Followers

Monday, January 04, 2016

Mencari Rumah Sewa Di Australia

Salah satu aktiviti yang mencabar tetapi menyeronokkan apabila berpindah ke Australia ialah mencari rumah yang sesuai. Buat masa ini, kami bersetuju untuk menyewa rumah terlebih dahulu sebelum dapat menyimpan wang yang cukup untuk memiliki rumah sendiri satu hari nanti insyaAllah.

Kebanyakan rumah di Australia diuruskan oleh pihak agensi dan boleh disemak dan dipohon secara online. Maka urusan adalah menjadi lebih mudah kerana tidak perlu memperuntukan masa untuk ke sana sini bagi peringkat permulaan.

Berikut merupakan antara langkah-langkah untuk mencari rumah sewa di Australia.

1. Tentukan suburb atau daerah yang ingin didiami.

  • Sebelum membuat pilihan rumah, perkara terpenting ialah menentukan suburb atau daerah yang kita ingin duduki. Berbeza ketika melanjutkan pengajian dulu, saya mencari rumah yang tidak jauh dari universiti. Bila menjadi penduduk tetap, perkara terpenting adalah rumah yang berdekatan dengan sekolah anak-anak dan masjid menjadi impian. 
  • Maka, perkara yang lebih crucial sebelum memilih rumah adalah memilih sekolah anak-anak. Cerita tentang memilih sekolah anak-anak boleh dibaca di SINI.
  • Jika bersekolah di sekolah Islam, masjid atau pusat komuniti Islam berada tidak jauh atau dalam kawasan sekolah juga.
  • Kami bersetuju untuk menetap di Epping yang terletak kira-kira 35 minit daripada pusat bandar Melbourne. Terdapat sebuah stesen keretapi di Epping atau boleh juga menggunakan kemudahan tram dan bas.
  • Walaupun masih belum tiba di Australia, adalah sangat mudah untuk mengetahui sendiri keadaan daerah di sana melalui carian internet. Laman yang sering saya gunakan untuk menyemak keadaan daerah di Australia ialah Homely. Maklumat sangat lengkap dan terperinci dan turut mengandungi review daripada individu yang pernah menetap sendiri di situ.
  • Pada cuti  hujung minggu, tuan suami telah berkesempatan untuk melawat daerah ini. Alhamdulillah semuanya kelihatan baik dan sesuai untuk didiami.

2. Tentukan ciri-ciri rumah pilihan.
  • Setiap orang mempunyai kriteria masing-masing dalam memilih kediaman. Saya membuat senarai kriteria rumah mengikut priority yang sesuai.
  • Letakkan keutamaan mengikut susunan dalam senarai.
  • Jangan lupa tentukan juga kadar sewa yang sesuai dengan kemampuan kita.
  • InsyaAllah dengan senarai ini, ia akan memudahkan kita untuk membuat pilihan.

3. Semak rumah yang sesuai secara online.
  • Laman yang paling popular untuk memilih rumah di Australia ialah di Realestate.
  • Pilih suburb dan tentukan ciri-ciri rumah yang kita mahukan dan klik butang carian. InsyaAllah senarai rumah yang sesuai beserta gambar bagi setiap rumah tersedia untuk dilihat. Sangat mudah dan menarik. Jika ada rumah yang berkenan, boleh klik butang Favourite untuk disimpan.
  • Pastikan jumlah sewa yang ditentukan adalah sesuai dengan bajet anda. Sewaan rumah di Australia adalah mengikut mingguan tetapi boleh dibayar secara bulanan atau mana-mana yang sesuai.

4. Lakukan pemerikasaan rumah yang anda pilih.
  • Adalah menjadi satu yang wajib di Australia untuk melihat sendiri keadaan rumah bersama dengan agen sebelum memohon.
  • Pada kebiasaannya, jadual pemeriksaan rumah akan dinyatakan di realestate atau anda juga boleh membuat temujanji dengan agen untuk melihat rumah.
  • Selain ciri-ciri rumah, jangan lupa semak bayaran bond yang diperlukan untuk mendiami rumah. Bond ialah wang pendahuluan yang perlu dibayar selain daripada bayaran sewaan.
5. Membuat permohonan sewa rumah
  • Berbeza pada beberapa tahun dahulu, kini permohonan rumah sewa juga boleh dilakukan secara atas talian selain daripada borang manual selepas pemeriksaan rumah dilakukan.
  • Kebiasaannya, agen perumahan mempunyai simpanan rekod penyewa-penyewa yang terdahulu. Maka, jika anda mempunyai rekod yang baik sebelum ini, lebih mudah untuk permohonan rumah sewa diluluskan.
  • Sebaik-baiknya, mohon lebih daripada sebuah rumah supaya ada alternatif lain jika rumah yang dipohon tidak berjaya.
6. Permohonan anda berjaya!
  • Selain daripada agen, tuan rumah yang anda pohon mempunyai kuasa untuk memilih penyewa yang sesuai daripada banyak permohonan yang dihantar.
  • Sekiranya berjaya, pihak agensi akan menghubungi anda melalui telefon atau emel.
  • Anda akan diberi tarikh untuk datang ke pejabat agen untuk menandatangani kotrak, membayar wang pendahuluan dan sewa rumah untuk sebulan dan mengambil kunci rumah.
7. Selamat mendiami rumah baru.
  • Alhamdulillah setelah segalanya selesai, bersedialah untuk berpindah ke rumah baru. Jangan lupa habiskan bacaan surah Al-Baqarah pada hari-hari awal atau sebaiknya sebelum anda berpindah sepenuh masa di rumah baru untuk memastikan rumah yang didiami lebih damai dan menyejukkan penghuninya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...