Followers

Showing posts with label berpindah ke luar negara. Show all posts
Showing posts with label berpindah ke luar negara. Show all posts

Wednesday, December 30, 2015

20 Keindahan Tinggal Di Australia

Tidak lama dahulu saya ada terbaca di Fb tentang kisah seorang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Jepun dan jatuh cinta untuk tinggal di Jepun. Dia menyenaraikan 19 sebab mengapa dia suka tinggal di Jepun berbanding negara sendiri. Kenyataan ini tidak mudah diterima oleh semua orang jika tidak kena gaya menulis. Pada hemat saya, tidak ada masalah asalkan anak muda itu tidak lupa diri dan masih sedar asal usul dirinya. Terlalu mengagungkan negara luar dan merendah-rendahkan negara sendiri adalah amat tidak patut. Namun terlampau obses kepada parti politik tertentu di dalam negara sendiri sehingga menyempitkan fikiran untuk menerima apa yang baik di negara luar tidak akan membawa kita ke mana-mana. Harapan untuk menjadi sebuah negara maju hanya akan tinggal harapan bila minda tidak dapat dibuka untuk mencontohi yang baik dan meninggalkan apa yang merugikan.

Di sini saya ingin menyenaraikan 21 sebab mengapa Australia menjadi antara negara yang baik untuk didiami berdasarkan pandangan rakyat marhaen Muslim. Ia mungkin lebih kurang sama dengan Jepun tetapi agak berbeza kerana budaya dan masyarakat di antara dua negara ini agak berlainan. Jom kita baca sama-sama.

Antara restoran halal di Asustralia. Sumber: abc.net.au
1. Makanan halal mudah didapati di Australia terutama jika tinggal di kawasan berdekatan bandar utama seperti Sydney, Melbourne, Brisbane, Perth, Adelaide, Canberra dan Tasmania. Tak perlu risau perlu menjadi vegetarian jika tinggal di Australia. Ayam halal bukan hanya dijual di halal butcher sahaja, tetapi boleh juga dibeli di pasaraya utama seperti Coles.

2. Masjid sebagai pusat ibadah dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bertaburan di serata Australia. Fungsi masjid digunakan sepenuhnya bukan sahaja untuk masyarakat Islam, tetapi juga dijadikan tempat untuk membina hubungan yang baik dengan masyarakat bukan Islam yang tinggal berdekatan.

3. Keseimbangan hidup dan mutu kehidupan yang lebih baik kerana budaya bekerja di sini yang hanya bekerja pada waktu bekerja dan masa selebihnya perlu dihabiskan bersama keluarga dan untuk kesihatan diri. Agak jarang dapat bertemu dengan pekerja yang bekerja lebih masa di sini.

Kangaroo dan koala adalah haiwan yang menjadi tumpuan
pelancong di Australia. Sumber: thingling.com
4. Kepelbagaian pilihan aktiviti untuk bersama keluarga pada hujung minggu. Terdapat banyak taman rekriasi, pantai yang indah dan bersih, kawasan hutan simpan yang dilindungi dan taman haiwan yang sesuai untuk dikunjungi seisi keluarga.

5. Kemudahan pengangkutan awam yang efektif dan efisien. Terdapat pelbagai kemudahan pengangkutan awam yang tersedia seperti bas, keretapi, feri dan tram. Kesemuanya mempunyai jadual perjalanannya sendiri dan 98% adalah mengikut jadual melainkan ada kejadian yang tidak diingini berlaku.

6. Masyarakat yang multicultural dan berbilang budaya dan bangsa tetapi masih dapat hidup dalam keadaan aman damai dan saling hormat menghormati. Kepelbagaian ini jugalah yang menjadikan makanan yang dapat dinikmati di sini lebih variety.

8. Ketersediaan sekolah Islam swasta dengan fasiliti dan silibus pendidikan bertaraf dunia tetapi dengan yuran yang jauh lebih murah. Majoriti sekolah Islam di sini ditubuhkan oleh masyarakat Islam berasal dari Turki atau Arab. Pihak kerajaan jugak memberi sumbangan kewangan yang besar dalam membantu pembangunan sekolah. Jadi tidak hairanlah yurannya berpatutan dengan kemudahan yang serba canggih.

9. Kadar jenayah yang rendah dan tidak merisaukan. Susah sekali mendengar berita kejadian rompakan, pecah rumah, penculikan kanak-kanak, bawa lari mesin ATM apatah lagi kes ragut. Hidup lebih aman dan tenteram tanpa perlu berada dalam ketakutan pada siang atau malam hari.

