Followers

Wednesday, August 13, 2014

Kelahiran Azzah Nurjannah di Hospital Putrajaya

Alhamdulillah pada 31 Mac 2014 yang lalu, saya telah selamat melahirkan permata hati ke-5/ puteri ke-3 kami yang diberi nama yang begitu indah, Azzah Nurjannah Mohd Nasir. Setelah selamat cuti bersalin tiga bulan + satu bulan Cuti Tanpa Gaji barulah saya berpeluang mencoretkan kisah melahirkan kali ke-5 ini.

Azzah Nurjannah lahir awal dua hari daripada tarikh jangkaan asal (2 April 2014). Saya memang berharap dia akan lahir pada bulan Mac memandangkan dalam keluarga kami yang kesemuanya lahir pada awal tahun, setiap bulan akan ada dua orang menyambut hari lahir:

  • Januari: Ariff (12/1) dan Ummi (31/1)
  • Februari: Ayah (20/2)
  • Mac: Akeef (1/3) dan Azzah (31/3)
  • April: Adreana (20/4) dan Aleesya (15/4)
Dengan kelahiran Azzah pada bulan Mac, Akeef tidak keseorangan lagi dalam gang bulan Mac... :-)

Walaupun sudah enam kali mengandung dan lima kali bersalin, setiap pengalaman itu berbeza antara satu dan yang lain. Saya menjalankan pemeriksaan rutin di Klinik Kesihatan Presint 9, Putrajaya dan Kajang Plaza Medical Centre (Dr Anita --> di sini boleh lihat keadaan bayi dengan pengimbas dan berjumpa doktor pakar). Alhamdulillah semuanya berjalan lancar sepanjang kehamilan cuma saya sering berasa mengantuk sampai tidak tertahan-tahan. Pantang ada waktu lapang, biasanya akan tidur atau tertidur (tanpa niat). Tak semena-mena, pada pemeriksaan minggu ke-37, kedudukan bayi jadi songsang (kepala ke atas dan kaki ke bawah). Saya tidak pernah mengalami pengalaman seperti ini sebelum ini. Melalui pembacaan dan nasihat Dr Anita, kedudukan bayi boleh diusahakan ke tempat asal dengan prosedur External Cephalic Version (ECV) memandangkan saya tidak pernah melahirkan secara pembedahan sebelum ini. Menurutnya lagi, keadaan ini adalah normal bagi ibu-ibu yang telah hamil beberapa kali kerana saiz rahim sudah agak 'luas' dan bayi ada banyak ruang untuk ke sana ke mari... :-)

Pemeriksaan di klinik kerajaan pula memohon saya untuk terus membuat pemeriksaan lanjutan di Hospital Putrajaya memandangkan keadaan tersebut agak berisiko untuk bersalin normal. Saya kembali membuat pemeriksaan pada minggu ke-38. Daripada kedudukan songsang, minggu ini kedudukan anak bertuah ini sudah jadi melintang (kepala di sebelah kanan perut dan kaki di sebelah kiri). Menurut doktor, jika kedudukan masih sama, kelahirannya hanya dapat dijalankan melalui pembedahan. Walaubagaimanapun, doktor tetap meyakinkan saya yang bayi ini akan kembali ke kedudukan yang betul nanti kerana ini adalah kehamilan saya yang ke-5. Katanya, keadaan anak yang bersedia atau kata orang sudah turun hanyalah bagi kelahiran pertama atau ke-dua saja. Bagi kelahiran yang seterusnya, bayi hanya akan bersedia apabila memang sudah sampai masanya dan sakit contraction pun datang.

Berdasarkan pembacaan, macam-macam petua yang saya jumpa untuk bayi kembali pada kedudukan yang betul. Antara yang saya cuba lakukan ialah sujud lebih lama semasa solat dan bercakap-cakap dengan bayi dalam perut supaya berada pada kedudukan yang terbaik untuknya dan saya. Jika memang Allah tentukan saya akan melahirkan secara pembedahan mahu pun secara normal, itu semua adalah ketentuan Allah yang sudah tentu ada hikmahnya. Akhirnya pada pemeriksaan yang ke-39, anak bertuah ini sudah kembali kepada kedudukan asalnya, kedudukan yang normal, alhamdulillah...

