Bangsa Arab merupakan satu bangsa yang menjadikan penghijrahan fizikal itu sebagai kebiasaan dalam masyarakat, berbeza dengan budaya Melayu kini yang jarang sekali ingin berhijrah keluar daripada zon selesa di negara sendiri. Begitu juga dengan masyarakat Indonesia, berhijrah ke negara luar bukanlah perkara asing bagi mereka. Masyarakat Arab dan Indonesia boleh ditemui di kebanyakan negara di dunia. Disebabkan penghijrahan merekalah makanan halal mudah diperolehi di negara-negara bukan Islam. Penghijrahan ini juga telah membenarkan penyebaran agam Islam sebagai agama yang benar telah berlaku dengan begitu mendadak sehingga di dalam satu kajian baru-baru ini menyatakan bahawa United Kingdom dikatakan bakal memiliki majoriti ummat Islam berbanding dengan penganut agama lain disebabkan kadar kelahiran Muslim yang tinggi di sana.
Andai diberi pilihan untuk berhijrah, ke luar negara, negara manakan pilihan tuan/ puan? Jika soalan yang sama ditanyakan kepada saya, jawapannya sudah tentulah ke satu-satu negara luar yang pernah saya duduki tidak lama dahulu, Australia... Kenapa tidak Mekah atau Madinah? Oh, sudah tentu saya tersangat-sangat ingin menjejakkan kaki ke Mekah dan Madinah namun masih belum kesampaian. Setiap hari, saya rindu untuk ke Tanah Haram walaupun masih belum dapat bertemu... Namun untuk mendiami, saya memilih Australia atas sebab yang lebih besar. Saya bercita-cita untuk melahirkan anak-anak menjadi pendakwah seperti Nouman Ali Khan atau Ustaz William Suhaib Webb atau Yasmin Mogahed. Amboi, tingginya impian.. Impian inilah yang saya ingin kembalikan kepada ummah supaya ada antara anak-anak yang mampu menjadi pendakwah bertaraf antarabangsa atau mungkin seorang boleh tersangkut menjadi penyanyi dakwah antarabangsa seperti Maher Zain pun jadilah...
Menjalankan kehidupan dan amalan sebagai seorang Muslim di Australia adalah terbuka dan tiada halangan. Banyak masjid dan musolla bertebaran di serata negeri di Australia terutama di bandar-bandar utama seperti Sydney, Melbourne, Perth, Brisbane dan Adelaide. Kebanyakana masjid juga sering mengadakan kuliah agama, pengajian untuk anak-anak, kelas Bahasa Arab dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat pelbagai budaya di Australia. Begitu juga dengan sekolah Islam, ibu bapa Muslim bebas untuk menghantar anak-anak ke sekolah Islam swasta yang terdapat di setiap negeri. Ada juga di antara sekolah tersebut yang menyediakan modul tahfiz dan pengajian Islam tulen. Bahasa utama yang digunakan adalah Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.
Sumber: http://www.onislam.net/english |
Sekiranya perlu memilih di antara menjadi kaya raya dan masa berkualiti bersama keluarga, saya utamakan hak keluarga. Wang boleh dicari tetapi masa berharga melihat anak-anak membesar bersama dan mendidik mereka tidak akan ada peluang kedua. Tidak semua orang yang ingin berhijrah itu semata-mata kerana wang dan dunia.
Kata orang-orang berangan-angan itu percuma. Jika benar-benar ingin berhijrah, bertindaklah ke arah itu. Usahlah jadikan ia sekadar angan-angan yang tak kesampaian. Memang benar, bukan mudah untuk berhijrah meninggalkan tanah air dan keluarga. Terlalu banyak yang perlu diatur dan difikirkan. Berbincanglah dengan mendalam dan yang paling penting, kenal pastilah dahulu niat utama untuk berhijrah. Niat yang betul amat penting, jika tersilap arah, takut-takut merosakkan masa depan keluarga dan keturunan. Ada pandangan yang saya baca, jika berhijrah ke negara bukan Islam, tinggallah di rumah yang berdekatan dengan masjid dan seringlah ke masjid untuk beribadat dan bermasyarakat. InsyaAllah, iman kita dan keluarga lebih mudah dipelihara. Berhijrahlah andai itu yang lebih baik untuk keluarga dan agamamu...
4 comments:
Saya sangat terinspirasi blog Acik!
Betul tu...keseimbangan dalam hidup yg dicari...
Alhamdulillah..terima kasih atas info berguna utk perkongsian bersama
Masya Allah.. Sgt memberi inspirasi. Terima kasih
Post a Comment