Followers

Showing posts with label kerja di australia. Show all posts
Showing posts with label kerja di australia. Show all posts

Wednesday, January 20, 2016

Tips Memohon Pekerjaan di Australia

Saya kongsikan beberapa tips memohon pekerjaan profesional yang pernah saya baca dan berdasarkan pemerhatian saya terhadap apa yang tuan suami lakukan. InsyaAllah jika ada kelapangan, saya akan mohon tuan suami menulis sendiri panduan dan pengalaman yang telah dilaluinya.


1. Siapkan diri dengan mengambil pensijilan profesional yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sebelum mula memohon pekerjaan. Ia sangat penting bagi menjadi kayu ukur tahap kepakaran anda dalam sesuatu bidang berdasarkan penilaian standard di peringkat antarabangsa. Boleh baca artikel mengenai '15 Top-Paying Certifications for 2015'.


2. Kemaskini resume anda dengan maklumat terkini dan mengikut format Australia. Sebaiknya, mohon orang yang lebih mahir tentang HR dan Bahasa Inggeris untuk menyemak resume anda. Jika anda ada sahabat berpengalaman dari Australia yang dapat membantu anda menyemak resume dengan sedikit bayaran juga ia amat berbaloi. Sebaik-baiknya resume tidak lebih daripada dua muka surat dan dapat di'scan' dalam masa tidak lebih sepuluh saat.

3. Nyatakan dua orang referees yang berkaitan dengan kerjaya atau akedemik anda. Resume anda akan lebih berharga jika referee anda terdiri daripada individu dalam bidang yang sama yang bertugas di Australia.

4. Sediakan cover letter berbeza untuk setiap jawatan yang anda pohon. Anda perlu menyatakan kelebihan diri anda dan kenapa syarikat perlu mengambil anda sebagai staf mereka di dalam cover letter. Jangan lupa pastikan kelebihan yang anda miliki adalah selari dengan keperluan tugasan yang mereka nyatakan di dalam iklan pekerjaan.

5. Selepas menghantar permohonan kerja, hubungi agen atau staf HR terlibat melalui panggilan telefon atau emel dalam masa sehari atau dua hari selepas menghantar permohonan. Kenalkan diri anda, nyatakan anda telah menghantar permohonan untuk jawatan tertentu dan sangat berminat. Ambil peluang untuk memberitahu kelebihan anda dan anda adalah calon yang sesuai untuk jawatan tersebut. 

6. Jangan lupa sediakan tracking bagi senarai pekerjaan yang anda telah pohon beserta tarikh permohonan, tarikh tutup dan nama agen/ HR. Terdapat banyak format percuma yang boleh dimuat turun daripada internet untuk menyediakan tracking ini.

7. Boleh mula menghantar permohonan kerja tiga bulan sebelum anda bersedia untuk memulakan kerja. Hal ini penting bagi melihat sejauh mana anda laku di pasaran kerja Australia.

8. Sekiranya anda terpilih, kebiasaannya pihak HR akan menghantar emel dan menghubungi anda melalui talian telefon untuk mengatur masa temuduga yang sesuai. Jika anda belum tiba di Australia, kebiasaannya temuduga akan dijalankan melalui skype atau panggilan telefon. Temuduga face to face akan diadakan jika anda telah berada di Australia.

9. Pastikan anda tiba awal di tempat temuduga. Sebaiknya buat kajian dan datang melihat tempat temuduga sehari atau dua hari lebih awal untuk membiasakan diri. Pakai pakaian formal dan kemas semasa temuduga.

10. Perkenalkan diri anda secara ringkas dan kurangkan bercerita mengenai hal-hal tidak formal di dalam temuduga. Jika ditanya, jawab sekadarnya sahaja. Anda perlu confident tetapi jangan kelihatan terlalu yakin atau angkuh. Jika ada soalan yang tidak dapat dijawab, nyatakan dengan jujur dengan jawapan yang sesuai. Jangan sesekali menipu semasa temuduga.

11. Kebiasaannya terdapat dua peringkat temuduga yang perlu dilalui di Australia. Keputusan temuduga biasanya akan diketahui dalam tempoh terdekat sama ada pada hari yang sama atau keeseokannya. Sekiranya anda berjaya pada temuduga pertama, pihak HR atau agen akan menghubungi anda untuk mengatur sesi temuduga ke dua.

