Followers

Wednesday, January 20, 2010

Good Bye Putrajaya!

Alhamdulillah kami telah selamat berpindah ke rumah sementara, menumpang di rumah adik saya di Taman Sekamat, Kajang pada 2 Januari yang lepas. Memandangkan sudah lebih 5 tahun kami berumahtangga, adalah sedikit-sedikit kelengkapan rumah yang telah dibeli dari awal kami berkahwin. Alat terakhir yang kami beli adalah freezer Sharp yang saiznya lebih tinggi dari ketinggian suami pada pertengahan 2008 yang lepas. Sebenarnya itu adalah peti ais ke-2 kami selepas peti ais satu pintu yang kami miliki sebelum ini. Alasan bertukar kepada peti ais baru adalah kerana bilangan ahli keluarga yang semakin bertambah menyukarkan kami untuk menyimpan stok lauk pauk selama seminggu di samping bagi menjamin ruang sejuk beku yang cukup untuk menyimpan stok susu beku semasa saya masih menyusukan Najla dan anak-anak seterusnya nanti. Apa pun, kita ini hanya mampu merancang dan Allah jualah yang lebih berkuasa untuk menentukan segalanya. Siapa sangka tidak sampai tiga bulan ia berjasa kepada kami, kami berkemungkinan besar akan meninggalkannya kerana tawaran belajar ke luar negera yang saya terima. Masa itu segalanya nampak masih jauh sebelum tiba masanya. Akhirnya sehari sebelum saya berpindah, kami terpaksa berpisah kerana kami telah penjualnya kepada orang yang lebih memerlukan. Pada masa itu, tiba-tiba hati ini menjadi hiba dan terharu kerana terpaksa berpisah dengannya sehingga saya tidak sanggup melihat peti kesayangan itu diangkat ke atas lori.

Semasa hari-hari awal kami berpindah, ia adalah saat-saat yang agak menyukarkan untuk saya dan keluarga untuk membiasakan diri. Maklumlah menumpang di rumah orang tentu tak sama dengan tinggal di rumah sendiri. Anak-anak saya pula demam terkejut seorang demi seorang dan asyik tanya bila nak balik ke Putrajaya. Alhamdulillah setelah lebih dua minggu kembali semula ke rumah semasa zaman kanak-kanak saya ini, saya dan keluarga telah dapat menyesuaikan diri. Anak-anak pun sudah ada kawan-kawan baru dan bermain semula walaupun tiada taman permainan di depan rumah seperti di Putrajaya.

Majlis tahlil, kesyukuran dan doa selamat juga telah berjalan lancar dan terima kasih banyak kepada semua sahabat-sahabat, saudara mara dan jiran tetangga yang sudi hadir. Mohon maaf juga jika ada sebarang kekurangan atau kelemahan. Maklumlah, tengah ramai-ramai tu macam-macam yang jadi. Walaupun saya tidak sempat menjamah nasi beriani dari katering kegemaran pada hari itu, saya rasa sangat gembira dan berpuas hati dengan kehadiran semua. Malam itu kaki rasanya nak tercabut kerana asyik berdiri sepanjang hari tapi hati tetap happy dan seronok dapat berjumpa kawan-kawan lama dan baru. Terima kasih semua dan doakan segala urusan kami nanti dipermudahkan Allah...

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...