Followers

Friday, September 07, 2012

Suka Duka Ramadhan dan Syawal 1433 (Siri 2)

Syawal kali pertama setelah dua tahun kami menyambutnya di rantau orang sudah pasti menjadi hari yang ditunggu-tunggu terutama oleh anak-anak. Kali ini anak-anak berpeluang berbaju baru, merasai pengalaman pulang ke kampung dan menikmati juadah hari raya seperti kelaziman sambutan hari raya di Malaysia. Hari raya pertama tahun ini kami berpeluang pulang ke kampung suami di Permatang Pauh, Pulau Pinang kerana sememangnya tahun ini giliran berhari raya di sana. Hari raya pertama kami menikmati ketupat pulut, rendang daging, rendang ayam dan  nasi beriyani yang disediakan semenjak malam raya lagi. Raya ke-dua saya dibantu oleh adik ipar dan ibu mertua berpeluang menyediakan bihun sup, bergedel ayam dan sambal kicap yang menjadi hidangan kegemaran kami sekeluarga. Memang meriah rasanya raya kali ini kerana dikunjungi dan berpeluang mengunjungi sanak saudara dan sahabat handai jauh dan dekat.

Pada hari raya ke-enam kami bertolak ke Kampar, Perak untuk meneruskan kemeriahan hari raya kerana mak dan abah yang baru sahaja pulang dari tanah suci setelah sebulan mengerjakan umrah bersama opah. Dengan berat hati hanya dua hari sahaja bermalam di Kampar, kami telah pulang semula ke Putrajaya kerana anak-anak akan memulakan sesi persekolahan semula. Muncung dan mendung anak-anak jangan cakaplah kerana tidak berpuas hati hanya dapat menikmati sekejap sahaja suasana di kampung wan dan atuk tapi termakan pujuk juga bila mengingatkan yang cuti sekolah yang panjang akan tiba tak lama lagi.

Minggu selepas raya, kami sekeluarga memulakan kehidupan seperti biasa, ke sekolah, ke pejabat dan ke nurseri. Pada subuh hari Khamis, 30 Ogos 2012 saya tiba-tiba menyedari ada sedikit pendarahan yang berlaku. Saya menyangka itu hanyalaha pendarahan biasa kerana pernah mengalami perkara yang sama ketika mengandungkan Akeef. Pendarahannya tidak berhenti dan seakan-akan mengalami datang bulan. Saya berpesan kepada suami supaya meneruskan tugas seperti biasa dan saya akan ke klinik bersendirian pada petang itu kerana tidak terasa sakit apa-apa walaupun saya dinasihatkan supaya terus ke klinik pada pagi itu juga. Selepas menunaikan solat zohor, saya terus ke Kajang Plaza Medical Centre untuk menemui Prof Jamil yang bertugas pada hari itu. Hati terasa tidak keruan walaupun saya cuba memujuk dan menenangkan hati sendiri. Setelah imbasan dan pemeriksaan dilakukan, saya dimaklumkan oleh Prof Jamil bahawa saiz kandungan yang sepatutnya berada pada 12 minggu tidak membesar dan masih berada pada saiz 8 minggu. Jantungnya juga sudah berhenti berdegup dan pengaliran darahnya juga sudah tidak berlaku. Mendengar penjelasan itu, saya di antara percaya dengan tidak kerana tidak menduga perkara sedemikian akan berlaku. Hati tiba-taba menjadi sayu dan rembesan air mata sudah bercucuran di dalam hati walaupun di luar saya kelihatan tenang. Saya merasakan Allah sedang mendakap saya dengan penuh kasih sayang dan menyedarkan saya tentang hakikat bahawa syurga Allah itu bukan sesuatu yang Allah berikan percuma.

"Dan janganlah kamu mengaku beriman sebelum kamu diuji," (Surah Al-Ankabut : 2)

Subhanallah, saya berasa lebih tenang bila mengingatkan diri tentang ayat dan janji-janji Allah dan saya terus menghubungi suami untuk memaklumkan pengkhabaran itu. "Innalillahiwainnailaihi roji'un..", suami menerima berita dengan tenang walaupun kedengaran sedikit getar di hujung talian. Kerana ini pengalaman pertama saya mengalami keguguran, saya memohon Prof Jamil supaya menyediakan surat rujukan supaya saya boleh mendapatkan pandangan ke-dua di Hospital Putrajaya walaupun Prof menasihatkan saya supaya menjalankan D&C.

