Melalui pembacaan dan penemuan saya dengan ramai ibu-ibu (kerana biasanya ibu-ibu yang lebih prihatin dengan pencapaian anak-anak), majoriti mengutamakan pencapaian akademik anak-anak di dunia berbanding mengambil berat persediaan anak-anak untuk menghadapi alam yang abadi. Satu contoh yang paling asas ialah belajar membaca. Yang manakah perlu didahulukan dahulu sama ada membaca dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Al-Quran? Kebanyakan ibu bapa hanya mengutamakan anak-anak supaya dapat membaca BM atau BI seawal yang mungkin supaya tidak jauh ketinggalan dengan rakan-rakan sebaya apabila masuk darjah satu nanti. Sementelahan pula, kebanyakan sekolah kebangsaan akan mengadakan ujian bacaan dan penulisan selain dari matematik untuk menentukan kelas anak-anak. Isu-isu yang demikianlah yang menyebabkan ramai ibu bapa yang risau apabila anak-anak masih belum boleh membaca BM atau BI pada usia lima tahun sedangkan masih boleh betenang jika anak masih Iqra' 1 pada usia tujuh tahun. Begitu hebat penangan sistem pendidikan negara kita sehingga menyebabkan ramai ibu bapa yang kabur tentang hakikat dunia ini hanya sementara temasuklah saya sendiri satu ketika dulu. Kesedaran datang sendiri apabila melihat pencapaian anak-anak yang berlaku tanpa disedari.
Satu masa dulu saya juga tidak pasti yang mana harus dikuasai dulu oleh anak-anak. Dalam tidak pasti itu, saya mengenalkan anak-anak kepada bacaan Al-Quran sejak anak-anak dari dalam kandungan lagi. Asas ini sudah pasti diamalkan oleh kebanyakan ibu-ibu. Sejak itu saya terfikir, jika anak-anak masih di dalam perut lagi ibu-ibu sudah digalakkan membaca Al-Quran, apatah lagi bila anak-anak sudah lahir ke dunia. Malahan pula berdasarkan kajian, bacaan Al-Quran ibu yang mengandung itu memberi impak yang positif terhadap perkembangan anak-anak di dalam rahim. Oleh itu, saya membuat kesimpulan bahawa Al-Quran seharusnya diperkenalkan kepada anak-anak sebelum ilmu-ilmu bacaan yang lain. Kepentingan penguasaan Al-Quran adalah asas kepada segala-gala keperluan kehidupan kita sebagai Muslim. Di dalam solat, kita diwajibkan membaca Al-Fatihah yang merupakan ibu Al-Quran dengan betul. Begitu juga Al-Quran dan As-Sunnah merupakan panduan sepanjang hayat sebagai seorang Muslim dalam mengejar kebahagiaan hakiki da akhirat nanti.
“Sesungguhnya Allah memiliki kerabat-kerabatnya di kalangan manusia.
Lalu mereka bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah S.A.W? Jawab
baginda : Mereka adalah ahli al-Quran, merekalah kerabat Allah (Ahlullah) dan dan orang-orang pilihannya.” (Riwayat Ibnu Majah)
No comments:
Post a Comment