Followers

Monday, December 06, 2010

Assalamulaikum baby ummi...

Syawal sudah seminggu berlalu dan baki semester tinggal dua minggu pengajian. Selebihnya minggu mengulangkaji dan peperiksaan akhir. Jika peperiksaan pertengahan semester saya hadapi pada hari raya puasa ke dua, salah satu peperiksaan akhir akan saya duduki pada hari raya haji pertama. Itulah adat belajar di negara orang, hari kebesaran kita tidak sama dan tidak ada makna untuk negara mereka. Tak apalah, bukan sepanjang masa saya perlu begini. Sedar tak sedar, sudah sepuluh bulan saya berada jauh di perantauan dan berbaki setahun lagi sebelum pulang meneruskan bakti kepada tanah air tercinta. Walau seindah dan semaju mana pun negara orang, negara sendiri juga yang dikenang-kenang dan dirindu-rindu. Bila sudah di sini, barulah saya dapat mendalami peribahasa Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik negeri sendiri. Peribahasa yang telah didengar sejak zaman kanak-kanak itu rupanya sangat besar maknanya kepada pelajar-pelajar yang jauh merantau demi mencari ilmu di luar negara seperti saya ini.

Minggu ini, kandungan sudah memasuki minggu ke-12. Alhamdulillah saya telah menjalani pemeriksaan doktor kali pertama di UQ. Syukur segalanya dilancarkankan setakat ini dan mudah-mudahan ianya berterusan sepanjang kehamilan dan kelahiran nanti. Tidak pernah termimpi untuk merasai pengalaman mengandung dan melahirkan cahaya mata di luar negara. Pengalaman ini insyaAllah akan menjadi salah satu kenangan manis dalam hidup saya, keluarga dan insan-insan di sekeliling. Pemeriksaan ibu hamil di sini jauh berbeza dengan apa yang saya hadapi di Malaysia tiga kali sebelum ini. Saya memilih untuk menjalani pemeriksaan secara sharing based di mana saya boleh melakukan pemeriksaan di Health Centre UQ berselang seli dengan pemeriksaan di Royal Brisbane Woman Hospital (RBWH) , tempat yang telah ditempah oleh GP untuk saya melahirkan anak ke-4 nanti. Pilihan tersebut lebih convenience untuk saya selain dari memilih menjalankan pemeriksaan penuh oleh pasukan pakar di RBWH kerana faktor jarak, masa dan kos. Jika ke RBWH, saya perlu mengeluarkan kos sendiri terlebih dahulu sebelum boleh dituntut melalui Oversea Students Health Cover (OSHC) dan saya mungkin perlu menjalani pemeriksaan tanpa ditemani suami kerana dia perlu menjaga anak-anak yang lain.

Kali pertama menjalani pemeriksaan di RBWH pada 2 Disember 2010, semasa kandungan berusia 20 minggu merupakan pengalaman yang menggembirakan buat saya. Waktu appoinment yang diberikan adalah pada pukul 12.30 tetapi saya perlu berada di sana 30-15 minit sebelum bagi urusan pendaftaran. Keadaan di Department O&G di sini tidaklah sesibuk seperti di Malaysia. Kebanyakan ibu-ibu yang datang juga tanpa ditemani suami, mungkin kerana suami bertugas. Sama juga seperti saya cuma bezanya suami saya hanya bertugas di rumah di samping menguruskan anak-anak. Kira-kira setengah jam menunggu, giliran saya dipanggil oleh midwife yang akan memeriksa saya kali pertama. Berjumpa dengan doktor perubatan di sini agak istimewa kerana doktor yang akan memanggil dan membuka pintu bilik kita. Jika di Malaysia, doktor hanya duduk bersandar di bilik dan semua kerja-kerja melayan pesakit dilakukan oleh pembantu atau jururawat. Doktor-doktor di sini juga kebanyakan sangat friendly dan professional. Setiap pertanyaan dan pemeriksaan disertai dengan senyuman dan sapaan lembut. Perjumpaan kali pertama ini berlangsung agak lama kerana midwife perlu mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan kesihatan dan kandungan saya sebelum dan yang terkini. 

Oleh kerana saya belum menjalankan imbasan morphology bagi kandungan yang memasuki 18-20 minggu, saya perlu datang ke hospital semula keesokannya bagi menjalankan imbasan kandungan pula. Alhamdulillah keputusan imbasan juga sangat baik dan positif walaupun memakan masa agak lama kerana perlu menjalani full scanning bagi memastikan keadaan baby adalah normal dan tiada risiko-risiko lain. Pada usia kandungan ini juga, saya sudah dapat merasai tendangan dan gerakan bayi yang telah lama saya nanti-nantikan dari awal kandungan bermula dengan rasa seperti gelembung-gelembung belon dan semakin kuat dari hari ke hari. Nampaknya anak ke-4 saya ini memang saya aktif dan akan bergerak dan menendang di kebanyakan waktu. Jika tiada masalah morning sickness dan kehamilan berjalan lancar seperti ini, memang rasa sangat seronok mengandung. Nampaknya pencarian nama perlu saya dan suami mulakan supaya tidak kelam kabut bila dah dekat-dekat waktu bersalin nanti. Harap-harap dapatlah nama yang sesuai dan terbaik untuk anak ke-4 ummi dan ayah nanti. :-)
 

Friday, August 27, 2010

Ramadhan Nan Indah

Sudah sebulan tidak berkesempatan mengemaskini blog. Nak kata sibuk sangat, tidaklah jugak tapi mungkin kerana feel untuk menulis tu tidak muncul. Alhamdulillah hari ini sudah masuk hari ke 16 kami berpuasa di negara Kanggaroo. Syukur masih diberi kekuatan oleh Allah menjalankan ibadah dan menambah amalan dalam bulan hanya datang sekali sepanjang tahun. Semestinya keistimewaan bulan ini tidak seharusnya dilepaskan begitu sahaja. Mungkin caranya sahaja yang berbeza kerana di sini tidak ada rumah anak-anak yatim dan tidak banyak pilihan masjid dan surau untuk beribadah seperti di Malaysia. Sudah tinggal di negara orang, makanya beramal juga mengikut kesesuaian di negara orang mengikut kemampuan diri. Nampaknya setakat ini hanya berpeluang menunaikan tarawikh di MSA UQ pada minggu pertama Ramadhan sahaja. Masuk minggu ke-2, keadaan kesihatan diri sendiri dan anak-anak pula tidak mengizinkan. Bersolat tarawikh di rumah semestinya tidak se'feel' bersolat berjamaah dengan bacaan Imam yang hafiz di musolla. Tapi syukurlah Allah masih beri peluang untuk menunaikan ibadah walaupun dalam keadaan serba sederhana. Teringat kenangan manis bulan Ramadhan semasa di Putrajaya. Setiap malam, kami akan bergilir-gilir untuk bersolat di Masjid Putra dan Masjid Besi. Sekali sekala, akan ke surau Presint 18 untuk bertemu jiran tetangga. Indahnya kenangan berpuasa di negara sendiri tetapi pengalaman berpuasa jauh di perantauan kali ini sudah pasti akan memberi seribu makna dan menjadi kenangan sepanjang hayat kami.

Walaupun berpuasa di luar negara, juadah yang saya sediakan setiap hari tidak jauh berbeza dengan makanan rakan-rakan di Malaysia. Syukurlah saya dibukakan hati untuk suka memasak, jadi ada-ada saja idea untuk membuat itu dan ini. Setakat ini, kami menikmati nasi lemak, mi rebus, bihoon sup utara, chicken chop, bihun goreng, asam pedas ikan pari, kari ikan, sambal tumis udang, pau goreng, serikaya kukus, kuih cara berlauk dan macam-macam lagi yang tidak jauh beza dengan hidangan orang berbuka di Malaysia. Cuma air minuman mungkin tidak semeriah di Malaysia kerana saya dan suami menikmati air teh o panas untuk berbuka. Setiap Sabtu dan Ahad diadakan Bazar Ramadhan di Guyatt Park, taman rekreasi yang berdekatan dengan rumah kami. Bazar Ramadhan ini dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Malaysia di sini dan memang sangatlah meriah walaupun bilangan penjualnya sama sekali tidak sehebat bazar di Malaysia. Pengalaman melatih Ariff untuk berpuasa kali pertama juga agak mencabar di sini. Maklumlah, di sekolah kebanyakan rakan-rakan tak berpuasa. Setakat hari ini, Ariff hanya berjaya berpuasa separuh hari selama beberapa hari sahaja dan sudah seminggu tidak berpuasa kerana demam dan batuk. insyaAllah mungkin esok sudah boleh mula berpuasa semula.

Pengajian di semester baru sudah pun lima minggu bermula. Syukur kerana nampaknya semester ini tidak sesibuk semester yang lepas. Tidak ada weekly assignment walaupun masih ada satu programming course yang saya kurang minati. Subjek yang paling menarik bagi saya pada semester ini ialah Accounting walaupun pada hakikatnya saya mengambil jurusan Information Technology. Subjek Relational Database dan IT Advanced Project juga tidak kurang menariknya. Mudah-mudahan Allah beri kekuatan untuk saya meneruskan sisa-sisa pengajian selama tiga semester lagi dan mendapat keputusan yang terbaik.