10. Kuasa beli yang besar sebagai pengguna kerana harga barang yang rendah dengan pendapatan yang agak baik selain ekonomi negara yang stabil. Jarang sekali ada kes harga barang naik atau peniaga mengambil kesempatan menyorok barang atau menaikkan harga barang sesuka hati pada musim perayaan.

Buah-buahan segar yang dijual di pasar.
Sumber: marketsofmelbourne.com.au
11. Harga makanan berkhasiat yang murah dan berkualiti tinggi. Antara makanan berkhasiat yang boleh didapati dengan harga yang sangat murah ialah makanan organik, buah-buahan seperti epal, strawberi, pisang, ceri, blueberi, kiwi, tembikai dan banyak lagi, susu segar, keju, mentega, minyak zaitun serta sayur-sayuran segar.

12. Negara empat musim dengan musim yang paling saya gemari ialah apabila tiba musim bunga. Cuacanya tidak terlalu sejuk dan tidak terlalu panas dan ketika inilah bunga-bungaan mula berkembang dengan pemandangan yang sungguh indah. Pada musim salji pula, boleh bermain salji di atas gunung.

13. Pemimpin negara selaku ahli politik lebih banyak melaksanakan tugas untuk berbakti kepada rakyat dan bekerja untuk rakyat. Tidak pernah mendengar berita di sana pemimpin yang membuli rakyat jelata apatah lagi mengaut harta negara untuk kepentingan pihak-pihak tertentu sahaja tanpa memperdulikan nasib dan masa depan negara yang dipimpinnya.

14. Australia sentiasa tersenarai sebagai negara paling baik untuk didiami di dunia. Pada tahun 2015, Australia disenaraikan sebagai negara ke dua terbaik untuk didiami selepas Norway.

15. Budaya masyarakat yang saling menghormati dan tidak melihat kepada status dan simbol kekayaan. Tidak kira jenis pekerjaan, kenderaan apa yang anda bawa atau apa jenis bangsa dan agama anda, semua orang diberi layanan yang sama rata apabila ingin mendapatkan perkhidmatan atau menjadi pelanggan di kedai atau kompleks membeli belah.

16. Kebersihan menjadi keutamaan dan budaya dalam kehidupan di sini. Tandas awam dan tempat tumpuan orang ramai sangat bersih dan sukar mencari sekecil-kecil sampah apatah lagi sampah besar yang sengaja dibuang.

17. Sifat cinta dan penghargaan kepada haiwan dan alam semulajadi sangat menebal di kalangan masyarakat di sini. Haiwan tidak boleh dilayan sesuka hati dan ada skuad khas yang akan menguruskan haiwan yang terkorban kerana dilanggar di lebuh raya. Hutan simpan dan alam semulajadi juga sentiasa diperlihara dan dipulihara tanpa perlu dirosakkan demi pembangunan.

18. Sifat jujur dan amanah sentiasa menjadi keutamaan dalam kebanyakan masyarakat di sini. Sifat prasangka atau pandangan negatif adalah menjadi satu kesalahan di sini. Sebagai contoh, sekiranya kita ingin membeli sepuluh biji epal di pasar dan epal dimasukkan oleh penjual terus ke dalam plastik, adalah menjadi satu yang tidak sopan apabila kita mengira betulkan bilangan epal yang dimasukkan oleh penjual sama seperti yang dibayar.

19. Keadaan dan suasana yang indah dan aman damai di kawasan perumahan terutama di pinggir bandar. Adalah menjadi satu kesalahan membuat bising sehingga mengganggu jiran tetangga terutama selepas jam 10 malam di Australia. Individu yang terganggu berhak membuat laporan polis dan pihak polis akan datang serta merta ke tempat kejadian.

20. Taman permainan dan rekriasi yang berdekatan dengan tempat kediaman dan banyak pilihan. Jika aktiviti dengan kos yang minima diidamkan, inilah pilihan yang paling tepat untuk anda sekeluarga. Budaya berkelah sambil menikmati keindahan alam adalah sesuatu yang lazim di sini. Jika ingin lebih menyeronokkan, boleh berbasikal sambil bersia-siar dan tempat-tempat pilihan anda. Jangan risau, Australia merupakan negara yang mesra penunggang basikal.
Salah satu rekaan ruang dapur rumah di Australia.
Sumber: realestate.com.au

21. Rekabentuk dan kemudahan rumah yang sangat menarik dan family friendly. Kebanyakan keluarga dengan anak ramai memilih untuk mendiami rumah sebuah atau dikenali sebagai bunglo di Malaysia. Kesemua rumah dilengkapi dengan kemudahan asas seperti kabinet dapur, dapur memasak, walk in waldrobe di bilik tidur utama dan almari berpintu di bilik-bilik lain, kemudahan hot shower dan besen mandi di bilik air dan apa yang saya paling suka ialah kemudahan bilik menyimpan stok barang dapur yang menjadi kewajipan di setiap kediaman 'bunglo' di sini.

