Alhamdulillah, 16 November datang lagi. Pejam celik sudah tiba sambutan ulangtahun pertama. Pelbagai kisah suka duka berlalu dengan pelbagai pengajaran dikutip daripadanya. Berhijrah ke Australia adalah satu keputusan terbesar pernah dibuat dalam hidup. Niat untuk naik ke setingkat lagi penanda aras terbaik yang boleh dilakukan untuk diri sendiri, keluarga besar saya dan ummah, hijrah ini diberikan kemudahan dalam pelbagai urusan. Sokongan ahli keluarga terdekat terutamanya isteri dan anak-anak, seluruh keluarga dan sanak saudara serta sahabt-sahabat terhampir, percaturan rapi yang dibuat lebih dua tahun sejak 2013 kini membuahkan hasil.
Tiga hari sebelum berangkat secara solo pada November 2015 saya menerima panggilan temuduga satu jawatan di salah sebuah bank terkemuka Australia di Victoria Parade, tapi belum berjaya. Ini adalah pengalaman temuduga ke tiga, yang pertama bank juga, kedua kampeni berkaitan dengan bank, semua tersangkut. Masuk yang keempat ni, telco infra berkaitan kerajaan, baru lepas. Sejak daripada itu, ramai pula yang bertanya, “Buat apa di Australia? Macam mana apply kerja? Ada kenal-kenal orang ke? Ada kerja kosong tak?” dan lain-lain.
Maka untuk menjawab semua persoalan, konteks penulisan ulangtahun pertama migrate kali ini berfokuskan pengalaman taktikal cari kerja IT pengkhususan dalam bidang Information Security, pasca tak lepas interview ketiga dengan pusat operasi bilik sewa bujang tumpang di rumah kawan Pakistan yang baik hati di Reservoir yang baru kenal melalui Gumtree. Semuanya bermula secara intensif 2 minggu selepas mendarat. Ketika itu State Library of Victoria menjadi rumah kedua untuk misi taktikal tersebut. Ini adalah apa yang saya alami. Your mileage may vary. Semuanya fakta, tidak ada manja-manja.
0. Visa:
Memohon pekerjaan di Australia tidak kira apa jua bidang yang ingin diceburi dalam profesion makan gaji memerlukan visa yang membolehkan seseorang bekerja tanpa halangan. Bekerja tanpa halangan bermaksud, tiada had jam bekerja, atau sekatan bekerja hanya di dalam daerah tertentu, kelayakan seseorang yang sesuai untuk mengisi kekosongan serta rekod jenayah yang bersih.
Selalunya, pada visa itu sendiri akan ditulis “unlimited working rights” dan kadang-kadang ada juga tertulis “unlimited study rights”. Terdapat pelbagai jenis visa untuk masuk ke Australia dengan pelbagai keperluan bergantung kepada tujuan seseorang individu. Sebagai contoh, ada visa yang membenarkan seseorang itu masuk sebagai pelajar, maka prioriti utama visa adalah hanya untuk keperluan melanjutkan pelajaran.
Walau bagaimanapun, seseorang pelajar masih boleh bekerja dengan terhad kepada beberapa jam seminggu untuk tujuan mencari duit poket dan lain-lain keperluan perbelanjaan di samping pengalaman bekerja secara sambilan ketika menjadi pelajar.
Peluang untuk anda lebih cerah jika anda berada di dalam Australia ketika memohon pekerjaan berbanding offshore. Bakal majikan juga lebih yakin kerana mudah mengendalikan sesi temuduga dan kemungkinan memiliki visa kerja yang sah. Jika memohon kerja secara offshore, majikan boleh mensponsor visa anda jika layak. Temuduga juga boleh diatur secara online seperti menggunakan Skype atau telefon. Visa yang diberikan pula ialah khusus untuk bekerja dengan beberapa syarat.
Terdapat juga pelbagai skim too good to be true yang memperdaya mangsa untuk masuk sebagai pelancong dan kononnya boleh ditawarkan pekerjaan. Malangnya, tiada mana-mana peruntukan visa pelancong yang boleh digunakan untuk bekerja di Australia. Sudah terlalu ramai ditahan kerana hal ini dan nama Malaysia sentiasa membusuk di dada-dada akhbar tempatan dan rekod imigresen kerana salah guna visa. Cukup-cukuplah Najib sahaja yang masuk surat khabar.