Dalam sibuk menghadapi keindahan Ramadhan, saya dan keluarga dikurniakan berita gembira bahawa kami akan menerima seorang lagi ahli keluarga baru pada tahun hadapan. Tiada kata yang selayaknya perlu saya ucapkan selain dari Alhamdulillah, Allahu Akbar! Sesungguhnya ini adalah khabar yang tidak disangka-sangka dan saya sangat yakin bahawa pemberian dan ketentuan Allah ini adalah yang terbaik untuk kami. Sememangnya saya dan suami tersayang merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga yang mungkin akan lahir semasa cuti semester pada bulan Julai 2011 atau semasa kami sudah berada di Malaysia tapi nampaknya Allah menetukannya lebih awal. InsyaAllah, cahaya mata ke-empat kami ini dijangka lahir pada 24 April 2011, semasa cuti pertengahan Semester 1, 2011. Setakat ini saya masih belum membuat pemeriksaan doktor dan hanya mengambil folic acid dan multivitamin yang biasa saya ambil setiap hari. Mungkin kerana sudah anak ke-empat, pengalaman mengajar saya dan suami untuk menjangkakan perubahan-perubahan yang akan saya alami setiap minggu dalam masa sembilan bulan ini. Sesungguhnya inilah fasa-fasa terindah yang pernah dialami sebelum ini dan alhamdulillah saya diberi peluang untuk mengulanginya sekali lagi. Mudah-mudahan pengalaman mengandung kali ini juga seperti yang sebelum-sebelum ini, tiada sickness dan diberi kesihatan yang baik. Untuk anak ummi yang sedang berehat di dalam rahim, ummi, ayah, abang long, abang ngah dan kak teh Najla sudah tidak sabar-sabar untuk bersama-sama dengan adik yang selalu mereka sebut-sebutkan. Sudah tentu anak ummi ini sangat memahami tugas yang ummi galas sebagai isteri, ibu dan pelajar sekarang ini dan akan menjadi anak yang sangat baik di dalam kandungan dan apabila sudah lahir ke dunia kelak. Tidak sabar untuk merasa tendangan dan sikuanmu dalam perut ummi nanti.... :-)

Saturday, July 24, 2010

Sounds Of Light: Brisbane 2010

Saya masih rasa seperti bermimpi apabila secara tiba-tiba berpeluang ke konsert nasyid yang sudah bertahun tidak ada kesempatan untuk pergi atas beberapa alasan. Pertama kerana kurangnya hiburan berbentuk demikian diadakan di tanah air sendiri dan ke-dua bila ada saja konsert nasyid, semua waktunya tak mengizinkan saya untuk hadir. Masa zaman belajar di UIA, inilah hiburan utama bagi saya dan rakan-rakan. Pantang ada persembahan atau konsert nasyid, tak pernah lepaskan peluang untuk pergi.

Saya juga rasa tak percaya apabila melihat Maher Zain yang selama ini saya nikmati dan hayati lagunya setiap hari menyanyi secara live. Terasa macam nak mencubit pipi kiri dan kanan bila dia memberi salam di pentas. Oh, adakah saya bermimpi? Tidak, inilah kenyataan! Sayangnya Maher Zain hanya menyanyikan empat lagu saja, bukan sebab tak ramai yang nak dengar, tetapi sebab ada lebih kurang enam artis nasyid jemputan lain yang sama-sama menghiburkan penonton malam itu. Selain Maher Zain, RAIHAN sudah tentu membuatkan penonton sungguh terhibur malam itu. Persembahan RAIHAN memang mantap dan saya rasakan yang terbaik pada malam itu. Harap-harap sangat akan ada juga konsert nasyid besar-besaran secara tahunan diadakan juga di Malaysia setiap tahun.

Pada asalnya, saya hanya tahu tentang konsert ini secara last minute dari suami tercinta dan tiket untuk family yang berharga AUD30 seorang pulak sudah sold out. Kecewanya rasa sebab kami memang peminat nasyid tegar sejak zaman belajar lagi. Maklumlah, berkenalan dulu pun masa jadi committee kelab nasyid. Cik abang begitu ingin nak pergi, nampaknya terpaksalah saya merelakan dia pergi walaupun dalam hati rasa sangat-sangat teringin untuk turut serta. Dalam memendam perasaan kecewa itu, tiba-tiba ada seoranga adik undergrad yang menegur saya di facebook, 'Akak pergi tak konsert Maher Zain Jumaat ni?', oh, rupanya diorang ada lebihan satu tiket. Rupa-rupanya itulah rezeki saya untuk bersama-sama dengan adik-adik undergrad untuk ke konsert nasyid malam itu. Walaupun terhibur sepanjang konsert, dalam hati tetap teringatkan keluarga di rumah. Tahun depan mesti kena alert awal-awal supaya tak terlepas peluang lagi datang bersama keluarga.

Konsert tahunan yang saya hadiri ini dianjurkan oleh Human Appeal International (http://www.humanappeal.org.au/) bagi tujuan mengumpul sumbangan untuk anak-anak yatim Muslim di seluruh dunia. Ianya diadakan setiap tahun di tiga tempat di Australia iaitu di Brisbane, Sydney dan Melbourne. Saya sangat tertarik dengan konsep sumbangan di mana kita boleh memilih untuk membantu beberapa bilangan anak-anak yatim secara tahunan mengikut kemampuan yang tertentu. Selain itu kita boleh memilih anak-anak dari negara manakah yang kita ingin bantu. Antaranya adalah dari Palestin, Ira, Lebanon, Bosnia, Somalia, Afghanistan,  Nigeria dan banyak lagi. Jika ada yang berminat, jangan lepaskan peluang untuk menambah amalan. Sesungguhnya anak yatim itu adalah sangat mulia tempatnya di sisi Allah.

Wednesday, July 21, 2010

Kembara Brisbane-Sydney-Cooma-Snowy Mountain-Canberra-Brisbane (Siri II)

Setelah tiga malam menginap di rumah Encik Imran di Kensington, Sydney, kami meneruskan pengembaraan seterusnya ke Cooma, New South Wales untuk menikmati kehebatan alam ciptaan Allah yang dilitupi salji di Snowy Mountain pada hari berikutnya. Perjalanan dari Sydney ke Cooma mengambil masa lebih kurang lima jam. Kami tiba pada jam 8.00 malam. Kami telah membuat tempahan Ensuite Cabin yang boleh memuatkan sehingga lima orang di Snowtel Caravan Park sebelum bertolak ke Sydney lagi. Kawasan penginapan ini diusahakan bersama-sama oleh sebuah keluarga yang cukup ramah dan mesra. Kebetulan kami belum menempah untuk menyewa kelengkapan dan pakaian snow dari mana-mana kedai. Mujur juga Snowtel turut menawarkan sewaan peralatan bermain salji dengan harga yang sangat berpatutan.

Suhu di Cooma ini memang sangat-sangat sejuk pada hari pertama kami tiba sampaikan kereta dan selipar yang tertinggal di luar cabin diliputi ais pasa keesokan paginya. Kebetulan pula heater asal cabin tidak berfungsi dan kami dibekalkan dengan dua heater kecil yang sememangnya tak terasa langsung disediakan suhu di bawah paras beku. Kalau sudah suhu begitu, saya yang rajin mandi ni pun jadi takut nak mandi. Silap-silap boleh demam terkejut kalau mandi dalam cuaca yang sebegitu sejuk. Awal-awal pagi lagi anak-anak sudah bangun sebab begitu bersemangat nak bermain salji. Walaupun mereka tak pernah lagi melihat salji sebelum ini, tapi gaya-gayanya macam dah biasa bermain dengan salji. Yang paling tak sabar, dah tentulah Ariff. Mungkin kerana dia sudah faham dan pengalaman ini akan menjadi satu kenangan terindah dalam hidupnya. Akeef dan Najla juag seronok tetapi mungkin kenangan bercuti ini tidak begitu terkesan dalam jangkamasa yang lama sebab usia yang masih terlalu muda.

Dengan berbekalkan sandwich dan jemput-jemput ikan bilis, kami meneruskan perjalanan ke Jindalee yang memakan masa lebih kurang 50 minit dari tempat penginapan. Setibanya di Jindalee, kami menaiki train untuk ke Perisher, tempat yang ditunggu-tunggu sekian lama untuk bermain salji. Kali pertama melihat pemandangan alam dilitupi warna putih di mana-mana membuatkan mata saya tidak berkedip memandang. Subhanallah, terima kasih ya Allah kerana memberi rezeki kepada saya dan keluarga tersayang menikmati kehebatan dan keindahan alam ciptaanMu. Rasa tidak percaya dengan apa yang saya nampak di depan mata. Seronoknya Ariff, Akeef dan Najla dapat bermain toboggan di atas ais. Toboggan merupakan alat permainan yang lebih kurang konsepnya seperti upih pinang jika di Malaysia. Bezanya upih pinang perlu ditarik untuk digerakkan tetapi toboggan ini akan meluncur sendiri menuruni bukit-bukit salji. Kami juga berkesempatan berkenalan dengan beberapa keluarga pelancong lain yang datang menikmati keindahan musim sejuk di Perisher. Sebabnya ialah kerana kami mempunyai toboggan yang banyak tetapi tidak digunakan semua kerana Najla menaiki toboggan bersama ayah, jadi adalah lebihan toboggan yang tidak dipakai. Mereka pulak mungkin tidak cukup atau tidak ada langsung toboggan tetapi ingin turut sama menkmati keseronokan meluncur di atas ais, jadi kami meminjamkan toboggan kami. Keseronokan bermain toboggan terpaksa berakhir disebabkan hari beransur gelap dan jentera-jentera penyodok salji sudah datang untuk meratakan kawasan. Kami bergerak semula ke stesen dan menaiki train semula untuk ke Jindalee. Walaupun penat bermain tapi keseronokan dan kebahagiaan dapat bersama-sama dengan ayah dan ummi terpancar jelas di wajah anak-anak. Tiba saja di rumah, semua terus memanjat katil masing-masing selepas menyalin uniform tidur.

Keesokan harinya kami menuju ke Canberra yang merupakan pusat pentadbiran di Australia. Jika di Malaysia, konsepnya bolehlah diibaratkan seperti Putrajaya. Walaubagaimanapun, kehebatan Canberra masih jauh jika dibandingkan dengan Putrajaya. Kami sempat melawat War Memorial yang menempatkan sejarah Australia semasa zaman sebelum merdeka dan dalam kancah peperangan. Kemudian, kami ke Botanical Garden, sekadar untuk bergambar dan menikmati keindahan taman.

Selepas puas melawat Canberra, kami meneruskan perjalanan kembali semula ke Brisbane. Perjalanan ini dijangka mengambil masa 18 jam, tidak termasuk masa untuk berhenti rehat. Kami berhenti untuk makan malam dan menunaikan solat jama' Maghrib dan Isya' di sebuah picnic area kira-kira dua jam selepas bertolak. Makan nasi berlaukkan sambal tumis sardin dan telur masak kicap yang saya sediakan sebelum bertolak di cabin. Walaupun taman rekriasi itu begitu indah dan teratur tetapi kerana cuaca yang dingin menyebakan kami tidak saar-saar untuk cepat-cepat makan dan masuk semula ke dalam kereta. Saya berpesan kepada anak-anak supaya makan kenyang-kenyang kerana selepas ini tidak ada lagi hidangan nasi sehingga sampai ke rumah nanti. Perjalanan diteruskan dan kami berhenti untuk melelapkan mata sebelum meneruskan perjalanan keesokan paginya kira-kira jam 10 malam.

