Sumber: https://www.flickr.com/photos/mzaidi_dot_com |
Kali ini saya ingin berkongsi berkenaan sekolah rendah berasaskan Islam yang menjadi rebutan di kalangan ibu bapa di sekitar Kajang/ Bangi. Berbanding dengan pada zaman kanak-kanak saya dahulu, kini terdapat lebih banyak pilihan sekolah integrasi (akademik biasa dan agama) swasta mahu pun kerajaan. Setelah melihat kepada betapa pentingnya mengutamakan pendidikan akhirat kepada anak-anak dan masalah sosial yang melanda generasi muda masa kini, ibu bapa sudah tidak berkira untuk menyediakan pelaburan pendidikan yang lebih baik untuk anak-anak demi masa depan yang lebih baik di dunia dan akhirat. Ibu bapa bijak lebih sanggup menyediakan pendapatannya untuk pendidikan terbaik dunia dan akhirat buat anak-anak berbanding memilih untuk membeli kereta mahal, pakaian dan kasut berjenama atau pun makan mewah di luar menjadi kebiasaan. InsyaAllah pelaburan ini lebih berbaloi daripada meleburkan duit untuk material dan keduniaan semata-mata. Namun jika sekolah kebangsaan atau sekolah-sekolah lain menjadi pilihan, insyaAllah itu jualah yang terbaik untuk anak-anak.
Antara sekolah integrasi terbaik dan popular di kawasan Bangi/ Kajang adalah seperti berikut:
1. Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI), Bandar Baru Bangi
Sekolah ini merupakan sekolah rendah di bawah pengawasan dan kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Terdapat beberapa SRAI yang lain di beberapa daerah lain di negeri Selangor. Kedudukannya terletak bersebelahan dengan Balai Polis Bandar Baru Bangi, kira-kira 10 minit daripada Putrajaya melalui gate Sg Merab.
Yurannya adalah yang paling minimum di antara lain-lain sekolah seumpamanya disebabkan ia mendapat peruntukan daripada JAIS. Kebiasaannya, borang permohonan akan dibuka pada bulan Februari atau Mac setiap tahun bagi kemasukan tahun satu tahun berikutnya. Ibu bapa perlu sentiasa alert dengan menyemak laman web kerana waktu permohonan sangat terhad dan sebarang permohonan selepas daripada tarikh tutup tidak akan dilayan. Ujian kemasukan kebiasaannya dijalankan antara bulan Jun atau Julai setiap tahun.
Laman web sekolah boleh dicapai di SINI.
2. Sekolah Rendah Islam Al-Amin
Sekolah Rendah dan Menengah Sri Al-Amin Bangi merupakan salah sebuah sekolah di bawah Rangkaian IKRAM Musleh iaitu sebuah organisasi yang menggabungkan semua sekolah-sekolah IKRAM satu Malaysia. Sekolah ini terletak tidak jauh dari Stesen Komuter UKM di Sg Tangkas. Jalan di situ agak sesak dan ibu bapa perlu menghantar anak-anak lebih awal untuk mengelakkan kelewatan. Tempoh masa ke sekolah ini daripada Putrajaya adalah antara 20 - 30 minit.
Yuran pengajian adalah berpatutan bagi sekolah intergrasi swasta yang menyediakan pendidikan terbaik di samping makan minum buat pelajar. Permohonan boleh dikemukakan ketika anak berusia enam tahun dan kebiasaannya, borang akan diedarkan sekitar Februari atau Mac dan peperiksaan kemasukan adalah antara Jun atau Julai setiap tahun. Selain daripada ujian kemasukan, syarat untuk mendapat tempat di sekolah ini adalah temuduga pihak sekolah dengan ibu bapa dan kursus khas yang akan diadakan pada waktu tertentu. Anak-anak yang melepasi kesemua kriteria yang disebutkan sahaja yang akan diterima untuk untuk belajar di sini.
Laman web sekolah boleh dicapai di SINI.
3. Sekolah Rendah Islam ABIM, Sg. Ramal
Sekolah ini adalah di bawah inisiatif Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Sewaktu saya masih kecil, inilah satu-satunya sekolah agama integrasi yang ada di sekitar Kajang dan Bangi. Waktu itu, anak-anak yang dihantar ke sekolah ini adalah daripada keluarga yang berkemampuan. Saya mengenali beberapa orang kawan-kawan yang bersekolah di situ dan sahsiah dan kematangan mereka agak jauh berbeza dengan anak-anak di sekolah kebangsaan seperti kami. Sejak daripada itu, saya berazam akan menghantar anak-anak ke sekolah ini satu hari nanti. Sekiranya keadaan trafik lancar, tempoh ke sekolah ini daripada Putrajaya adalah selama 10 - 15 minit.
Yuran pengajiannya tidak jauh berbeza dengan sekolah agama integrasi lain seperti Al-Amin dan Sri Ayesha. Permohonan dan ujian kemasukan juga tidak lari dengan masa dan tempoh sekolah agama integrasi lain.
Laman web sekolah boleh dilihat di SINI.
4. Sekolah Rendah Sri Ayesha
Sekolah ini agak berbeza daripada sekolah agama integrasi yang di atas kerana menggunakan konsep montessori dan bahasa pengantar yang digunakan adalah Bahasa Inggeris. Ia terletak salah sebuah rumah kedai di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi. Berdasarkan pembacaan saya, sekolah akan dipindahkan ke kawasan yang lebih sesuai apabila bangunan sekolah siap kelak.
Laman web sekolah boleh dilihat di SINI.
5. Adni Bangi
Sekolah ini baru sahaja dilancarkan pada tahun 2015 dan menerima kemasukan tahun satu dan dua sahaja pada tahun ini. Sekolah ini juga menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantarnya. Ianya terletak di Kg Dato' Abu Bakar Baginda, kira-kira tak sampai lima minit ke Putrajaya melalui gate Sg Merab.
Laman facebook sekolah boleh dicapai di SINI.
Bagi ibu bapa yang berhasrat menghantar anak-anak ke sekolah agama intergrasi di sekitar Kajang atau Bangi, boleh menyemak laman web sekolah bagi mengenalpasti silibus dan keseuaian pendidikan yang disediakan. Jangan lupa melawat sekolah secara live bagi melihat sendiri persekitaran sekolah dan jarak antara sekolah dan rumah. Suka saya ingatkan bahawa kebanyakan sekolah agama integrasi ini berdiri sendiri tanpa bantuan wang kerajaan pusat. Keadaaannya mungkin tidak seindah sekolah kebangsaan biasa tetapi jiwa dan roh di sini sangat berbeza auranya dengan sekolah-sekolah biasa. Jika tidak percaya, cubalah lawati mana-mana sekolah di atas pada waktu persekolahan dan pergi juga ke sekolah kebangsaan biasa untuk melihat apakah aura yang saya maksudkan. InsyaAllah, tuan puan akan merasainya, di mata dan di hati...