Followers

Sunday, May 15, 2011

Kelahiran Aleesya Nour di Royal Brisbane Women Hospital -200411

Minggu cuti persekolahan telah bermula pada empat hari yang lepas. Memandangkan tinggal lebih kurang seminggu sebelum tarikh jangkaan bersalin, saya memasak lauk-pauk yang tidak dapat dinikmati semasa dalam pantang pada saki baki hari yang tinggal seperti sambal terung, ayam masak lemak cili api, masak lemak ikan masin+nenas, nasi lemak, pulut kuning dan rendang dan macam-macam lagi. Pada petang 19 April, saya menyediakan kelengkapan terakhir untuk menyambut baby baru. Baby cot dan changing table telah dipasang dan sedia untuk digunakan, mengemas laci baju dan kotak barang baby, menyediakan tungku dan dapur pembakar pada tempatnya dan menyediakan tuam kecil untuk baby menggunakan lada hitam dan halba yang dibalut dengan kain dan rupanya ala-ala sup bunjut. Petang itu juga saya berhasrat untuk mempraktikkan pesanan Mastura (Juhazren) untuk naik turun tangga sambil menyilang kaki untuk tips cepat bersalin. Pada fikiran saya, insyaAllah dua tiga hari lagi keluarlah baby kalau saya rajin buat exercise. Malam itu anak-anak tidur awal kerana kami merancang untuk pergi picnic bersama nasi lemak di tepi pantai pada keesokan harinya. Saya seperti biasa menyambung tugas sebagai pelajar dengan membaca jernal dan membuat tugasan-tugasan yang perlu. Malam ini baby rasanya terlebih aktif dari biasa. Pada tengah malam sebelum tidur, saya mula berasa tidak selesa. Mungkin kerana makan agak lewat hari ini menyebabkan perut masuk angin. Cuba untuk tidur dalam keadaan yang tidak selesa dan saya terjaga pada jam 3.30 pagi kerana rasa tidak selesa yang tidak surut. Oh, nampaknya kali ini memang contraction untuk bersalin. Kalau sudah mula sakit pada waktu ini, selewat-lewatnya petang esok nampaknya keluarlah baby yang dinanti-nantikan selama ini. Saya mengejut suami dan memaklumkan yang masanya telah tiba untuk anak ke-empat kami bertemu dengan ayah dan ummi. Saya terus berwudhu dan menunaikan solat tahajjud dan hajat sebelum menanti waktu Subuh.

Kira-kira jam 5 pagi, suami menghubungi hospital untuk memaklumkan keadaan kami. Berbeza dengan prosedur di Malaysia, kami perlu menguhubungi hospital terlebih dahulu sebelum datang ke hospital supaya pihak hospital lebih bersedia dan dapat memberi panduan apa yang perlu dilakukan terutama bagi orang yang kali pertama bakal menimang cahaya mata, saat ini pastinya amat mencemaskan. Oleh kerana tanda saya hanyalah contraction tanpa ada turun darah dan pecah ketuban, saya diminta supaya bersabar sedikit masa lagi sehingga salah satu tanda tersebut berlaku. Selepas hampir dua jam, saya mengira contraction sudah mencapai lima minit sekali dan saya rasa perlu ke hospital segera memandangkan ini adalah anak yang ke-empat dan kemungkinan masa yang diambil lebih cepat dari sebelumnya. Suami sekali lagi menghubungi pihak hospital memaklumkan kami akan datang dalam masa terdekat. Anak-anak yang lain kami tumpangkan di rumah adik-adik undergrad di St Lucia yang telah kami tempah beberapa bulan dulu bersama dengan bekalan pakaian dan stok makanan kerana anak-anak saya ini memang suka mengunyah. (Thanks a lot Ayu, Bella, Iqa dan McYeen :-)).

