Followers

Showing posts with label BBIM. Show all posts
Showing posts with label BBIM. Show all posts

Friday, December 07, 2012

Pencapaian Anak-anak 2012 Siri 2

Hari ini sudah masuk dua minggu anak-anak bercuti sekolah panjang di hujung tahun. Makanya sudah dua minggu jugalah anak-anak berada di kampung halaman bersama Wan dan Atok. Rasa sunyi dan sepi rumah tanpa sebahagian anak-anak kerana sudah terbiasa dengan keadaan meriah dan sibuk. Sekarang hanya Aleesya Nour yang ada di rumah menemani ummi dan ayah. Pada awal-awal ketiadaan abang dan kakak, Aleesya sibuk me'round' rumah dari dapur ke depan dan dari bilik ke bilik. Saya berpesan yang abang-abang dan kakak ada di kampung kerana cuti sekolah bila lihat dia sibuk ke sana ke mari. Pada hemat saya, mungkin dia mencari-cari di mana abang-abang dan kakak yang selalunya sibuk mengajaknya bermain. Selepas dua tiga hari mengulang perkara yang sama, dia sudah menghentikan pencariannya setelah gagal menemui abang-abang dan kakak pada setiap misi pencariannya :-). Hampir setiap petang, kami akan menghubungi mereka di kampung dengan loud speaker supaya Aleesya dapat berbual dengan abang dan kakak.

Menghantar anak-anak ke kampung meruapakan satu alternatif pada musim cuti sekolah panjang kerana sukar mencari pengasuh lebih-lebih lagi di Putrajaya yang boleh menjaga anak-anak hanya pada musim cuti. Memikirkan yang anak-anak sudah besar panjang dan boleh berdikari, percutian mereka ke kampung halaman adalah lebih sesuai dari terperuk di rumah. Maklum sajalah kami tinggal di apartment, tiada tempat luas untuk mereka bermain dan aktiviti outdoor yang sangat terhad. Sekurang-kurangnya di kampung bolehlah bermain basikal, menyepak bola, bermain badminton dan menolong wan dan atok membersihkan laman rumah yang luas di kampung. Kebetulan sekarang ini musim buah dan anak-anak ini memang suka makan buah rambutan. Wan dan atok juga tidak rasa sunyi bila ada cucu-cucu meneman dengan syarat anak-anak diharap berhemah dan tidak menyusahkan Wan dan Atok di kampung. Sekali sekala timbul juga perasaan risau jika anak-anak ini berperangai yang tidak sepatutnya dan membuatkan Wan dan Atok pening kepala. Alhamdulillah setakat ni semua baik-baik saja dan semuanya menurut perintah.:-)

Adreana Najla Mohd Nasir
Umur pada 7 Disember 2012: 5 tahun, 7 bulan dan 18 hari.
Sifat Terpuji:
1. Seorang anak yang suka menolong ummi membuat kerja-kerja dapur.
2. Suka dan pandai melayan adik kecil. Terkekek-kekek adik ketawa bila main sama kakak Najla.
3. Anak yang cepat tangkap bila belajar sesuatu. Najla mempunyai kemahiran yang baik dalam pelajaran Matematik.
4.  Najla memiliki bakat yang sangat baik dalam baking. Setiap kali membuat kek atau cup cake, dia akan setia menyiapkannya sehingga kek selamat dimasukkan ke dalam oven. Hasil kerjanya sangat kemas dan lebih baik berbanding ummi. :-)
Sifat Yang Boleh Diperbaiki:
1. Najla tentu lagi comel jika senang bangun tidur pada waktu pagi dan rajin mandi pagi. :-D
2. Bila Najla tidak memangis dan kurang merajuk, Najla sama macam princess yang cantik dan baik hati... :-)
3. Semua orang sayang Najla jika Najla tidak menyaakat abang-abang.