Untuk membolehkan seseorang bekerja tanpa apa-apa sekatan, maka jenis subclass visa yang diperolehi akan menentukannya. Calon pekerja yang tiada visa yang sesuai tidak boleh diambil bekerja kerana melanggar undang-undang dan boleh dikenakan hukuman yang berat kepada kedua-dua majikan dan calon. Maka, selain warganegara Australia, memiliki visa yang sah merupakan prasyarat utama untuk bekerja tanpa halangan di Australia.
Skop penulisan ini tidak bertujuan menerangkan jenis-jenis visa, cara memperolehinya atau apa-apa maklumat berkaitan dengannya secara lanjut, tetapi semua maklumat boleh diperolehi dari Jabatan Imigresen Australia dan Australian Border Force (ABF) di www.border.gov.au.
1. Pengkhususan bidang
Persiapkan diri dengan pengkhususan bidang yang ingin diceburi. Antara langkah penting untuk tujuan ini ialah dengan memastikan bidang yang ingin diceburi mempunyai nilai keboleh-pasaran yang tinggi dengan kesesuaian kelayakan terutamanya dari segi akademik, persijilan profesional dan pengalaman kerja yang luas.
Saya mengambil konteks dalam bidang IT kerana saya berada dalam industri ini sejak dari awal karier lagi. Saya mendapati perkhidmatan IT dengan pengkhususan dalam bidang keselamatan sangat memenuhi kehendak pasaran di sini dan mempunyai masa depan yang cerah.
Salah satu cara mendapatkan kelayakan formal dalam pengkhususan bidang ialah dengan mengambil persijilan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebelum mula memohon pekerjaan selain kelayakan formal akademik yang juga diiktiraf oleh badan-badan berkaitan. Jika dalam bidang IT, maka Australian Computer Society (ACS) adalah badan bebas yang mengakreditasi kelayakan akademik berserta pengalaman kerja berdasarkan piawaian yang dikehendaki oleh negara Australia. Ia tidak wajib untuk memohon kerja. Namun begitu, pemohon Skill Migration visa wajib melalui akreditasi ACS untuk menentu-sahkan kelayakan IT dan pengalaman kerja masing-masing. Maklumat lanjut tentang ACS boleh diperolehi di www.acs.org.au. Ia sangat penting dari segi kelayakan formal untuk bersaing dengan pemain-pemain industri yang sudah lama dikenali seperti tenaga kerja IT dari India.
Terdapat berpuluh ribu tenaga kerja IT yang majoritinya dari India dan negara-negara lain sama ada onshore mahupun offshore di Australia dalam pelbagai pengkhususan. Saya sebut pengkhususan bidang ialah kerana pengalaman seseorang jika melebihi sepuluh tahun dalam bidang berkaitan, sudah semestinya ada bidang tertentu yang menjadi kecenderungan berbanding seseorang yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam bidang akademik IT yang lebih bersifat generalist. Contoh-contoh bidang IT yang sentiasa mendapat tempat pada tahun ini berdasarkan iklan-iklan kerja yang saya biasa lihat adalah seperti bidang Statistical Analysis and Data Mining, Data Science, Machine Learning, UX Design, Cloud and Distributed Computing, Software Development and Architecture, Network and Information Security dan lain-lain. Maka lebih lama anda memiliki pengalaman pengkhususan kepakaran dengan disokong oleh kelayakan yang berkaitan, maka lebih cerah peluang untuk menarik minat bakal majikan untuk dipanggil temuduga.
2. Resume
Tidak ada format khusus resume yang baik yang memungkinkan anda mendapat perhatian bakal majikan. Kemaskini resume anda dengan maklumat terkini dengan mengikut standard yang dikehendaki di Australia.
Terdapat banyak perbezaan besar resume Malaysia dan Australia. Ia sudah mengakar lantas menjadi budaya. Resume Malaysia yang pernah saya baca ketika mengambil staf bekerja dahulu kebanyakannya meleret-leret lebih daripada 2 muka surat, ada gambar calon, tarikh lahir, hobi, jantina, agama, nama ketua kampung, makanan kegemaran dan pelbagai maklumat tidak berkaitan. Walaupun anda berpengalaman lebih 12 tahun dan terlalu banyak kejayaan yang mahu ditulis, gunakan ruang sebaiknya dengan laras bahasa yang ringkas dan padat untuk menghasilkan resume tidak lebih 2 muka surat. Anda perlu ingat, anda bukan menulis autobiografi, tetapi anda tulis resume supaya bakal majikan anda sedar anda adalah seorang profesional, jelas niat dan berkelayakan.