Setibanya di hospital kira-kira jam 8 pagi, fail saya telah pun tersedia di kaunter pendaftaran. Memandangkan waktu itu staf sedang dalam pertukaran shif, suasana agak sedikit lengang. Setengah jam selepas menunggu di bilik pemeriksaan, datanglah mid-wife untuk memeriksa keadaan saya. Yang peliknya, sama seperti ketika melahirkan Adreana Najla dulu, contraction yang tadinya seperti tak tertahan-tahan tiba-tiba hilang bila saya tiba di hospital. Mid-wife memaklumkan bukaan adalah pada 6cm tetapi memandangkan air ketuban belum pecah, mungkin akan mengambil sedikit masa lagi sebelum saya dapat melahirkan. Jika di Malaysia, kebiasaannya air ketuban akan dipecahkan dengan sejenis alat oleh misi dan saya akan diberikan water drip untuk mempercepatkan proses bersalin, berbeza di sini, segala-galanya digalakkan berlangsung secara natural lebih-lebih lagi kerana ini kali ke-empat saya melahirkan anak. Rupa-rupanya proses yang berlaku secara natural kurang menyakitkan tetapi mengambil masa yang lebih panjang. Kira-kira jam 9.30 pagi, saya telah berada di labour room. Sakit sudah hilang dan itu tandanya makin lambat lagilah baby akan keluar. Saya dipasangkan dengan CTG untuk memastikan pergerakan jantung baby dan tahap contraction. Ada dua orang mid-wife yang bersama-sama kami dan tidak meninggalkan kami sendirian walaupun seminit. Penyertaan suami dalam persediaan menyambut kelahiran bayi juga agak berbeza. Suami diminta membantu mid-wife dalam beberapa perkara mudah seperti menghantar borang, mengambil tuala dan sebagainya supaya tidak berasa bosan menunggu lama. Labour roomnya sangat besar dan terdapat pelbagai alat bantu bersalin yang biasa diguna oleh orang putih seperti bola besar, jacuzzi dan entah apa-apa lagi. Saya diminta supaya menggunakan bola besar untuk menguatkan tekanan graviti dan mengembalikan rasa contraction tapi sayangnya ianya langsung tak membantu dan saya rasa seperti seorang kanak-kanak yang bermain di playground bila menggunakan bola itu. Tiba waktu Zohor, suami menunaikan solat di dalam labour room. 'How do you know your are in the right direction?', tanya mid-wife yang nampaknya sudah tau bahawa Muslim perlu bersolat mengadap kiblat. 'Oh, that's intelligent!', kagumnya bila kami menunjukkan kemudahan itu di dalam i-phone. Jika pengalaman sebelum ini saya hanya berbaring menahan sakit, di sini saya perlu banyakkan berjalan di dalam labour room supaya badan tidak lenguh. Kata mid-wife, saya bebas melakukan apa saja sementara menunggu saat bersalin. Ada juga CD player disediakan jika ingin memainkan CD. Akhirnya pada pukul 1 petang, barulah contraction datang kembali setelah saya berjalan-jalan dengan gigihnya di dalam labour room. Pukul 2 petang barulah contraction yang saya rasakan tolakan baby sangat mendesak dan saya terus berbaring semula. Memang sagala-galanya berlangsung secara semula jadi, tiada gunting, tiada tolakan perut dari misi atau mid-wife, semuanya saya usahakan sendiri dan hasilnya bada saya tidak berasa lenguh dan tiada jahitan diperlukan. Alhamdulillah pada jam 2.20 petang, akhirnya lahirlah puteri ke-dua yang kami nanti-nantikan selama ini dengan berat 3.04kg.

Saya bermalam di hospital selama 3 hari 2 malam, tempoh biasa bagi kelahiran di sini. Yang paling saya suka tentang hospital di sini ialah makanannya yang lazat di samping stafnya yang mesra. Saya sudah memilih makanan halal sejak dari awal pemeriksaan, jadi saya dapat makan dengan penuh selera dan tanpa ragu-ragu. Sepanjang saya di hospital, saya didatangi oleh pelbagai pakar dalam bidang masing-masing untuk bertanya memberi khidmat nasihat dan bantuan. Penyusuan susu ibu amat dititikberatkan sehingga ibu perlu menandatangani satu borang khas jika berhasrat memberi anak susu formula semasa di hospital. Saya juga dilawati oleh pakar fisioterapi yang memberi nasihat dan mengajar exercise untuk mengempiskan perut dengan cepat. Syukur alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar dan dipermudahkan Allah. Pengalaman bersalin di negara orang memang tidak dapat saya lupakan dan saya sangat bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk menempuh pengalaman berharga ini. :-)

5 comments:

aishar said...

Alhamdulillah rezeki yg achik dpt. Ai tumpang epi. Kedengaran agak best pengalaman itu yea. Nampak berjalan lancar dan sempurna. Bole tambah lagi ni hihihi

acik311 said...

Puan Ruhil, nak tambah lagi sorang kat sini dah tak sempat. Kat Malaysia la pulak lepas ni. :-D

Maznie Omar said...

tumpang tanya, lada hitam dan halba boleh dibawa masuk ye.. maaflah, saya sedang survey2 insyaallah jika diizinkan suami mungkin akan berpindah tempat kerja ke brisbane.. saya pula dijangka 36 minggu tu awal march 2012. masih dlm dilema, anak pertama pula akan masuk year 1 tahun depan.. byk sungguh persoalan diminda.. :)

Maznie Omar said...

tumpang tanya, lada hitam dan halba boleh dibawa masuk ye.. maaflah, saya sedang survey2 insyaallah jika diizinkan suami mungkin akan berpindah tempat kerja ke brisbane.. saya pula dijangka 36 minggu tu awal march 2012. masih dlm dilema, anak pertama pula akan masuk year 1 tahun depan.. byk sungguh persoalan diminda.. :)

Nurulhannan Amir said...

Assalammualaikum..boleh saya tahu berapa kos bersalin di sana? Memandangkan saya dan suami akan berpindah ke Melbourne bulan 10 ni, jadi saya nak buat persediaan awal. Harap sis sudi membantu. TQ :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...