Solat subuh kami tunaikan di dalam kereta memandangkan cuaca yang sejuk dan hujan renyai-renyai di luar. Mujur terdapat kemudahan tanda yang bersih di stesen minyak, boleh kami menumpang untuk mengambil wudhu'. Selesai solat, perjalanan diteruskan lagi. Kali ini kami melaui jalan yang berbeza dari laluan highway sebelum ini. Perjalanan kali ini melalui country side yang dihiasi pemandangan ladang-ladang dan haiwan-haiwan yang meragut rumput. Sungguh indah suasana pagi sepanjang perjalanan ini. Kami berhenti untuk makan dan solat jama' Zohor dan Asar di Grafton. Memandangkan perut sudah berkeroncong, kami menikmati grilled fish n chips yang dibeli dari sebuah restoran kecil di pekan itu. Berebut-rebut makan bersama dengan anak-anak sebab semuanya sudah kelaparan setelah hanya makan roti dan biskut untuk sarapan. Alhamdulillah akhirnya kami selamat sampai ke rumah pada jam lapan malam. Lega dan bahagianya dapat menikmati tilam dan bantal sendiri setelah sehari suntuk di dalam kereta. Sesungguhnya, pengalaman pengembaraan ini tidak akan saya lupakan sepanjang hayat sebagai antara kenangan termanis untuk saya dan keluarga. Semoga selepas ini Allah beri peluang untuk kami menikmati keindahan ciptaan-Nya di tempat yang lain.

Sunday, July 11, 2010

Kembara Brisbane-Sydney-Cooma-Snowy Mountain-Canberra-Brisbane (Siri I)

Alhamdulillah setelah menghadapi masalah penginapan di Sydney pada awalnya, Allah beri peluang pada saya dan keluarga untuk bermusafir ke negeri-negeri lain di Australia pada 3 hingga 10 Julai 2010. Beberapa hari sebelum berangkat, kami sudah sibuk dengan urusan membuat survey syarikat sewaan kereta terbaik, menyediakan road trip schedule dan jadual lawatan semasa di destinasi, malayari maklumat tempat-tempat menarik dan membuat persiapan bahan-bahan yang akan dibawa. Maklumlah, orang anak tiga berjalan jauh dah tentu tak sama dengan orang bujang bila hendak melancong. Persiapan dan perancangan perlu difikirkan untuk kami dan yang penting juga untuk anak-anak. Perjalanan yang mengambil masa lebih kurang 12 jam dari Brisbane ke Sydney sudah tentu satu cabaran untuk anak-anak kecil. Oleh itu, road trip yang disediakan perlu mengambil kira keselesaan anak-anak kecil dan waktu-waktu yang sesuai untuk kami menunaikan solat sekaligus mengisi perut pada waktunya.

Kereta kami yang sudah berusia lebih 10 tahun itu adalah sangat berisiko untuk dibawa berjalan jauh. Kami menempah sewaan kereta Toyota Corolla secara online untuk lapan hari memandangkan kereta itu antara yang paling sesuai dengan muatan kami dan bajet yang ada. Tiba masa ambil kereta, dapat pulak kereta Mitsubishi Lancer yang tak pernah saya dengar dan naiki semasa di Malaysia. Kereta ni kalau diikutkan memang mempunyai fungsi yang lebih baik utnuk perjalanan jauh berbanding dengan Toyota Corolla tetapi kekurangannya adalah ruang muatan barang yang agak terhad berbanding dengan kapasiti barang yang perlu kami bawa. Maklumlah, saya memang jenis yang kalau boleh semua benda nak bawak kerana memikirkan pelbagai kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku. Tapi bila sudah bonet kereta tidak mengizinkan, terpaksalah mengurangkan sedikit apa yang boleh dibawa.

Kami bertolak dari rumah kira-kira jam 4.30 pagi. Kira-kira sejam setengah kemudian, kami berhenti di Ballina, New South Wales untuk menunaikan solat Subuh. Jenuh juga mencari tempat berhenti yang sesuai. Maklumlah, tak biasa berjalan jauh di tempat orang. Jika di Malaysia, nak berhenti solat boleh singgah di mana-mana R&R atau masjid yang banyak di sepanjang jalan. Keadaan yang tidak sama di negara orang membuatkan kami lebih menghargai kepentingan solat di samping perlu mempraktikkan keadaan bersolat yang berbeza semasa di negara sendiri. Memandangkan hujan renyai-renyai di luar, kami hanya bersolat secara duduk di dalam kereta dengan meng'adjust' kereta mengadap kiblat. Setelah selesai, perjalanan diteruskan selama 10 jam lagi dan kami berhenti tiga kali selepas itu untuk makan bekalan nasi lemak yang dah dibawa di samping meregangkan otot-otot. Tempat perhentian biasanya di mana-mana rest area atau picnic area yang bayak terdapat di sepanjang jalan di Australia. Bekalan makanan yang telah saya sediakan sejak malam sebelum bertolak di samping makanan-makanan kering lain seperti biskut, keropok dan coklat adalah sangat penting jika ada anak-anak kecil yang tengah kuat makan seperti anak-anak kami. Setiap setengah jam, ada saja benda yang diminta untuk dikunyah melainkan masa mereka tidur. Alhamdulillah akhirnya kami selamat tiba di rumah Encik Imran, Pegawai Penasihat Latihan Australia di Kensington, Sydney yang sudi menumpangkan kami bermalam pada jam lapan malam.

Jalan-jalan hari pertama bermula dengan berjalan kaki ke bus stop di Todman Avenue. Hari Ahad merupakan Family Funday Sunday di Sydney. Beli tiket berharga AUD2.50 untuk seorang orang dewasa dan kanak-kanak lima tahun dan ke atas, boleh naik semua jenis kenderaan awam seperti bas, feri dan train untuk berjalan-jalan di sekitar Sydney. Sungguh menjimatkan! Itulah kali pertama saya dan anak-anak menaiki bas setelah tidak pernah lagi menjejak tangga bas apabila bergelar isteri enam tahun lalu. Destinasi pertama kami adalah Paddy's Market yang terletak di tenagh-tengah bandar Sydney. Di sini terdapat banyak cenderamata Sydney dan Australia yang dijual dengan harga yang sangat berpatutan. Kebanyakannya adalah buatan China, sebab itulah ianya boleh dijual dengan harga yang rendah. Kalau buatan Australia, harganya agak tinggi sedikit. Saya hanya membeli beberapa cenderamata yang ada tulisan Sydney. Sebelum berjalan, adik-adik undergrad sudah berpesan supaya jangan banyak bershopping barang cenderamata semasa di Sydney. Harga cenderamata yang dijual di Melbourne jauh lebih murah dan banyak pilihan berbanding di Sydney. Jadi, saya mengikut pesanan adik-adik tersayang ini memandangkan kami merancang untuk ke Melbourne juga satu hari nanti jika ada rezeki.

Berjalan bersama-sama anak-anak kecil ni memanglah sangat mencabar sebab perlu melayan karenah yang bermacam-macam terutama dari Najla yang paling bongsu setakat ini dan paling manja dan kuat merajuk. Kami tiba ke destinasi ke dua di Circular Quay Ferry Terminal yang terletak berhampiran dengan pelbagai tempat-tempat menarik di Sydney seperti Sydney Opera House, Royal Botanical Garden dan Sydney Harbour Bridge. Kami menaiki feri dari Circular Quay ke Balmain/ Woolwich untuk menikmati keindahan bandar Sydney yang tidak seharusnya di lepaskan apabila melawat Sydney. Feri yang kami naiki melalui bawah Sydney Harbour Bridge, menjadikannya satu perjalanan yang sungguh simbolik. Perjalanan feri yang mengambil masa hampir 40 minit pergi dan kembali itu melaui beberapa perhentian yang sangat menarik dan pemandangan yang mengasyikkan seperti Milsons Point / Luna Park, McMahons Point, Balmain East, Balmain, Birchgrove, Balmain West, Birkenhead, Greenwich Point, Cockatoo Island, Drummoyne, dan  Woolwich. Subhanallah! Terasa begitu agungnya kebesaran Allah melihat keindahan dan kehebatan ciptaannya yang tidak terluah dengan kata-kata.

Kami menunaikan solat jama' dan qasar 'Asar dan Zuhur di sebuah taman yang kebetulan kami lalui dalam perjalanan ke Botanical Garden. Mengambil wudhu dengan bekalan air yang dibawa dan beralaskan sejadah biru muda yang emak hadiahkan semasa balik dari Mekah dua tahun yang lalu di bawah pohon rendang memang sangat menginsafkan. Memandangkan hari sudah melewati pukul empat petang, perkhidmatan Choo Choo train di Botanical Garden sudah tamat. Jadi, kami hanya berjalan sambil bergambar dan menikmati keindahan taman yang mengelilingi tasik dan berlatarkan Sydney Opera House itu. Kebetulan berjumpa pula dengan Wawa dan suami yang saya kenali kerana sama-sama menuntut di UQ sedang mengambil angin petang. Tinggal di Brisbane, Sydney juga tempat kami bertemu. Selepas itu kami terus ke Sydney Opera House untuk melihat keunikan rekaan dan senibina bangunan terkenal itu dari dekat. Memandangakan jam. sudah menghampiri jam lima dan waktu maghrib sudah pun hampir tiba, kami pulang ke rumah menaiki bas semula sebelum cuaca yang sudah sedia dingin semakin dingin pada malam hari. Semasa winter, waktu Maghrib bermula lebih kurang lebih sedikit dari jam lima di Sydney. Cuaca di Sydney sememangnya lebih sejuk dari Brisbane dan kebiasaannya di atara 12-9 darjah celcius berbanding Brisbane 20-15 darjah celcius. Kebetulan bas yang kami naiki berhenti betul-betul di hadapan restoran Malaysia, Restoran Abang Sam. Apa lagi, kami tidak melepaskan peluang untuk menikmati makanan bagi memudahkan urusan untuk terus berehat dan mngumpul stamina selepas pulang ke tempat penginapan nanti. Kami memesan nasi ayam, mi goreng dan nasi goreng memandangkan Ariff dan Najla yang teringin nak makan mi goreng dan Akeef pula gemarkan nasi goreng. MasyaAllah, memang sangat sedap masakan chef di Restoran Abang Sam di Kensington ini. Hingga sekarang, saya masih teringat-ingat keenakan nasi ayam, mi goreng dan nasi gorengnya. Sudahlah sedap, isinya penuh dan harga pula sangat berpatutan. Jika ada rakan-rakan yang ke Sydney, jangan lepaskan peluang untuk menikmati makanan Malaysia di Restorang Abang Sam.