 Pencapaian Bacaan Al-Quran: Buku Iqra' 3 setelah mula serius mengaji pada usia lima tahun lebih. Alhamdulillah sekarang ni Najla sangat berminat mengaji Iqra' sampai tak terlayan ummi dan ayah. Lepas mengaji dengan ummi dan beralih satu page, dia pergi mengaji dengan ayah pula supaya dapat alih satu page lagi. Wan kata di kampung sekarang kalau boleh satu hari sampai enam kali nak mengaji supaya cepat boleh baca Al-Quran macam abang-abang.
Hafazan di Sekolah: Sudah menghafaz surah-surah Juzu' Amma. Semasa persembahan sekolah baru-baru ini, Najla menghafaz sebahagian Surah Al-Anbiya' termasuk tafsir dalam Bahasa Inggeris.
Pencapaian Solat: Alhamdulillah Najla semakin rajin bersolat bila diajak dan telah menghafaz bacaan-bacaan dalam solat yang dipelajari di sekolah.
Pencapaian Membaca dan Menulis: Masih perlu banyak praktis untuk membaca BM dengan lancar. Najla belajar membaca BI dahulu sebelum BM supaya tidak confius dengan bunyi huruf. Saya tidak begitu risau walaupun dia tidak menguasai teknik membaca lebih awal kerana Ariff dan Akeef dulu pun betul-betul lancar membaca pada usia enam tahun. Keutamaan saya adalah pada penguasaan bacaan Al-Quran dahulu sebelum anak-anak boleh menguasai bacaan BI dan BM.

Aleesya Nour Mohd Nasir
Umur pada 7 Disember 2012: 1 tahun, 7 bulan dan 17 hari.

Perkembangan terkini:
1. Daripada hanya enam batang gigi (empat di atas, dua di bawah) sejak tahun lalu, Aleesya telah tumbuh enam batang gigi lagi secara serentak (tambahan dua di bawah dan keseluruhan gigi geraham).
2. Alhamdulillah Aleesya dikurniakan kesihatan yang baik seperti abang-abang dan kakaknya sejak kecil. Hanya akan demam bila nak tumbuh gigi dan semasa awal-awal masuk ke taska dulu. Mungkin kerana belum serasi dengan suasana taksa. Alhamdulillah sekarang dah immune dan sihat walafiat sentiasa.
3. Sudah pandai bercakap beberapa patah perkataan dan suka sangat mamanggil ayah dan ummi sebelum mula bercerita dalam bahasanya sendiri. Alhamdulillah Aleesya sama seperti abang-abang dan kakaknya yang pandai bercakap terus dan tiada bunyi pelat.

4. Hobi pada masa lapang ialah 'mengemas' kabinet dapur. Pantang masuk dapur mesti nak kemas.
5. Rancangan kegemaran ialah Upin Ipin dan lagu tema TV Alhijrah selain dari suka menonton klip video Maher Zain.

Thursday, December 06, 2012

Pencapaian Anak-anak 2012 Siri I

Tarikh hari ini menunjukkan tinggal kurang 23 hari lagi sebelum tahun 2012 melabuhkan tirainya. Sedar tak sedar, sungguh pantas masa berlalu dari hari ke hari. Dalam kecepatan masa itu juga, terlalu banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku dalam tahun 2012 ini yang tak sempat dicatatkan secara bertulis tetapi kesemuanya tetap terpahat di dalam hati. Alhamdulillah satu tahun yang berlalu menunjukkan banyak perubahan dan kemajuan pada anak-anak. Syukur juga dengan pertambahan umur ini bermakna sudah bertambah nikmat umur yang Allah beri, maka bertambah jualah pengalaman dan kematangan hidup tetapi semakin hampir dengan alam yang hakiki.

Pada tahun hadapan, Abang Ariff Najmuddin akan melangkah ke tahun dua bermakna sudah setahun Ariff bersekolah di Sekolah Rendah Islam Abim, Sungai Ramal. Tidak terucap dengan kata-kata rasa syukur atas peluang yang Allah beri untuk Ariff bersekolah di Sri Abim. Sangat banyak perkara positif yang diperolehi beliau sepanjang masa di sana. Abang Akeef Nu'man dan Kakak Adreana Najla juga sedar tak sedar sudah menamatkan tahun pertama persekolahan di Brainy Bunch Islamic Montessori, Putrajaya. Alhamdulillah mereka berdua gembira dan belajar banyak perkara baru dan positif di sekolah. Tahun hadapan, Akeef akan menurut jejak langkah Ariff menuntut di Sri Abim setelah menjalani ujian kemasukan tahun satu pada Julai 2012 yang lepas. Najla pula akan meneruskan pengajian tadika enam tahunnya di BBIM Putrajaya.

