Followers

Saturday, July 24, 2010

Sounds Of Light: Brisbane 2010

Saya masih rasa seperti bermimpi apabila secara tiba-tiba berpeluang ke konsert nasyid yang sudah bertahun tidak ada kesempatan untuk pergi atas beberapa alasan. Pertama kerana kurangnya hiburan berbentuk demikian diadakan di tanah air sendiri dan ke-dua bila ada saja konsert nasyid, semua waktunya tak mengizinkan saya untuk hadir. Masa zaman belajar di UIA, inilah hiburan utama bagi saya dan rakan-rakan. Pantang ada persembahan atau konsert nasyid, tak pernah lepaskan peluang untuk pergi.

Saya juga rasa tak percaya apabila melihat Maher Zain yang selama ini saya nikmati dan hayati lagunya setiap hari menyanyi secara live. Terasa macam nak mencubit pipi kiri dan kanan bila dia memberi salam di pentas. Oh, adakah saya bermimpi? Tidak, inilah kenyataan! Sayangnya Maher Zain hanya menyanyikan empat lagu saja, bukan sebab tak ramai yang nak dengar, tetapi sebab ada lebih kurang enam artis nasyid jemputan lain yang sama-sama menghiburkan penonton malam itu. Selain Maher Zain, RAIHAN sudah tentu membuatkan penonton sungguh terhibur malam itu. Persembahan RAIHAN memang mantap dan saya rasakan yang terbaik pada malam itu. Harap-harap sangat akan ada juga konsert nasyid besar-besaran secara tahunan diadakan juga di Malaysia setiap tahun.

Pada asalnya, saya hanya tahu tentang konsert ini secara last minute dari suami tercinta dan tiket untuk family yang berharga AUD30 seorang pulak sudah sold out. Kecewanya rasa sebab kami memang peminat nasyid tegar sejak zaman belajar lagi. Maklumlah, berkenalan dulu pun masa jadi committee kelab nasyid. Cik abang begitu ingin nak pergi, nampaknya terpaksalah saya merelakan dia pergi walaupun dalam hati rasa sangat-sangat teringin untuk turut serta. Dalam memendam perasaan kecewa itu, tiba-tiba ada seoranga adik undergrad yang menegur saya di facebook, 'Akak pergi tak konsert Maher Zain Jumaat ni?', oh, rupanya diorang ada lebihan satu tiket. Rupa-rupanya itulah rezeki saya untuk bersama-sama dengan adik-adik undergrad untuk ke konsert nasyid malam itu. Walaupun terhibur sepanjang konsert, dalam hati tetap teringatkan keluarga di rumah. Tahun depan mesti kena alert awal-awal supaya tak terlepas peluang lagi datang bersama keluarga.

Konsert tahunan yang saya hadiri ini dianjurkan oleh Human Appeal International (http://www.humanappeal.org.au/) bagi tujuan mengumpul sumbangan untuk anak-anak yatim Muslim di seluruh dunia. Ianya diadakan setiap tahun di tiga tempat di Australia iaitu di Brisbane, Sydney dan Melbourne. Saya sangat tertarik dengan konsep sumbangan di mana kita boleh memilih untuk membantu beberapa bilangan anak-anak yatim secara tahunan mengikut kemampuan yang tertentu. Selain itu kita boleh memilih anak-anak dari negara manakah yang kita ingin bantu. Antaranya adalah dari Palestin, Ira, Lebanon, Bosnia, Somalia, Afghanistan,  Nigeria dan banyak lagi. Jika ada yang berminat, jangan lepaskan peluang untuk menambah amalan. Sesungguhnya anak yatim itu adalah sangat mulia tempatnya di sisi Allah.