Tempat lawatan pada hari ke dua adalah ke Blue Mountain yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dengan menaiki train dari Central Station, Sydney ke Katoomba Station. Keunikan keretapi di Sydney adalah keretapi dua tingkatnya. Kami tidak melepaskan peluang untuk duduk di tingkat atas. Tiba di Katoomba, kami menaiki Blue Mountain Explorer Bus untuk meronda ke tempat-tempat menarik di Blue Mountain. Sebenarnya memang banyak tempat-tempat yang boleh dilawati di Blue Mountain tetapi kami hanya berkesempatan pergi ke empat tempat sahaja memandangkan banyak masa dihabiskan dengan melayan anak-anak emas kami di samping  perkhidmatan bas hanya sehingga jam 4.30 petang sahaja. Kami berpeluang ke Echo Point, the Three Sisters, Scenic World dan pekan Leura. Menaiki SkyWay untuk melihat pemandangan yang sangat menakjubkan di Echo Point juga tidak kami lepaskan. Rup-rupanya memang seronok pergi bercuti bila ada peluang begini. Semasa di Malaysia, kami hanya sibuk bekerja dan cuti hanya dihabiskan untuk pulang ke kampung halaman menziarahi keluarga kerana itu adalah yang lebih utama. Mungkin bila kembali ke Malaysia, kami perlu pergi bercuti bersama-sama dengan keluarga terdekat dengan lebih kerap.

Kami kembali semula ke Sydney menaiki train dari Leura Station pada kira-kira jam 4.30 petang dan tiba dua jam kemudian. Kali ini kami menikmati makan malam di Restoran Pondok Buyong di Kensington. Restoran ini menawarkan masakan Padang yang saya kira lebih kurang saja dengan masakan Melayu Malaysia. Saya teringin nak ke restoran ini apabila melauinya semasa menaiki bas semalam. Kami  memesan dua pinggan nasi bersama tiga jenis lauk setiap satu. Nasi dan lauknya yang sepinggan besar penuh membolehkan saya berkongsi makanan dengan anak-anak. Lauk dan nasinya sungguh menyelerakan terutama bagi orang yang sedang lapar di tengah hujan renyai-renyai. Lauk ayam masak lemak, sambal terung, kerabu tauge dan ikan kering licin dimakan oleh kami sekeluarga. Bila pulang ke rumah Encik Imran, kebetulan ada tetamu-tetamu dari orang-orang besar Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang menjalankan temuduga kepada pelajar-pelajar tahun akhir universiti-universiti di sekitar Australia. Jadi kami sambung menjamu selera pencuci mulut dengan kek dan buah-buahan. Malam itu kami tidur lena dengan penuh gembira dan perut berisi sehingga termimpi-mimpi betapa hebatnya Allah menciptakan keindahan muka bumi dan iklim yang berbeza-beza. Allahu Akbar!

Monday, June 28, 2010

Picnic@Gold Coast (270610)

Akhirnya setelah lima bulan kami berada di Brisbane, hari ini barulah berkesempatan untuk mengambil angin di Gold Coast, tempat percutian yang terkenal di dunia. Kedatangan kami kali pertama ini hanyalah sebagai intro untuk melihat bagaimanakah suasana dan rupanya Gold Coast yang sering diwar-warkan itu. Malam sebelum bertolak, saya melawati beberapa laman web untuk mengenal pasti tempat-tempat yang menarik di Gold Coast. Kerana terlalu banyak snagat tempat yang disenaraikan, saya tidak pasti tempat yang mana harus dituju dahulu. Kami tidak merancang untuk pergi ke 3 world yang terkenal di sini, Movie World, Water World atau Sea World memandangkan tiket promosinya sebelum ini hanya akan tamat pada penghujung Jun ini. Mungkin selepas itu akan keluar promosi yang baru pula.

Perjalanan ke Gold Coast mengambil masa lebih kurang 30 minit. Oleh kerana kami tiba pun sudah waktu tengah hari, adalah lebih afdhal untuk kami ke tempat yang sesuai untuk berpiknik untuk membuka bekalan makanan yang telah saya sediakan dengan bersemangatnya sejak pagi-pagi lagi. Akhirnya kami singgah di Main Beach yang menyediakan banyak pondok-pondok perkelahan dan kemudahan awam yang lain. Selepas makan, Ariff, Akeef dan Najla sibuk nak bermain di playground yang letak berhadapan dengan pondok perkelahan. Begitu meriah susana di taman itu kerana dikunjungi oleh ramai orang yang membawa keluarga berkelah dan berjalan-jalan. Sudah adat hidup di negara 'orang putih', kami berkesempatan menunaikan solat Zohor dan Asar di atas padang rumput beralaskan winter coat dan sejadah kecil. Syukur walaupun kemudahan beribadah tidak sesempurna di Malaysia, kami masih lagi berpeluang menunaikan tanggungjawab sambil menikmati keindahan alam ciptaan Allah.

Subhanallah, rupa-rupanya di belakang taman perkelahan itu terletaknya pantai Gold Coast yang sungguh indah dan mengasyikkan. Mungkin kerana musim winter, tidak begitu ramai orang yang mandi manda di situ. Terdapat beberapa orang yang sedang surfing dan kebanyakannya hanya berjalan-jalan mengambil angin pantai. Bagus juga begitu kerana sudah pasti pemandangannya lebih menarik dengan tidak ada makhluk-makhluk berjemuran di pantai. Oleh kerana sudah sampai di pantai, tidak sampai hati pulak nak  menolak permintaan Ariff, Akeef dan Najla untuk bermain air. Maka mereka pun bertukar uniform sebelum begitu excited bermain air dan mengejar ombak. Akeef yang terlebih excited nak main air sehingga terlupa nak membuka t-shirt dan seluar yang dipakai sebelum menyarung baju renang. Lawak sungguh melihat dia berkejar ke pantai dengan dua lapis pakaian. Tapi sayangya Akeef hanya bertahan selama kurang dari sepuluh minit kerana takut melihat ombak yang semakin lama semakin kuat. Selepas dari itu, dia hanya bermain pasir dan sekali sekala datang menjenguk Yeop Ariff dan Najla bermain ombak dan kembali lari ke darat apabila datang ombak besar. Setelah puas bermain ombak dan air laut, kami bersiap untuk pulang. Sempat juga Ariff mengutip beberapa cengkerang dan batu laut untuk dibawa pulang sebagai cenderahati dan kenang-kenangan.

Alhamdulillah rasa sungguh bersyukur dan berpuas hati dapat menggembirakan anak-anak. Cuti masih berbaki sebulan lagi ini harus digunakan sebaik-baiknya sebelum tiba semula masa untuk berjung dengan tugasan, ujian dan peperiksaan.

Sunday, June 27, 2010

Aku Peduli

Sykur pada Allah kerana saya dan keluarga berpeluang mengikuti program ini. Ini merupakan program yang ke-2 berkaitan Palestine yang telah saya hadiri di bumi Brisbane. Rasa kagum kepada kesungguhan dan semangat adik-adik dan rakan-rakan yang bertungkus lumus berusaha mengadakan program-program seumpama ini. Kalau tidak kerana usaha dan pengorbanan masa dan tenaga kalian, tidak mungkin saya dan hadirin lain mendapat manfaat sebesar ini. Jazakallah!
Ceramah kali ini disampaikan oleh Ustaz Abdul Halim yang merupakan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang berkelulusan Bachelor of Engineering dari University of Queensland dan B.A. Islamic Studies&Arabic Literature dari Universiti Al Azhar, Mesir. Apa yang lebih mengagumkan saya adalah kecintaan Ustaz Halim dan isterinya kepada jalan dakwah. Bagi saya, beliau dan isteri mempunyai matlamat dan perancangan yang sangat jelas dan tersusun bagi mendidik dan melahirkan generasi Muslim yang sejati. Bilangan anaknya yang seramai 13 orang dan sedang menanti kelahiran anak yang ke-14 sudah membayangkan matlamat beliau dalam melahirkan lebih ramai professional Muslim yang berjaya. Kesemua anak-anaknya juga bukanlah calang-calang orang. Bila membandingkan bilangan anak-anaknya dengan matlamat saya untuk melahirkan sekurang-kurangnya enam orang anak terasa begitu besarnya pengorbanan beliau dan isteri demi Islam tercinta. Beliau dan isteri juga membuka beberapa  taman asuhan kanak-kanak dengan matlamat bukan sahaja untuk mendidik anak-anak dengan ilmu dunia dan akhirat, tetapi juga untuk berdakwah kepada penduduk setempat. Pengisian masanya juga diisi dengan aktiviti dakwah bukan sahaja di Malaysia, malahan di pelbagai negara. Mudah-mudahan rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa bersamanya dan keluarga.

Pengisian ceramah kali ini juga amat menarik berkaitan isu Palestine. Selagi Palestine tidak dibebaskan dari cengkaman Laknatullah, selagi itu isu ini tidak akan berakhir. Ia bukanlah sekadar isu bermusim seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Malaysia. Bagi saya, kesalahan tidaklah diletakkan keseluruhan kepada masyarakat tetapi peranan media dalam menyiarkan berita dan peristiwa ini secara konsisten juga amat penting. Isu serangan ke atas para sukarelawan Flotia yang berlaku tidak sampai sebulan yang lepas kini telah lenyap dengan adanya Piala Dunia. Pandangan saya, sokongan masyarakat Islam terhadap Piala Dunia juga tidak kurang hebat seperti kecaman dan kejian yang dilemparkan semasa isu Flotia berlaku. Nampaknya, usaha lebih gigih dan berkesan diperlukan untuk mendidik hati dan iman masyarakat kita supaya dapat mencontohi iman saudara-saudara kita di Mesir. Menurut Ustaz Abdul Halim, pemimpin Mesir tidak menggambarkan masyarakatnya. Walaupun pemimpinnya dilihat tidak begitu mendukung usaha-usaha kebebasan Palestine, rakyatnya punya jiwa yang cukup kental dan berani. Mereka sanggup bekerja tanpa menerima gaji selama lapan bulan semata-mata kerana menyokong perjuangan Islam. Saya tidak dapat bayangkan kalau itulah keadaan yang berlaku di Malaysia.

