Followers

Sunday, June 20, 2010

Satu Lagi!

Alhamdulillah tinggal lagi satu paper yang perlu saya duduki untuk semester pertama peringkat Sarjana ini. Bila tiba saat peperiksaan akhir, barulah ia menjelaskan saya tentang kelebihan menjadi orang IT. Konsep IT di sini berbeza dengan kursus Ijazah Pertama saya sebelum ini di mana saya perlu banyak membaca dan membuat nota sebagai persediaan untuk peperiksaan kerana soalannya sudah tentunya yang memerlukan jawapan dalam bentuk esei yang panjang berjela. Selagi tidak berjaya menghabiskan semua chapters yang terangkum dalam peperiksaan, selagi itu tidak akan confident untuk menduduki peperiksaan. Mungkin kerana kursus saya sebelum ini berkait juga dengan bidang pengurusan dan perniagaan, sebab itulah ianya memerlukan usaha sebegitu. Kali ini, kesemua pelajaran yang saya ambil tidak memerlukan pembacaan yang menyeluruh. Cukup sekadar faham dan boleh mengaplikasikan perkara yang dipelajari secara praktikal. Mengingat dan menghafal masih juga perlu tetapi sangat minor, hanya pada beberapa term utama sahaja. Artikel atau bahan yang akan digunakan semasa peperiksaan akan diberikan semasa minggu akhir kelas dan ada juga diantaranya yang memang telah lama digunakan semasa latihan praktikal dan tutorial. Alasannya, objektif subjek adalah untuk memastikan pelajar faham dan boleh mempraktikkan apa yang diajar. Jadi memberi artikel atau bahan baru hanya akan membuatkan pelajar mengambil masa yang lebih semasa peperiksaan dan tidak releven dengan objektif yang ingin dicapai.
Soalan-soalan peperiksaan yang lepas juga boleh diperolehi dengan mudah dan untungnya menjadi orang IT kerana jawapan kepada soalan yang lepas juga diperolehi melalui perbincangan di dalam newsgroup atau melalui pensyarah sendiri. Ini memudahkan lagi saya menilai jawapan setelah cuba membuat latihan soalan peperiksaan yang lepas-lepas. Sesetengah kursus lain terpaksa mencari jawapan secara individu. Peperiksaan terakhir yang akan saya duduki ini adalah subjek Software Engineering. Soalannya adalah 40 soalan objektif yang membawa sebanyak 60% markah keseluruhan dan soalannya kebiasaannya diulang dari soalan yang lepas. Tutor saya tidak jemu-jemu berpesan supaya membuat soalan yang lepas-lepas dan dia sanggup mengadakan 2 sesi tutorial tambahan untuk membuat latihan peperiksaan secara percuma. Peperiksaannya memang nampak tidak begitu membebankan tetapi assignments yang perlu disiapkan sepanjang semester itu adalah yang paling mencabar buat saya.
Cara pembelajaran semasa bujang dan menjadi isteri dan ibu kali ini juga adalah amat berbeza. Jika dulu sanggup bangun jam 2, 3 pagi untuk mengulangkaji pelajaran tapi kini saya sudah tidak sanggup. Jika dulu study saat-saat akhir mungkin akan membantu tetapi tidak lagi sekarang. Jika dulu pagi hari peperiksaan pun masih lagi perlu bangun awal dan menghabiskan sisa-sisa yang belum sempat dibaca tetapi tidak lagi sekarang. Mungkin kerana usia atau kerana sudah merasa zaman study sakan masa Ijazah Pertama.
Sedang sibuk-sibuk menghabiskan hari-hari terakhir sebelum 'merdeka' untuk semester satu ini, saya diduga dengan ujian mempunyai jiran yang sungguh tidak memahami. Mungkin kerana dia tidak pernah mempunyai anak atau mempunya masalah pendengaran yang terlalu sensitif menyebabkan kemeriahan anak-anak kami menjadi masalah buatnya. Apa pun, saya menganggap ini adalah dugaan kecil dari Allah untuk saya dan keluarga. Allah tidak akan sengaja memberi pahala free kalau tidak disertakan dengan ujian untuk menguji keimanan dan kesabaran kita. Hanya kepada-Nya lah tempat selayaknya untuk mengadu dan memohon pertolongan. Semoga Allah melindungi saya dan keluarga dan rahmat dan kasih sayangnya tidak akan putus untuk kami walau dalam apa jua keadaan. Amin Ya Rabbal 'Alamin...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...