Wednesday, July 21, 2010

Kembara Brisbane-Sydney-Cooma-Snowy Mountain-Canberra-Brisbane (Siri II)

Setelah tiga malam menginap di rumah Encik Imran di Kensington, Sydney, kami meneruskan pengembaraan seterusnya ke Cooma, New South Wales untuk menikmati kehebatan alam ciptaan Allah yang dilitupi salji di Snowy Mountain pada hari berikutnya. Perjalanan dari Sydney ke Cooma mengambil masa lebih kurang lima jam. Kami tiba pada jam 8.00 malam. Kami telah membuat tempahan Ensuite Cabin yang boleh memuatkan sehingga lima orang di Snowtel Caravan Park sebelum bertolak ke Sydney lagi. Kawasan penginapan ini diusahakan bersama-sama oleh sebuah keluarga yang cukup ramah dan mesra. Kebetulan kami belum menempah untuk menyewa kelengkapan dan pakaian snow dari mana-mana kedai. Mujur juga Snowtel turut menawarkan sewaan peralatan bermain salji dengan harga yang sangat berpatutan.

Suhu di Cooma ini memang sangat-sangat sejuk pada hari pertama kami tiba sampaikan kereta dan selipar yang tertinggal di luar cabin diliputi ais pasa keesokan paginya. Kebetulan pula heater asal cabin tidak berfungsi dan kami dibekalkan dengan dua heater kecil yang sememangnya tak terasa langsung disediakan suhu di bawah paras beku. Kalau sudah suhu begitu, saya yang rajin mandi ni pun jadi takut nak mandi. Silap-silap boleh demam terkejut kalau mandi dalam cuaca yang sebegitu sejuk. Awal-awal pagi lagi anak-anak sudah bangun sebab begitu bersemangat nak bermain salji. Walaupun mereka tak pernah lagi melihat salji sebelum ini, tapi gaya-gayanya macam dah biasa bermain dengan salji. Yang paling tak sabar, dah tentulah Ariff. Mungkin kerana dia sudah faham dan pengalaman ini akan menjadi satu kenangan terindah dalam hidupnya. Akeef dan Najla juag seronok tetapi mungkin kenangan bercuti ini tidak begitu terkesan dalam jangkamasa yang lama sebab usia yang masih terlalu muda.

Dengan berbekalkan sandwich dan jemput-jemput ikan bilis, kami meneruskan perjalanan ke Jindalee yang memakan masa lebih kurang 50 minit dari tempat penginapan. Setibanya di Jindalee, kami menaiki train untuk ke Perisher, tempat yang ditunggu-tunggu sekian lama untuk bermain salji. Kali pertama melihat pemandangan alam dilitupi warna putih di mana-mana membuatkan mata saya tidak berkedip memandang. Subhanallah, terima kasih ya Allah kerana memberi rezeki kepada saya dan keluarga tersayang menikmati kehebatan dan keindahan alam ciptaanMu. Rasa tidak percaya dengan apa yang saya nampak di depan mata. Seronoknya Ariff, Akeef dan Najla dapat bermain toboggan di atas ais. Toboggan merupakan alat permainan yang lebih kurang konsepnya seperti upih pinang jika di Malaysia. Bezanya upih pinang perlu ditarik untuk digerakkan tetapi toboggan ini akan meluncur sendiri menuruni bukit-bukit salji. Kami juga berkesempatan berkenalan dengan beberapa keluarga pelancong lain yang datang menikmati keindahan musim sejuk di Perisher. Sebabnya ialah kerana kami mempunyai toboggan yang banyak tetapi tidak digunakan semua kerana Najla menaiki toboggan bersama ayah, jadi adalah lebihan toboggan yang tidak dipakai. Mereka pulak mungkin tidak cukup atau tidak ada langsung toboggan tetapi ingin turut sama menkmati keseronokan meluncur di atas ais, jadi kami meminjamkan toboggan kami. Keseronokan bermain toboggan terpaksa berakhir disebabkan hari beransur gelap dan jentera-jentera penyodok salji sudah datang untuk meratakan kawasan. Kami bergerak semula ke stesen dan menaiki train semula untuk ke Jindalee. Walaupun penat bermain tapi keseronokan dan kebahagiaan dapat bersama-sama dengan ayah dan ummi terpancar jelas di wajah anak-anak. Tiba saja di rumah, semua terus memanjat katil masing-masing selepas menyalin uniform tidur.