Kekuatan impresi pertama anda terletak pada resume yang baik. Perkara remeh seperti ejaan, nahu dan tatabahasa juga sangat diambil kira terutamanya calon yang tidak bercakap Bahasa Inggeris sebagai bahasa pertama. Ejaan di Australia menggunakan standard ejaan dan laras bahasa English UK berbanding English US. Maka betulkan spell checker anda awal-awal supaya lebih mudah. Semak resume berkali-kali oleh anda sendiri dan minta orang lain untuk tolong semak semula.
Setiap permohonan yang dihantar saya akan ubah ayat-ayat yang berkaitan di dalam resume saya supaya laras bahasanya sesuai, tidak berbaur eksyen, desperate atau misleading dengan jawatan yang diminta. Jangan menipu resume kerana inshaAllah, lebih mudah terkantoi.
Saya tekankan soal resume kerana semua jenis kerja perlu hantar resume dan setiap jenis kerja tidak sama resumenya. Daripada kerja cleaner di kilang cendawan sehinggalah jawatan eksekutif IT di PwC memerlukan resume. Disitulah terletaknya kekuatan anda sebagai calon kepada bakal majikan anda. Sepuluh saat pertama skimming resume anda akan menentukan siapa anda pada minit-minit berikutnya. Jika resume anda dibakul-sampahkan, maka peluang anda sudah tiada. Berlapang dadalah dan belajar dari kesilapan. Saya tidak kongsi resume saya kepada sesiapa kecuali bakal majikan kerana ia adalah harta intelek saya dan biarlah resume saya hanya ada satu dalam dunia.
Terdapat banyak template di luar sana boleh digunakan sebagai benchmark. Jika anda kecewa tidak mampu buat resume yang baik, anda masih boleh upah pembuat resume profesional dengan bayaran berpatutan. Semuanya terpulang kepada selera dan berapa anda sanggup bayar.
3. Referees
Dua orang referees diperlukan. Kalau di Malaysia, jarang-jarang ada sesiapa peduli untuk rujuk referee yang disertakan. Di Australia, recruiters atau hiring manager akan call, email dan tanya secara detail tentang bakal calon yang akan disenarai pendek. Antara contoh soalan yang ditanya kepada referee anda termasuk: “How’s Nasir behave when working under pressure?” atau “What would be the best management style for Nasir?” dan lain-lain.
Terdapat juga beberapa bentuk soalan bertulis yang perlu dikembalikan kepada recruiter atau hiring manager. Sertakan dua orang referees yang berkaitan dengan kerjaya atau bidang akademik anda. Resume anda akan lebih berharga jika referee anda terdiri daripada individu dalam bidang yang sama yang bertugas di Australia.
Pastikan referee anda boleh dihubungi melalui telefon dan email serta nyatakan bagaimana anda ada kena-mengena dengan mereka. Sertakan jawatan referee serta tempat mereka bertugas sekurang-kurangnya dengan nama syarikat. Pastikan anda beritahu referee anda, mereka dipilih untuk menjadi referee dan bersedia untuk dihubungi oleh recruiter dan hiring manager untuk mengelakkan kekecewaan.
4. Cover letter
Kebanyakan syarikat tidak mewajibkan menyediakan cover letter, bagaimanapun cover letter boleh menjadi first impression selling point yang berkesan jika disediakan dengan cara yang betul.
Sediakan cover letter berbeza untuk setiap kali anda pohon jawatan berlainan. Ini bermakna, anda perlu ada sekurang-kurangnya 4 hingga 5 template cover letter untuk diolah. Anda perlu menyatakan kenapa syarikat perlu mengambil anda sebagai staf mereka di dalam cover letter. Anda juga boleh nyatakan yang anda tiada halangan bekerja kerana ada visa yang sesuai. Jangan lupa pastikan kelebihan yang anda miliki adalah selari dengan keperluan tugasan yang mereka nyatakan di dalam iklan pekerjaan.
