Anak-anak telah seminggu memulakan sesi persekolahan setelah dua minggu bercuti. Jenuh juga nak menjawab soalan bila boleh ke sekolah semula. Hari pertama bila sekolah dibuka, masing-masing bukan main bersemangat lagi. Awal-awal pagi dah bangun dan terus mandi sendiri. Syukur rasanya kerana telah banyak perubahan positif berlaku pada anak-anak bila mereka semakin bertambah usia. Banyak perkara yang mereka telah boleh uruskan sendiri lagi-lagi bila sudah dapat adik baru. Bangun pagi, menyiapkan diri ke sekolah dan mengemas bilik tidur biasanya Ariff dan Akeef akan lakukan sendiri setiap pagi. Saya menyiapkan sarapan dan bekal untuk 3 orang dan setiap orang ada 3 bekal tidak termasuk bekal air untuk morning tea, crunch dan lunch. Wah, agak mantap juga bunyinya kerana di Malaysia hanya bawa bekal untuk sekali makan sahaja. :-) Saya bercadang untuk meneruskan budaya membawa bekal bila telah kembali ke Malaysia nanti. Saya juga sangat gembira kerana dari hari ke hari Ariff sudah semakin matang dan bertanggungjawab. Dia boleh diharap untuk menjaga adik-adik dan membuat beberapa kerja rumah yang mudah seperti mengemas, menyapu dan vacume. Akeef juga nampaknya sudah semakin bijak tapi agak nakal sikit sejak ke sekolah. Mungkin kerana terlebih excited dan terikut-ikut dengan gelagat kawan-kawan baru di sekolah. Tapi bagi saya perkara ini adalah normal kerana pernah melalui perkara yang sama semasa Ariff mula bersekolah dulu. Adreana pula saya agak risau untuk sesi persekolahan baru ini kerana best friendnya Sofea aka Yaya sudah tidak bersekolah kerana akan kembali ke Malaysia. Saya berfikir apalah yang perlu dibuat kalau dia tidak mahu ke sekolah dan mencari-cari Sofea di sekolah. Tetapi alhamdulillah dia dapat menerima kenyataan dengan baik setelah saya dan suami mengingatkan dia sejak awal lagi sebelum sekolah bermula bahawa Sofea tidak akan ke sekolah lagi kerana akan pulang ke Malaysia. Walaupun pelbagai persoalan dan rasa tidak puas hati dibangkitkan, akhirnya dia gembira ke sekolah walaupun sentiasa mengingati sahabat baiknya itu.
Anak bongsu (setakat ini) sudah menghampiri tiga bulan usianya dan semakin bijak dari hari ke hari. Sekarang sudah pandai menyanyi bila kita menyanyikan lagu kebiasaan yang didengarinya dan dia kelihatan sangat comel bila menyanyi. Meragam juga sudah pandai lagi-lagi bila dia melihat tiada sesiapa yang menemani dia berbaring.
Cuti semester pula tinggal kurang dua minggu lagi. Agak berdebar menanti semester baru kerana bakal menghadapi cabaran terakhir sebelum menamatkan pengajian sarjana ini. Perasaan saya bercampur-campur gembira, bersyukur sedih dan terharu kerana kurang lima bulan lagi insyaAllah kami akan kembali ke Malaysia. Sudah pasti perkara yang paling saya akan rindui ialah masa lapang bersama keluarga yang saya nikmati di sini. Disebabkan suami tidak bekerja secara rutin di sini, dia sentiasa berada di sisi saya dan anak-anak bila sahaja kami memerlukannya. Di sini jugalah saya berpeluang melihat perkembangan anak-anak dengan jelas dan dengan cara dan gaya kami sendiri. Syukur akhirnya tercapai juga hasrat suami agar dapat mengajar anak-anak mengaji sehingga berjaya mencapai al-Quran di sini. Berkat kesabaran suami dan anak-anak, akhirnya impiannya tercapai. Akeef nampaknya lebih berminat mengaji berbanding Ariff dan dia berjaya mengaji al-Quran terlebih dahulu walaupun hanya mula mengaji Iqra' setahun selepas Ariff tetapi kerana tidak jemu dan sejak dulu menanam hasrat ingin 'memotong' abang, akhirnya dia berjaya dan tersenyum gembira. Abang pula menerima kenyataan itu dengan positif dan mengakui kelemahannya walaupun kadang-kadang masih tidak dapat menandingi kerajinan Akeef semasa mengaji. Pencapaian akademik Airff yang cemerlang di sekolah juga amat disyukuri. Namun bagi saya penguasaan yang seimbang di antara ilmu ukhrawi dan duniawi itu adalah matlamat utama dalam mendidik anak-anak. Apalah gunanya kalau dia menjadi doktor tetapi tidak menerapkan nilai-nilai Islam dalam pekerjaannya. Cita-cita saya agar anak-anak menjadi professional yang akan memperjuangkan Islam dalam apa jua keadaan dan cabarannya pada masa hadapan. Mudah-mudahan Allah meredhai keinginan saya dan mengabulkan impian ini...
No comments:
Post a Comment