Friday, December 18, 2015

Daripada PTM Kepada WAHM, InsyaAllah...

Kurang dua bulan lagi InsyaAllah saya akan secara tidak rasminya menjadi Working At Home Mum (WAHM), kerjaya yang saya impikan setelah sekian lama. Kenapa saya katakan tidak rasmi adalah kerana saya masih tertakluk sebagai penjawat awam atas sebab bercuti tanpa gaji selama tiga tahun. Tiga tahun ini akan dijadikan sebagai tempoh percubaan dan jika semuanya berjalan lancar, kerjaya ini akan diteruskan secara rasminya sehingga satu masa yang akan ditentukan kelak.

Sebagai penjawat awam dalam kelompok Pengurusan & Profesional, satu ketika dulu saya pernah menyimpan cita-cita untuk mencapai kejayaan setinggi yang boleh dalam bidang kerjaya sekurang-kurangnya hingga tahap Jusa C dengan kelulusan Phd. Namun setelah Allah mengurniakan saya rezeki anak-anak yang meriah, saya cuba memikirkan kembali apakah keutamaan saya dalam hidup ini demi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Setelah membuat perhitungan, saya yakin bahawa keluarga dan masyarakat adalah keutamaan saya. Mendidik anak-anak dengan menumpukan lebih perhatian kepada mereka supaya mereka dapat kembali berjasa kepada masyarakat umum, berbakti kepada suami dan ummah adalah menjadi perkara yang saya impikan dengan ilham daripada Allah SWT.

Kenangan manis ketika bertugas di BPM, KPM pada tahun 2009.
Walaupun begitu, saya sangat bersyukur kerana berpeluang berkhidmat sebagai Pegawai Teknologi Maklumat selama lebih kurang dua belas (12) tahun semenjak Januari 2004. Dengan pekerjaan inilah yang membolehkan saya membeli beberapa aset pelaburan dan membantu suami dalam pelbagai perbelanjaan dan simpanan. Saya juga berpeluang menyambung pengajian sarjana di Australia atas tiket jawatan ini. Oleh itu, mana mungkin saya tidak akan rindu menjadi seorang PTM khasnya dan penjawat awam amnya. Ramai sahabat-sahabat seperjuangan yang baik hati dan kenang-kenangan pahit dan manis yang bersilih ganti di sepanjang dua belas tahun saya berkhidmat. Keputusan ini bukanlah suatu yang mudah. Namun saya harus memilih apa keutamaan dalam hidup ini. Kita tidak akan dapat semua perkara yang kita suka, tetapi kita perlu memilih apa yang kita paling suka dengan niat semata-mata kerana Allah.

Saya menyuarakan impian itu kepada tuan suami. Rupa-rupanya itulah juga harapan yang turut disimpan olehnya untuk saya dan keluarga. Alhamdulillah sejak daripada itu, Allah membuka jalan yang membenarkan saya untuk mencapai impian itu. Namun, jalan yang harus diharungi bukan semuanya lurus tanpa liku. Sejak awal lagi, saya sering mengingatkan diri supaya kuatkan semangat dan bulatkan tekad sehingga kami berjaya mencapai apa yang dicita-citakan.

Setelah beberapa sesi perbincangan diadakan, saya dan suami mengambil keputusan untuk berhijrah ke Australia di mana keseimbangan hidup lebih dapat dinikmati di sana. Kami mula mengkaji prosedur untuk menetap di sana dan menimbang baik buruknya. Memang tidak semuanya indah dan memang ada kekurangannya tapi kami terus mengkaji dan memohon pentunjuk daripada Allah. Kami akhirnya membuat keputusan untuk memohon visa penduduk tetap secara sendiri (tanpa agen) di Australia kerana itulah jalan paling mudah untuk memulakan hidup di sana. Proses ini juga mengandungi beberapa langkah yang tidak mudah tetapi tidak juga mustahil. Ia mengambil masa setahun lebih juga sehingga akhirnya usaha dan penat lelah kami berbaloi dengan penerimaan e-mel daripada pihak imigresen Australia tentang penganugerahan penduduk tetap kami telah berjaya, alhamdulillah... Adakah saya tidak patriotik kerana ingin keluar negara? Patriotik itu sangat subjektif dan lebih dijiwai jika kita berada di luar negara. Saya tetap sayang dan cintakan Malaysia namun ada misi yang lebih penting yang perlu saya capai dalam hidup untuk melahirkan lebih ramai individu yang signifikan dan berbakti kepada Islam khasnya. Jika sudah ada peluang di depan mata untuk menikmati kualiti hidup yang lebih baik kerana Allah, itulah lebih utama pada kami daripada terlalu obses kepada patriotik. 