Keesokan harinya kami menuju ke Canberra yang merupakan pusat pentadbiran di Australia. Jika di Malaysia, konsepnya bolehlah diibaratkan seperti Putrajaya. Walaubagaimanapun, kehebatan Canberra masih jauh jika dibandingkan dengan Putrajaya. Kami sempat melawat War Memorial yang menempatkan sejarah Australia semasa zaman sebelum merdeka dan dalam kancah peperangan. Kemudian, kami ke Botanical Garden, sekadar untuk bergambar dan menikmati keindahan taman.

Selepas puas melawat Canberra, kami meneruskan perjalanan kembali semula ke Brisbane. Perjalanan ini dijangka mengambil masa 18 jam, tidak termasuk masa untuk berhenti rehat. Kami berhenti untuk makan malam dan menunaikan solat jama' Maghrib dan Isya' di sebuah picnic area kira-kira dua jam selepas bertolak. Makan nasi berlaukkan sambal tumis sardin dan telur masak kicap yang saya sediakan sebelum bertolak di cabin. Walaupun taman rekriasi itu begitu indah dan teratur tetapi kerana cuaca yang dingin menyebakan kami tidak saar-saar untuk cepat-cepat makan dan masuk semula ke dalam kereta. Saya berpesan kepada anak-anak supaya makan kenyang-kenyang kerana selepas ini tidak ada lagi hidangan nasi sehingga sampai ke rumah nanti. Perjalanan diteruskan dan kami berhenti untuk melelapkan mata sebelum meneruskan perjalanan keesokan paginya kira-kira jam 10 malam.

Solat subuh kami tunaikan di dalam kereta memandangkan cuaca yang sejuk dan hujan renyai-renyai di luar. Mujur terdapat kemudahan tanda yang bersih di stesen minyak, boleh kami menumpang untuk mengambil wudhu'. Selesai solat, perjalanan diteruskan lagi. Kali ini kami melaui jalan yang berbeza dari laluan highway sebelum ini. Perjalanan kali ini melalui country side yang dihiasi pemandangan ladang-ladang dan haiwan-haiwan yang meragut rumput. Sungguh indah suasana pagi sepanjang perjalanan ini. Kami berhenti untuk makan dan solat jama' Zohor dan Asar di Grafton. Memandangkan perut sudah berkeroncong, kami menikmati grilled fish n chips yang dibeli dari sebuah restoran kecil di pekan itu. Berebut-rebut makan bersama dengan anak-anak sebab semuanya sudah kelaparan setelah hanya makan roti dan biskut untuk sarapan. Alhamdulillah akhirnya kami selamat sampai ke rumah pada jam lapan malam. Lega dan bahagianya dapat menikmati tilam dan bantal sendiri setelah sehari suntuk di dalam kereta. Sesungguhnya, pengalaman pengembaraan ini tidak akan saya lupakan sepanjang hayat sebagai antara kenangan termanis untuk saya dan keluarga. Semoga selepas ini Allah beri peluang untuk kami menikmati keindahan ciptaan-Nya di tempat yang lain.

