Followers

Thursday, January 07, 2016

Pengalaman Bersekolah Kampung Yang Sangat Menyeronokkan!

Setiap hari menghitung hari untuk bersatu semula dengan tuan suami dan anak-anak. Alhamdulillah hari ini tinggal 34 hari sahaja lagi sebelum kami bersama semula. InsyaAllah tempoh itu pejam celik, pejam celik akan tiba jua. 

Pekan Kampar yang antik. Sumber: wikipidea.
Syukur anak-anak di kampung yang menumpang sekolah di SK Bukit Pekan, Kampar sudah memulakan sesi persekolahan pada 4 Januari 2016 yang lalu. Kata emak, mereka sangat gembira dengan pengalaman baru ini. Daripada sekolah swasta di bandar besar ke sekolah kampung yang serba sederhana memang satu pengalaman yang tidak boleh dijual beli. Emak dan abah yang beria untuk menumpangkan anak-anak bersekolah di kampung. Kata mak, walaupun seketika, pengalaman dan kenangan di sana akan tersemat dalam hati anak-anak. 

SK Sanggang, sekolah saya semasa Tahun 3.
Sumber: Portal Majlis Perbandaran Temerloh.

Saya juga pernah bersekolah di sekolah kampung semasa tahun 3 di SK Sanggang, Temerloh. Namun masa itu tidaklah kekok sangat kerana saya memang menetap di sekitar Pahang sebelum berpindah ke Kajang, Selangor. Bergaul dengan kawan-kawan di kampung yang terdiri daripada anak-anak petani, penoreh getah, tukang dan lain-lain lagi memang sesuatu yang amat berharga. Pengalaman itu menjadikan saya tidak memilih kawan berdasarkan status kerana percaya setiap orang ada keistimewaaan sendiri dan status bukanlah jaminan untuk masuk syurga.

Di SK Bukit Pekan, hanya satu kelas sahaja untuk satu darjah dan tidak lebih daripada 25 orang pelajar dalam satu kelas, memang menarik. Sudah tentu cikgu di sana mengenali kesemua pelajar yang menuntut di sekolah. Pada sebelah petang pula mereka ke sekolah agama untuk belajar Fardhu Ain di Sekolah Rendah Agama Rakyat, Al-Hidayah, Bukit Pekan. 

Kata emak lagi, anak-anak sudah ada ramai kawan di kampung. Petang-petang, akan ada sekumpulan kawan-kawan Ariff datang berbasikal ke rumah emak untuk membuat kerja sekolah bersama Ariff. Walau hujan dan panas, tetap setia datang ke rumah. Akeef pula sangat disukai ramai di kelasnya sehingga beberapa orang kawan di kelasnya berjumpa sendiri dengan guru kelas untuk memohon supaya cikgu bersetuju melantik Akeef sebagai ketua kelas mereka yang baru. Sayangnya Akeef hanya menumpang di sekolah itu seketika, cikgu tidak dapat menunaikan permintaan anak-anak muridnya... Kakak Adreana pula lebih gembira bersekolah di sekolah agama. Ramai kawan baru dan dia seronok belajar agama. 

Alhamdulillah, semoga anak-anak terus gembira dan mendapat manfaat daripada pengalaman mereka bersekolah di kampung. Saya gembira mereka dapat bersama-sama dengan kawan-kawan dari latar belakang yang berbeza daripada sebelum ini. Semoga anak-anak sentiasa menjadi individu yang berbudi pekerti dan merendah diri.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...