Followers

Saturday, July 23, 2011

Terima kasih Ya Allah...

Cuti semester musim sejuk berbaki kurang seminggu saja lagi. Berakhirnya cuti ini bermakna berakhirlah cuti panjang saya sebagai pelajar Sarjana sebelum menyambung semula tugas sebagai Pegawai Teknologi Maklumat pada Disember ini. Bermakna juga selepas ini saya dan keluarga pastinya merindui kenangan selama hampir dua tahun di bumi kangaroo.

Semasa semester pertama saya memulakan pengajian di sini, ada juga terdetik rasa sukarnya menjadi pelajar ketika memegang beberapa title besar lain sebagai ibu dan isteri. Tempoh lapan tahun menamatkan pengajian terdahulu juga membuatkan saya agak berkarat. Namun saya tetapkan semangat untuk cuba yang terbaik. Semester pertama dan kedua sememangnya agak mencabar kerana perlu mempelajari beberapa subjek programming yang kurang digemari dan dikuasai. Bantuan kawan-kawan dan suami banyak saya perolehi untuk subjek programming. Ketika itu terasa begitu 'makcik'nya saya kerana sukar memahami beberapa perkara. Alhamdulillah saya telah selesai dengan subjek-subjek teknikal yang mencabar buat pelajar pertengahan usia yang tidak obses kepada programming seperti saya. Walaupun tidak berjaya mencapai GPA seperti yang saya harapkan, saya tetap bersyukur ditambah dengan kata-kata semangat dari suami tersayang. Katanya kejayaan yang sebenar bagi saya bukanlah semata-mata kerana keputusan yang cemerlang tetapi terpaksa mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga. Kejayaan saya padanya ialah apabila berjaya menamatkan pengajian dan dalam masa yang sama dapat menjalankan tanggungjawab yang baik sebagai ibu dan isteri. Tidak ada apa yang perlu dikesalkan kerana saya telah berusaha bersungguh-sungguh dan setiap yang Allah tentukan adalah yang yang terbaik untuk saya.

Syukur akhirnya pada semester ke-tiga, barulah Allah menampakkan hikmahnya kepada saya dengan keputusan dan anugerah-anugerah yang cemerlang dalam pengajian. InsyaAllah, dengan pertolongan Allah jua saya menghampiri CGPA yang ingin dicapai. Sesungguhnya semua ini adalah pertolongan dari Allah yang tidak setanding dengan amal yang saya lakukan. Hebatnya kuasa Allah kerana menjadikan sesuatu yang tidak pernah terjangkau oleh fikiran saya yang belajar dalam keadaan yang penuh sederhana sebagai isteri kepada suami yang sangat memahami dan dua pasang cahaya mata yang bijak dan comel. Terima kasih Allah kerana memberi peluang saya merasai semua ini. Semoga nikmat ini menambahkan tingkat keimanan dan kesyukuran saya dan keluarga kepadaMu Ya Allah....

Saturday, July 16, 2011

Semakan Semula Matlamat Jangka Panjang 2011

Matlamat Pada Ogos 2009
1. Naik F44 : 2010
2. Further Masters Full Time : 2010-2012
2. Start my own business : 2011
3. 4th Baby : 2012
3. 5th Baby : 2013
4. 6th Baby : 2015
5. Naik F48 : 2018
6. Perform Hajj : 2020
7. Buy 2nd house : 2022″

Updated version:
1. Tamat Masters: 2011
2. 5th baby: 2013
3. Naik 48: 2014
4. Sambung Phd: 2014
5. Buy 2nd house: 2015
6. 6th baby: 2016
7. Start business: 2016
8. Perform Hajj: 2020

