Followers

Thursday, May 05, 2016

Parents Education Seminar II: Healthy Eating and Learning

Alhamdulillah, petang semalam berkesempatan lagi mengikuti program ilmu keibubapaan yang diadakan di sekolah anak-anak. Selain ia diadakan secara percuma, tajuk yang dipilih sangat bermanfaat dan disampaikan oleh pakar yang berpengalaman dan dapat berkongsi ilmu dengan sangat baik.

1. Topik hari ini disampaikan oleh Ms Julie Turker, seorang ahli naturopathy Muslim yang dilahirkan di Australia. Beliau mendapat pendidikan awal dalam bidang perubatan tetapi atas minat yang mendalam terhadap ilmu nutrisi, beliau mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam Master of Food Engineering, Microbiology and Immunology di University of Melbourne pada 2011. Kini mempunyai pusat naturopathy sendiri dan memberi perkhidmatan dengan merujuk kepada Al-Quran dan hadis sebagai sumber utama selain daripada ilmu perubatan yang dimilikinya.

2. Memilih makanan yang betul dan menyihatkan adalah wajib bagi setiap Muslim. Kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat atas setiap apa yang menjadi makanan kita. Makan makanan yang bukan sahaja halal, tetapi menyihatkan dan tidak membawa kepada risiko menghidapi penyakit.

3. Makanan sunnah seperti madu, kurma, habatussauda, susu dan kambing bukanlah alternatif tetapi makanan yang sepatutnya menjadi pilihan setiap Muslim berbanding makanan yang lain.

4. Ibu bapa wajib memberi makanan yang berkhasiat kepada anak-anak Dan jauhkan daripada memberi makanan yang memudaratkan seperti gula-gula, makanan ringan, air bikarbonat atau makanan segera. Jangan terlalu mengikutkan kehendak anak-anak terhadap makanan yang tidak sihat. 

5. Ajar anak-anak mengambil makanan berkhasiat melalui bekal yang disediakan kepada anak-anak. Jika pada permulaannya agak sukar, insyaAllah, anak akan membiasakan diri dengan makanan yang menyihatkan.

6. Tiada halangan untuk mengambil supplement tambahan bagi mengekalkan kesihatan.

7. Haiwan sembelihan yang terbaik untuk dimakan ialah yang disembelih dengan tangan, bukan menggunakan mesin atau kejutan eletrik.

8. Al-Quran banyak menyentuh tentang penjagaan kesihatan melalui pencegahan dengan menjaga kesihatan dan pemakanan. Apabila penyakit sudah datang, untuk mengubatinya adalah lebih sukar berbanding mencegah.

9. Anak-anak lebih mudah mengikuti apa yang ibu bapa buat, bukan apa yang ibu bapa arahkan kepada mereka. Maka, jika kita mahu anak-anak makan sayur atau buah-buahan, ibu bapa terlebih dahulu perlu menjadi contoh kepada anak-anak.

10. Dalam Islam, haiwan ternakan perlu dipelihara dengan baik dan mempunyai hak untuk dilindungi. Penderaan atau penyeksaan terhadap haiwan bagi tujuan komersial adalah amat bertentabgan dengan Islam. 

11. Pilihan makanan yang terbaik adalah daripada sumber semulajadi dan tiada bahan pengawet serta gula berlebihan. Yang lebih baik adalah pilihan organik.

1 comment:

raha said...

salam, saya ingin mohon khidmat nasihat puan utk mencari perkerjaan di Australia... mohon PM saya ..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...