Seperti resume, bersikap jujurlah dalam cover letter kerana sebarang usaha menipu akan kantoi jua akhirnya. Tidak perlu gunakan ayat Bahasa Inggeris bombastik untuk menunjukkan kita pandai English, cukup sekadar simple English, tiada perkataan salah eja, tatabahasa yang betul, ayat pendek-pendek, straight to the point dan mudah difahami. Ia juga menunjukkan anda tahu penggunaan bahasa walaupun English adalah bahasa kedua anda. Satu muka surat cover letter dengan 2 perenggan sudah memadai.
5. Media sosial
Dunia hari ini berhubung melalui media sosial tidak kira siapa anda. Anda harus bersifat lebih terbuka dalam hal ini sama ada anda suka atau tidak. Bakal majikan anda akan mula mengenal anda secara umum tentang perkara yang tidak ada dalam resume, dengan siapa anda berinteraksi dan fikrah yang bagaimana anda bawa melalui media sosial. Google sahaja nama anda, maka media sosial pertama yang akan muncul ialah Facebook, Twitter, Instagram, Google+, LinkedIn dan lain-lain.
Media sosial yang sesuai untuk pencari kerja terutamanya bidang IT ialah di LinkedIn. Melalui LinkedIn, berhubunglah dengan para profesional lain dalam industri yang sama, dapatkan endorsement dan recommendation daripada connections anda, sertakan pengalaman volunteer yang memberi nilai tambah kepada anda, posting atau share fikrah-fikrah yang berkaitan dengan bidang kerjaya anda dan lain-lain yang difikirkan munasabah. Pastikan perkara yang bersifat peribadi kekal sebagai private terutamanya di Facebook kerana bakal majikan akan mula menilai anda tentang apa yang anda post di media sosial.
Untuk mengurangkan bias dan stereotype, jenis posting-posting anda di LinkedIn adalah berbeza daripada di Facebook kerana LinkedIn harus kekal sebagai media sosial dikalangan profesional, lebih serius dan relevannya lebih bersifat global berbanding peribadi. Media sosial juga boleh menjadi manfaat atau sebaliknya secara tidak langsung kepada pemburu kerja seperti anda. Gunakan media sosial dengan lebih bertanggungjawab.
6. Hunting
Anda mesti tahu di mana ada kerja kosong kerana anda tidak akan memohon pekerjaan secara semberono sahaja. Berhati-hatilah kerana terdapat juga laman web yang hanya dibangunkan untuk mengutip segala data peribadi anda untuk kerja yang sebenarnya tiada.
Di Australia, laman web yang baik untuk hunting kerja IT dengan iklan-iklan yang sahih kebanyakannya ada di www.seek.com.au. Terdapat banyak lagi laman web lain yang setara dengannya, tetapi Seek lebih establish dengan ciri-ciri yang memudahkan anda cari kerja. Pejabatnya saya pernah lihat dengan mata kepala sendiri tersergam indah di St. Kilda Road. Kebanyakan pengiklan adalah recruiter company yang membekalkan tenaga kerja secara IT labour hire kepada bakal majikan. Anda juga boleh terus memohon secara terus di laman web career mana-mana syarikat yang menjadi sasaran jika terdapat iklan kekosongan jawatan.
Sediakan satu Excel spreadsheet supaya anda boleh track dan rekod setiap satu permohonan terutamanya butir-butir seperti nama jawatan, tarikh iklan, nama syarikat atau recruiter yang mengiklan, nama ejen recruiter, nombor telefon dan email mereka. Semuanya terpulang kepada kesesuaian citarasa dan kreativiti anda.
Selepas menghantar permohonan kerja dengan menghantar resume dan cover letter, hubungi ejen atau staf HR terlibat melalui panggilan telefon atau email dalam masa 1-2 hari selepas menghantar permohonan. Tidak perlu gelojoh untuk follow-up dan ambil masa anda. Pilih untuk call pada masa yang sesuai, selalunya pada waktu pagi. Perkenalkan diri anda, nyatakan anda telah menghantar permohonan melalui resume untuk jawatan yang anda pilih dan mulakan perbualan untuk menyatakan anda berminat. Ambil peluang untuk memberitahu kelebihan anda dan anda adalah calon yang sesuai untuk jawatan tersebut. Berbudi bahasalah di dalam telefon kerana mat saleh sangat pentingkan adab. Mulakan dengan greetings seperti “good morning, how are you doing?” dan akhiri dengan ungkapan yang menunjukkan anda gembira dapat berbual dengan mereka seterusnya berhasrat untuk diberikan peluang hadir ke sesi temuduga kelak. Jadilah kreatif dengan perbualan mesra. Masuk kandang mana pun, anda mesti boleh mengembek dengan baik.