Saya pernah mendengar pandangan bahwa iman manusia ini ada masa naik dan turunnya. Satu cara yang boleh membantu iman dan kecintaan kita kepada Allah tidak berkurang dan bertambah adalah dengan melakukan amalan secara konsisten dan sentiasa mendekatkan diri dengan program-program yang boleh mendidik rohani dan jiwa. Amalan membaca al-Qur'an setiap hari adalah amat berkesan dalam membantu melembutkan hati dan menetapkan iman. Mewujudkan suasana ibadah dalam keluarga juga amatlah digalakkan selain dari mendekatkan diri dengan rakan-rakan yang sentiasa cuba mendekatkan diri kepada jalan Allah.Sesungguhnya manusia ini tidak sempurna dan panjatkanlah doa kepada Allah agar sentiasa diberikan hidayah dan dimatikan dalam keadaan yang diredhai Allah. Kekuatan dan semangat dakwah saya mungkin tidak sehebat Ustaz Abdul Halim tetapi saya berharap agar Allah sentiasa membuka hati saya agar sentiasa berusaha memperbaiki diri dan tidak jemu-jemu mengejar ilmu ukhrawi...

Wednesday, June 23, 2010

Aturan Allah Tiada Tandingan

Alhamdulillah hari ini diberi rezeki dan kesempatan untuk menghadiri program 'Aku Peduli' anjuran ISMA (Ikatan Muslimin Malaysia), Australia dan AMAN Palestine. Sudah lama rasanya tidak berpeluang mengikuti program seperti ini di Malaysia. Setelah berpindah ke Putrajaya, saya hanya berkesempatan menyertai solat terawikh berjamaah di surau dan masjid-masjid sekitar Putrajaya selain dari ceramah agama dan motivasi di pejabat. Betapa saya merindui suasana dan pengisian kerohanian sebegini setelah lama tidak mengikutinya. Subhanallah! Sesungguhnya pada malam ini saya telah menyedari hikmah sebahagian perjalanan dan ketentuan yang telah Allah aturkan dalam hidup saya. Setelah empat tahun mendirikan rumahntangga, saya dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata. Saya melahirkan cahaya mata pertama, Ariff Najmuddin setelah sepuluh bulan menjadi isteri. Adiknya, Akeef Nu'man lahir pada tahun berikutnya dan begitu juga dengan Adreana Najla yang hadir memeriahkan kehidupan keluarga kami setahun selepas abangnya. Memiliki tiga anak dalam masa tiga tahun berturut-turut adalah perkara yang jarang-jarang berlaku dalam kehidupan wanita berkerjaya tetapi itulah yang terjadi kepada saya.

Alhamdulillah cita-cita saya untuk menyambung pengajian di peringkat Sarjana telah dimakbulkan Allah. Saya memohon untuk ke UK sebagai pilihan pertama dan Malaysia adalah pilihan ke-dua tetapi saya menerima tawaran untuk ke Australia yang tidak tersenarai di dalam list. Setelah mendapat negara, saya perlu membuat pilihan universiti yang terbaik buat saya dan keluarga. Demi kepentingan keluarga, saya memilih UQ di Brisbane walaupun saya sangat tertarik dengan tawaran dari University of Melbourne.

Kini, dalam tahun pengajian Sarjana yang pertama, saya memiliki tiga orang anak yang telah boleh berdikari. Itulah rupanya hikmahnya Allah menentukan saya melahirkan zuriat pada 2005, 2006 dan 2007. Pada tahun 2010, saya diberi peluang berada di sini ketika anak-anak saya mencecah tiga, empat dan lima tahun dan kesemuanya berpeluang bersekolah di sini, insyaAllah.

Queensland memiliki persatuan pelajar Melayu Muslim yang paling aktif antara negeri-negeri lain di Australia. Setiap minggu akan diadakan kelas pengajian agama di UQ St Lucia. Oh! Itukah sebabnya mengapa Allah menggerakkan saya ke mari. Walaupun saya belum pernah lagi menghadiri kelas pengajian tersebut, kehadiran saya ke program pada malam ini telah memberi peluang kepada saya mendapat gambaran program-program yang dapat mendidik jiwa. Kini dengan anak-anak yang berusia tiga, empat dan lima tahun lebih memudahkan saya hadir ke acara-acara sebegini berbanding dengan dua hingga lima tahun yang lalu semasa anak-anak masih kecil. Kesempatan dan peluang yang diberikan Allah ini tidak seharusnya saya sia-siakan. Bila kembali ke Malaysia, saya tidak pasti sama ada masih terbuka jalan untuk saya menyertai program sebegini. Saya perlu mencari dan mudah-mudahan saya akan ketemu dan dipermudahkan untuk turut serta. Saya juga sangat bersyukur kerana secara kebetulan dipertemukan dengan adik-adik yang turut sama mencintai ilmu bekalan untuk hari akhirat. Melihat mereka, mengingatkan saya semasa saya di UIA sepuluh tahun yang lepas. Sesungguhnya walaupun mereka di perantauan, peluang untuk mereka mendidik rohani masih terbuka luas, malah lebih luas dari belajar di dalam negara kerana mereka nampak dan merasa apa yang tidak dapat dilihat dan dirasai oleh pelajar di dalam negara jika mereka berfikir dengan mata hati.

Sunday, June 20, 2010

Satu Lagi!

Alhamdulillah tinggal lagi satu paper yang perlu saya duduki untuk semester pertama peringkat Sarjana ini. Bila tiba saat peperiksaan akhir, barulah ia menjelaskan saya tentang kelebihan menjadi orang IT. Konsep IT di sini berbeza dengan kursus Ijazah Pertama saya sebelum ini di mana saya perlu banyak membaca dan membuat nota sebagai persediaan untuk peperiksaan kerana soalannya sudah tentunya yang memerlukan jawapan dalam bentuk esei yang panjang berjela. Selagi tidak berjaya menghabiskan semua chapters yang terangkum dalam peperiksaan, selagi itu tidak akan confident untuk menduduki peperiksaan. Mungkin kerana kursus saya sebelum ini berkait juga dengan bidang pengurusan dan perniagaan, sebab itulah ianya memerlukan usaha sebegitu. Kali ini, kesemua pelajaran yang saya ambil tidak memerlukan pembacaan yang menyeluruh. Cukup sekadar faham dan boleh mengaplikasikan perkara yang dipelajari secara praktikal. Mengingat dan menghafal masih juga perlu tetapi sangat minor, hanya pada beberapa term utama sahaja. Artikel atau bahan yang akan digunakan semasa peperiksaan akan diberikan semasa minggu akhir kelas dan ada juga diantaranya yang memang telah lama digunakan semasa latihan praktikal dan tutorial. Alasannya, objektif subjek adalah untuk memastikan pelajar faham dan boleh mempraktikkan apa yang diajar. Jadi memberi artikel atau bahan baru hanya akan membuatkan pelajar mengambil masa yang lebih semasa peperiksaan dan tidak releven dengan objektif yang ingin dicapai.
Soalan-soalan peperiksaan yang lepas juga boleh diperolehi dengan mudah dan untungnya menjadi orang IT kerana jawapan kepada soalan yang lepas juga diperolehi melalui perbincangan di dalam newsgroup atau melalui pensyarah sendiri. Ini memudahkan lagi saya menilai jawapan setelah cuba membuat latihan soalan peperiksaan yang lepas-lepas. Sesetengah kursus lain terpaksa mencari jawapan secara individu. Peperiksaan terakhir yang akan saya duduki ini adalah subjek Software Engineering. Soalannya adalah 40 soalan objektif yang membawa sebanyak 60% markah keseluruhan dan soalannya kebiasaannya diulang dari soalan yang lepas. Tutor saya tidak jemu-jemu berpesan supaya membuat soalan yang lepas-lepas dan dia sanggup mengadakan 2 sesi tutorial tambahan untuk membuat latihan peperiksaan secara percuma. Peperiksaannya memang nampak tidak begitu membebankan tetapi assignments yang perlu disiapkan sepanjang semester itu adalah yang paling mencabar buat saya.
Cara pembelajaran semasa bujang dan menjadi isteri dan ibu kali ini juga adalah amat berbeza. Jika dulu sanggup bangun jam 2, 3 pagi untuk mengulangkaji pelajaran tapi kini saya sudah tidak sanggup. Jika dulu study saat-saat akhir mungkin akan membantu tetapi tidak lagi sekarang. Jika dulu pagi hari peperiksaan pun masih lagi perlu bangun awal dan menghabiskan sisa-sisa yang belum sempat dibaca tetapi tidak lagi sekarang. Mungkin kerana usia atau kerana sudah merasa zaman study sakan masa Ijazah Pertama.
Sedang sibuk-sibuk menghabiskan hari-hari terakhir sebelum 'merdeka' untuk semester satu ini, saya diduga dengan ujian mempunyai jiran yang sungguh tidak memahami. Mungkin kerana dia tidak pernah mempunyai anak atau mempunya masalah pendengaran yang terlalu sensitif menyebabkan kemeriahan anak-anak kami menjadi masalah buatnya. Apa pun, saya menganggap ini adalah dugaan kecil dari Allah untuk saya dan keluarga. Allah tidak akan sengaja memberi pahala free kalau tidak disertakan dengan ujian untuk menguji keimanan dan kesabaran kita. Hanya kepada-Nya lah tempat selayaknya untuk mengadu dan memohon pertolongan. Semoga Allah melindungi saya dan keluarga dan rahmat dan kasih sayangnya tidak akan putus untuk kami walau dalam apa jua keadaan. Amin Ya Rabbal 'Alamin...