Empat hari selepas menjalani pemeriksaan rutin pada minggu ke-39, saya sudah mula contraction. Kali ini saya sudah mula berasa mild contraction dua hari sebelum hari kelahiran. Sakitnya datang dan pergi, pagi datang, petang hilang dan malam datang kembali. Mengikut pengalaman terdahulu, saya menjangkakan saya akan melahirkan dalam tempoh sehari dua lagi dan tidak berhasrat untuk ke hospital. Sepanjang tempoh sakit itu, saya tidak duduk diam, saya membuat kerja-kerja rumah yang ringan dan berjalan ke sana ke mari. Alhamdulillah mak pun sudah seminggu sampai dari kampung, tidaklah risau sangat dengan penjagaan anak-anak yang lain bila kami ke hospital.Pada malam 30 Mac 2014, contraction terasa kembali dan saya hanya tidur-tidur ayam. Saya merancang hanya akan ke hospital setelah air ketuban pecah sendiri supaya tidak perlu lama di labor room dan saya lebih suka jika kebanyakan prosedur dapat dijalankan secara semulajadi, seperti pengalaman melahirkan di Brisbane dulu. Akhirnya pada jam 2 pagi, terdengar letupan kecil dari dalam perut diikuti dengan air ketuban yang keluar menderu-deru, sama seperti pengalaman melahirkan Ariff pada 2005 dahulu.

Tuan suami membawa saya ke hospital pada jam 2.30 pagi. Walaupun sudah menjadi ayah kepada empat orang anak, masih terlihat riak cemas dan 'excited' pada wajah tuan suami. Semasa tiba di kecemasan, hanya saya seorang yang berada di kaunter tetapi setelah saya masuk ke bilik pemeriksaan, menderu-deru pula ibu lain yang bakal bersalin datang. Selepas menjalankan pemeriksaan kira-kira jam 3 pagi, saya dimaklumkan saya akan terus ke labor room kerana bukaan sudah mencapai 5cm. Satu perkembangan baru dan sangat baik di Hospital Putrajaya ialah alunan bacaan Al-Quran dipasangkan di kawasan labor room. 

Waktu ini, tahap sakit masih lagi mild dan kadang-kadang hilang. Semasa di labor room, seperti biasa, peralatan untuk menyambut bayi telah disediakan. Rasa sangat-sangat teruja melihat katil dan selimut bayi yang bakal keluar diletakkan di sebelah saya. Beberapa orang jururawat yang baik hati datang bertanya keadaan saya sebelum saya mula 'berjuang'. Jururawat sudah berpesan supaya terus beritahu supaya rasa nak 'push' datang. Oleh kerana rasa itu tidak datang-datang, selepas satu jam dalam labor room doktor mengambil keputusan untuk mempercepatkan kelahiran bagi mengurangkan risiko disebabkan air ketuban saya sudah lama pecah. Sakit yang tidak terucap dengan perkataan apabila doktor menjalankan prosedur sampai menitik air mata. Tapi alhamdulillah, dalam masa lima belas minit selepas itu, Azzah Nurjannah selamat melihat dunia pada jam 4.53 pagi. Apgar score awal kelahirannya hanya 5/10 disebabkan Azzah sudah 'penat' menunggu untuk keluar sehingga tidak menangis. Jururawat juga maklumkan yang Azzah sudah terbuang air besar semasa dilahirkan. Azzah dimasukkan ke dalam inkubator seketika untuk diberikan oksigen. Alhamdulillah doktor mengambil tindakan segera dan apgar scorenya mencapai 10/10 dalam masa 5 minit kemudian.

Alhamdulillah kini Azzah Nurjannah sudah mencapai usia empat bulan dengan berat 6.5kg, bayi montel yang peramah dan suka tersenyum dan ketawa. Dalam usia empat bulan, Azzah pandai meniarap dan merangkul gelaran anak paling mudah dijaga dan paling suka tersenyum daripada kelima-lima adik beradik. :-)

2 comments:

sweet tooth said...

Tahniah acik...semoga azzah menjadi anak yg solehah :-)

Unknown said...

Terima kasih sweet tooth, Amin...
:-D

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...