Sunday, July 11, 2010

Kembara Brisbane-Sydney-Cooma-Snowy Mountain-Canberra-Brisbane (Siri I)

Alhamdulillah setelah menghadapi masalah penginapan di Sydney pada awalnya, Allah beri peluang pada saya dan keluarga untuk bermusafir ke negeri-negeri lain di Australia pada 3 hingga 10 Julai 2010. Beberapa hari sebelum berangkat, kami sudah sibuk dengan urusan membuat survey syarikat sewaan kereta terbaik, menyediakan road trip schedule dan jadual lawatan semasa di destinasi, malayari maklumat tempat-tempat menarik dan membuat persiapan bahan-bahan yang akan dibawa. Maklumlah, orang anak tiga berjalan jauh dah tentu tak sama dengan orang bujang bila hendak melancong. Persiapan dan perancangan perlu difikirkan untuk kami dan yang penting juga untuk anak-anak. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 12 jam dari Brisbane ke Sydney sudah tentu satu cabaran untuk anak-anak kecil. Oleh itu, road trip yang disediakan perlu mengambil kira keselesaan anak-anak kecil dan waktu-waktu yang sesuai untuk kami menunaikan solat sekaligus mengisi perut pada waktunya.

Kereta kami yang sudah berusia lebih 10 tahun itu adalah sangat berisiko untuk dibawa berjalan jauh. Kami menempah sewaan kereta Toyota Corolla secara online untuk lapan hari memandangkan kereta itu antara yang paling sesuai dengan muatan kami dan bajet yang ada. Tiba masa ambil kereta, dapat pulak kereta Mitsubishi Lancer yang tak pernah saya dengar dan naiki semasa di Malaysia. Kereta ni kalau diikutkan memang mempunyai fungsi yang lebih baik utnuk perjalanan jauh berbanding dengan Toyota Corolla tetapi kekurangannya adalah ruang muatan barang yang agak terhad berbanding dengan kapasiti barang yang perlu kami bawa. Maklumlah, saya memang jenis yang kalau boleh semua benda nak bawak kerana memikirkan pelbagai kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Tapi bila sudah bonet kereta tidak mengizinkan, terpaksalah mengurangkan sedikit apa yang boleh dibawa.

Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 4.30 pagi. Kira-kira sejam setengah kemudian, kami berhenti di Ballina, New South Wales untuk menunaikan solat Subuh. Jenuh juga mencari tempat berhenti yang sesuai. Maklumlah, tak biasa berjalan jauh di tempat orang. Jika di Malaysia, nak berhenti solat boleh singgah di mana-mana R&R atau masjid yang banyak di sepanjang jalan. Keadaan yang tidak sama di negara orang membuatkan kami lebih menghargai kepentingan solat di samping perlu mempraktikkan keadaan bersolat yang berbeza semasa di negara sendiri. Memandangkan hujan renyai-renyai di luar, kami hanya bersolat secara duduk di dalam kereta dengan meng'adjust' kereta mengadap kiblat. Setelah selesai, perjalanan diteruskan selama 10 jam lagi dan kami berhenti tiga kali selepas itu untuk makan bekalan nasi lemak yang dah dibawa di samping meregangkan otot-otot. Tempat perhentian biasanya di mana-mana rest area atau picnic area yang bayak terdapat di sepanjang jalan di Australia. Bekalan makanan yang telah saya sediakan sejak malam sebelum bertolak di samping makanan-makanan kering lain seperti biskut, keropok dan coklat adalah sangat penting jika ada anak-anak kecil yang tengah kuat makan seperti anak-anak kami. Setiap setengah jam, ada saja benda yang diminta untuk dikunyah melainkan masa mereka tidur. Alhamdulillah akhirnya kami selamat tiba di rumah Encik Imran, Pegawai Penasihat Latihan Australia di Kensington, Sydney yang sudi menumpangkan kami bermalam pada jam lapan malam.