12. Anda harus bersedia dengan baik juga untuk temuduga ke dua ini, jangan terlalu yakin anda telah berjaya. Buat yang terbaik sebagaimana anda melakukannya pada temuduga pertama.

13. Paling penting selepas berusaha, bertawakallah kepada Allah. Lakukan solat tahajud dan solat hajat dan mohon Allah memudahkan urusan anda mencari pekerjaan yang sesuai. Pastikan anda memohon supaya Allah memberikan pekerjaan yang paling baik untuk dunia dan akhirat anda.

Selamat berjaya!


Tuesday, January 19, 2016

Pengalaman Memohon Pekerjaan Profesional di Australia, mudahkah?

Beberapa orang teman bertanya pada saya tentang peluang mendapat pekerjaan di Australia. Sebelum mengambil keputusan untuk berhijrah, kami membuat kajian selama beberapa bulan tentang peluang kerja di sana yang bersesuaian dengan kelulusan dan pengalaman tuan suami. Kami memang merancang hanya tuan suami yang akan bekerjaya professional manakala saya akan menumpukan perhatian kepada keluarga. 

Tuan suami mempunyai lebih sepuluh tahun pengalaman dalam bidang IT Security. Bidang ini mempunyai peluang yang sangat cerah di Australia. Sebaik sahaja mendapat visa, tuan suami telah menerima beberapa peluang temuduga. Namun kerana belum bersedia untuk bertugas dalam masa terdekat seperti yang dikehendaki, ianya belum menjadi rezeki tuan suami. Kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan memerlukan calon untuk mula bertugas selewat-lewatnya sebulan selepas menerima tawaran sedangkan masa itu notis berhenti kerja perlu diserahkan tiga bulan sebelum tamat perkhidmatan.

Maka kami mengambil ketetapan untuk menentukan waktu paling sesuai untuk tuan suami memohon pekerjaan. Akhirnya beliau bersetuju untuk berangkat pada bulan November 2015 dan saya dan anak-anak akan menyusul tiga bulan kemudian untuk memberi peluang tuan suami menyesuaikan diri dan 'establish life' terlebih dahulu. Sebelum berangkat, beliau telah mengambil pensijilan profesional dalam bidang IT Security  dengan pembiayaan sendiri iaitu 'Certified Information System Security Professionals' (CISSP) bagi memberi peluang yang lebih baik untuk mendapat pekerjaan dalam bidang yang sama. Maklumat lanjut mengenai CISSP boleh dilihat di SINI.

Sumber: google.com
Kata sahabat saya, hanya orang-orang kuat semangat sahaja yang mampu melakukan seperti apa yang kami buat, wallahu a'lam... Menghantar notis berhenti kerja pada jawatan, pendapatan dan syarikat yang stabil ketika tawaran kerja yang lain masih belum diperolehi. Memang ia tidak mudah namun saya ingatkan pada suami dan diri sendiri, jika kita mahu capai impian, jangan buat separuh jalan. Tidak ada keindahan dalam hidup yang datang tanpa usaha dan keberanian. InsyaAllah Allah akan sentiasa bantu kita jika niat kita betul kerana Allah. Setiap hari saya panjatkan doa kepada Allah dan yakin di dalam hati bahawa Allah mendengar dan akan tentukan apa yang terbaik. 

Portal peluang pekerjaan yang biasa suami gunakan untuk memohon pekerjaan ialah di seek.com.au. Ianya lebih kurang seperti portal jobstreet.com di Malaysia. Kebanyakan pekerjaan yang ditawarkan memang memerlukan calon sudah memiliki visa yang membenarkan mereka untuk bekerja di Australia. Ada juga syarikat yang menaja pekerja untuk mendapatkan working visa tetapi bilangannya sangat terhad dan saingan juga sangat tinggi.

Tuan suami menerima tawaran temuduga yang pertama pada bulan Februari 2015 daripada Commonwealth Bank Australia. Temuduga dijalankan melalui skype. Oleh kerana belum bersedia daripada segi mental untuk bekerja di sana, tuan suami belum berjaya pada kali pertama. Namun peluang dan pengalaman ini sangat tinggi nilainya. Panggilan temuduga yang ke dua diperolehi ketika kami ke Melbourne untuk mengaktifkan visa dengan syarikat Premier Technologies. Ketika itu jawatan perlu diisi dalam masa beberapa minggu sahaja sedangkan notis berhenti pun tuan suami masih belum hantar. Maka peluang ini pun masih belum dapat diterima. Keyakinan pada ketentuan Allah sentiasa saya sematkan di dalam hati. Maka, dua peluang yang berlalu ini tidak sedikit pun mematahkan semangat saya dan suami. Pada masa itu kami semakin faham tentang prosedur memohon kerja di Australia. Calon mesti benar-benar bersedia dalam masa terdekat untuk mula bertugas menjadi satu faktor besar untuk berjaya.

