Sykur pada Allah kerana saya dan keluarga berpeluang mengikuti program ini. Ini merupakan program yang ke-2 berkaitan Palestine yang telah saya hadiri di bumi Brisbane. Rasa kagum kepada kesungguhan dan semangat adik-adik dan rakan-rakan yang bertungkus lumus berusaha mengadakan program-program seumpama ini. Kalau tidak kerana usaha dan pengorbanan masa dan tenaga kalian, tidak mungkin saya dan hadirin lain mendapat manfaat sebesar ini. Jazakallah!
Ceramah kali ini disampaikan oleh Ustaz Abdul Halim yang merupakan Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang berkelulusan Bachelor of Engineering dari University of Queensland dan B.A. Islamic Studies&Arabic Literature dari Universiti Al Azhar, Mesir. Apa yang lebih mengagumkan saya adalah kecintaan Ustaz Halim dan isterinya kepada jalan dakwah. Bagi saya, beliau dan isteri mempunyai matlamat dan perancangan yang sangat jelas dan tersusun bagi mendidik dan melahirkan generasi Muslim yang sejati. Bilangan anaknya yang seramai 13 orang dan sedang menanti kelahiran anak yang ke-14 sudah membayangkan matlamat beliau dalam melahirkan lebih ramai professional Muslim yang berjaya. Kesemua anak-anaknya juga bukanlah calang-calang orang. Bila membandingkan bilangan anak-anaknya dengan matlamat saya untuk melahirkan sekurang-kurangnya enam orang anak terasa begitu besarnya pengorbanan beliau dan isteri demi Islam tercinta. Beliau dan isteri juga membuka beberapa taman asuhan kanak-kanak dengan matlamat bukan sahaja untuk mendidik anak-anak dengan ilmu dunia dan akhirat, tetapi juga untuk berdakwah kepada penduduk setempat. Pengisian masanya juga diisi dengan aktiviti dakwah bukan sahaja di Malaysia, malahan di pelbagai negara. Mudah-mudahan rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa bersamanya dan keluarga.
Pengisian ceramah kali ini juga amat menarik berkaitan isu Palestine. Selagi Palestine tidak dibebaskan dari cengkaman Laknatullah, selagi itu isu ini tidak akan berakhir. Ia bukanlah sekadar isu bermusim seperti yang sering berlaku dalam masyarakat Malaysia. Bagi saya, kesalahan tidaklah diletakkan keseluruhan kepada masyarakat tetapi peranan media dalam menyiarkan berita dan peristiwa ini secara konsisten juga amat penting. Isu serangan ke atas para sukarelawan Flotia yang berlaku tidak sampai sebulan yang lepas kini telah lenyap dengan adanya Piala Dunia. Pandangan saya, sokongan masyarakat Islam terhadap Piala Dunia juga tidak kurang hebat seperti kecaman dan kejian yang dilemparkan semasa isu Flotia berlaku. Nampaknya, usaha lebih gigih dan berkesan diperlukan untuk mendidik hati dan iman masyarakat kita supaya dapat mencontohi iman saudara-saudara kita di Mesir. Menurut Ustaz Abdul Halim, pemimpin Mesir tidak menggambarkan masyarakatnya. Walaupun pemimpinnya dilihat tidak begitu mendukung usaha-usaha kebebasan Palestine, rakyatnya punya jiwa yang cukup kental dan berani. Mereka sanggup bekerja tanpa menerima gaji selama lapan bulan semata-mata kerana menyokong perjuangan Islam. Saya tidak dapat bayangkan kalau itulah keadaan yang berlaku di Malaysia.
Saya pernah mendengar pandangan bahwa iman manusia ini ada masa naik dan turunnya. Satu cara yang boleh membantu iman dan kecintaan kita kepada Allah tidak berkurang dan bertambah adalah dengan melakukan amalan secara konsisten dan sentiasa mendekatkan diri dengan program-program yang boleh mendidik rohani dan jiwa. Amalan membaca al-Qur'an setiap hari adalah amat berkesan dalam membantu melembutkan hati dan menetapkan iman. Mewujudkan suasana ibadah dalam keluarga juga amatlah digalakkan selain dari mendekatkan diri dengan rakan-rakan yang sentiasa cuba mendekatkan diri kepada jalan Allah.Sesungguhnya manusia ini tidak sempurna dan panjatkanlah doa kepada Allah agar sentiasa diberikan hidayah dan dimatikan dalam keadaan yang diredhai Allah. Kekuatan dan semangat dakwah saya mungkin tidak sehebat Ustaz Abdul Halim tetapi saya berharap agar Allah sentiasa membuka hati saya agar sentiasa berusaha memperbaiki diri dan tidak jemu-jemu mengejar ilmu ukhrawi...
No comments:
Post a Comment