorang ke seorang. Harap-harap untuk beberapa tahun ini tiada perubahan besar dalam silibus pelajaran di sekolah supaya buku-buku teks anak-anak dapat diturunkan untuk sekurang-kurangnya untuk Ariff, Akeef dan Najla. Syukur juga buku-buku Ariff dulu masih elok dan baik keadaannya.

Untuk ibu-ibu yang ada anak-anak yang bersekolah pada tahun hadapan, selamat membuat persiapan terakhir dan selamat kembali ke hari-hari rutin dan sibuk semula. InsyaAllah walaupun sedikit lelah dan terkejar-kejar menguruskan hal ehwal anak di musim persekolahan, ganjaran pahala tersedia buat ibu-ibu. Mudah-mudahan Allah memudahkan urusan kita dan memberi laluan kepada kita menjadikan anak-anak yang cemerlang di dunia dan akhirat...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...