Tuesday, June 15, 2010

Finals

Sudah lama tidak berkesempatan mengemaskini blog disebabkan kesibukan menyiapkan tugasan dan menguruskan rumahtangga. Akhirnya tiba juga penghujung semester dan peperiksaan akhir. Bagi saya, peperiksaan akhir lebih membahagiakan daripada menyelesaikan assignments mingguan terutama Discrete Mathematics dan Software Engineering. Entah kenapa saya berasa begitu sukar mempelajari Discrete Mathematics, mungkin kerana sudah lama tidak melihat nombor dan memang tidak ada bakat dalam berfikiran kreatif. Matematik yang saya pelajari kali ini agak berbeza dengan Matematik yang pernah saya jumpa sebelum ini. Ia mungkin tidaklah sesusah mana tetapi memerlukan pemikiran yang kreatif dan logik sedangkan saya lebih kepada berfikiran abstrak dan tidak logik, tidak logik?
Saya telah selamat menduduki satu peperiksaan, Introduction To Information System. Soalannya tidaklah terlalu mudah dan tidak juga sukar. Saya menjangkakan akan mendapat gred 6 daripada gred 7 (terbaik) untuk subjek tersebut kerana carry mark tidaklah begitu cemerlang. Maklumlah, belajar sebagai isteri, ibu dan anak tidaklah semudah belajar semasa masih solo dahulu. Apa pun saya tetap berusaha apa yang saya mampu. Walaupun pada awal dulu saya berhasrat untuk mendapat keputusan secemerlang boleh tetapi bila berada dalam situasi sebenarnya barulah saya sedar, itu bukanlah yang sepatutnya saya impikan. Mendapat keputusan cemerlang tidak bermakna saya berjaya. Kejayaan yang sebenarnya dalam situasi ini adalah apabila saya mencuba yang terbaik dan berjaya mengimbangi tanggungjawab saya sebagai pelajar, isteri, ibu dan anak. Itu adalah sebaik-baiknya dan yang paling beerti untuk saya dan keluarga. Bak kata suami yang tersayang, kecemerlangan yang sebenar untuk saya adalah apabila saya berjaya memperolehi ijazah sarjana dan dalam masa yang sama dapat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu sebaik-baiknya. Tiada apa yang perlu saya kejarkan kerana saya sudah ada keluarga yang sempurna dan bahagia dan sudah ada pekerjaan yang menanti bila tamat belajar. Peluang yang diperolehi ini bagaikan satu rahmat untuk saya dan keluarga memperolehi pengalaman yang tak akan dilupakan sepanjang hayat supaya belajar menjadi hamba yang sentiasa bersyukur dan merendah diri. Subhanallah!

Wednesday, April 21, 2010

Assignments, Quiz and Exam

Alhamdulillah sudah masuk minggu ke-7 saya bergelar seorang pelajar Sarjana. Walaupun pernah menyimpan cita-cita untuk belajar setinggi boleh, saya tidak pernah bermimpi untuk menerima tajaan untuk menyambung pengajian di luar negara. Subhanallah!

Pada awal-awal minggu, saya terasa agak kekok dan mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Kini setelah tujuh minggu, saya dapat menjiwai kehidupan seorang pelajar dan dapat mengatur masa dengan lebih baik. Walaupun nampak mudah tetapi menjadi pelajar sarjana tidaklah semudah yang disangka kerana konsp pembelajaran di sini memerlukan saya untuk mengulangkaji dan membuat latihan secara berterusan. Saya masih ingat semasa zaman ijazah pertama di Malaysia dulu saya hanya pulun membaca dan mengulangkaji semasa peperiksaan. Tetapi di sini, saya perlu membuat persediaan sebelum masuk ke kelas, membuat ulangkaji setiap hari dan latihan setiap minggu. Jika tidak, saya akan ketinggalan kerana pemarkahan dikira secara berterusan melalui latihan, assignments dan ujian. Walaupun sibuk dan kadang kala tertekan, saya tetap rasa seronok dan bahagia kerana ini adalah cita-cita saya sejak dulu dan saya suka belajar. (Is it sound weired? :-D)

Syukur juga dengan berkat dan dorongan suami, keluarga dan rakan-rakan dan tak lupa pom-pom kids dari anak-anak tersayang sentiasa menguatkan semangat saya untuk terus berjuang. Saya percaya saya sedang memikul amanah agama, bangsa dan negara. Mudah-mudahan kemudahan dan kelancaran sentiasa bersama sepanjang saya meneruskan pengajian sehingga seterusnya. Thanks all, Thanks Allah the most Gracious!

Wednesday, April 07, 2010

Bercuti Ke Stanthorpe

Cuti pertengahan semester yang bersekali dengan cuti sekolah selama lebih kurang 12 hari membenarkan saya merancang percutian bersama dengan keluarga tersayang. Mula-mula kami plan untuk ke Lone Pine Koala Sactuary yang terletak kira-kira 15 minit dari rumah tapi setelah diajak untuk join percutian ke Stanthorpe, Queensland oleh Akma dan Zaaba, lebih baik kami ke sana dulu sementara ada orang nak pergi. Kalau setakat tempat dekat-dekat ni, bila-bila pun insyaAllah boleh pergi sendiri. Tempat ni cuacanya ala-ala Cameron Highlands dan Genting dan terletak di tanah tinggi tapi jalan nak ke sana tak perlu berpusing-pusing macam nak naik ke Genting atau Cameron Highlands. Jalannya straight saja dan pemadangan di kira kanan jalan juga sangat cantik sebab melalui country side dan ladang-ladang. Sepanjang jalan mesti terjumpa binatang-bianatang ternakan yang tengah meragut rumput. Antaranya lembu, ox, kambing biri-biri dan kuda.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 3 jam atau 250km dari rumah kami di St Lucia, Brisbane. Ini adalah pertama kali kami berjalan-jalan untuk makan angin sepanjang lebih dua bulan berada di sini. Sebelum ini berjalan sekadar untuk cari tempat-tempat menjual makanan dan barang-barang rumah. Lagi pun kami tak berani juga nak berjalan sakan sebab belum boleh mengagak bajet yang sesuai meneruskan hidup di sini. Takut-takaut kalau dah berjalan sana, sini tak cukup duit nak makan pulak. :-D Tapi nampaknya alhamdulillah, masih ada duit yang boleh disalurkan untuk mengenal tempat orang dan meluaskan pemandangan. Bak kata wakil pegawai BMI, JPA semasa taklimat penyerahan HLP 2009 yang lepas, kalau dah sampai ke tempat orang tu, bawak-bawak la berjalan. Duit biasiswa guna untuk sara hidup di sana, duit gaji gunakan untuk bawak keluarga bercuti.

Alhamdulillah juga perjalanan kami berjalan dengan lancar walaupun kereta kami berusia lebih dari 15 tahun. Mula-mula risau juga kalau kereta buat hal tapi syukur lah semuanya ok. Anak-anak pun tidak meragam, mungkin sebab sudah besar dan dah boleh inform kalau dah lapar dan dahaga. Kami melalui highway yang suasanya lebih kurang seperti jalan lama di Malaysia. Pandangan saya, orang di sini perlu lebih banyak belajar mengenai pembinaan highway dengan orang di Malaysia. Tiba-tiba saya rasa begitu kagum dengan Lebuhraya PLUS dan LPT kerana keadaan highway di sini sangat jauh berbeza dengan di Malaysia. Kalau di Malaysia, bila penat atau lapar, boleh singgah di R&R untuk berehat atau membeli makanan. Di sini ada juga konsep R&R tetapi terlalu ringkas. Sekadar sebuah toilet dan beberapa tempat duduk untuk berkelah dan makan-makan. Tapi apa yang mengagumkan saya, keadaan toiletnya jauh lebih bersih walaupun tidak ada pekerja am yang ditugaskan untuk mencuci tandas seperti di Malaysia. Walaubagaimanapun, untuk membayangkan perbezaan highway di sini dan Malaysia, saya meletakkan 90% untuk lebuhraya PLUS dan 45% untuk lebuhraya yang saya lalui untuk ke Stanhorpe.

Kami menyewa motel di Murray Garden dengan harga AUD120 semalam. Biliknya agak luas dan cukup untuk kami sekeluarga. Konsep motel dan cottagenya juga sangat menarik, dikelilingi dengan suasana semulajadi yang indah dan cuaca yang nyaman dan sejuk. Suhunya memang sejuk malahan lebih sejuk daripada aircond lagi. Tapi yang pelik di sini tidak ada kebun sayur-sayuran dan bunga-bungaan yang commercial seperti di Cameron Highlands. Saya pun tidak pasti kenapa tetapi bila melihat keadaan ini, saya begitu kagum dengan tanah air sendiri kerana bagi saya Cameron Highlands jauh lebih hebat dan menarik berbanding di sini. Saya tidak pasti mungkin juga kerana di sini sudah banyak tempat-tempat yang sejuk dan sesuai untuk tujuan pertanian tetapi bukan di Stanhorpe.

Antara tempat-tempat menarik yang kami kunjungi ialah ladang strawberi yang membolehkan kami merasai pengalaman mengutip buah strawberi sendiri. Yang paling excited tentunya budak-budak. Pantang nampak strawberi merah, habis smeua dikutipnya. Kemudian kami juga ke ladang lavendar, bunga yang digunakan sebagai pewangi yang sangat popular. Pemandangan di sini Subhanallah memang sangat mengasyikkan. Saya membeli lilin wangi yang diletakkan di dalam mangkuk kaca sebagai kenang-kenangan. Di ladang epal kami berpeluang mengutip sendiri buah-buah epal. Memandangkan buah epal tidak begitu menjadi dan dipenuhi ulat, kami dapat mengambil epal secara percuma sahaja. Saya juga membeli dua botol minuman jus epal sekadar untuk merasa. Kami juga ke Granite Belt Maze yang terkenal dengan Maze dari pokok pagar yang mampu membuatkan orang sesat jika tidak jumpa jalan keluar. Kami membeli tiket keluarga untuk 2 dewasa dan 2 kanak-kanak berharga AUD50. Kanak-kanak di bawah umur empat tahun dapat masuk percuma, jadi Najla sorang sajalah yang tak perlu tiket. Selain dari melalui pokok pagar yang menyesatkan itu, kami juga berpeluang bermain golf. Kami bermain sekadar untuk menghiburkan anak-anak walaupun itulah kali pertama saya memegang kayu golf.

Malam semasa kami menginap di motel, kami membuat BBQ di tempat yang disediakan di sana. Seronok juga buat BBQ ni rupanya. Dah lama juga saya tak berBBQ sejak ada keluarga sendiri ni. Lepas ni nampaknya kami kena beli satu set dapur BBQ gas untuk bawak balik ke Malaysia. Orang kata set BBQ di sini jauh lebih murah dbandingkan dengan Malaysia. Kenyangnya makan ayam, daging, sotong, udang dan jagung bakar. Next time kena lah buat lagi kalau pergi bercuti ke mana-mana.

