Followers

Showing posts with label keibubapaan. Show all posts
Showing posts with label keibubapaan. Show all posts

Tuesday, May 12, 2015

Ucapan Hari Ibu Oleh Anak-anak

Semasa zaman kanak-kanak, saya tidak pernah menyambut sambutan hari ibu. Di rumah, emak tidak pernah menyebut dan di sekolah, cikgu juga tidak pernah beritahu. Berbeza sekali dengan anak-anak zaman ini. Atas faktor kepantasan dan kemudahan teknologi, pelbagai maklumat diterima oleh anak-anak dengan mudah. Bukan sahaja anak-anak tahu mengenai sambutan hari ibu di telivisyen, malahan di sekolah juga mereka turut diingatkan guru dan kadang-kadang siap menulis kad dan hadiah untuk ibu atas bimbingan guru-guru sekolah.

Begitulah juga dengan anak-anak saya di rumah. Setiap kali sambutan hari ibu dan hari bapa, masing-masing sibuk mencari kertas warna, water color, crayon, gunting dan gam untuk membuat kad. Kadang-kadang minta duit dari ummi dan ayah untuk beli hadiah hari ibu dan bapa.


Tahun ini merupakan tahun pertama Aleesya Nour bersekolah secara rasmi di tadika. Nampaknya dia juga sudah ada idea mengenai hari ibu. Dia sudah menulis kad hari ibu di sekolah dan sebaik sahaja saya sampai di muka pintu sekolah untuk menjemputnya, dia sudah cakap kuat-kuat, "Ummi, tadi Aleesya Nour ada buat kad untuk ummi. Ummi nak tengok tak?". Bila kad diserahkan, dia berkata-kata lagi, "Aleesya Nour sayang ummi, cikgu kata kena peluk ummi...", :-)

Manakala Ariff Najmuddin, anak sulung yang agak matang bukan saja pada susuk tubuhnya, malah pada sikapnya sebagai abang sulung pula menyambut dengan cara yang berbeza. Dia memang rajin membantu saya membuat kerja-kerja rumah tetapi pada hari ibu, hampir setiap masa dia akan bertanya apa lagi yang boleh dia bantu sempena hari ibu... Bila ada kerjanya, dia mengajak adik-adik yang besar sedikit, Akeef Nu'man dan Adreana Najla untuk sama-sama membantu. Ayahnya pula senyum sahaja sambil memuji-muji anak-anak yang terlebih rajin hari itu.

Maka, pada setiap kali hari ibu dan bapa, penuhlah di luar peti ais dengan lekatan kad-kad ucapan selamat hari ibu daripada anak-anak. Alhamdulillah, ummi dan ayah pun sayang semua anak-anak ummi dan ayah. Kami doakan semuanya menjadi anak-anak yang soleh dan solehah...


Tuesday, September 30, 2014

Melihat Diri dan Keluarga 10 Tahun Akan Datang

Memiliki lima orang anak pada zaman ini boleh dikategorikan sebagai anak ramai peringkat permulaan. Disebabkan keperluan kewangan, kerjaya dan taraf hidup, lebih ramai pasangan suami dan isteri memilih untuk menghadkan bilangan anak dalam keluarga dengan alasan mengutamakan kualiti daripada kuantiti. Mungkin ada benarnya, apalah guna memiliki anak sepasukan pemain bola sepak andai tidak mampu mendidik anak-anak menjadi insan yang mampu membawa kebaikan kepada dunia dan akhiratnya. Ada juga yang menganggap anak-anak yang ramai terutama yang rapat umurnya menyebabkan anak-anak akan kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa.