Friday, July 15, 2011

Anak-anakku Yang Empat

Anak-anak telah seminggu memulakan sesi persekolahan setelah dua minggu bercuti. Jenuh juga nak menjawab soalan bila boleh ke sekolah semula. Hari pertama bila sekolah dibuka, masing-masing bukan main bersemangat lagi. Awal-awal pagi dah bangun dan terus mandi sendiri. Syukur rasanya kerana telah banyak perubahan positif berlaku pada anak-anak bila mereka semakin bertambah usia. Banyak perkara yang mereka telah boleh uruskan sendiri lagi-lagi bila sudah dapat adik baru. Bangun pagi, menyiapkan diri ke sekolah dan mengemas bilik tidur biasanya Ariff dan Akeef akan lakukan sendiri setiap pagi. Saya menyiapkan sarapan dan bekal untuk 3 orang dan setiap orang ada 3 bekal tidak termasuk bekal air untuk morning tea, crunch dan lunch. Wah, agak mantap juga bunyinya kerana di Malaysia hanya bawa bekal untuk sekali makan sahaja. :-) Saya bercadang untuk meneruskan budaya membawa bekal bila telah kembali ke Malaysia nanti. Saya juga sangat gembira kerana dari hari ke hari Ariff sudah semakin matang dan bertanggungjawab. Dia boleh diharap untuk menjaga adik-adik dan membuat beberapa kerja rumah yang mudah seperti mengemas, menyapu dan vacume. Akeef juga nampaknya sudah semakin bijak tapi agak nakal sikit sejak ke sekolah. Mungkin kerana terlebih excited dan terikut-ikut dengan gelagat kawan-kawan baru di sekolah. Tapi bagi saya perkara ini adalah normal kerana pernah melalui perkara yang sama semasa Ariff mula bersekolah dulu. Adreana pula saya agak risau untuk sesi persekolahan baru ini kerana best friendnya Sofea aka Yaya sudah tidak bersekolah kerana akan kembali ke Malaysia. Saya berfikir apalah yang perlu dibuat kalau dia tidak mahu ke sekolah dan mencari-cari Sofea di sekolah. Tetapi alhamdulillah dia dapat menerima kenyataan dengan baik setelah saya dan suami mengingatkan dia sejak awal lagi sebelum sekolah bermula bahawa Sofea tidak akan ke sekolah lagi kerana akan pulang ke Malaysia. Walaupun pelbagai persoalan dan rasa tidak puas hati dibangkitkan, akhirnya dia gembira ke sekolah walaupun sentiasa mengingati sahabat baiknya itu.

Anak bongsu (setakat ini) sudah menghampiri tiga bulan usianya dan semakin bijak dari hari ke hari. Sekarang sudah pandai menyanyi bila kita menyanyikan lagu kebiasaan yang didengarinya dan dia kelihatan sangat comel bila menyanyi. Meragam juga sudah pandai lagi-lagi bila dia melihat tiada sesiapa yang menemani dia berbaring.

Cuti semester pula tinggal kurang dua minggu lagi. Agak berdebar menanti semester baru kerana bakal menghadapi cabaran terakhir sebelum menamatkan pengajian sarjana ini. Perasaan saya bercampur-campur gembira, bersyukur sedih dan terharu kerana kurang lima bulan lagi insyaAllah kami akan kembali ke Malaysia. Sudah pasti perkara yang paling saya akan rindui ialah masa lapang bersama keluarga yang saya nikmati di sini. Disebabkan suami tidak bekerja secara rutin di sini, dia sentiasa berada di sisi saya dan anak-anak bila sahaja kami memerlukannya. Di sini jugalah saya berpeluang melihat perkembangan anak-anak dengan jelas dan dengan cara dan gaya kami sendiri. Syukur akhirnya tercapai juga hasrat suami agar dapat mengajar anak-anak mengaji sehingga berjaya mencapai al-Quran di sini. Berkat kesabaran suami dan anak-anak, akhirnya impiannya tercapai. Akeef nampaknya lebih berminat mengaji berbanding Ariff dan dia berjaya mengaji al-Quran terlebih dahulu walaupun hanya mula mengaji Iqra' setahun selepas Ariff tetapi kerana tidak jemu dan sejak dulu menanam hasrat ingin 'memotong' abang, akhirnya dia berjaya dan tersenyum gembira. Abang pula menerima kenyataan itu dengan positif dan mengakui kelemahannya walaupun kadang-kadang masih tidak dapat menandingi kerajinan Akeef semasa mengaji. Pencapaian akademik Airff yang cemerlang di sekolah juga amat disyukuri. Namun bagi saya penguasaan yang seimbang di antara ilmu ukhrawi dan duniawi itu adalah matlamat utama dalam mendidik anak-anak. Apalah gunanya kalau dia menjadi doktor tetapi tidak menerapkan nilai-nilai Islam dalam pekerjaannya. Cita-cita saya agar anak-anak menjadi professional yang akan memperjuangkan Islam dalam apa jua keadaan dan cabarannya pada masa hadapan. Mudah-mudahan Allah meredhai keinginan saya dan mengabulkan impian ini...

