Followers

Showing posts with label anak ramai. Show all posts
Showing posts with label anak ramai. Show all posts

Tuesday, September 30, 2014

Melihat Diri dan Keluarga 10 Tahun Akan Datang

Memiliki lima orang anak pada zaman ini boleh dikategorikan sebagai anak ramai peringkat permulaan. Disebabkan keperluan kewangan, kerjaya dan taraf hidup, lebih ramai pasangan suami dan isteri memilih untuk menghadkan bilangan anak dalam keluarga dengan alasan mengutamakan kualiti daripada kuantiti. Mungkin ada benarnya, apalah guna memiliki anak sepasukan pemain bola sepak andai tidak mampu mendidik anak-anak menjadi insan yang mampu membawa kebaikan kepada dunia dan akhiratnya. Ada juga yang menganggap anak-anak yang ramai terutama yang rapat umurnya menyebabkan anak-anak akan kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.

Perkara yang sama juga pernah bermain di minda saya sebagai salah seorang yang Allah kurniakan nikmat melahirkan ramai anak pada peringkat awal dulu-dulu setelah melihat persepsi pihak lain. Namun, bila saya bermuhasabah dan merenung diri, kenapakah kita pelu risau kepada pandangan dan kata-kata orang sedangkan memiliki anak ramai itu adalah satu keistimewaan dan diberi ganjaran yang berlipat ganda jika kita mampu melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak menjadi insan yang bermanfaat kepada agama dan negara. Alhamdulillah, selepas daripada itu, setiap apa jua kejadian yang berlaku saya sentiasa ambil secara positif dan yakin dengan ketentuan Allah.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)


Untuk merasai yang manis, sudah pasti pahit dan maung perlu dikecapi dahulu supaya kemanisan itu lebih dihargai dan penuh makna. Begitulah halnya dalam membesarkan anak-anak yang ramai, berasa sedikit penat atau kekurangan rehat dan waktu tidur adalah ujian yang perlu dibayar sebelum menikmati kepuasan apabila melihat anak-anak menjadi insan yang berguna dan berbakti.

Alhamdulillah saya dikurniakan seorang suami yang penyabar dan berpandangan jauh ke hadapan. Sebaik sahaja saya hamil anak pertama, kami sudah sama-sama merancang masa depan anak-anak. Kami memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang bukan saja mampu memberi pendidikan akademik yang baik malahan mementingkan adab dan pengajian pendidikan Islam. Memang banyak pilihan sekolah sedemikian di kawasan sekitar Kajang dan Bandar Baru Bangi walaupun Putrajaya tidak menyediakan kemudahan itu. Alhamdulillah Allah makbulkan impian kami.


Ketika anak pertama menduduki tahun satu, tuan suami sudah membicarakan mengenai masa depan anak 15 tahun akan datang. Dia sudah membayangkan bagaimana ciri-ciri calon menantu yang menepati kriterianya di samping perjalanan pendidikan yang akan dilalui oleh anak-anak sehingga ke peringkat universiti. Pemilihan karier dan bidang pendidikan kami akan serahkan pada anak-anak untuk membuat pilihan namun kami akan cuba menyalurkan mereka dengan bidang yang sesuai berpandukan kepada potensi dan prestasi yang mereka tonjolakan sejak kecil. Yang penting, pengukuhan terhadap pendidikan agama Islam, akhlak dan sahsiah adalah lebih-lebih lagi perlu ditekankan. Kami tidak pernah mengharapkan anak-anak misalnya mesti lancar membaca pada usia lima tahun, atau mesti mendapat nombor top 3 dalam peperiksaan tetapi terpulanglah kepada potensi masing-masing kerana setiap anak-anak itu berbeza. Sekurang-kurangnya jika anak-anak masih mampu bersaing dan tidak terlalu ketinggalan dalam pendidikan, tidak perlu berasa risau. Ada perkara lain yang lebih penting dan perlu ditekankan pada anak-anak adalah hal ibadah, akhlak, kemahiran komunikasi dan sosialnya selain dari life skill. Apalah gunanya mendapat tempat pertama atau pandai membaca pada usia 4 tahun sekiranya masih tidak mampu bersolat 5 waktu pada usia tujuh tahun. Panduan yang kami gunakan dalam mendidik anak-anak adalah berdasarkan sunnah Rasullullah S.A.W. seperti di dalam gambar ini. InsyaAllah semoga sama-sama dapat dijadikan panduan.

Syukur juga Allah memberi peluang pendedahan pendidikan di luar negara pada anak-anak. Pengalaman itu telah banyak membuka minda anak-anak dan menjadikan anak-anak lebih menghargai dan menghayati kehidupan yang sebenar sebagai seorang Muslim. Penerapan kepada nilai-nilai murni seperti hormat menghormati dan pergaulan yang baik tanpa mengira agama dan bangsa juga telah dihayati oleh kami sekeluarga semasa menetap di sana. Di sekolah, kawan-kawan mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dari negara yang berbeza. Kawan Ariff kebanyakannya dari Australia sendiri antara yang saya ingat Brandon Evan, David B dan David C dan ada seorang daripada Sarawak tetapi telah lama menetap di Australia yang saya lupa namanya. Begitu juga dengan Akeef dan Najla mempunyai kawan-kawan dari negara Jepun, China dan German. Di negara sendiri, walaupun berbilang bangsa, agak sukar untuk bergaul dengan bangsa yang lain lebih-lebih lagi kerana kami menetap di Putrajaya yang majoritinya adalah Bumiputra. InsyaAllah, peluang yang diperolehi ini akan dimanfaatkan untuk mendidik diri sendiri dan anak-anak menjadi pendakwah yang lebih baik. :-)