Perkara yang sama juga pernah bermain di minda saya sebagai salah seorang yang Allah kurniakan nikmat melahirkan ramai anak pada peringkat awal dulu-dulu setelah melihat persepsi pihak lain. Namun, bila saya bermuhasabah dan merenung diri, kenapakah kita pelu risau kepada pandangan dan kata-kata orang sedangkan memiliki anak ramai itu adalah satu keistimewaan dan diberi ganjaran yang berlipat ganda jika kita mampu melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak menjadi insan yang bermanfaat kepada agama dan negara. Alhamdulillah, selepas daripada itu, setiap apa jua kejadian yang berlaku saya sentiasa ambil secara positif dan yakin dengan ketentuan Allah.

Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216)


Untuk merasai yang manis, sudah pasti pahit dan maung perlu dikecapi dahulu supaya kemanisan itu lebih dihargai dan penuh makna. Begitulah halnya dalam membesarkan anak-anak yang ramai, berasa sedikit penat atau kekurangan rehat dan waktu tidur adalah ujian yang perlu dibayar sebelum menikmati kepuasan apabila melihat anak-anak menjadi insan yang berguna dan berbakti.

Alhamdulillah saya dikurniakan seorang suami yang penyabar dan berpandangan jauh ke hadapan. Sebaik sahaja saya hamil anak pertama, kami sudah sama-sama merancang masa depan anak-anak. Kami memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah yang bukan saja mampu memberi pendidikan akademik yang baik malahan mementingkan adab dan pengajian pendidikan Islam. Memang banyak pilihan sekolah sedemikian di kawasan sekitar Kajang dan Bandar Baru Bangi walaupun Putrajaya tidak menyediakan kemudahan itu. Alhamdulillah Allah makbulkan impian kami.


Ketika anak pertama menduduki tahun satu, tuan suami sudah membicarakan mengenai masa depan anak 15 tahun akan datang. Dia sudah membayangkan bagaimana ciri-ciri calon menantu yang menepati kriterianya di samping perjalanan pendidikan yang akan dilalui oleh anak-anak sehingga ke peringkat universiti. Pemilihan karier dan bidang pendidikan kami akan serahkan pada anak-anak untuk membuat pilihan namun kami akan cuba menyalurkan mereka dengan bidang yang sesuai berpandukan kepada potensi dan prestasi yang mereka tonjolakan sejak kecil. Yang penting, pengukuhan terhadap pendidikan agama Islam, akhlak dan sahsiah adalah lebih-lebih lagi perlu ditekankan. Kami tidak pernah mengharapkan anak-anak misalnya mesti lancar membaca pada usia lima tahun, atau mesti mendapat nombor top 3 dalam peperiksaan tetapi terpulanglah kepada potensi masing-masing kerana setiap anak-anak itu berbeza. Sekurang-kurangnya jika anak-anak masih mampu bersaing dan tidak terlalu ketinggalan dalam pendidikan, tidak perlu berasa risau. Ada perkara lain yang lebih penting dan perlu ditekankan pada anak-anak adalah hal ibadah, akhlak, kemahiran komunikasi dan sosialnya selain dari life skill. Apalah gunanya mendapat tempat pertama atau pandai membaca pada usia 4 tahun sekiranya masih tidak mampu bersolat 5 waktu pada usia tujuh tahun. Panduan yang kami gunakan dalam mendidik anak-anak adalah berdasarkan sunnah Rasullullah S.A.W. seperti di dalam gambar ini. InsyaAllah semoga sama-sama dapat dijadikan panduan.

Syukur juga Allah memberi peluang pendedahan pendidikan di luar negara pada anak-anak. Pengalaman itu telah banyak membuka minda anak-anak dan menjadikan anak-anak lebih menghargai dan menghayati kehidupan yang sebenar sebagai seorang Muslim. Penerapan kepada nilai-nilai murni seperti hormat menghormati dan pergaulan yang baik tanpa mengira agama dan bangsa juga telah dihayati oleh kami sekeluarga semasa menetap di sana. Di sekolah, kawan-kawan mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dari negara yang berbeza. Kawan Ariff kebanyakannya dari Australia sendiri antara yang saya ingat Brandon Evan, David B dan David C dan ada seorang daripada Sarawak tetapi telah lama menetap di Australia yang saya lupa namanya. Begitu juga dengan Akeef dan Najla mempunyai kawan-kawan dari negara Jepun, China dan German. Di negara sendiri, walaupun berbilang bangsa, agak sukar untuk bergaul dengan bangsa yang lain lebih-lebih lagi kerana kami menetap di Putrajaya yang majoritinya adalah Bumiputra. InsyaAllah, peluang yang diperolehi ini akan dimanfaatkan untuk mendidik diri sendiri dan anak-anak menjadi pendakwah yang lebih baik. :-)