Satu pengalaman yang tak dapat saya lupakan juga ialah menunaikan solat di atas rumput. Inilah kali pertama saya berpeluang menjalankan ibadah berkenaan secara di tempat yang terbuka dan membuatkan saya merasa begitu kerdilnya diri ini dan begitu luasnya dunia Allah. Sudah semestinya saya merasakan kehebatan Allah kerana menjadikan dunia yang begitu indah dan memberikan peluang untuk saya terus beribadah walau dalam keadaan dan di mana saja saya berada. Subhanallah!

Saturday, March 20, 2010

My Courses This Semester

Dah beberapa minggu tak berkesempatan menulis blog disebabkan kesibukan menghadapai dan membiasakan diri menjadi seorang student setelah lebih lapan tahun meninggalkan bangku universiti. Alhamdulillah setelah tiga minggu semuanya berjalan lancar dan assignments yang sememangnya perlu dihantar setiap minggu berjaya dipenuhi. Syukur juga diberikan kesihatan yang baik dan kecergasan otak (walaupun masih perlu diasah lagi) sepanjang tiga minggu ini. Mudah-mudahan ianya berterusan dan bertambah baik sepanjang tempoh menghadapi pengajian di sini.

Semester ini saya berpeluang mengambil empat mata pelajaran yang kesemuanya adalah course yang wajib. Course Introduction To Information System adalah sebahagian daripada module yang saya pelajari dari subjek System Analysis & Design semasa first degree. Course ini menumpukan kepada rekabentuk pangkalan data untuk sesuatu sistem. Seronoknya dapat belajar semula membuat Data Flow Diagram, Entity Relationship Diagram dan beberapa carta baru. Selama ini carta-carta tersebut yang saya sediakan untuk documentation system adalah syok sendiri sahaja sebab tidak ada orang yang nak membuat pengesahan. Walaupun pernah jumpa benda yang sama semasa first degree, saya tidak tahu kenapa saya tidak dapat memahami dengan baik pada waktu itu.
Course Introduction To Web Design memerlukan banyak kerja kumpulan dan tiada sebarang peperiksaan. Ini juga pengalaman yang menarik bagi saya bekerja dalam kumpulan bersama dengan orang-orang yang tak pernah saya mimpi untuk bekerja dengan mereka. Kumpulan saya perlu menghasilkan website yang menjual kraftangan berbentuk kusyen dan throw yang dikenali sebagai Just Throw Me. Saya ditempatkan dalam satu kumpulan bersama-sama dengan empat orang ahli yang lain. Tiga daripadanya adalah wanita dari Australia, seorang lelaki dari Jepun dan saya dari Malaysia. Setakat ini semuanya berjalan dengan baik dan saya gembira bekerja bersama-sama dengan mereka terutama dengan ketua kumpulan, Angela dan lelaki Jepun, Junya kerana mereka menunjukkan kesungguhan untuk menghasilkan yang terbaik.
Course Discrete Mathemathics yang pada mulanya saya sangkakan akan memecahkan atau sekurang-kurangnya meretakkan kepala rupa-rupanya tidaklah sengeri yang disangka. Mungkin sebab itulah orang Malaysia dikenali sebagai scorer dalam Matematik di kebanyakan universiti luar negeri kerana tahap matematik yang diajar di Malaysia sangat advance dan tinggi jika dibandingkan dengan di sini. Tapi syukurlah kerana bagi saya jika sesuatu yang sangat kompleks yang dipelajari tetapi tidak menyumbang apa-apa pada pekerjaan mahu pun kehidupan pun tetap tidak berbaloi. Mujur juga saya telah berjumpa dengan yang susah sebelum menghadapi yang lebih mudah difahami dan tidak memeningkan kepala.
Introduction To Software Engineering bunyinya seperti sangat basic tetapi inilah yang paling mencabar buat saya semester ini kerana perlu menggunakan bahasa Python sebagai pengaturcaraan. Setiap minggu online problem yang mengandungi antara lima hingga tujuh soalan perlu diselesaikan dan saya tidak mempunyai apa-apa idea mengenainya. Setakat ini husband tersayanglah yang banyak membantu menyelesaikan online problem. Soalan assignment pertama dah pun keluar dan menyebabkan saya perlu juga menguasai bahasa ini sebelum saya kerugian. Saya sudah merasa rugi kerana tidak pernah menjadi dean's list semasa first degree dulu. :-) Kali ini jika tak ada rezeki tersenarai dalam dean's list, mendapat CGPA 2nd class upper with at least 6 and above adalah matlamat saya. Mudah-mudahan Allah permudahkan segalanya....

Monday, March 01, 2010

Hari Pertama Ke Kelas

Alhamdulillah akhirnya tiba juga hari pertama saya dapat menghadiri kelas setelah sebulan berasa di Brisbane dan menghadapai pelbagai cabaran dan pengalaman baru. Mungkin kerana sudah biasa berulang alik ke U untuk menyelesaikan beberapa perkara dan menghadiri bengkel-bengkel persediaan dan orientasi mambuatkan saya tidak begitu kekok. Saya begitu confius dan merasakan UQ ini begitu besar kawasannya semasa mula-mula menjejakkan kaki ke sini. Syukur hari ini saya lebih familiar dan sudah dapat mengenalpasti kedudukan kelas dan bangunan di sini. Rumah kediaman kami terletak lebih kurang 1.5km ke universiti. Kebanyakan pelajar yang tinggal di kawasan ini berjalan kaki ke U. Di sini kebanyakan orang memang sangat suka berjalan dan menaiki basikal. Oleh kerasa saya masih sayang dengan lemak-lemak yang ada di badan, saya ke U dengan dihantar oleh suami selepas dia menghantar Ariff ke sekolah. Bagi saya, saya masih ada peluang untuk exercise kerana saya masih perlu berjalan ke sana ke mari semasa bertukar kelas atau ke library di U nanti. Kawasan di UQ memang luas dan saya yakin dapat menurunkan sekurang-kurangnya 3kg dalam masa sebulan belajar di sini. :-) Saya pulang juga dengan diambil oleh suami tersayang selepas dia mengambil Ariff dari sekolah. Jika saya sudah habis kelas pun, saya akan duduk di library untuk mengulangkaji pelajaran sehingga pukul 3 petang. Untuk solat, terdapat sebuah tempat berdekatan dengan main bus stop di UQ yang disediakan untuk Muslim di sini. Saya bertemu dengan ramai pelajar dari Malaysia dan negara-negara Islam lain di sini. Kebiasaan juga saya membawa bekalan makanan tengah hari dari rumah dan akan makan selepas solat bersama dengan pelajar Muslim lain. Zohor di sini masuk dalam pukul 12.05 tengah hari.

Hari pertama di kelas semuanya berjalan lancar dan menyeronokkan. Maklumlah sudah lapan tahun meninggalkan bidang pengajian formal membuatkan saya kembali bersemangat dan seronok untuk belajar. Kelas yang saya duduki kebanyakan bercampur dengan pelajar undergrad dan hanya diasingkan semasa tutorial. Bertuahnya orang yang dapat belajar di oversea kerana saya lihat pembelajarn di sini lebih teratur dan terancang berbanding dengan semasa saya belajar di Malaysia dulu. Sebelum kelas bermula kita sudah dapat melihat course profile, buku teks, kertas soalan peperiksaan malahan tarikh-tarikh penting seperti due date assignment, quiz dan sebagainya. Setakat ini hanya saya seorang sahaja pelajar Melayu Malaysia yang kelihatan di kelas yang saya hadiri. Saya juga bertemu ramai rakan-rakan baru dari program dan course yang sama. Ada dari Vietnam, Saudi, India, Australia dan negara yang saya tak pernah dengar namanya. Pada awalnya saya seperti tidak percaya saya boleh menjadi sebahagian dari pelajar-pelajar di sini dan berbual sambil membuat lawak bersama-sama dengan masyarakat yang asing bagi saya sebelum ini. Rupanya bukanlah susah hendak berkomunikasi dalam bahasa Inggeris jika kita sudah tiada pilihan. Harap-harap saya masih boleh membuat karangan dalam bahasa Melayu dnegan baik bila sudah tamat belajar nanti walaupun sibuk berbahasa Inggeris di sini.

Thursday, February 18, 2010

Selsema Oh Selsema

Sehari selepas berpindah ke rumah sendiri saya dijangkiti selsema dari anak-anak. Anak-anak dari rumah sementara dari demam seorang demi seorang tetapi alhamdulillah demamnya tak lama. Mungkin kerana tekejut dengan perubahan suasana, cuaca, air, makanan atau sebagainya. Alhamdulillah juga mereka cepat adapt dengan suasana di sini. Walaubagaimanapun selsema saya masih beterusan lebih seminggu walaupun berjenis ubat telah dicuba termasuk ubat yang dibeli dari kedai Ah Chai (kedai Cina Malaysia yang popular di sini), Panadol Soluble yang diberi oleh Akma dan Zaaba dan panadol biasa. Rasa sungguh menyesal kerana tidak membawa bekalan uabat selsema dari Malaysia. Biasanya di Malaysia dalam masa dua atau tiga hari saya akan lega setelah ambil ubat selsema kerana saya memang mudah kena selsema dan saya memang sangat tidak selesa dengan suasana itu. Mungkin ini ujian untuk saya di sini. Akhirnya saya menerima cadangan dari Azman untuk mendapatkan ubat Sudafed Day & Night Sinus Relief dari farmasi. Di sini agak payah untuk membeli ubat kerana perlu dapatkan prescribe dari doktor terlebih dahulu. Kad insurans OSHC saya masih belum siap menyebabkan agak sukar untuk saya ke klinik. Jadi terpaksalah mengeluarkan belanja lebih untuk membeli ubat. Sebenarnya ianya masih boleh diatur dengan menghubungi Student Services tapi saya malas hendak berfikir panjang untuk ke sana sini memandangkan banyak perkara berkaitan anak-anak dan keluarga yang perlu diutamakan. Hari ini setelah dua hari saya mengambil ubat saranan Azman alhamdulillah beransur lega, cuma ada sedikit-sedikit sahaja bakinya.