Panggilan telefon anda juga secara tidak langsung adalah temuduga pertama anda. Ia menggambarkan anda serius dan bukan sekadar test market ala kadar sahaja. Lakukan yang terbaik. Saya lakukan semua ini berulang-ulang tidak kurang 80 kali berdasarkan permohonan bermula sejak Jun 2015 sejak berada di Malaysia dan secara intensif setiap hari ketika November hingga Disember 2015 ketika berada di Australia.
7. Timing
Memohon pekerjaan di Australia memerlukan timing yang sesuai. Peluang pekerjaan selalunya mencurah-curah pada new financial year sekitar Julai setiap tahun kerana financial year di Australia berakhir penghujung Jun menyaksikan rata-rata syarikat mempunyai bajet tambahan untuk jawatan-jawatan baru untuk diiklankan.
Bulan-bulan sekitar November dan Disember pula adalah paling sedikit jawatan yang diiklankan kerana mood cuti musim panas sudah tiba dan kebanyakan bakal majikan bercuti panjang sehingga awal tahun baru. Mood sambutan krismas juga tidak kurang hebatnya kerana kebanyakan organisasi akan mula menyusun agenda sosial masing-masing seawal hujung November. Maka boleh dikatakan kurang peluang interview atau hiring berlaku sekitar November hingga Disember. Saya sampai di bumi bertuah Australia dalam bulan November ketika peluang yang berkurang. Tetapi tiada yang mustahil jika kita benar-benar serius dalam apa jua yang ingin dilakukan.
8. Jawatan dan kesesuaian
Jangan terlalu memilih pekerjaan. Setiap satu pekerjaan adalah mulia selagi ia tidak bercanggah dengan kehendak syari’at dan mampu mendekatkan hubungan anda dengan Tuhan. Saya melihat sendiri bagaimana seorang pemandu bas dengan tugasnya setiap hari menyambut dan greet semua penumpang dengan ceria. Pemandu lori kutip sampah yang masih sudi ucapkan selamat pagi kepada orang sekitarnya. Kehidupan secara masyarakat majmuk dan diversity di Australia memungkinkan kebanyakan bakal majikan anda faham keperluan anda beragama dan berbudaya sambil bekerja. Usah risau kerana aspirasi semua penduduk Australia majoritinya berpegang kepada sikap egalitarianism (believing in or based on the principle that all people are equal and deserve equal rights and opportunities). Maka anda masih boleh lihat beberapa jawatan yang kebiasaannya didominasi lelaki tetapi juga dilakukan oleh wanita. Ada pilot keretapi dan tram terdiri daripada kalangan wanita. Solat Jumaat masih sarat dengan para jemaah dari pelbagai latar belakang. Masyarakat Sikh masih berserban dan berjambang tebal datang ke pejabat. Semua ini mungkin jika anda adalah calon yang sesuai untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
Maka salah satu cara untuk menjimatkan masa anda dan bakal majikan ialah untuk memastikan ketepatan sesuainya anda dengan jawatan yang dipohon dengan memadankan skil anda dengan kehendak jawatan. Contohnya, jika keperluan kerja memerlukan anda boleh mengaturcara, tetapi anda sepatah haram pun tidak tahu programming, maka jangan buang masa memohon kerana permohonan anda besar kemungkinan akan dibakul-sampahkan. Salah satu tips untuk memastikan anda disenarai pendek, pastikan skil anda menepati keperluan kerja melebihi 80 peratus sebelum memohon. Semakin tinggi peratusan skil menepati kehendak majikan, maka semakin tinggi peluang anda dipanggil temuduga. Seperti yang diulang-ulang di dalam point nombor 2 dan 3, berlaku jujurlah dalam menilai skil anda kerana jika anda tiada skil yang diperlukan, tetapi mengaku ada, maka anda lebih mudah untuk dikantoikan di dalam temuduga. Anda balik dengan tangan kosong dan kecewa.