Monday, May 28, 2012

Super Parents 2012: Perkongsian Siri 1

Alhamdulillah, ribuan kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah kerana saya dan suami diberi peluang untuk menghadiri konvensyen Super Parents 2012 yang dianjurkan oleh iluvislamEvents pada 26 dan 27 Mei 2012 bertempat di PICC, Putrajaya. Sebelum ini saya juga telah berpeluang hadir ke Konvensyen Bidadari Dunia yang diadakan di tempat yang sama. Konvensyen tersebut telah membariskan para penceramah yang hebat dalam bidang keibubapaan dan menjadi inspirasi kepada saya dalam mendidik anak-anak. Walaupun berlaku beberapa kali pertukaran penceramah dan aturcara, bagi saya iluvislamEvents telah berjaya melaksanakan program keibupaan tersebesar itu dengan grade Cemerlang. Tidak salah jika saya katakan usaha CEO iluvislam, Tuan Mohd Nurul Imran Koyube adalah sorang muda yang berpandangan jauh dan berjiwa besar. Selama ini saya sering mengimpikan program-program seperti yang dianjurkan oleh pihak iluvislam tetapi tidak pernah direalisasikan oleh mana-mana pihak berwajib tetapi beliau begitu berani dengan menyandarkan  keyakinan sepenuhnya kepada Allah atas rasa tanggungjawab sebagai seorang Muslim terhadap agamanya, beliau tampilkan pelbagai pengisian ilmu dalam bentuk 'pengajian moden' yang sesuai mengikut kehendak semasa. Apa yang saya boleh saya katakan, saya akan terus menyokong usaha beliau dalam mendidik masyarakat Muslim khususnya kepada satu tahap yang lebih hebat dan 100% berpandukan kepada al-Quran dan as-Sunnah. Bukanlah sekarang ini masyarakat kita tidak hebat tetapi kelekaan dan kekurangan ilmu sering menjadi penghalang untuk membuka minda dan keupayaan kita bahawa sesungguhnya kita ini Allah jadikan dengan sebaik-baik kejadian dan kita seharusnya menggunakan potensi itu beserta teknik yang betul untuk berubah kepada individu yang lebih positif dan seterusnya melahirkan generasi yang terbilang di dunia dan akhirat.

Saya gembira untuk berkongsi tips-tips yang telah saya perolehi dari pengisian dua hari tersebut tetapi membaca nota atau catatatan orang lain sudah semestinya tidak akan sama dengan dapat hadir sendiri ke program. Mudah-mudahan lebih ramai sahabat ibu bapa dan bakal ibu bapa lain yang berpeluang untuk hadir ke Super Parents atau sebarang program keibubapaan yang lain. Berdasarkan pemerhatian saya, sangat banyak program seperti ini dari yang kecil kepada yang besar diadakan pada tahun ini. Sebelum Super Parents 2012 ini, saya turut dimaklumkan terdapat tiga lagi program keibubapaan yang dianjurkan pada bulan Mei sahaja. Itu tidak termasuk lagi pengajian keibubapaan lain yang dianjurkan pada bulan-bulan sebelumnya. Alhamdulillah saya berpeluang pergi ke program keibubapaan yang terbesar dalam banyak-banyak program yang lain disebabkan lokasi dan waktunya yang sangat strategik. Apa pun, yang penting niat untk hadir ke program perlulah diperbetulkan kerana Allah, untuk menuntut ilmu dan memperbaiki skil keibubapaan dalam mendidik generasi yang akan datang. Bersama ini saya kongsikan sedikit catatan yang sempat saya catat secara fizikal dan sematkan di minda buat masa ini. insyaAllah mudah-mudahan usaha yang tidak seberapa ini bermanfaat buat diri saya dan semua sahabat-sahabat dalam melahirkan keluarga yang menemui kebahagiaan di dunia dan akhirat.
 
