Sedar tak sedar, bulan Ramadhan cuma berbaki sepuluh hari saja lagi. Baru berkira-kira berapa hari lagi akan tiba Ramadhan, rupa-rupanya ia sudah hampir sampai ke penghujungnya. Jika pada zaman kanak-kanak, waktu hampir tiba hari raya adalah saat yang ditunggu-tunggu. Tetapi bila usia dah menginjak jauh, terdetik syahdu dan rindu di dalam hati bila mengenangkan Ramadhan akan berlalu pergi...
Saya suka bulan Ramadhan, kerana keberkatannya dan gandaan pahala bagi setiap amalan yang kita lakukan dalam bulan mulia ini. Selain itu, tak perlu memikir hari ini perlu sarapan apa, nak beli di mana. Anak-anak juga dilatih berpuasa sejak bersekolah tadika, mengikut kemahuan dan kemampuan mereka sendiri. Saya dan suami tidak pernah memaksa, tunggu sehingga mereka benar-benar bersedia. Sebelum diajar berpuasa, solat dan Al-Quran perlu dilatih terlebih dahulu kerana itu lebih utama. Alhamdulillah tahun ini, anak-anak yang bersekolah rendah (Ariff Najmuddin, Akeef Nu'man dan Adreana Najla) telah mampu berpuasa dengan baik walaupun kadang terdengar juga keluhan letih pada awal minggu pertama.
Aleesya Nour pada usia empat tahun masih belum faham erti puasa apatah lagi Azzah Nurjannah yang berusia setahun tiga bulan. Makanya, pada hujung minggu, dua orang anak ini perlu disediakan sarapan dan makan tengaharinya. Makan malam mereka, saya akan suap lebih awal sebelum waktu berbuka supaya bila sudah kenyang, mereka selesa bermain berdua.
Menu berbuka pada hari bekerja biasanya saya tempah daripada kawan-kawan yang berniaga lauk-pauk di pejabat atau beli di kafe pejabat sahaja. Pada hujung minggu, baru ada kesempatan memasak. Walaupun hobi memasak dan rasa lebih puas dapat memasak sendiri, terpaksa berkorban sedikit pada hari bekerja demi melayan anak-anak yang masih kecil. Biasanya, pada waktu balik daripada taska, si Azzah Nurjannah yang masih menyusu badan sepenuhnya mahu mengisi minyak dulu. Selepas isi minyak dengan menyusu, perlu pula terus makan nasi. Kalau tidak, sepanjang saya berada di dapur dia akan menarik kaki sambil menyebut Mi, Mi.. (Ummi, Ummi...). Tuan suami yang bertugas di Kuala Lumpur pula memang hanya akan tiba di rumah sewaktu azan berkumandang. Untuk mengelakkan stress pada mak dan anaknya, tuan suami berpesan, baiklah membeli sahaja daripada tempat yang terjamin kebersihan dan kesucian makanannya. Dia beri duit, dan saya tolong beli. Tetapi pada sebahagian masa, saya mahu juga guna duit sendiri kerana membeli atau menyediakan juadah untuk orang yang berpuasa ini besar ganjarannya jika dibuat dengan ikhlas. Maka, marilah kita saling berebut suami isteri, siapa yang belanja menu berbuka pada setiap hari...
Pada sebelah malam, anak-anak dan suami akan berterawih di surau berdekatan rumah. Mengaji Al-Quran pula di rumah sahaja selepas solat Subuh dan Maghrib. Saya bersolat di rumah sahaja selepas selesai menidurkan Azzah Nurjannah. Ada juga keinginan untuk ke surau, tapi mengenangkan siapa pula yang akan tengok-tengokkan si Azzah yang sudah dapat kaki ketika saya bersolat. Si Azzah ini jenisnya suka meneroka dan berjalan ke sini sana. Risau juga jika dia keluar ke mana-mana atau mengganggu jemaah yang lain. Saya fikir lebih baik saya solat di rumah sahaja. Lebih tenang rasa hati dan lebih fleksible. Tunggulah bila yang kecil sudah besar sedikit dan bolehlah dibawa bersama ke surau atau masjid. Alhamdulillah walaupun tidak berkesempatan berjemaah di surau, Allah sediakan peluang yang lain untuk ibu-ibu menambah amalan pada bulan mulia ini. Menyediakan juadah sahur dan berbuka juga besar ganjarannya. Apatah lagi jika kita mendidik dan mengasuh anak-anak untuk berpuasa dan melakukan amalan-amalan baik supaya berpanjangan sehingga selepas Ramadhan.
Ramadhan yang berbaki ini, sama-samalah kita berdoa moga Allah beri kekuatan untuk menghidupkan malam dan berlumba-lumba membuat amalan kebajikan. Semoga dipanjangkan umur dengan keberkatan untuk bertemu lagi Ramadhan yang akan datang...
1 comment:
InshaAllah, pahala seperti siti maryam dan siti asiah Allah berikan buat isteri2 yg berbakti pada suami di bulan ramadhan ni...
Raya mana acik? alik penang ke kajang?
Post a Comment