Followers

Monday, January 25, 2010

Terima kasih JPA dan BPPA

Akhirnya tiba jua hari yang saya rasakan masih jauh sebelum ini, hari terakhir untuk saya menjalankan tugas sebelum cuti belajar. Jika pada awal-awal mendapat tawaran dulu saya rasa begitu excited, bila sudah makin hampir masanya, saya rasa agak berdebar-debar dan stress memikirkan tanggungjawab besar yang akan saya lalui nanti. Kunjungan dan nasihat dari sahabat lama saya semasa bertugas di ELTC, Sharifah Naqiya amat melegakan hati saya. "Don't worry. You'll enjoy all the moments when you are there especially your dear husband and kids are together with you.". Mudah-mudahan begitulah hendaknya. Saya percaya dengan peluang dan pengalaman ini akan menjadi sesuatu yang amat berharga bukan sahaja untuk saya, tetapi juga untuk suami dan anak-anak yang tersayang. Terima kasih JPA kerana memberi peluang dan kepercayan kepada saya untuk menambah ilmu dan pengalaman yang tidak ternilai ini buat saya dan keluarga. Terharu sungguh rasanya semasa mengambil tiket dan cek elaun pendahuluan dari JPA. Banyaknya peruntukan yang diberikan untuk kakitangan yang sanggup menambah ilmu. Saya akan cuba dengan sebaik-baiknya untuk mendapat kejayaan yang cemerlang dan mengutip pengalaman dan pengetahuan yang berharga buat saya sekeluarga.


Terima kasih juga buat semua kakitangan di BPPA yang sempat saya kenali selama lapan bulan. Sesunggunya walaupun dalam jangkamasa sesingkat itu, pengalaman dan pengetahuan yang saya perolehi tidak akan dapat ditukar ganti dengan kehidupan yang sia-sia selama 1000 tahun. Mudah-mudahan kita berkesempatan berjumpa lagi pada masa akan datang. Doakan agar saya dan keluarga selamat pergi dan kembali dengan kesejahteraan dan kejayaan...

Friday, January 22, 2010

Selamat Jalan Bibik


Akhirnya tiba jugak hari untuk menghantar bibik kembali ke kampung. Alhamdulillah, majlis nikah anak lelakinya telah selamat berlangsung pada 14 Januari yang lalu. Kali ini bibik mesti pulang untuk bersiap untuk kenduri di sebelah pengantin lelaki pula.  Pukul 3.30 petang kami telah bertolak dari rumah walaupun waktu penerbangan bibik dijangkakan pada jam 6.45 petang. Kami singgah di restoran untuk makan-makan dulu supaya bibik tak lapar dalam penerbangan. Maklumlah, Air Asia bukan ada meal macam naik MAS. Kalau ada pun, harga jualnya berpuluh kali ganda tinggi banding dengan harga biasa.

Suasana menghantar bibik utnuk kembali ke Surabaya yang pada awalnya dijangka lancar sedikit mengganggu perasaan bila berat barang yang bibik nak bawak balik melebih had yang sepatutnya. Sebelum berangkat, kami dah menambah had barang kepada 30kg dengan menambah bayaran tiket tetapi rupa-rupanya semua barangnya lebih daripada 60kg. Bayaran sebanyak RM700 perlu dijelaskan untuk kesemua barang tersebut. Mak oi, tambang barang lagi mahal dari tambang orang. So, kami ambil keputusan supaya kotak yang berisi pakaian akan dihantar kemudian.

Selepas menghantar bagasi dan check in barang, bibik pergi solat asar dulu memandangkan waktu penerbangan yang kami jangkakan pada jam 6.45 petang masih lama. Kira-kira 45 minit sebelum waktu penerbangan, bibik pun selamat check in ke balai berlepas. Sedihnya rasa waktu tu. Bukan senang nak dapat pengasuh dan pembantu yang sebaik dan sebagus bibik Yuliatin. Ariff memeluk bibik sambil katakan Ariff akan rindukan bibik. Akeef dan Najla maybe tak berapa faham apa yang akan berlaku masih lagi seronok dan melambai bibik. Bila bibik dah naik escalator dan dah tak nampak, baru la Najla tersedu sedan kerana bibik sudah pergi. Mungkin dia baru tersedar yang bibik akan tinggalkan kami.

Kami terus ke surau untuk menunaikan solat asar. Masa tu, hati rasa tidak begitu tenang tapi tak tau apa sebabnya. Sebaik sahaja selesai solat dan membayar parking, kami dikejutkan dengan panggilan telefon bibik bahawa kapal terbangnya sudah terlepas. Waktu itu jam masih pukul 6.20 sedangkan penerbangannya pada jam 6.45, macam mana pulak boleh terlepas. Macam-macam persoalan dalam kepala yang keluar. Agaknya bibik salah tunggu tempat atau mungkin petugas tu yang confuse. Maka, tak jadilah kami balik dan menunggu bibik untuk kembali ke bawah. Sambil itu Najla masih lagi menangis-nangis dan tak ada mood kerana sudah tersedar akan kehilangan bibik.