Keesokan harinya, saya suami dan Aleesya terus Jabatan Kecemasan dan Trauma di Hospital Putrajaya untuk mendapatkan rawatan lanjut selepas menghantar anak-anak yang lain ke rumah adik di Taman Sekamat, Kajang. Saya sudah bersedia dengan kelengkapan pakaian, manalah tau jika perlu bermalam di wad pada malam itu. Tidak sampai sepuluh minit menunggu, kami dipanggil ke bilik doktor. Berdasarkan nasihat Dr., beliau memaklumkan bahawa keputusan imbasan sedemikian kebiasaannya adalah keputusan yang pasti, lebih-lebih lagi ia diputuskan oleh seorang consultant. Walaubagaimanapun disebabkan cuti umum hujung minggu, kemudahan imbasan tidak dapat digunakan di Hospital Putrajaya dan saya diminta untuk datang semula pada hari Isnin untuk menjalankan imbasan. Saya juga dinasihatkan oleh Dr. bahawa secara lumrahnya, jika janin telah meninggal dunia, proses pengeluarannya akan berlaku secara semulajadi tetapi tidak dapat dipastikan waktu dan ketikanya. Suaminya seakan lebih bersetuju jika janin keluar secara semulajadi bagi mengelakkan komplikasi dan risiko lain yang mungkin berlaku jika menjalankan D&C. Walaubagaimanapun, jika janin tidak keluar secara keseluruhan, proses D&C masih perlu dilakukan. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk menjlankan D&C di KPMC pada keesokan harinya. Disebabkan sudah lewat petang, kami dinasihatkan supaya datang pada awal pagi Ahad kerana kebiasaanya proses D&C dilakukan pada awal pagi supaya pesakit tidak perlu bermalam di wad.

Benarlah sebaik-baik perancangan manusia, peraturan dan ketentuan Allah itu lebih bijak dan berhikmah. Pada petang itu saya sudah mula merasakan sakit kontraksi pada tahap ke-dua yang berterusan sepuluh minit sekali. Walaupun sudah berpuasa semenjak jam 10 malam, saya tidak berselera untuk menjamah makanan ketika hadir ke rumah Kak Gee kononnya untuk mengambil anak-anak kembali. Disebabkan sakit yang tidak surut, saya menjangka akan tiba masa janin keluar sendiri pada hari itu juga dan kami membatalkan hasrat untuk mengambil anak-anak. Ketika berada di pintu rumah dan bersalaman untuk pulang, saya terasa ada sesuatu yang keluar dari tempat lazim anak-anak dilahirkan. Saya berasa amat yakin itu adalah kandungan yang keluar secara semulajadi dan sakit kontraksi terus hilang seiring dengan itu. Suami terus membawa saya ke wad kecemasan Hospital Putrajaya dan seperti yang dijangka janin yang telah meninggal dunia telah keluar secara semulajadi. Disebabkan masih ada darah beku dan untuk mengelakkan komplikasi, saya diminta bermalam di wad untuk menjalankan proses D&C pada keesokan harinya.

Alhamdulillah proses D&C berjalan dengan lancar pada 2 September 2012 jam 11.55 pagi. Saya dikehendaki berpuasa selama enam jam sebelum melakukan D&C. Proses dilakukan di bilik bedah di mana saya perlu dibius separuh badan. Saya masih sedar ketika proses berjalan dan hanya berasa kebas bermula di bawah pinggang hingga ke kaki. Tidak ada rasa sakit dan proses pembersihan hanya mengambil masa lebih kurang sepuluh minit sahaja. Kakitangan di Hospital Putrajaya sangat baik hati berdedikasi. Kemudahan di hospital juga sangat moden dan slesa. Saya berasa sangat bersyukur mendapat rawatan lanjut di sana. Saya sepatutnya dibenarkan discaj pada keesokan harinya tetapi memikirkan anak-anak yang akan bersekolah esok, saya mohon agar Dr. mengizikan saya keluar pada malam itu kerana sudah berasa agak sihat. Mak dan abah juga sudah tiba di rumah setelah pulang dari kenduri di Kuantan.

Alhamdulillah hari ini merupakan hari ke-lima saya masih berpantang sama seperti orang lepas bersalin, bezanya saya tidak ada bayi kecil untuk dijaga dan disusui. Saya memanjatkan kesukuran kerana saya dipilih untuk menghadapi ujian berdasarkan kemampuan yang saya ada. Sesungguhnya ujian Allah itu akan menguji dan meningkatkan keimanan kepada Allah jika kita mampu berfikir. Semoga Allah menjadikan kita semua hamba yang sentiasa menyedari tentang hakikat kehidupan kita di dunia adalah untuk mencari kebahagian yang abadi di akhirat....

3 comments:

Hiasan Dunia said...

Bergenang air mata membaca cerita Kak Af, kerana... cerita kita sama... :(

syalinda johari said...

baru tau cerita...sabaq banyak2 kak...dugaan allah swt pada insan yang tabah menghadapinya

Unknown said...

Kali ni saya pregnant anak ke 4.
Dr.Jamil pun dah pulang ke pangkuan Illahi. (Alfatihah)(anak kedua dan ketiga saya diuruskan kelahiran oleh beliau)
Kandungan 11minggu saya telah disahkan sama mcm your experience, size sekecil 6 minggu. Tiada denyutan jantung, tiada bayang janin ujud pun.... Ceramuk nya rasa jiwa Allah saja yg tau. D&C dijadual esok hari. Semoga semua yg diatur ada hikmahnya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...