Akhirnya tiba jugak hari untuk menghantar bibik kembali ke kampung. Alhamdulillah, majlis nikah anak lelakinya telah selamat berlangsung pada 14 Januari yang lalu. Kali ini bibik mesti pulang untuk bersiap untuk kenduri di sebelah pengantin lelaki pula. Pukul 3.30 petang kami telah bertolak dari rumah walaupun waktu penerbangan bibik dijangkakan pada jam 6.45 petang. Kami singgah di restoran untuk makan-makan dulu supaya bibik tak lapar dalam penerbangan. Maklumlah, Air Asia bukan ada meal macam naik MAS. Kalau ada pun, harga jualnya berpuluh kali ganda tinggi banding dengan harga biasa.
Suasana menghantar bibik utnuk kembali ke Surabaya yang pada awalnya dijangka lancar sedikit mengganggu perasaan bila berat barang yang bibik nak bawak balik melebih had yang sepatutnya. Sebelum berangkat, kami dah menambah had barang kepada 30kg dengan menambah bayaran tiket tetapi rupa-rupanya semua barangnya lebih daripada 60kg. Bayaran sebanyak RM700 perlu dijelaskan untuk kesemua barang tersebut. Mak oi, tambang barang lagi mahal dari tambang orang. So, kami ambil keputusan supaya kotak yang berisi pakaian akan dihantar kemudian.
Selepas menghantar bagasi dan check in barang, bibik pergi solat asar dulu memandangkan waktu penerbangan yang kami jangkakan pada jam 6.45 petang masih lama. Kira-kira 45 minit sebelum waktu penerbangan, bibik pun selamat check in ke balai berlepas. Sedihnya rasa waktu tu. Bukan senang nak dapat pengasuh dan pembantu yang sebaik dan sebagus bibik Yuliatin. Ariff memeluk bibik sambil katakan Ariff akan rindukan bibik. Akeef dan Najla maybe tak berapa faham apa yang akan berlaku masih lagi seronok dan melambai bibik. Bila bibik dah naik escalator dan dah tak nampak, baru la Najla tersedu sedan kerana bibik sudah pergi. Mungkin dia baru tersedar yang bibik akan tinggalkan kami.
Kami terus ke surau untuk menunaikan solat asar. Masa tu, hati rasa tidak begitu tenang tapi tak tau apa sebabnya. Sebaik sahaja selesai solat dan membayar parking, kami dikejutkan dengan panggilan telefon bibik bahawa kapal terbangnya sudah terlepas. Waktu itu jam masih pukul 6.20 sedangkan penerbangannya pada jam 6.45, macam mana pulak boleh terlepas. Macam-macam persoalan dalam kepala yang keluar. Agaknya bibik salah tunggu tempat atau mungkin petugas tu yang confuse. Maka, tak jadilah kami balik dan menunggu bibik untuk kembali ke bawah. Sambil itu Najla masih lagi menangis-nangis dan tak ada mood kerana sudah tersedar akan kehilangan bibik.
Ujian Allah pada kami hari itu, rupa-rupanya tiket penerbangan bibik yang sebenar adalah pada pukul 5.15 petang dan 6.45 petang itu sebenarnya adalah waktu tiba di Surabaya. Subhanallah! Allahu Akbar! Sesungguhnya manusia yang daif dan lemah ini hanya mampu merancang tetapi Allah jua yang berkuasa atas segala-galanya. Kecuaian kami melihat waktu penerbangan tiket rupanya memberi implikasi yang besar atas apa yang akan berlaku. Waktu itu masih ada penerbangan terakhir pada hari itu ke Surabaya pada jam 8.15 malam. Urusan pembelian semula itu dibuat sambil berlari-lari kerana kesuntukan masa. Bibik selamat check in semula 20 minit sebelum penerbangan berlepas. Kami sekali lagi mengucapkan selamat tinggal dan melambai-lambai kepada bibik. Harap-harap ini lambaian terkahir untuk kali ini. Selamat jalan bibik. Mudah-mudahan semuanya selamat dan dipermudahkan Allah.
Alhamdulillah pada tengah malam akhirnya dapat juga panggilan yang dinanti-nanti. Bibik telah selamat ke pangkuan keluarga dan sedang dalam perjalanan pulang ke kampung yang mengambil masa empat jam ke lapangan terbang. Tiada kata lain yang selayaknya diucapkan melainkan alhamdulillah dan syukur ya Allah. Terima kasih atas ujian ini dan mudah-mudahan ia menjadi pengajaran yang berharga untuk kami memperbaiki diri sebagai hambaMu yang lemah dan lalai.
No comments:
Post a Comment