9. Temuduga
Sekiranya anda terpilih, kebiasaannya pihak HR akan call untuk appointment temuduga dan menghantar email untuk mengesahkan kehadiran. Anda juga mungkin dipilih untuk level 1 phone interview sebelum face to face. Panggilan temuduga juga merupakan benchmark kepada resume dan cover letter anda berkesan menarik minat bakal majikan. Jika tidak, lebih banyak ubahsuai dan pembetulan yang perlu dilakukan. Jangan persiakan peluang temuduga kerana ia tidak datang selalu.
Daripada 20 permohonan yang anda hantar, mungkin satu akan call anda semula untuk berbual lanjut. Hanya berbual, bukan panggil interview. Anda adalah pekerja berpengalaman dalam bidang anda sendiri, maka lakukan temuduga secara tertib mengikut etika-etika yang berpadanan. Saya sendiri gagal 3 kali temuduga di Australia kerana lain majikan, lain pula kehendak dan citarasanya. Mereka boleh pilih siapa yang mereka suka. Bukan saya sahaja yang datang temuduga jawatan itu. Temuduga keempat sahaja yang berjaya.
Apa yang penting jangan berputus asa dan teruskan berusaha. Pastikan anda tiba awal di tempat temuduga. Sebaiknya buat kajian dan datang melihat tempat temuduga sehari atau dua hari lebih awal untuk membiasakan diri. Pakai pakaian formal seperti suit dan kemas semasa temuduga. Perkenalkan diri anda secara ringkas dan kurangkan bercerita mengenai hal-hal tidak formal di dalam temuduga. Jika ditanya hal peribadi, jawab sekadarnya sahaja. Fokus kepada bidang kerja yang anda pohon. Anda perlu confident tetapi jangan kelihatan terlalu yakin atau eksyen. Jika ada soalan yang tidak dapat dijawab, nyatakan dengan jujur dengan jawapan yang sesuai. Jangan sesekali menipu semasa temuduga. Biar anda kelihatan lurus bendul dan nerd daripada eksyen macam terer semua benda tetapi akhirnya gagap dan kelaut di pertengahan jalan.
Kebiasaannya terdapat dua peringkat temuduga yang perlu dilalui di Australia. Keputusan temuduga biasanya akan diketahui dalam tempoh terdekat sama ada pada hari yang sama atau keesokannya. Anda tidak perlu tunggu lama. Sekiranya anda berjaya pada temuduga pertama, pihak HR atau ejen akan menghubungi anda untuk mengatur sesi temuduga kedua. Jika anda gagal, pihak mereka akan berhubung kepada anda dengan menyatakan sebab anda gagal. Anda harus bersedia dengan baik juga untuk temuduga kedua ini, jangan terlalu yakin anda telah berjaya. Buat yang terbaik sebagaimana anda melakukannya pada temuduga pertama.
10. Doa dan tawakkal
Paling penting selepas semua usaha di atas, bertawakallah kepada Allah. Lakukan solat tahajud dan solat hajat dan mohon Allah memudahkan urusan anda mencari pekerjaan yang sesuai. Niatkan semua usaha anda adalah untuk menyara kehidupan berkeluarga anda demi mendekatkan anda kepada Allah s.w.t. Pastikan anda memohon supaya Allah memberikan pekerjaan yang paling baik untuk dunia dan akhirat anda. Usah bimbang tentang tiada rezeki kerana setiap makhluk Allah di atas muka bumi telah ditentukan rezekinya sejak sebelum lahir lagi. Tidak akan dicabut nyawa setiap makhluk ini melainkan semua rezekinya telah diberikan secara total. Jika bukan rezeki anda, mungkin rezeki anak-anak anda atau ibu bapa anda yang Allah tidak tolak doa mereka kerana hati mereka yang suci dan ikhlas. Teruskan berusaha dan berdoa kerana masih ada orang-orang di sekeliling anda yang akan terus berdoa.
Selamat berjaya, ya!
2 comments:
Assalamualaikum tuan rumah. Boleh sy bertanyakan tempoh masa utk permohonan visa selesai? Bermula dr assesment, dan application dan secara totalnya berapa bulan ya? Suami sy telah ditawarkan kerja di Melbourne, kata agent subclass visa yg ditawarkan subclass 190.
cara mendapatkan uang dari youtube
cara menghasilkan uang dari youtube
cara menjadi youtuber gaming
Post a Comment