1. Rasulullah S.A.W. adalah contoh terbaik dalam mendidik anak-anak. Didik anak-anak mengikut peringkat usia.

Tajuk : Pendidikan Seks Sebelum Kahwin
Oleh : Ustaz Rohidzir Rais

1. Anak-anak harus diajar untuk meminta izin untuk masuk ke bilik ibu bapa. Ada 3 waktu yang anak dilarang utnuk masuk ke bilik ibu bapa:
i. Sebelum solat Subuh -Waktu ini ibu bapa mungkin sedang tidur atau baru bangun dari tidur. Justeru anak-anak harus diajar agar mengetuk pintu bilik ibu bapa sebelum masuk.

Hal ini kerana waktu inilah kemungkinan waktu-waktu `persendirian' bagi ibu bapa. Mungkin ketika itu peratusan aurat mereka terdedah sangat tinggi. Oleh itu anak-anak dilarang mengganggu ibu bapa.

ii. Sekitar sebelum waktu Zuhur -Waktu Zuhur ini juga disebut sebagai waktu `Qailulah' iaitu antara waktu yang disunatkan untuk tidur sebentar.

Ketika ini kemungkinan ibu bapa sedang berehat atau kemungkinan sedang tidur atau bersiap-siap untuk menunaikan solat Zuhur.

Justeru itu anak-anak sewajarnya diajar adab meminta izin sebelum masuk ke dalam bilik ibu bapa mengelakkan aurat ibu bapa terdedah kepada anak-anak.

iii. Selepas Isyak
Waktu-waktu seperti ini biasanya ibu bapa sedang bersiap-siap untuk tidur. Atau kemungkinan salah seorang daripada mereka sedang berehat, bersantai atau tidur di dalam bilik.
 
(Sumber; http://www.hanan.com.my/print.php?sid=1426)

2. Pergaulan mesra di antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim yang  bujang atau telah berkahwin haruslah dielakkan bagi menghindari fitnah.

3. Pisahkan tempat tidur anak-anak lelaki dan perempuan seawal yang boleh atau selewat-lewatnya bila anak-anak berusia 5 tahun. Pisahkan juga tempat tidur ibu bapa dan anak-anak.

4. Perbuatan onani ada pelbagai pandangan dalam Islam. Harus hukumnya sekiranya untuk mengelakkan diri dari maksiat. Walaubagaimanapun mereka yang sering melakukakn onani berkemungkinan besar akan gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami apabila telah berumahtangga.


Tajuk : Tips Memilih Pasangan dan Ketahanan Diri dalam Perkahwinan
Oleh : Dr. Tengku Asmadi

1. Anak yang hebat bukanlah anak-anak yang mendapat semua A dalam pelajarannya atau mencapai kecemerlangan dalam pelajaran semata-mata tetapi anak yang hebat adalah anak yang seimbang di antara pencapaian dunia dan ukhrawinya.

2. Sekiranya anak tidak mempunyai potensi yang baik dalam akademik, ibu bapa tidak seharusnya melabel anak itu sebagai anak yang gagal tetapi mesti sentiasa melihat kepada hikmah yang Allah jadikan. Cari minat anak-anak dan dorong kepada minatnya dan insyaAllah dia boleh jadi orang yang berjaya.

3. Setiap anak mempunyai potensi dan keistimewaannya sendiri. Ibu bapa harus mengetahui keistimewaan mereka dan menyokong apa yang mereka minat selagi tidak bercanggah dengan syariat.

Bersambung....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...