Jalan-jalan hari pertama bermula dengan berjalan kaki ke bus stop di Todman Avenue. Hari Ahad merupakan Family Funday Sunday di Sydney. Beli tiket berharga AUD2.50 untuk seorang orang dewasa dan kanak-kanak lima tahun dan ke atas, boleh naik semua jenis kenderaan awam seperti bas, feri dan train untuk berjalan-jalan di sekitar Sydney. Sungguh menjimatkan! Itulah kali pertama saya dan anak-anak menaiki bas setelah tidak pernah lagi menjejak tangga bas apabila bergelar isteri enam tahun lalu. Destinasi pertama kami adalah Paddy's Market yang terletak di tenagh-tengah bandar Sydney. Di sini terdapat banyak cenderamata Sydney dan Australia yang dijual dengan harga yang sangat berpatutan. Kebanyakannya adalah buatan China, sebab itulah ianya boleh dijual dengan harga yang rendah. Kalau buatan Australia, harganya agak tinggi sedikit. Saya hanya membeli beberapa cenderamata yang ada tulisan Sydney. Sebelum berjalan, adik-adik undergrad sudah berpesan supaya jangan banyak bershopping barang cenderamata semasa di Sydney. Harga cenderamata yang dijual di Melbourne jauh lebih murah dan banyak pilihan berbanding di Sydney. Jadi, saya mengikut pesanan adik-adik tersayang ini memandangkan kami merancang untuk ke Melbourne juga satu hari nanti jika ada rezeki.

Berjalan bersama-sama anak-anak kecil ni memanglah sangat mencabar sebab perlu melayan karenah yang bermacam-macam terutama dari Najla yang paling bongsu setakat ini dan paling manja dan kuat merajuk. Kami tiba ke destinasi ke dua di Circular Quay Ferry Terminal yang terletak berhampiran dengan pelbagai tempat-tempat menarik di Sydney seperti Sydney Opera House, Royal Botanical Garden dan Sydney Harbour Bridge. Kami menaiki feri dari Circular Quay ke Balmain/ Woolwich untuk menikmati keindahan bandar Sydney yang tidak seharusnya di lepaskan apabila melawat Sydney. Feri yang kami naiki melalui bawah Sydney Harbour Bridge, menjadikannya satu perjalanan yang sungguh simbolik. Perjalanan feri yang mengambil masa hampir 40 minit pergi dan kembali itu melaui beberapa perhentian yang sangat menarik dan pemandangan yang mengasyikkan seperti Milsons Point / Luna Park, McMahons Point, Balmain East, Balmain, Birchgrove, Balmain West, Birkenhead, Greenwich Point, Cockatoo Island, Drummoyne, dan  Woolwich. Subhanallah! Terasa begitu agungnya kebesaran Allah melihat keindahan dan kehebatan ciptaannya yang tidak terluah dengan kata-kata.

Kami menunaikan solat jama' dan qasar 'Asar dan Zuhur di sebuah taman yang kebetulan kami lalui dalam perjalanan ke Botanical Garden. Mengambil wudhu dengan bekalan air yang dibawa dan beralaskan sejadah biru muda yang emak hadiahkan semasa balik dari Mekah dua tahun yang lalu di bawah pohon rendang memang sangat menginsafkan. Memandangkan hari sudah melewati pukul empat petang, perkhidmatan Choo Choo train di Botanical Garden sudah tamat. Jadi, kami hanya berjalan sambil bergambar dan menikmati keindahan taman yang mengelilingi tasik dan berlatarkan Sydney Opera House itu. Kebetulan berjumpa pula dengan Wawa dan suami yang saya kenali kerana sama-sama menuntut di UQ sedang mengambil angin petang. Tinggal di Brisbane, Sydney juga tempat kami bertemu. Selepas itu kami terus ke Sydney Opera House untuk melihat keunikan rekaan dan senibina bangunan terkenal itu dari dekat. Memandangakan jam. sudah menghampiri jam lima dan waktu maghrib sudah pun hampir tiba, kami pulang ke rumah menaiki bas semula sebelum cuaca yang sudah sedia dingin semakin dingin pada malam hari. Semasa winter, waktu Maghrib bermula lebih kurang lebih sedikit dari jam lima di Sydney. Cuaca di Sydney sememangnya lebih sejuk dari Brisbane dan kebiasaannya di atara 12-9 darjah celcius berbanding Brisbane 20-15 darjah celcius. Kebetulan bas yang kami naiki berhenti betul-betul di hadapan restoran Malaysia, Restoran Abang Sam. Apa lagi, kami tidak melepaskan peluang untuk menikmati makanan bagi memudahkan urusan untuk terus berehat dan mngumpul stamina selepas pulang ke tempat penginapan nanti. Kami memesan nasi ayam, mi goreng dan nasi goreng memandangkan Ariff dan Najla yang teringin nak makan mi goreng dan Akeef pula gemarkan nasi goreng. MasyaAllah, memang sangat sedap masakan chef di Restoran Abang Sam di Kensington ini. Hingga sekarang, saya masih teringat-ingat keenakan nasi ayam, mi goreng dan nasi gorengnya. Sudahlah sedap, isinya penuh dan harga pula sangat berpatutan. Jika ada rakan-rakan yang ke Sydney, jangan lepaskan peluang untuk menikmati makanan Malaysia di Restorang Abang Sam.

