Followers

Wednesday, April 13, 2011

Yang mana lebih bahagia: Belajar atau Bekerja?

Akhirnya tinggal kurang dua minggu lagi sebelum tarikh jangkaan bersalin tiba. Alhamdulillah saya telah selamat menyempurnakan satu-satunya ujian pertengahan semester malam semalam. Malam ini juga telah berjaya menyediakan keperluan tempahan makanan bagi program lawatan Kementerian Pengajian Tinggi ke Brisbane. Perkara terhampir yang perlu diselesaikan ialah mesyuarat bersama supervisor IT Project pada Jumaat ini bagi semakan fasa analisa projek. Selepas itu, bolehlah saya menumpukan perhatian kepada beberapa assignments yang perlu disiapkan. Mudah-mudahan banyak peratusan kerja dapat disiapkan sebelum bersalin memandangkan bila sudah ada baby, masa untuk mengadap komputer dan mencari idea menyelesaikan assignment sudah tentu lebih terbatas berbanding sekarang.

Semester ini saya cuma perlu menghadiri kelas seminggu sekali. Sungguh bersyukur kerana saya tidak perlu pening kepala memikirkan kemungkinan akan skip beberapa minggu lecture selepas bersalin nanti. Mujur juga kelas yang satu itu direkod melalui Lectopia dan ramai kawan-kawan yang dikenali dalam kelas yang sama. Sekurang-kurangnya dapatlah saya merujuk rakaman kelas dan refer kepada rakan-rakan yang hadir.

Sedar tak sedar rupa-rupanya semester sudah sampai ke pertengahan sesi. Satu semester ada 13 minggu dan minggu ini sudah dikira minggu ke 7 dan cuti pertengahan semester akan bermula pada dua minggu hadapan. Cepat sungguh masa berlalu dan itu bermakna masa untuk saya kembali ke Malaysia juga sudah semakin hampir. Saya pun sebenarnya tidak pasti perasaan sebenar saya untuk pulang ke tanah air. Ada kalanya saya rasa gembira dan tak sabar terutama bila mengenangkan makanan yang lazat-lazat di Malaysia. Tetapi ada juga masanya saya berharap dapat berada lebih lama di sini kerana suasana yang bahagia dan gembira di sini walaupun hidup dalam keadaan dan pendapatan yang serba sederhana. Sememangnya kehidupan saya dan keluarga di sini jauh berbeza dengan semasa kami di Malaysia. Di Malaysia, ada pendapatan bulanan, kalau malas masak boleh beli saja di mana-mana kedai, janji halal dan sedap. Di rumah ada pembantu dan saya jarang sekali membasuh pinggan. Semua kerja-kerja rumah dibuat oleh pembantu dan saya hanya memasak, melayan anak-anak dan suami semasa di rumah. Tetapi lain ceritanya di sini, pendapatan cukup-cukup makan sahaja, banyak barang-barang idaman yang terpaksa dipendamkan sahaja bila memikirkan di mana ongkos untuk barang-barang yang bukan keperluan hendak dicari. Semua kerja-kerja rumah diuruskan sendiri oleh saya dan suami dan dibantu oleh anak-anak. Syukur anak-anak sudah pandai mengemas dan boleh diharap.

Walaupun beban kerja rumah dan tanggungjawab di sini nampaknya lebih berat, tetapi rupa-rupanya ia amat menyeronokkan kerana pelbagai sebab. Bila sudah semua kerja rumah perlu dibuat bersama, ia menjadikan hubungan kekeluargaan kami lebih rapat. Sememangnya masa belajar adalah lebih santai daripada masa bekerja. Banyak masa terluang yang kami penuhi bersama-sama. Di sini juga Allah beri peluang untuk kami belajar lebih banyak mengenai kehidupan dan kebesaran Allah. Ianya membolehkan kami merancang dan mengatur masa depan keluarga mengikut acuan yang kami rasakan terbaik berdasarkan pengalaman dan pengetahuan yang kami kumpul selama ini. Walaupun poket tidak tebal, tetapi itu tidaklah menjadi penghalang untuk kami berasa lebih bahagia. Melihat anak-anak membesar di depan mata dan belajar banyak perkara positif di sini menambahkan lagi ketenangan hati kami. Tidak sangka walaupun tidak berada di negara Islam, penghayatan kepada agama dan ilmu dunia itu rupanya lebih berkesan berbanding semasa kami di Malaysia. Kebahagiaan melihat anak-anak sudah pandai bersolat jemaah sendiri, membaca Iqra' dan doa dan menolong saya dan suami membuat kerja rumah memang tidak terucap dengan perkataan. Menyaksikan anak-anak bermain dan bersembang dengan ascent Aussie dan sangat berminat membaca buku juga amat mencuit hati.

Allah juga bagi peluang untuk kami menghadiri pelbagai program kerohanian di sini. Syukur sekarang saya berpeluang menghadiri usrah wanita setiap dua minggu dan kuliah kitab Riyadus Salihin juga  diadakan setiap dua minggu di kediaman kami. Sekali sekala ada juga program ceramah agama yang diadakan dan jika berpeluang untuk hadir, kami akan cuba sedaya upaya untuk menyertainya. Bagi saya peluang ini tidak akan datang dua atau tiga kali kerana saya sendiri tidak  pasti adakah Allah akan bagi peluang untuk saya mengikuti program-perogram agama sekerap ini bila kembali ke Malaysia nanti? Sedangkan di pejabat lama dahulu pun ada individu yang tidak begitu setuju untuk saya dan kawan-kawan hadir ke program ceramah agama atau motivasi yang hanya diadakan sebulan sekali dengan alasan kalau nak belajar agama, di surau dan masjid ada banyak ceramah, inikan pulak peluang untuk saya mengadakan pengisian usrah di pejabat. Orang pejabat Malaysia lebih gemar keluar bershopping pada waktu rehat yang panjang pada hari Jumaat berbanding dengan hadir ke usrah. :-D

Apa pun saya amat mengharapkan Allah masih beri peluang untuk saya menghadiri program-program keagamaan dan tetap berasa bahagia apabila kembali ke tanah air nanti. Semoga kesibukan bekerja tidak menjadi halangan untuk kami terus menikmati keindahan berkeluarga seperti mana yang telah kami perolehi di sini...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...