Friday, July 08, 2011

Study Bersama Baby

Cuti persekolahan bulan Julai akan berakhir dua hari lagi. Puaslah budak-budak duduk di rumah dan berjalan sakan semasa Pakcik dan Maksu datang minggu lepas. Kebetulan pula ada toys sale semasa cuti sekolah ni, dapatlah kanak-kanak di rumah ini beberapa mainan baru untuk mengisi masa lapang kerana tak ada peluang berjalan selalu. Kereta Toyota Camry tahun 1995 kami hanya boleh muat lima orang sedangkan ahli keluarga sudah bertambah kepada enam orang. Nak tukar MPV, tinggal hanya lima bulan untuk kami menetap di sini. Jadi kami ambil keputusan terus gunakan kereta kesayangan yang banyak berjasa itu dan menyewa Tarago bila hendak berjalan jauh.

Keputusan peperiksaan semester lepas juga telah keluar. Alhamdulillah keputusan yang agak di luar jangkaan itu amat menggembirakan hati saya. Nampaknya dalam keadaan mengandung dan bersalin Allah bagi rahmat keputusan peperiksaan yang baik. Kalau dulu saya hanya dengar cerita orang saja tapi kali ini berpeluang merasainya sendiri. Besarnya kuasa Allah sedangkan ada kalanya untuk membuat tugasan dan study untuk final saya berasa ingin menangis kerana masa yang sangat terhad dan tidak berpeluang study secara proper seperti kebanyakan rakan-rakan lain. Tempat study saya hanyalah di dalam bilik tidur dan di atas lantai. Meja study sudah lama tak digunakan kerana terletak di dalam bilik anak-anak. Musim sejuk ini membuatkan saya memilih untuk study di bilik kerana lebih mudah melihat Aleesya jika dia meragam dan di bilik ada heater untuk dipasang jika terlalu sejuk. Study sambil meriba dan kadang kala menyusukan anak sudah menjadi perkara biasa. Kadang-kadang rasa sakit di belakang dan kebas lama di kaki kerana duduk bersila terlalu lama dan cuaca pula sangat sejuk. Selalu saya memanjatkan doa kepada Allah agar memudahkan urusan pelajaran saya atas berkat saya menjadi ibu dan isteri walaupun ada kalanya tidak dapat jalankan tanggungjawab dengan baik ketika sibuk dengan tugasan dan belajar. Saya juga selalu memikirkan mungkinkah Aleesya ketika dalam perut dan setelah saya melahirkannya sering berdoa kepada Allah agar memudahkan urusan saya kerana menjaganya dengan baik dan penuh kasih sayang sejak dalam kandungan sehingga dia dapat melihat dan tersenyum kepada saya. Walaupun agak tidak logik tapi gerak hati dan naluri keibuan saya mengatakan begitu. :-)

Bantuan dan sokongan dari rakan-rakan seperjuangan juga amat membantu saya. Terima kasih tak terhingga buat Alia, Nazim, Zaini dan Eko. Mudah-mudahan Allah merahmati kehidupan anda semua dan hanya Dia yang mampu membalas segala jasa baik anda. Sokongan dan pengorbanan suami dan anak-anak apatah lagi tak mampu saya balas. Kalau tidak kerana doa dan dorongan dari suami yang tak berbelah bagi, amat mustahil untuk saya menghabiskan tiga semester di sini. Alhamdulillah tinggal satu semester akhir dengan tiga subjek lagi sebelum saya menamatkan pengajian Sarjana yang telah lama saya impikan. Terima kasih Allah atas segalanya dan mudah-mudahan rahmat dan kasih sayangMu sentiasa berpanjangan...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...