Tempat lawatan pada hari ke dua adalah ke Blue Mountain yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dengan menaiki train dari Central Station, Sydney ke Katoomba Station. Keunikan keretapi di Sydney adalah keretapi dua tingkatnya. Kami tidak melepaskan peluang untuk duduk di tingkat atas. Tiba di Katoomba, kami menaiki Blue Mountain Explorer Bus untuk meronda ke tempat-tempat menarik di Blue Mountain. Sebenarnya memang banyak tempat-tempat yang boleh dilawati di Blue Mountain tetapi kami hanya berkesempatan pergi ke empat tempat sahaja memandangkan banyak masa dihabiskan dengan melayan anak-anak emas kami di samping  perkhidmatan bas hanya sehingga jam 4.30 petang sahaja. Kami berpeluang ke Echo Point, the Three Sisters, Scenic World dan pekan Leura. Menaiki SkyWay untuk melihat pemandangan yang sangat menakjubkan di Echo Point juga tidak kami lepaskan. Rup-rupanya memang seronok pergi bercuti bila ada peluang begini. Semasa di Malaysia, kami hanya sibuk bekerja dan cuti hanya dihabiskan untuk pulang ke kampung halaman menziarahi keluarga kerana itu adalah yang lebih utama. Mungkin bila kembali ke Malaysia, kami perlu pergi bercuti bersama-sama dengan keluarga terdekat dengan lebih kerap.

Kami kembali semula ke Sydney menaiki train dari Leura Station pada kira-kira jam 4.30 petang dan tiba dua jam kemudian. Kali ini kami menikmati makan malam di Restoran Pondok Buyong di Kensington. Restoran ini menawarkan masakan Padang yang saya kira lebih kurang saja dengan masakan Melayu Malaysia. Saya teringin nak ke restoran ini apabila melauinya semasa menaiki bas semalam. Kami  memesan dua pinggan nasi bersama tiga jenis lauk setiap satu. Nasi dan lauknya yang sepinggan besar penuh membolehkan saya berkongsi makanan dengan anak-anak. Lauk dan nasinya sungguh menyelerakan terutama bagi orang yang sedang lapar di tengah hujan renyai-renyai. Lauk ayam masak lemak, sambal terung, kerabu tauge dan ikan kering licin dimakan oleh kami sekeluarga. Bila pulang ke rumah Encik Imran, kebetulan ada tetamu-tetamu dari orang-orang besar Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang menjalankan temuduga kepada pelajar-pelajar tahun akhir universiti-universiti di sekitar Australia. Jadi kami sambung menjamu selera pencuci mulut dengan kek dan buah-buahan. Malam itu kami tidur lena dengan penuh gembira dan perut berisi sehingga termimpi-mimpi betapa hebatnya Allah menciptakan keindahan muka bumi dan iklim yang berbeza-beza. Allahu Akbar!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...