Followers

Friday, January 04, 2013

Ilmu Fardhu Ain: Tanggungjawab Siapa?

Setiap kali berada dalam kereta, radio kegemaran yang akan saya dengari tidak lain dan tidak bukan ialah Ikim.fm. Saya suka mendengar Ikim.fm kerana sangat banyak perkara yang saya belajar di samping mengingatkan semula diri yang sudah sedia lemah dan lalai. Dari Ikim.fm lah saya banyak belajar memperbaiki skil keibubapaan dan isteri selain dari ilmu-ilmu lain yang berguna untuk kehidupan di dunia dan akhirat. Antara personaliti jemputan yang saya minati ialah Ustaz Pahrol Mohd Juoi, Prof Dr Muhaya, Ustaz Zaharuddin dan tetamu-tetamu jemputan dalam siaran Islam Agamku setiap petang Khamis. Dr Sidek Baba berselang seli dengan Dr Mohd Farid Mohd Shahran juga ada bersiaran pada setiap petang Isnin dalam siaran Guru dan Pendidikan.

Satu ilmu baru yang nampak kecil tetapi memberi impak yang besar yang saya perolehi semasa mendengar Ikim.fm ialah berkaitan pendidikan asas ilmu Fardhu Ain kepada anak-anak. Menurut Dr Mohd Farid Mohd Shahran, memberi ilmu Fardhu Ain sebenarnya adalah tanggungjawab ibu bapa. Kesilapan ibu bapa pada hari ini ialah ramai yang outsource tanggungjawab tersebut kepada pihak luar contohnya mengajar membaca Iqra' dan Al-Quran kepada anak-anak dihantar kepada ustaz dan ustazah di luar, belajar solat dan hukum-hakam pula diharapkan kepada ustaz dan ustazah di sekolah. Jadi bila anak lambat naik Al-Quran atau tidak betul rukun solatnya, ustaz dan ustazah di luarlah yang seringkali dipersalahkan sedangkan tanggungjawab itu sebenarnya terletak pada ibu bapa. Pihak di luar hanya membantu dan memperkuatkan lagi kemahiran anak-anak sahaja.

Seboleh-bolehnya tanggungjawab mengajar anak membaca Al-Quran perlu dilakukan oleh ibu bapa. Jika ibu bapa tidak pandai, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk belajar sehingga pandai dan mampu mengajar anak-anak membaca Al-Quran dengan betul. Anak-anak yang diasuh oleh ibu bapanya sendiri membaca Al-Quran akan menjadi anak-anak yang lebih yakin pada diri sendiri dan lebih menghormati ibu bapanya. Bagi anak-anak, ibu dan bapa merekalah hero pertama mereka sebelum mereka mengenali hero-hero yang lain. Alangkah beruntungnya dan bertuahnya anak-anak jika hero pujaan mereka sendiri dapat mengajar mereka mengaji di rumah.

Begitulah juga dengan ilmu asas fardhu ain seperti solat, berpuasa, mengenali Allah dan sebagainya. Sebagai ibu bapa Muslim, kita mesti memastikan anak-anak mampu berwudhu dan bersolat dengan betul. Sesi memperkenalkan Pencipta yakni Allah kepada anak-anak juga boleh dilakukan secara tidak langsung semasa sesi bermain-main dengan anak-anak atau berada dalam kenderaan. Segala perkara yang ada di sekeliling kita boleh dikaitkan dengan kewujudan Allah seperti awan, pokok-pokok, binatang, makanan dan sebagainya. Penerapan akidah yang kukuh sejak kecil amat penting untuk membina keyakinan terhadap Islam dan membina kekuatan diri ketika anak-anak menghadapi cabaran dan dugaan hidup. Pergantungan yang tinggi kepada Allah akan menjadikan anak-anak seorang yang redha dan sentiasa berbahagia dalam hidupnya kerana yakin setiap apa yang berlaku adalah kehendak Allah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...