Setelah tiga malam menginap di rumah Encik Imran di Kensington, Sydney, kami meneruskan pengembaraan seterusnya ke Cooma, New South Wales untuk menikmati kehebatan alam ciptaan Allah yang dilitupi salji di Snowy Mountain pada hari berikutnya. Perjalanan dari Sydney ke Cooma mengambil masa lebih kurang lima jam. Kami tiba pada jam 8.00 malam. Kami telah membuat tempahan Ensuite Cabin yang boleh memuatkan sehingga lima orang di Snowtel Caravan Park sebelum bertolak ke Sydney lagi. Kawasan penginapan ini diusahakan bersama-sama oleh sebuah keluarga yang cukup ramah dan mesra. Kebetulan kami belum menempah untuk menyewa kelengkapan dan pakaian snow dari mana-mana kedai. Mujur juga Snowtel turut menawarkan sewaan peralatan bermain salji dengan harga yang sangat berpatutan.
Suhu di Cooma ini memang sangat-sangat sejuk pada hari pertama kami tiba sampaikan kereta dan selipar yang tertinggal di luar cabin diliputi ais pasa keesokan paginya. Kebetulan pula heater asal cabin tidak berfungsi dan kami dibekalkan dengan dua heater kecil yang sememangnya tak terasa langsung disediakan suhu di bawah paras beku. Kalau sudah suhu begitu, saya yang rajin mandi ni pun jadi takut nak mandi. Silap-silap boleh demam terkejut kalau mandi dalam cuaca yang sebegitu sejuk. Awal-awal pagi lagi anak-anak sudah bangun sebab begitu bersemangat nak bermain salji. Walaupun mereka tak pernah lagi melihat salji sebelum ini, tapi gaya-gayanya macam dah biasa bermain dengan salji. Yang paling tak sabar, dah tentulah Ariff. Mungkin kerana dia sudah faham dan pengalaman ini akan menjadi satu kenangan terindah dalam hidupnya. Akeef dan Najla juag seronok tetapi mungkin kenangan bercuti ini tidak begitu terkesan dalam jangkamasa yang lama sebab usia yang masih terlalu muda.
Dengan berbekalkan sandwich dan jemput-jemput ikan bilis, kami meneruskan perjalanan ke Jindalee yang memakan masa lebih kurang 50 minit dari tempat penginapan. Setibanya di Jindalee, kami menaiki train untuk ke Perisher, tempat yang ditunggu-tunggu sekian lama untuk bermain salji. Kali pertama melihat pemandangan alam dilitupi warna putih di mana-mana membuatkan mata saya tidak berkedip memandang. Subhanallah, terima kasih ya Allah kerana memberi rezeki kepada saya dan keluarga tersayang menikmati kehebatan dan keindahan alam ciptaanMu. Rasa tidak percaya dengan apa yang saya nampak di depan mata. Seronoknya Ariff, Akeef dan Najla dapat bermain toboggan di atas ais. Toboggan merupakan alat permainan yang lebih kurang konsepnya seperti upih pinang jika di Malaysia. Bezanya upih pinang perlu ditarik untuk digerakkan tetapi toboggan ini akan meluncur sendiri menuruni bukit-bukit salji. Kami juga berkesempatan berkenalan dengan beberapa keluarga pelancong lain yang datang menikmati keindahan musim sejuk di Perisher. Sebabnya ialah kerana kami mempunyai toboggan yang banyak tetapi tidak digunakan semua kerana Najla menaiki toboggan bersama ayah, jadi adalah lebihan toboggan yang tidak dipakai. Mereka pulak mungkin tidak cukup atau tidak ada langsung toboggan tetapi ingin turut sama menkmati keseronokan meluncur di atas ais, jadi kami meminjamkan toboggan kami. Keseronokan bermain toboggan terpaksa berakhir disebabkan hari beransur gelap dan jentera-jentera penyodok salji sudah datang untuk meratakan kawasan. Kami bergerak semula ke stesen dan menaiki train semula untuk ke Jindalee. Walaupun penat bermain tapi keseronokan dan kebahagiaan dapat bersama-sama dengan ayah dan ummi terpancar jelas di wajah anak-anak. Tiba saja di rumah, semua terus memanjat katil masing-masing selepas menyalin uniform tidur.
Keesokan harinya kami menuju ke Canberra yang merupakan pusat pentadbiran di Australia. Jika di Malaysia, konsepnya bolehlah diibaratkan seperti Putrajaya. Walaubagaimanapun, kehebatan Canberra masih jauh jika dibandingkan dengan Putrajaya. Kami sempat melawat War Memorial yang menempatkan sejarah Australia semasa zaman sebelum merdeka dan dalam kancah peperangan. Kemudian, kami ke Botanical Garden, sekadar untuk bergambar dan menikmati keindahan taman.
Selepas puas melawat Canberra, kami meneruskan perjalanan kembali semula ke Brisbane. Perjalanan ini dijangka mengambil masa 18 jam, tidak termasuk masa untuk berhenti rehat. Kami berhenti untuk makan malam dan menunaikan solat jama' Maghrib dan Isya' di sebuah picnic area kira-kira dua jam selepas bertolak. Makan nasi berlaukkan sambal tumis sardin dan telur masak kicap yang saya sediakan sebelum bertolak di cabin. Walaupun taman rekriasi itu begitu indah dan teratur tetapi kerana cuaca yang dingin menyebakan kami tidak saar-saar untuk cepat-cepat makan dan masuk semula ke dalam kereta. Saya berpesan kepada anak-anak supaya makan kenyang-kenyang kerana selepas ini tidak ada lagi hidangan nasi sehingga sampai ke rumah nanti. Perjalanan diteruskan dan kami berhenti untuk melelapkan mata sebelum meneruskan perjalanan keesokan paginya kira-kira jam 10 malam.
Solat subuh kami tunaikan di dalam kereta memandangkan cuaca yang sejuk dan hujan renyai-renyai di luar. Mujur terdapat kemudahan tanda yang bersih di stesen minyak, boleh kami menumpang untuk mengambil wudhu'. Selesai solat, perjalanan diteruskan lagi. Kali ini kami melaui jalan yang berbeza dari laluan highway sebelum ini. Perjalanan kali ini melalui country side yang dihiasi pemandangan ladang-ladang dan haiwan-haiwan yang meragut rumput. Sungguh indah suasana pagi sepanjang perjalanan ini. Kami berhenti untuk makan dan solat jama' Zohor dan Asar di Grafton. Memandangkan perut sudah berkeroncong, kami menikmati grilled fish n chips yang dibeli dari sebuah restoran kecil di pekan itu. Berebut-rebut makan bersama dengan anak-anak sebab semuanya sudah kelaparan setelah hanya makan roti dan biskut untuk sarapan. Alhamdulillah akhirnya kami selamat sampai ke rumah pada jam lapan malam. Lega dan bahagianya dapat menikmati tilam dan bantal sendiri setelah sehari suntuk di dalam kereta. Sesungguhnya, pengalaman pengembaraan ini tidak akan saya lupakan sepanjang hayat sebagai antara kenangan termanis untuk saya dan keluarga. Semoga selepas ini Allah beri peluang untuk kami menikmati keindahan ciptaan-Nya di tempat yang lain.
No comments:
Post a Comment