Friday, July 15, 2011

Anak-anakku Yang Empat

Anak-anak telah seminggu memulakan sesi persekolahan setelah dua minggu bercuti. Jenuh juga nak menjawab soalan bila boleh ke sekolah semula. Hari pertama bila sekolah dibuka, masing-masing bukan main bersemangat lagi. Awal-awal pagi dah bangun dan terus mandi sendiri. Syukur rasanya kerana telah banyak perubahan positif berlaku pada anak-anak bila mereka semakin bertambah usia. Banyak perkara yang mereka telah boleh uruskan sendiri lagi-lagi bila sudah dapat adik baru. Bangun pagi, menyiapkan diri ke sekolah dan mengemas bilik tidur biasanya Ariff dan Akeef akan lakukan sendiri setiap pagi. Saya menyiapkan sarapan dan bekal untuk 3 orang dan setiap orang ada 3 bekal tidak termasuk bekal air untuk morning tea, crunch dan lunch. Wah, agak mantap juga bunyinya kerana di Malaysia hanya bawa bekal untuk sekali makan sahaja. :-) Saya bercadang untuk meneruskan budaya membawa bekal bila telah kembali ke Malaysia nanti. Saya juga sangat gembira kerana dari hari ke hari Ariff sudah semakin matang dan bertanggungjawab. Dia boleh diharap untuk menjaga adik-adik dan membuat beberapa kerja rumah yang mudah seperti mengemas, menyapu dan vacume. Akeef juga nampaknya sudah semakin bijak tapi agak nakal sikit sejak ke sekolah. Mungkin kerana terlebih excited dan terikut-ikut dengan gelagat kawan-kawan baru di sekolah. Tapi bagi saya perkara ini adalah normal kerana pernah melalui perkara yang sama semasa Ariff mula bersekolah dulu. Adreana pula saya agak risau untuk sesi persekolahan baru ini kerana best friendnya Sofea aka Yaya sudah tidak bersekolah kerana akan kembali ke Malaysia. Saya berfikir apalah yang perlu dibuat kalau dia tidak mahu ke sekolah dan mencari-cari Sofea di sekolah. Tetapi alhamdulillah dia dapat menerima kenyataan dengan baik setelah saya dan suami mengingatkan dia sejak awal lagi sebelum sekolah bermula bahawa Sofea tidak akan ke sekolah lagi kerana akan pulang ke Malaysia. Walaupun pelbagai persoalan dan rasa tidak puas hati dibangkitkan, akhirnya dia gembira ke sekolah walaupun sentiasa mengingati sahabat baiknya itu.

Anak bongsu (setakat ini) sudah menghampiri tiga bulan usianya dan semakin bijak dari hari ke hari. Sekarang sudah pandai menyanyi bila kita menyanyikan lagu kebiasaan yang didengarinya dan dia kelihatan sangat comel bila menyanyi. Meragam juga sudah pandai lagi-lagi bila dia melihat tiada sesiapa yang menemani dia berbaring.

Cuti semester pula tinggal kurang dua minggu lagi. Agak berdebar menanti semester baru kerana bakal menghadapi cabaran terakhir sebelum menamatkan pengajian sarjana ini. Perasaan saya bercampur-campur gembira, bersyukur sedih dan terharu kerana kurang lima bulan lagi insyaAllah kami akan kembali ke Malaysia. Sudah pasti perkara yang paling saya akan rindui ialah masa lapang bersama keluarga yang saya nikmati di sini. Disebabkan suami tidak bekerja secara rutin di sini, dia sentiasa berada di sisi saya dan anak-anak bila sahaja kami memerlukannya. Di sini jugalah saya berpeluang melihat perkembangan anak-anak dengan jelas dan dengan cara dan gaya kami sendiri. Syukur akhirnya tercapai juga hasrat suami agar dapat mengajar anak-anak mengaji sehingga berjaya mencapai al-Quran di sini. Berkat kesabaran suami dan anak-anak, akhirnya impiannya tercapai. Akeef nampaknya lebih berminat mengaji berbanding Ariff dan dia berjaya mengaji al-Quran terlebih dahulu walaupun hanya mula mengaji Iqra' setahun selepas Ariff tetapi kerana tidak jemu dan sejak dulu menanam hasrat ingin 'memotong' abang, akhirnya dia berjaya dan tersenyum gembira. Abang pula menerima kenyataan itu dengan positif dan mengakui kelemahannya walaupun kadang-kadang masih tidak dapat menandingi kerajinan Akeef semasa mengaji. Pencapaian akademik Airff yang cemerlang di sekolah juga amat disyukuri. Namun bagi saya penguasaan yang seimbang di antara ilmu ukhrawi dan duniawi itu adalah matlamat utama dalam mendidik anak-anak. Apalah gunanya kalau dia menjadi doktor tetapi tidak menerapkan nilai-nilai Islam dalam pekerjaannya. Cita-cita saya agar anak-anak menjadi professional yang akan memperjuangkan Islam dalam apa jua keadaan dan cabarannya pada masa hadapan. Mudah-mudahan Allah meredhai keinginan saya dan mengabulkan impian ini...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...