Followers

Monday, February 16, 2015

Perginya Tiada Pengganti...

Tanggal 12 Februari 2015 Masihi bersamaan 23 Rabiulakhir 1436 Hijrah pergilah sudah menemui Pencipta buat selama-lamanya Murabbi yang dihormati dan dikasihi oleh ramai rakyat Malaysia. Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat merupakan nama yang tidak asing buat saya sejak dari kecil. Saya tidak ingat sejak bila saya mula mengenali arwah Tok Guru tetapi yang pasti saya mengenali dia sebagai seorang pendakwah yang tidak jemu menyampaikan kebenaran dan selepas itu barulah saya tahu bahawa dia merupakan Menteri Besar Kelantan.

Apa yang membuatkan saya agak terkilan, saya tidak berkesempatan menghadiri kuliahnya secara langsung walaupun idaman saya sejak dulu adalah untuk hadir ke masjid di kediamannya di Pulau Melaka untuk mendengar kuliahnya di samping bertemu dengan idola kasayangan ramai ini. Secara jujurnya, saya hanya pernah bertemu beliau secara langsung semasa beliau hadir ke perhimpunan kempen Pakatan Rakyat di Putrajaya pada Mei 2013. Itu pun saya sekadar dapat melihatnya dari jauh kerana terlalu ramai umat yang hadir dan ingin mendekati beliau. Kehadirannya benar-benar menjadikan susana perhimpunan itu damai dan tenang walau terdiri daripada lautan manusia.

Perginya Tok Guru tidak akan kembali. Patah tumbuh, tidak mungkin ada pengganti yang dapat menyamai sahsiah dan akhlak Tok Guru. Kesedihan sebilangan besar rakyat Malaysia atas pemergiannya amat dirasai dan mungkin memakan masa untuk melupakan kehibaan pemergiannya. TV1 ada menyiarkan siaran langsung majlis pengebumiannya tetapi apa yang lebih meruntun hati adalah di sepanjang hayatnya, beliau tidak pernah diberi kesempatan untuk berucap di televisyen bagi menyampaikan kebenaran dan dakwahnya sedangkan itulah cita-citanya sekian lama... Beliau hanya dapat bersiaran langsung setelah tidak bernyawa lagi..

Bangkitlah wahai pejuang-pejuang kebenaran. Berduka atas pemergiannya memang lumrah tetapi kuatkanlah hati dan teruskanlah perjuangan amanah peninggalan Tok Guru untuk menegakkan syiar Islam di Malaysia khasnya. Senyumlah kembali kerana insyaAllah Tok Guru sudah diberi rehat atas kepenatannya selama ini dengan balasan kenikmatan di alam kubur yang tiada tandingannya. Ya Allah, jagalah dan rahmatilah Murabbi kami dan kurniakan syurga yang tertinggi buatnya...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...