"Bertebaranlah ke muka bumi Allah. Islam tidak pernah menghalang penghijrahan asalkan kamu bertaqwa kepada Allah,"

~Ustaz Dasuki Abd Rani, Mauizati, Ikim.fm~

InsyaAllah perancangannya di sana nanti anak-anak akan dihantar bersekolah di sekolah Islam dengan hafazan Al-Quran dan kami merancang untuk bergerak aktif dalam aktiviti kemasyarakatan khususnya dalam aktiviti dakwah dan sukarelawan di sana. Oleh kerana saya mempunyai minat yang mendalam dalam bidang masakan dan perniagaan, saya bercadang untuk berniaga makanan Malaysia dan pelbagai jenis roti dan pastri yang dijamin halal ketika di sana nanti, insyaAllah. Oleh itu, sejak dari awal lagi saya mengikuti beberapa kelas masakan yang diadakan di sekitar Putrajaya. Saya masih merancang untuk mengikuti beberapa kelas masakan lagi sebelum kami berangkat sekeluarga ke Australia insyaAllah pada pertengahan Februari nanti. Mudah-mudahan segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan Allah.

Dari sehari ke sehari anak-anak tidak putus bertanya bila masanya mereka dapat bersama-sama semula dan bertemu dengan ayah. Adik-adik rindu pada kakak dan abang di kampung, kakak dan abang di kampung juga rindu pada adik-adik. Walaupun setiap hari diberi jawapan yang sama, esoknya tetap soalan yang sama juga akan muncul. Kejayaan dan kebaikan dalam hidup tidak datang dengan mudah dan perlukan pengorbanan. Itulah kata-kata yang saya dan suami sematkan dalam hati. InsyaAllah perpisahan sementara tiga bulan ini akan memberi kebahagiaan yang berpanjangan. Semoga Allah redha...

Tuesday, February 10, 2015

Berhijrah Daripada Zon Selesa

Penghijrahan daripada satu keadaan atau sikap kepada perubahan yang lebih baik amatlah dituntut oleh agama. Perbincangan mengenai pengertian hijrah dan hikmahnya dari sudut agama banyak dibincangkan di dalam artikel, majalah mahu pun laman web. Hijrah secara fizikal dari satu tempat ke satu tempat lain, jika disusuli dengan niat yang betul kerana Allah, insyaAllah kebaikan akan menyusul. Namun jika penghijrahan dilakukan semata-mata kerana keuntungan dunia, dikhuatiri berkat dan kesenangan yang hakiki tidak dapat dikecapi.

Bangsa Arab merupakan satu bangsa yang menjadikan penghijrahan fizikal itu sebagai kebiasaan dalam masyarakat, berbeza dengan budaya Melayu kini yang jarang sekali ingin berhijrah keluar daripada zon selesa di negara sendiri. Begitu juga dengan masyarakat Indonesia, berhijrah ke negara luar bukanlah perkara asing bagi mereka. Masyarakat Arab dan Indonesia boleh ditemui di kebanyakan negara di dunia. Disebabkan penghijrahan merekalah makanan halal mudah diperolehi di negara-negara bukan Islam. Penghijrahan ini juga telah membenarkan penyebaran agam Islam sebagai agama yang benar telah berlaku dengan begitu mendadak sehingga di dalam satu kajian baru-baru ini menyatakan bahawa United Kingdom dikatakan bakal memiliki majoriti ummat Islam berbanding dengan penganut agama lain disebabkan kadar kelahiran Muslim yang tinggi di sana.