Ujian Allah pada kami hari itu, rupa-rupanya tiket penerbangan bibik yang sebenar adalah pada pukul 5.15 petang dan 6.45 petang itu sebenarnya adalah waktu tiba di Surabaya. Subhanallah! Allahu Akbar! Sesungguhnya manusia yang daif dan lemah ini hanya mampu merancang tetapi Allah jua yang berkuasa atas segala-galanya. Kecuaian kami melihat waktu penerbangan tiket rupanya memberi implikasi yang besar atas apa yang akan berlaku. Waktu itu masih ada penerbangan terakhir pada hari itu ke Surabaya pada jam 8.15 malam. Urusan pembelian semula itu dibuat sambil berlari-lari kerana kesuntukan masa. Bibik selamat check in semula 20 minit sebelum penerbangan berlepas. Kami sekali lagi mengucapkan selamat tinggal dan melambai-lambai kepada bibik. Harap-harap ini lambaian terkahir untuk kali ini. Selamat jalan bibik. Mudah-mudahan semuanya selamat dan dipermudahkan Allah.

Alhamdulillah pada tengah malam akhirnya dapat juga panggilan yang dinanti-nanti. Bibik telah selamat ke pangkuan keluarga dan sedang dalam perjalanan pulang ke kampung yang mengambil masa empat jam ke lapangan terbang. Tiada kata lain yang selayaknya diucapkan melainkan alhamdulillah dan syukur ya Allah. Terima kasih atas ujian ini dan mudah-mudahan ia menjadi pengajaran yang berharga untuk kami memperbaiki diri sebagai hambaMu yang lemah dan lalai.

Wednesday, January 20, 2010

Good Bye Putrajaya!

Alhamdulillah kami telah selamat berpindah ke rumah sementara, menumpang di rumah adik saya di Taman Sekamat, Kajang pada 2 Januari yang lepas. Memandangkan sudah lebih 5 tahun kami berumahtangga, adalah sedikit-sedikit kelengkapan rumah yang telah dibeli dari awal kami berkahwin. Alat terakhir yang kami beli adalah freezer Sharp yang saiznya lebih tinggi dari ketinggian suami pada pertengahan 2008 yang lepas. Sebenarnya itu adalah peti ais ke-2 kami selepas peti ais satu pintu yang kami miliki sebelum ini. Alasan bertukar kepada peti ais baru adalah kerana bilangan ahli keluarga yang semakin bertambah menyukarkan kami untuk menyimpan stok lauk pauk selama seminggu di samping bagi menjamin ruang sejuk beku yang cukup untuk menyimpan stok susu beku semasa saya masih menyusukan Najla dan anak-anak seterusnya nanti. Apa pun, kita ini hanya mampu merancang dan Allah jualah yang lebih berkuasa untuk menentukan segalanya. Siapa sangka tidak sampai tiga bulan ia berjasa kepada kami, kami berkemungkinan besar akan meninggalkannya kerana tawaran belajar ke luar negera yang saya terima. Masa itu segalanya nampak masih jauh sebelum tiba masanya. Akhirnya sehari sebelum saya berpindah, kami terpaksa berpisah kerana kami telah penjualnya kepada orang yang lebih memerlukan. Pada masa itu, tiba-tiba hati ini menjadi hiba dan terharu kerana terpaksa berpisah dengannya sehingga saya tidak sanggup melihat peti kesayangan itu diangkat ke atas lori.

Semasa hari-hari awal kami berpindah, ia adalah saat-saat yang agak menyukarkan untuk saya dan keluarga untuk membiasakan diri. Maklumlah menumpang di rumah orang tentu tak sama dengan tinggal di rumah sendiri. Anak-anak saya pula demam terkejut seorang demi seorang dan asyik tanya bila nak balik ke Putrajaya. Alhamdulillah setelah lebih dua minggu kembali semula ke rumah semasa zaman kanak-kanak saya ini, saya dan keluarga telah dapat menyesuaikan diri. Anak-anak pun sudah ada kawan-kawan baru dan bermain semula walaupun tiada taman permainan di depan rumah seperti di Putrajaya.

Majlis tahlil, kesyukuran dan doa selamat juga telah berjalan lancar dan terima kasih banyak kepada semua sahabat-sahabat, saudara mara dan jiran tetangga yang sudi hadir. Mohon maaf juga jika ada sebarang kekurangan atau kelemahan. Maklumlah, tengah ramai-ramai tu macam-macam yang jadi. Walaupun saya tidak sempat menjamah nasi beriani dari katering kegemaran pada hari itu, saya rasa sangat gembira dan berpuas hati dengan kehadiran semua. Malam itu kaki rasanya nak tercabut kerana asyik berdiri sepanjang hari tapi hati tetap happy dan seronok dapat berjumpa kawan-kawan lama dan baru. Terima kasih semua dan doakan segala urusan kami nanti dipermudahkan Allah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...