Saya kongsikan beberapa tips memohon pekerjaan profesional yang pernah saya baca dan berdasarkan pemerhatian saya terhadap apa yang tuan suami lakukan. InsyaAllah jika ada kelapangan, saya akan mohon tuan suami menulis sendiri panduan dan pengalaman yang telah dilaluinya.
1. Siapkan diri dengan mengambil pensijilan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebelum mula memohon pekerjaan. Ia sangat penting bagi menjadi kayu ukur tahap kepakaran anda dalam sesuatu bidang berdasarkan penilaian standard di peringkat antarabangsa. Boleh baca artikel mengenai '15 Top-Paying Certifications for 2015'.
2. Kemaskini resume anda dengan maklumat terkini dan mengikut format Australia. Sebaiknya, mohon orang yang lebih mahir tentang HR dan Bahasa Inggeris untuk menyemak resume anda. Jika anda ada sahabat berpengalaman dari Australia yang dapat membantu anda menyemak resume dengan sedikit bayaran juga ia amat berbaloi. Sebaik-baiknya resume tidak lebih daripada dua muka surat dan dapat di'scan' dalam masa tidak lebih sepuluh saat.
3. Nyatakan dua orang referees yang berkaitan dengan kerjaya atau akedemik anda. Resume anda akan lebih berharga jika referee anda terdiri daripada individu dalam bidang yang sama yang bertugas di Australia.
4. Sediakan cover letter berbeza untuk setiap jawatan yang anda pohon. Anda perlu menyatakan kelebihan diri anda dan kenapa syarikat perlu mengambil anda sebagai staf mereka di dalam cover letter. Jangan lupa pastikan kelebihan yang anda miliki adalah selari dengan keperluan tugasan yang mereka nyatakan di dalam iklan pekerjaan.
5. Selepas menghantar permohonan kerja, hubungi agen atau staf HR terlibat melalui panggilan telefon atau emel dalam masa sehari atau dua hari selepas menghantar permohonan. Kenalkan diri anda, nyatakan anda telah menghantar permohonan untuk jawatan tertentu dan sangat berminat. Ambil peluang untuk memberitahu kelebihan anda dan anda adalah calon yang sesuai untuk jawatan tersebut.
6. Jangan lupa sediakan tracking bagi senarai pekerjaan yang anda telah pohon beserta tarikh permohonan, tarikh tutup dan nama agen/ HR. Terdapat banyak format percuma yang boleh dimuat turun daripada internet untuk menyediakan tracking ini.
7. Boleh mula menghantar permohonan kerja tiga bulan sebelum anda bersedia untuk memulakan kerja. Hal ini penting bagi melihat sejauh mana anda laku di pasaran kerja Australia.
8. Sekiranya anda terpilih, kebiasaannya pihak HR akan menghantar emel dan menghubungi anda melalui talian telefon untuk mengatur masa temuduga yang sesuai. Jika anda belum tiba di Australia, kebiasaannya temuduga akan dijalankan melalui skype atau panggilan telefon. Temuduga face to face akan diadakan jika anda telah berada di Australia.
9. Pastikan anda tiba awal di tempat temuduga. Sebaiknya buat kajian dan datang melihat tempat temuduga sehari atau dua hari lebih awal untuk membiasakan diri. Pakai pakaian formal dan kemas semasa temuduga.
10. Perkenalkan diri anda secara ringkas dan kurangkan bercerita mengenai hal-hal tidak formal di dalam temuduga. Jika ditanya, jawab sekadarnya sahaja. Anda perlu confident tetapi jangan kelihatan terlalu yakin atau angkuh. Jika ada soalan yang tidak dapat dijawab, nyatakan dengan jujur dengan jawapan yang sesuai. Jangan sesekali menipu semasa temuduga.
11. Kebiasaannya terdapat dua peringkat temuduga yang perlu dilalui di Australia. Keputusan temuduga biasanya akan diketahui dalam tempoh terdekat sama ada pada hari yang sama atau keeseokannya. Sekiranya anda berjaya pada temuduga pertama, pihak HR atau agen akan menghubungi anda untuk mengatur sesi temuduga ke dua.
12. Anda harus bersedia dengan baik juga untuk temuduga ke dua ini, jangan terlalu yakin anda telah berjaya. Buat yang terbaik sebagaimana anda melakukannya pada temuduga pertama.
13. Paling penting selepas berusaha, bertawakallah kepada Allah. Lakukan solat tahajud dan solat hajat dan mohon Allah memudahkan urusan anda mencari pekerjaan yang sesuai. Pastikan anda memohon supaya Allah memberikan pekerjaan yang paling baik untuk dunia dan akhirat anda.
Selamat berjaya!
1 comment:
as salam kak af.
saya nak mintak nasihat sikit dari akak.
saya lepasan graduan jurusan geologi dan saya ingin mencari peluang pekerjaan di luar
saya cuma nak tahu flow utk dapatkan pekerjaan disana dgn lebih details
Post a Comment