Andai diberi pilihan untuk berhijrah, ke luar negara, negara manakan pilihan tuan/ puan? Jika soalan yang sama ditanyakan kepada saya, jawapannya sudah tentulah ke satu-satu negara luar yang pernah saya duduki tidak lama dahulu, Australia... Kenapa tidak Mekah atau Madinah? Oh, sudah tentu saya tersangat-sangat ingin menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah namun masih belum kesampaian. Setiap hari, saya rindu untuk ke Tanah Haram walaupun masih belum dapat bertemu... Namun untuk mendiami, saya memilih Australia atas sebab yang lebih besar. Saya bercita-cita untuk melahirkan anak-anak menjadi pendakwah seperti Nouman Ali Khan atau Ustaz William Suhaib Webb atau Yasmin Mogahed. Amboi, tingginya impian.. Impian inilah yang saya ingin kembalikan kepada ummah supaya ada antara anak-anak yang mampu menjadi pendakwah bertaraf antarabangsa atau mungkin seorang boleh tersangkut menjadi penyanyi dakwah antarabangsa seperti Maher Zain pun jadilah...


Menjalankan kehidupan dan amalan sebagai seorang Muslim di Australia adalah terbuka dan tiada halangan. Banyak masjid dan musolla bertebaran di serata negeri di Australia terutama di bandar-bandar utama seperti Sydney, Melbourne, Perth, Brisbane dan Adelaide. Kebanyakana masjid juga sering mengadakan kuliah agama, pengajian untuk anak-anak, kelas Bahasa Arab dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat pelbagai budaya di Australia. Begitu juga dengan sekolah Islam, ibu bapa Muslim bebas untuk menghantar anak-anak ke sekolah Islam swasta yang terdapat di setiap negeri. Ada juga di antara sekolah tersebut yang menyediakan modul tahfiz dan pengajian Islam tulen. Bahasa utama yang digunakan adalah Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.



Sumber: http://www.onislam.net/english
Secara asas , kebanyakan rakyat Malaysia yang berniat untuk berhijrah ke luar negara terutama bangsa Melayu adalah bagi mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dengan pendapatan yang lebih tinggi tetapi pada hakikatnya, di Malaysia sendiri peluang untuk mecari rezeki dan bergaji lumayan mungkin lebih cerah berbanding negara luar. Mungkin di sesetengah negara terutama negara Arab seperti Abu Dhabi, Oman atau Dubai boleh memberi pendapatan lumayan tetapi ianya setimpal dengan pekerjaan yang perlu dilaksanakan. Suasana kerjanya lebih kurang juga seperti Malaysia dan perlu bekerja keras dan masa bersama keluarga adalah sangat terhad dan mungkin lebih teruk lagi dengan susana kerja di Malaysia. Berbeza dengan di negara maju di sebelah barat seperti Sweeden, UK, Canada dan Australia di mana kerja hanya perlu dilakukan pada waktu bekerja sahaja dan waktu selebihnya adalah untuk kesihatan diri dan keluarga. Pendapatan juga boleh tahan tetapi agak sukar untuk menjadikan anda orang kaya kecuali bagi seseengah pekerjaan yang benar-benar memberi pulangan yang tinggi. Namun, perkara yang lebih berharga yang akan diperolehi ialah keseimbangan hidup, masa bersama keluarga, masa untuk menjalankan kerja-kerja amal, beribadah dan beriadah adalah lebih bernilai daripada wang ringgit.

Sekiranya perlu memilih di antara menjadi kaya raya dan masa berkualiti bersama keluarga, saya utamakan hak keluarga. Wang boleh dicari tetapi masa berharga melihat anak-anak membesar bersama dan mendidik mereka tidak akan ada peluang kedua. Tidak semua orang yang ingin berhijrah itu semata-mata kerana wang dan dunia. 


Kata orang-orang berangan-angan itu percuma. Jika benar-benar ingin berhijrah, bertindaklah ke arah itu. Usahlah jadikan ia sekadar angan-angan yang tak kesampaian. Memang benar, bukan mudah untuk berhijrah meninggalkan tanah air dan keluarga. Terlalu banyak yang perlu diatur dan difikirkan. Berbincanglah dengan mendalam dan yang paling penting, kenal pastilah dahulu niat utama untuk berhijrah. Niat yang betul amat penting, jika tersilap arah, takut-takut merosakkan masa depan keluarga dan keturunan. Ada pandangan yang saya baca, jika berhijrah ke negara bukan Islam, tinggallah di rumah yang berdekatan dengan masjid dan seringlah ke masjid untuk beribadat dan bermasyarakat. InsyaAllah, iman kita dan keluarga lebih mudah dipelihara. Berhijrahlah andai itu yang lebih baik untuk keluarga dan agamamu... 


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...