Ariff Najmuddin Mohd Nasir
Umur pada 6 Disember 2012: 7 tahun, 10 bulan dan 24 hari.
Sifat Terpuji:
1. Seorang anak yang lemah lembut bila bercakap dan bertanggungjawab pada adik-adik. Boleh melayan adik jika ummi sibuk membuat kerja dapur.
2. Seorang anak yang berdikari dan suka mengajak adik-adik membuat kebaikan.
3. Seorang anak yang kuat semangat. Mampu berpuasa penuh dengan rela hati semasa bersekolah di Brisbane walaupun dikelilingi oleh kawan-kawan bukan Muslim pada usia enam tahun. Hanya tertinggal puasa selama sehari masa di sana kerana ummi bangun lambat dan tak sempat kejut sahur. Seharian dia menangis dan memohon maaf kerana tidak dapat berpuasa.
4. Seorang anak yang istiqamah dalam solat lima waktu pada usia tujuh tahun. Dia juga sering mengingatkan ummi dan ayah supaya bersolat awal waktu. Jika bermusafir dan sudah masuk waktu solat, dialah yang akan cepat-cepat mengingatkan supaya segera bersolat.
5. Seorang anak yang prihatin dan suka membantu orang lain yang dalam kesusahan.


Sifat Yang Boleh Diperbaiki
1. Perlu cepat-cepat ambil al-Quran untuk mengaji selepas solat maghrib supaya dapat pahala banyak.
2. Boleh dapat cepat masuk syurga jika suka tolong ummi kemas rumah bila diminta.
3. Airff akan lebih handsome jika boleh makan sedikit demi sedikit dan berhati-hati semasa makan.

Pencapaian Bacaan Al-Quran: Juzu' 13 di rumah bersama ayah/ ummi di rumah dan Juzu' 1 di sekolah. Tahap bacaan dan tajwidnya juga sangat baik dari hari ke hari. (Di sekolah juga ada bacaan intensif yang dinilai dari awal tahun pelajar masuk ke sekolah dan dikelaskan bermula dari Qiraati 1 hingga Al-Quran).
Hafazan di Sekolah: Sudah tamat Juzu' Amma dan mula hafazan Juzu' Satu.
Pencapaian Bacaan dan Penulisan BM: Semakin baik dari hari ke hari tetapi masih perlu banyak membaca dan memperbaiki tatabahasa.
Pencapaian Bacaan dan Penulisan BI: Semakin baik dari hari ke hari tetapi masih perlu banyak membaca untuk menambah idea membuat karangan yang baik.
Pencapaian Bacaan dan Penulisan Jawi: Cemerlang (Tiada asas penulisan dan bacaan jawi masa mula-mula ke sekolah).
Pencapaian Bacaan dan Penulisan BA: Semakin baik dari hari ke hari dan menunjukkan kemajuan dalam prestasi peperikasaan.
Pencapaian Matematik: Cemerlang. Menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dalam peperiksaan akhir tahun.
Peperiksaan Awal Tahun: Tempat ke-18 dari 33 orang dengan peratusan markah sebanyak 84%.
Peperiksaan Akhir Tahun: Tempat ke-13 dari 34 orang dengan peratusan markah sebanyak 88%, menerima anugerah mata pelajaran Pendidikan Teras Islam Terbaik (Sungguh tak sangka sebab bersekolah di sekolah orang putih sebelum ini :-) ).
Pencapaian Lain: Seorang anak yang mempunyai bakat dalam bidang seni suara (menurun dari ayahnya seorang bekas penyanyi nasyid yang meletop di UIA dulu :-D). Boleh melaungkan azan dengan baik dan suka menyanyikan lagu-lagu nasyid yang disukainya.
Program Cuti Sekolah Yang Dihadiri:
1. Kem Anak Soleh (5 hari)
Hasil: Menjadi anak yang lebih prihatin untuk membantu ummi dan ayah membuat kerja rumah.
2. Kem Brilliant Student AMPAC (5 hari)
Hasil: Dapat berpidato dengan cemerlang dan yakin. Ayah dan ummi pun terkejut kali pertama tengok Ariff berpidato dengan hebat dan yakin.