Alhamdulillah peluang tidak berakhir di situ. Tiga hari sebelum tarikh suami berangkat untuk memulakan hidup baru di Melbourne, beliau menerima satu lagi tawaran temuduga daripada salah sebuah bank terkemuka di Australia, National Bank of Australia. Beliau perlu hadir temuduga selepas tiga hari tiba di sana. Menurut tuan suami, sesi temuduga agak mencabar kerana banyak soalan yang ditanya berkaitan dengan budaya kerja di Australia. Allah lebih tahu apa yang terbaik. Pengalaman temuduga ke tiga ini juga sangat berharga walaupun masih belum berjaya. Disenarai pendek dan berjaya pula dipanggil untuk menghadiri temuduga daripada ratusan atau mungkin ribuan calon yang memohon sudah cukup membuatkan tuan suami bersyukur dan yakin bahawa peluang untuknya masih terbuka luas.

Syukur beliau menerima satu lagi panggilan temuduga selepas dua minggu dengan syarikat National Broadband Network, Australia (NBN). Syarikat ini merupakan agensi di bawah kerajaan yang bertanggungjawab melaksanakan pemasangan broadband dan fiber optik di seluruh Australia. Selepas setengah jam temuduga berakhir, beliau menerima panggilan telefon untuk menghadiri sesi temuduga berikutnya. Hati tuan suami sudah berbunga-bunga namun saya ingatkan supaya banyak memohon dan berdoa pada Allah supaya berikan apa yang terbaik untuk dunia dan akhirat kita. Jika jawatan ini baik, mohon Allah permudahkan. Alhamdulillah sesi ke dua temuduga berjalan lancar. Tuan suami menerima panggilan 'Congratulations!' selepas sepuluh minit menaiki tram untuk pulang ke rumah usai temuduga. Syukur alhamdulillah, akhirnya Allah tentukan pekerjaan inilah yang lebih sesuai untuk kebaikan dunia dan akhirat...

Bangunan tempat kerja tuan suami terletak betul-betul di hadapan Flinders Street Station. Sangat banyak pilihan kenderaan awam tetapi tuan suami biasanya menaiki train atau tram yang mengambil masa kira-kira setengah jam perjalanan dari Reservoir. Bangunan untuk solat Jumaat pula kira-kira 50m berjalan kaki. 


Sumber: google.com
Tuan suami juga gembira kerana diterima baik oleh rakan-rakan sepasukannya. Mempunyai ketua dan rakan-rakan pejabat yang baik juga sangat besar rahmatnya. Alhamdulillah pendapatan yang diterima juga mencukupi untuk kami meneruskan kehidupan dengan selesa, jauh lebih baik daripada semasa kami menetap di Brisbane sebagai pelajar dahulu. Ketika itu kami menerima kira-kira AUD3000 sebulan dan lebih separuh daripadanya digunakan untuk membayar sewa rumah. Namun alhamdulillah pendapatan sedikit itu memang cukup-cukup untuk kami ketika itu walaupun banyak kedengaran bahawa wang biasiswa pelajar di luar negara sangat sedikit dan tidak berpatutan. Sykurlah ada yang memberi peluang dan bantuan sara hidup ketika itu.

Wang gaji boleh dipilih sama ada diberi secara mingguan, dua minggu sekali atau empat minggu sekali. Gaji dibayar sebagai mingguan supaya lebih adil berbanding bulan. Begitu juga kadar sewa rumah di sini ditentukan secara minggu. Maka tidak perlulah menunggu sehingga ke hujung bulan untuk membeli keperluan rumah sekaligus. InsyaAllah dengan pengalaman baru ini, semoga Allah memudahkan kami untuk menguruskan kewangan dengan lebih baik.

Alhamdulillah, sesungguhnya rahsia Allah tidak tercapai oleh akal kita. Allah mengabulkan doa kita pada masa dan keadaan yang sesuai. Ketentuan Allah itulah yang terbaik walau sehebat mana pun perancangan manusia.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...