Ariff telah memulakan hari persekolahannya yang pertama di Ironside State School pada 14 Februari 2010 (Isnin) yang lalu. Sekolah ini merupakan antara sekolah yang terbaik dan terkenal di Brisbane. Proses memasuki sekolah di sini juga jauh lebih mudah jika dibandingkan dengan di tanah air. Saya telah mendaftar secara online sejak di Malaysia dengan membayar yuran sebanyak AUD200 dan telah menerima Confirmation Of Enrollment (COE) tidak lama selepas itu. COE itulah yang saya bawa semasa mendaftar bersama-sama dengan dokumen-dokumen lain seperti pasport ibu bapa dan anak, Visa, Surat Tawaran U dan sebagainya. Guru-guru dan kakitanan di situ sungguh baik hati dan melayan kami dengan baik walaupun keadaan kami yang bersama-sama dengan 3 orang anak yang excited nak ke sekolah agak meriuhkan suasana. Memandangkan semua dokumen yang diperlukan telah lengkap, Ariff terus ditentukan kelasnya dan terus boleh mula bersekolah pada  Isnin berikutnya. Hari pertama ditempatkan di kelas sudah membuatkan Ariff terus seronok. Dia ditempatkan di dalam kelas Prep E dan kumpulan Yellow. Satu kelas menempatkan lebih kurang 20 hingga 25 orang sahaja. Kami diperkenalkan dengan guru kelasnya yang dikenali sebagai Mrs Kathy. Seperti yang lain juga, dia sungguh peramah dan baik hati. Sesi pertama pada hari itu, kumpulan Ariff ditempatkan di bahagian stapler di mana mereka dilatih untuk menggunakan stapler dengan betul dan membentuk kertas-kertas warna supaya menjadi satu gelang yang panjang. 'Wah, ini sudah bagus! Kalau di rumah jangan harap dapat main stapler macam ni.' Mungkin itulah kata-kata Ariff dalam hati. Walaupun dia masih belum menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, dia sangat suka ke sekolah setiap hari. Tidak pernah sekali pun dia berceta pasal yang tidak seronok di sekolah berbanding dengan semasa bersekolah di Malaysia dahulu. Semuanya seronok dan membahagiakan bagi Ariff. Alhamdulillah, mudah-mudahan semuanya dipermudahkan dan dia dapat memperolehi pelbagai perkara yang akan menjadikan dirinya seorang yang positif pada masa depan.

Satu perkara yang mengharukan ialah apabila Akeef tak henti-henti bertanya bila dia boleh mula ke sekolah. Setiap hari dia akan bangun lebih awal dari abangnya dan bersiap-siap seolah-olah hendak ke sekolah. Setiap hari dia akan ikut ayahnya menghantar abang ke sekolah. Pada asalnya saya merancang untuk mula menghantar Akeef ke kindy pada bulan Julai nanti. Tapi bila sudah begini keadaannya, kenalah hantar lebih awal. Kita tegok la bila tiba masa yang sesuai dan keadaan yang stabil nanti tiba giliran Akeef pula untuk ke sekolah. Minggu pertama bersekolah Ariff tidur sangat awal. Mungkin letih semasa membuat aktiviti di sekolh. Kadang-kadang tidak sempat makan malam dia sudah tertidur pada pukul 6 petang sehingga ke esok pagi. Jadi tak sempatlah nak mengaji lagi minggu ini. Harap-harap minggu ke-2  nanti dia boleh membiasakan diri dan ada kesempatan untuk solat dan mengaji sebelum tidur. Maklum la sekolah di sini tidak ada subjek agama. Jadi inisiatif ibu bapa sendirilah untuk mengajar agama dan mengaji. Mudah-mudahan Allah bagi kekuatan kepada kami untuk mendidik anak-anak sebaiknya agar menjadi insan yang berguna di dunia dan akhirat...

Saturday, February 13, 2010

Memulakan Hidup Di Rantau Orang

Alhamdulillah sudah masuk hari ke lima kami menetap di rumah sewa sendiri setelah seminggu lebih menumpang di rumah sementara. Terima kasih banyak diucapkan kepada tuan rumah, Abang Munir dan Kak Aida sekeluarga yang hanya kami kenali dari rakan-rakan PPMQ. Walaupun belum berkesempatan untuk bersua muka, jasa dan budi kalian akan kami kenang hingga ke akhir hayat.

Pengalaman mendapatkan rumah sewa di sini agak unik dan jauh berbeza dengan Malaysia. Di sini kebanyakan rumah sewa diuruskan oleh agen. Jika bernasib baik, ada juga rumah yang diuruskan oleh tuan rumah sendiri. Kebiasaannya, bakal penyewa akan merujuk kepada laman web seperti realestate.com untuk mengetahui rumah yang masih available. Satu lagi cara yang baik ialah dengan membuat survey terus ke kawasan yang kita target untuk tinggal. Cuma hal ini memerlukan kita untuk mengetahui serba sedikit mengenai nama-nama kawasan dan kebaikan dan kekurangan untuk menetap di satu-satu kawasan. Saya dan suami memilih untuk menetap di kawasan yang tidak jauh dari universiti memandangkan hal itu mungkin mengurangkan keresahan kepada kerumitan yang berisiko untu timbul sekiranya menetap lebih jauh. Walaubagaimanapun, kos rumah yang lebih dekat dengan U adalah lebih tinggi. Pemeriksaan rumah juga adalah perkara yang wajib sebelum kita menghantar borang permohonan untuk menyewa rumah. Kmi menjalankan pemeriksaan kepada lapan buah rumah dan menghantar permohonan untuk empat buah rumah. Ada kalanya saya yang pergi dan ada kalanya suami yang membuat inspection. Sudah tentu dengan bantuan transportation dari kawan-kawan memandangkan kami belum ada kereta dan masih belum familiar dengan kawana di sini. Syukur walaupun hanya satu permohonan kami yang berjaya, rumah yang kami duduki di Sisley Stree, St Lucia ini selesa dan sesuai dengan kami sekeluarga. Jenis rumah di sini kebanyakannya adalah terdiri dari jenis unit. Saya tidak pasti sama ada nama lain yang boleh dijelaskan atau disamakan dengan jenis rumah di Malysia. Mungkin sekadar untuk membayangkan apartmen tetapi unit di sini adalah setinggi 2 atau 3 tingkat sahaja. Tingkat paling bawah adalah garaj dan tingkat yang seterusnya barulah rumah-rumah. Kebiasaannya satu bangunan menempatkan tiga hingga sembilan buah rumah sahaja. Ada juga rumah bawah dari jenis binaan batu bata dan simen dan juga kayu. Rumah kayu dikenali sebagai queenslander lebih kurang rumah kampung di Malaysia.

Rumah partly furnished ini mempunyai 2 bilik dan 1 bilik air di mana tanda dan bilik air diasingkan. Kemudahan lain yang disediakan pula adalah mesin basuh, dryer, dapur, oven, microwave dan peti sejuk. Sewanya pula adalah AUD370 untuk seminggu atau lebih kurang RM1147 jika diconvert. Itu untuk seminggu, tak sanggup rasanya untuk convert jumlah sewa untuk sebulan. Lebih separuh dari elaun bulanan dikhaskan untuk rumah sewa sahaja. Di sini kebanyakan perkara dijalankan secara online. Kami membeli set perabot terpakai dari penjual yang mengiklankan di laman web Brisbane Exchage. Kami membeli set sofa kulit 2+2+1, set meja makan untuk 6 orang, rak tv dan tv analog dengan harga AUD220. Bagi kami harga itu cukup berbaloi kerana ia telah melegakan kehidupan anak-anak yang kebosanan dengan suasana rumah yang kosong. Dengan adanya TV yang saya kira keluaran tahun 80an itu dapat juga menghiburkan hati anak-anak. Sekarang fahamlah kami bagaimana perasaan penghargaan orang-orang yang kurang berkemampuan apabila mendapat sesuatu yang mungkin sukar untuk mereka perolehi.

Memang benarlah kata orang, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri tetapi lebih baik di negeri sendiri. Hari-hari awal kami di sini memerlukan kami untuk menghadapainya dengan penuh kesabaran. Maklumlah, suasana dan gaya hidup kami di sini sudah tentu jauh berbeza dengan di Malaysia. Jika di Malaysia hidup di rumah yang besar dan jadi pegawai, hidup di sini perlulah sederhana yang sesuai sebagai pelajar. Jika di Malaysia terasa lapar dan malas memasak, boleh la beli roti canai di kedai mamak atau makan malam di kedai tom yam tetapi di sini... oh, rasa rindu pula pada Restoran Perantau di Sg Merab dan di kedai mamat Kelantan Presint 16. Nampaknya terpaksalah kami bersabar selama 22 bulan lagi untuk menikmatinya semula. Kos makan di luar di sini agak tinggi. Saya hanya berkesempatan makan di luar sekali sahaja semasa menjalankan sesi belajar naik bas dan mengenal kawasan sekitar bersama dengan Fasiha. Kos kebab yang saya beli adalah lebih kurang AUD9++. Oh, nampaknya mungkin hanya dua atau tiga bulan sekali sahajalah saya boleh makan kebab di sini. Selebihnya saya memasak untuk keluarga dan syukur juga kerana saya memang minat memasak. Minat minat juga dapat ada kala timbul juga rasa boring duduk di dapur. Daging dan ayam halal setakat ini kami perolehi dari sebuah kedai halal di Fortitude Valley. Biasanya suami yang akan ke sana seorang diri menaiki train memandangkan kedainya agak jauh dan kami belum memiliki car seat untuk membawa anak-anak. Oh iya, Selepas seminggu kami di sini, kami telah membeli sebuah kereta entah berapa hand jenama Toyota Camry. Oh, saya tidak pernah bermimpi untuk menaiki kereta ini tetapi haruslah diingatkan bahawa kereta ini adalah keluaran tahun 1994. Jadi keadaannya tidak perlulah dibayangkan seperti kereta yang baru keluar dari kedai. Walaubagaimanapun kami masih belum memiliki car seat untuk anak-anak kerana ia adalah wajib untuk kanak-kanak yang belum mencapai ketinggian tertentu. Mudah-mudahan kami akan menemui car seat dan booster seat yang sesuai supaya boleh membawa anak-anak bejalan-jalan lebih jauh...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...