Akeef Nu'man Mohd Nasir
Umur pada 6 Disember 2012: 6 tahun, 9 bulan dan 5 hari.
Sifat Terpuji:
1. Seorang anak yang rajin menolong ummi mengemas rumah.
2. Seorang anak yang sangat berdikari. Setiap pagi akan bangun tidur sendiri, mandi dan  bersiap untuk ke sekolah tanpa disuruh. Begitu juga pada waktu mandi petang.
3. Seorang yang sangat mementingkan penampilan diri yang kemas dan wangi. Akan menyikat rambut dengan mengadap cermin sekurang-kurang 10 minit selepas mandi, memakai bedak (apa-apa bedak yang dia jumpa akan dipakainya tak kira la bedak perempuan atau lelaki atau baby) dan minyak wangi (sudah tiga botol minyak wanginya habis diguna pada tahun ini). Akan marah dan tak puas hati jika orang terusik rambutnya hingga menyebabkan remos beliau lari dari tempat asal.
4. Seorang anak yang bersungguh-sungguh dalam membuat sesuatu perkara. Sangat suka membaca al-Quran. Jika ummi dan ayah tidak dapat mengajarnya membaca al-Quran pada satu-satu hari, beliau akan membaca al-Quran sendiri (walaupun ayah dah kata kena khatam dulu baru boleh baca al-Quran sendiri). Juga sangat tekun dan rajin dalam membuat latihan akademik. Lebih dari lima belas buku latihan di rumah yang telah dihabiskan pada tahun ini. Rekod beliau menghabiskan satu buku latihan dalam masa satu hari sahaja dan mengeluh kerana dah tak ada buku nak ditulis.
5. Seorang abang yang bertanggungjawab terhadap adik-adik. Dia akan menegur Najla jika dia tidak memakai tudung atau tidak bersolat. Bila Najla kata dia kecik lagi, beliau akan berkata budak kecik la kena belajar dari awal. Kalau dah besar dah tak sempat. Apa yang tidak sempat, tidaklah diketahui oleh ummi. :-)
6. Seorang anak yang bermotivasi tinggi dan akan cuba mencapai setiap apa yang diimpikan dengan pencapai terbaik.

Sifat Yang Boleh Diperbaiki
1. Akeef tentu lebih hebat jika boleh memahami arahan dengan lebih baik.
2. Akeef nampak comel jika pandai mencari barang yang diminta. Contohnya boleh cari baju sendiri selepas mandi. :-) (Akeef selalunya tidak pandai mencari barang dan Najla akan menjadi penolong setianya dalam misi mencari barang).
3. Jika bermain, sila jangan lupa diri. (Akeef ni kalau dah jumpa kawan dan bermain, dah tak ingat benda lain dah).

Pencapaian Bacaan Al-Quran: Juzu' 15 di rumah bersama ayah/ ummi di rumah.
Pencapaian Solat: Alhamdulillah Akeef telah mengahafaz bacaan-bacaan dalam solat yang dipelajari di sekolah dan selalu berebut-rebut dengan Abang Ariff untuk menjadi imam bila mereka mereka bersolat adik-beradik.
Hafazan di Sekolah: Sudah menghafaz surah-surah Juzu' Amma. Semasa persembahan hafazan Graduation Day baru-baru ini, Akeef mengetuai kumpulan hafazan dari Surah Al-Baqarah termasuk tafsir dalam Bahasa Inggeris.
Pencapaian Bacaan dan Penulisan BM: Semakin baik dari hari ke hari.
Pencapaian Bacaan dan Penulisan BI: Semakin baik dari hari ke hari.
Pencapaian Akademik di Sekolah: Penerima anugerah First Honour atas kecemerlangan akhlak, agama dan akedemik di sekolah.
Pencapaian Lain: Seorang anak yang berbakat dalam sukan. Menerima anugerah Atlet Lelaki Terbaik semasa Sukan Tahunan BBIM 2012 dan mendapat tempat ke-2 semasa  larian sukan di Ironside State School. Selain itu Akeef juga peminta tegar Maher Zain dan menghafal kebanyakan lagu-lagu Maher Zain dan dinyanyikan dengan penuh gaya. :-)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...